Showing posts with label Fatwa. Show all posts
Showing posts with label Fatwa. Show all posts

Tuesday, May 8, 2012

MAJLIS FATWA MACAM JIN TONCET YANG HANYA ADA SATU MATA?

"Mata yang digunakan pula adalah kabur dengan cermin mata yang telahpun rosak…Namun dalam hal ini saya amat berbeza dengan pendirian yang dikemukakan oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan ini." - Nik Aziz

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ini macam Jin Toncet Sebelah Mata atau memang buta sebelah mata.

Kerana itu jawatankuasa berkenaan membuat keputusan menggunakan ‘sebelah mata’.

Bukan saya kata sebaliknya Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menyifatkan keputusan muzakarah mengharamkan umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang mencetuskan huru-hara hanya menggunakan ‘sebelah mata’.

Pada ketika keputusan Muzakarah Jawatankuasa itu perlu dihormati dan dipatuhi semua pihak, Nik Aziz memperlekehkan jawatankuasa itu walaupun pada asasnya BERSETUJU bahawa perhimpunan yang bertujuan untuk mencetuskan huru hara dan merosakkan harta benda adalah haram.

Namun persoalannya: "Mata yang digunakan pula adalah kabur dengan cermin mata yang telahpun rosak… "Namun dalam hal ini saya amat berbeza dengan pendirian yang dikemukakan oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan ini," kata Nik Aziz yang menghormati anggota Majlis Fatwa Kebangsaan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata di Kuala Terengganu hari ini, jawatankuasa itu dianggotai oleh mereka yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja dan setiap keputusan dibuat tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.

"Majlis fatwa sudah putuskan (haram menyertai demonstrasi yang mencetuskan huru-hara). Jadi, kita serahkan kepada Majlis fatwa kerana ia (jawatankuasa) dilantik oleh raja-raja," katanya.

Nik Aziz tidak peduli itu semua. Biarpun jawatankuasa itu dilantik oleh Raja-Raja Melayu.

Siapa lebih tinggi?

Bagi Nik Aziz dia lebih tinggi daripada Raja-Raja kerana dia Musyridul Am PAS, kalau tidak tak kan dia berani memperlekeh dan mempersendakan keputusan berkenaan!

Bagi Nik Aziz, apabila apabila dikaitkan dengan himpunan BERSIH 3.0 yang dikatakan menimbulkan huru-hara, saya berpandangan bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan dengan hanya menggunakan sebelah mata.

Mengulas lanjut, menteri besar Kelantan itu berkata perhimpunan BERSIH 3.0 bukannya bertujuan untuk mencetuskan huru-hara.

Perhimpunan itu, tambahnya, menggariskan lapan tuntutan untuk membersihkan pilihan raya dan jauh sekali untuk mencetuskan huru-hara bagi menjatuhkan kerajaan melalui jalan raya.

"Jika dikatakan menggunakan cara beradab dibenarkan, maka suka saya bertanya, apakah jalan beradab yang lebih aman melainkan pergi dan duduk?

Jamil Khir menyifatkan tindakan pemimpin PAS mempertikaikan keputusan jawatankuasa berkenaan sebagai perkara biasa dalam politik.

Yang jelas oleh kerana sudah menyokong dan memberikan pula duit kepada peserta Bersih 3.0 itu, Nik Aziz terpaksa mempertahankan pendirian walaupun terpaksa melawan arus dengan memperlekeh dan mempersenda keputusan jawatankuasa berkenaan.

Wednesday, April 25, 2012

FATWA - HADI ANGGAP DESAKAN TARIK BALIK SEBAGAI DESAKAN ‘KAKI LIMA’ , 'ANAK-ANAK KECIL'

 

Begitu angkuh dan sombongnya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang!

Beliau bukan sekadar enggan menarik balik ‘Fatwa’ yang dibuatnya pada 1981 tetapi menghina Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu apabila menganggap saranan ADUN UMNO di dalam dewan sebagai modal bualan ‘anak-anak kecil’ dan desakan ‘kaki lima’ UMNO sahaja.

Sidang DUN Terengganu semalam bergema dengan desakan dan cadangan agar Hadi turun ke kawasan-kawasan yang masih belaku sembahyang dua imam dan masih mengamalkan ‘fatwa beliau’ yang menyebabkan perpecahan. 

 Bukan itu sahaja, Hadi menganggap saranan pemimpin Umno Terengganu agar pimpinan PAS dibawa ke setiap daerah yang kononnya masih berlaku perpecahan hanyalah modal bualan ‘anak-anak kecil‘.

Sikap Hadi ini jelas bertentangan dengan hasrat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam)  yang mahukan supaya perkara ini diselesaikan kerrana isu dua sembahyang Jumaat dalam satu mukim, sebahagian besar penyokong Pas mengatakan mereka terikat dan terikut dengan apa yang difatwa oleh pemimpin ( Hadi) mereka pada masa lalu,"

Bagi Hadi, UMNO Terengganu takut untuk berdebat mengenai ‘Fatwanya’. Hadi ditemui di luar dewan berkata beliau tidak perlu lagi menjawab isu itu kerana muzakarah mengenainya pernah dicadangkan pada tahun 1984 namun ditolak oleh Umno peringkat pusat.

“Pas sudah sedia hadir muzakarah, Ngo Islam juga bersedia menjadi orang tengah tetapi Umno tidak hadir. Tahun 1984, kita sanggup hadir tapi dibatalkan,” katanya.

Kenyataannya itu sekali gus menolak kehendak DUN Terengganu agar beliau menarik balik apa juga ‘fatwa dibuatnya yang menyebabkan umat Islam di negara ini’ berpecah-belah sehingga ada suami isteri bercerai-berai.

Semalam, kerajaan negeri menyatakan kesediaannya menerima penarikan semula amanat yang pernah dibuat bekas Menteri Besar Terengganu itu yang kini ADUN PAS Rhu Rendang berhubung isu berimamkan orang Umno tidak sah sehingga mengakibatkan perpecahan di kalangan umat Islam di negeri ini dan beberapa negeri lain

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata kerajaan negeri bersikap terbuka dan sedia menerima Hadi untuk membetulkan perkara yang terkandung dalam amanat beliau di Banggol Peradong pada 1982 berhubung isu itu.

Beberapa ADUN Barisan Nasional termasuk Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut), Ramlan Ali (BN-Jabi), Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh) sama ada dalam pertanyaan lisan, soalan tambahan dan perbahasan semalam mahukan Hadi berbuat demikian.

Mereka ingin tahu apakah benar ada maklumat yang menyatakan pihak kerajaan sudah berbincang dengan pemimpin Pas bahawa Hadi bersetuju ke beberapa kawasan, termasuk Hulu Besut bagi menarik semula amanat berkenaan.

ADUN Ajil Datuk Rosol Wahid turut mahu Presiden Pas mengembalikan semula perpaduan umat Islam di negara ini dengan menarik balik amanat berkenaan.

Rosol mahu Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, turun ke semua kawasan yang masih lagi mengamalkan dua solat Jumaat dalam satu qariah dan memperbetulkan keadaan kerana semua itu dikatakan berpunca daripada amanat beliau di Banggol Peradong.

Bersetuju atau tidak, saya bagi pandangan dalam dewan ini kerana perpecahan itu bermula dari Pas, kita minta wakil Rhu Rendang pergi ke kawasan yang masih berlaku perpecahan dan tarik balik amanat itu. Kalau setuju kita minta keputusan Dewan,” katanya ketika Muhammad Ramli membahaskan titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan DUN semalam.

Cadangan itu kemudiannya disokong Muhammad Ramli kerana menganggap perpecahan sudah sekian lama berlarutan berikutan sikap penyokong pembangkang enggan berimamkan dan gunakan khidmat jurunikah dilantik oleh kerajaan.

Keengganan itu didorong oleh fatwa dikeluarkan pemimpin mereka yang mengatakan berimamkan orang Umno tidak sah.

Kita setuju sangat, sudah lama kita minta dia ( Hadi) pergi demi perpaduan Islam, molek, saya setuju,” kata Khazan yang juga BN-Batu Rakit menegaskan sehingga kini tiada perbincangan dilakukan kerajaan dengan Hadi mengenai perkara itu.  Amat baik sekali lah jika wakil Rhu Rendang cuba membetulkan semula perkara ini kerana mengikut laporan yang diterima daripada Maidam mengenai dua sembahyang Jumaat dalam satu mukim, sebahagian besar yang ditemui mengatakan mereka terikut dengan apa yang difatwa oleh pemimpin (Abdul Hadi) mereka pada masa lalu,” katanya.

 Khazan memaklumkan kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah dua solat Jumaat dalam satu qariah termasuk memberi penerangan mengenai hukum tindakan itu.

 Malah ada sesetengah masjid juga sudah diberikan kelulusan untuk dibenarkan mendirikan sembahyang Jumaat walaupun dalam satu kampung apabila kampung itu besar, penduduk ramai dan jarak antara masjid bersesuaian.

Selain itu, Maidam turut menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyatuan Jumaat dalam Satu Mukim dan panelnya terdiri daripada pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) bagi menjalankan kajian terperinci mengenai punca dan cadangan menyelesaikan masalah itu.

 “Bagaimanapun jawatankuasa ini baru diwujudkan, sebahagian hasil perbincangan dan kajian belum sesuai untuk dibentangkan dalam sidang dewan kali ini,” tegas Khazan.

Monday, September 12, 2011

FATWA NIK AZIZ SEMAKIN JELAK & MENGELIRUKAN...

"Kita berjuang untuk agama bangsa dan negara. Jangan jadi angkuh kerana ingat kita seorang saja yang berjuang untuk Islam. Kita kena terima hakikat bahawa setiap orang menyumbang kepada Islam dan negara melalui cara masing-masing. Cuma, tidak semua perjuangan itu ada sama kaedahnya," - Mustapa Mohamed


http://kijang-jantan.blogspot.com/

Kalau ia pun ‘berfatwa ala PAS’, biarlah berpada-pada.

Nanti bukan orang Islam yang rasa pelik dan jelak tetapi orang bukan Islam turut tergelak.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Jumaat lalu menyifatkan usaha UMNO Kelantan untuk menawan negeri ini daripada PAS tidak akan mendapat balasan yang baik di akhirat.

Sebabnya? Kata Nik Aziz, ini kerana ia tidak selari dengan kehendak Islam.

Nik Aziz yang nampak bimbang dengan perkembangan UMNO di Kelantan berkata UMNO boleh meletakkan apa sahaja sasaran kerusi untuk dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tetapi usaha mereka itu tidak berfaedah di mata agama.

Malah beliau yang juga Mursyidul Am PAS secara sinis berkata, jika UMNO yakin boleh menang 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mendapat kerusi majoriti di Kelantan, maka PAS pula akan menang 60 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan bersama pakatan pembangkang di peringkat pusat.

“Kita hendak menang Parlimen 60 kerusi, (segala usaha) langsung tidak ada faedah untuk akhirat melainkan dengan Islam, UMNO kena faham duduk atas dunia ini bukan manusia buat, tapi Allah Taala buat.

“Allah Taala menetapkan bahawa hujung dunia ini ada pembalasan di akhirat, syurga dan neraka, yang kena dengan kehendak al-Quran dapat syurga, yang tidak kena neraka, orang Arab pun kalau tidak kena dengan al-Quran akan masuk neraka, inikan pula orang Melayu,” kata Nik Aziz.

Berikutan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam mengingatkan PAS jangan mudah memperkecilkan sumbangan UMNO terhadap agama, bangsa dan negara sejak 54 tahun negara merdeka.

Beliau berkata, banyak perubahan sudah dialami negara hasil sumbangan UMNO bersama Barisan Nasional (BN) dalam memartabatkan Islam serta rakyatnya di mata dunia.

UMNO ingin memenangi Kelantan demi menguruskan negeri itu ke arah yang lebih baik dan menyerahkan kepada rakyat Kelantan yang menilai prestasi UMNO dan menentukannya dalam pilihan raya umum nanti.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menasihati Nik Aziz agar tidak mudah menjadi angkuh dengan memperlekehkan sumbangan dan perjuangan UMNO terhadap Islam.

"Kita berjuang untuk agama bangsa dan negara. Jangan jadi angkuh kerana ingat kita seorang saja yang berjuang untuk Islam. Kita kena terima hakikat bahawa setiap orang menyumbang kepada Islam dan negara melalui cara masing-masing. Cuma, tidak semua perjuangan itu ada sama kaedahnya," katanya di Kota Bharu, semalam.

Adalah lebih wajar PAS melihat sumbangan UMNO daripada aspek memartabatkan Islam melalui pembangunan dan kemajuan pengetahuan rakyat di negara ini.

"Kalau dulu sebelum merdeka orang Melayu terkenal dengan sifat malunya. Tetapi setelah 54 tahun merdeka, Melayu sudah berubah dengan membawa pelbagai perubahan dan kemajuan. Semua ini terima kasih atas sumbangan pemimpin Umno terdahulu dalam menubuhkan pelbagai dasar seperti Dasar Ekonomi Baru, Majlis Amanah Rakyat serta universiti untuk kemajuan rakyat khususnya umat Islam," katanya.

Kelmarin, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa secara sinis mempersoal sejak bila Nik Aziz 'menerima wahyu' sehingga Mursyidul Am PAS itu boleh mengeluarkan 'fatwa' bahawa usaha UMNO untuk menawan Kelantan tidak akan mendapat balasan baik di akhirat kelak.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, jika benar Nik Aziz dimuliakan sehingga melayakkan beliau menjadi orang Melayu pertama 'menerima wahyu' daripada Allah, Mursyidul Am PAS itu perlu menjelaskan kepada seluruh rakyat negara ini nama malaikat yang ditugas untuk menjalankan amanah tersebut.

“Pada Nik Abdul Aziz, semua yang berkait dengan UMNO berdosa. Apa yang tidak berdosa pada pemikiran beliau hanya bersubahat dengan DAP walaupun akhirnya yang menjadi mangsa adalah orang Melayu beragama Islam," katanya.

Ibrahim tidak sedikit pun setuju dan percaya dengan 'fatwa' karut Mursyidul Am PAS itu kerana yakin jika UMNO berjaya menawan kembali Kelantan yang sudah diperintah selama 21 tahun oleh PAS, rakyat negeri itu akan menikmati kehidupan lebih senang.

JIka Barisan Nasional menang, rakyat Kelantan tidak lagi akan dibelenggu dengan masalah air iaitu salah satu keperluan asas yang tidak mampu disediakan oleh Kerajaan PAS Kelantan walaupun sudah lebih dua dekad memerintah kerana pemimpinnya lebih sibuk berceramah berbanding memikirkan cara menyelesaikan masalah rakyat.

Bagi Ibrahim, pemimpin PAS Kelantan yang diketuai Nik Abdul Aziz langsung tiada inovasi dalam pentadbiran meskipun untuk menyelesai masalah yang paling asas.

Air bersih adalah keperluan asas, tapi apa yang PAS buat selePAS 21 tahun?

Mereka hanya pandai menuduh dan memburukkan orang lain dalam ceramah sahaja!

Friday, July 1, 2011

BERDOSA BESAR JIKA SERTAI PERHIMPUNAN BERSIH...

Jangan sertai gerakan yang mahu menghancurkan negara.

Jangan dekati musuh Islam yang sengaja mempergunakan orang Islam, termasuk pemimpin parti yang mendakwa Islam untuk goncang pemerintahan yang menegakkan Islam.

Sertai himpunan haram anjuran Bersih boleh menyebabkan huru hara. Jangan gadai maruah dan kemerdekaan hanya kerana terpengaruh dengan dakyah Ambiga dan kumpulannya.

Ingatlah, sekali negara Islam jatuh, ia tidak akan bangkit semua. Renungkanlah di pagi Jumaat yang mulia ini.

Juga renungkan pandangan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ini. Selain itu baca fatwa Imam Shaukani 220 tahun lalu:

Umat Islam dilarang membabitkan diri dalam semua perkara yang disedari boleh menjurus kepada perpecahan ummah dan kehancuran negara termasuk demonstrasi seperti perhimpunan haram Bersih 9 Julai ini sekiranya ia juga boleh membawa mudarat.”

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata di Kuala Terengganu semalam, adalah berdosa besar jika umat Islam terlibat dalam perkara-perkara yang membawa kesan buruk kepada diri sendiri.

"Sebenarnya Islam sentiasa menggalakkan umatnya berusaha ke arah perpaduan dan keharmonian, bukannya melakukan kerosakan sehingga memecah-belahkan perpaduan dan menjejaskan syiar agama," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu mengulas perhimpunan haram 9 Julai ini selepas majlis perasmian Wacana Pendidikan Fatwa Negeri Terengganu 2011 di sebuah hotel di Kuala Terengganu semalam.

"Dalam Islam, yang baik itu jangan kita rosakkan, yang berpadu, jangan kita pecahkan kerana ia adalah merupakan satu dosa besar bagi kita," katanya.

Kerana itu beliau menasihatkan umat Islam serta rakyat pelbagai kaum di negara ini supaya sentiasa berbaik-baik sekali gus mengelak pertelagahan sesama mereka.

"Kita perlu jaga atau tingkatkan hubungan baik, dalam Islam kita dilarang melakukan kerosakan dan perpaduan pula jangan dipisahkan kerana ia adalah dosa besar," katanya.

Menurut Dr. Abdul Shukor, umat Islam sepatutnya lebih menumpukan kepada cara untuk bersatu padu serta membangunkan diri agar menjadi umat yang bertamadun dan dihormati.

Berikutan itu Dr. Abdul Shukor Husin meminta umat Islam khususnya dan masyarakat negara ini amnya supaya tidak menyertai perhimpunan haram berkenaan.

Katanya, ini kerana negara ini sekarang bukan sahaja aman, malah orang luar menjadikan negara ini sebagai contoh.

"Ertinya kalau sudah ada yang baik itu, kita perlu jaga, kita perlu pertingkatkan dan perlu dibaiki untuk menjadi lebih baik.

Beliau berkata, Malaysia yang mempunyai ekonomi teguh sedang menuju ke arah yang lebik baik, jika perkara yng boleh menyekat atau merosakkan negara, maka perhimpunan itu tidak harus diteruskan.

"Dalam Islam kita boleh memberi pandangan, tetapi ia melalui saluran. Islam suruh kita berbincang dulu, kalau sudah tidak ada peluang, nak jumpa tak boleh, kita ditekan, pada saya itu boleh kita buat apa yang patut untuk mencari keadilan," katanya.

Bagaimanapun katanya, selagi ada sumber, maka ia digalak menggunakan 'syura' (berbincang).

Beliau berkata, selain itu semua pihak harus melihat masa depan dan kemajuan negara.
Katanya, kemajuan bukan bererti yang ada ini kita runtuhkan dan bina yang baru.

"Dalam sejarah tamadun manusia, kemajuan itu apa yang ada. Kalau kurang, kita tambah, yang kurang baik, kita perbaiki supaya ia menjadi lebih baik.

"Seperti di Terengganu, kita nak lahirkan generasi Ulul Albab, generasi celik Al-Quran dan Hadis, nak menjadikan ornag Islam itu baik.

Apakah kita kena runtuhkan yang ini dan nak bina yang baru yang dikatakan satu tamadun," kata Abdul Shukor.

Monday, March 8, 2010

HARUSSANI BOHONG, RELA DIPERKUDA & AGEN UMNO?

Mufti Perak kelmarin dan semalam menjadi belasahan beberapa pihak melalui Harakahdaily tetapi paling menarik oleh Menteri Besar Kelantan apabila beliau dituduh sebagai agen UMNO.

Tan Sri Harussani Zakaria juga dianggap ‘mufta’ iaitu yang diberikan fatwa bukan yang membuat fatwa.

Semalam Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersuara terhadap apa yang dinyatakan oleh Mufti Perak itu pada satu forum baru-baru ini.

Seorang penulis pula menyifatkan Harussani berbohong dan memang agen UMNO. Penulis bernama Herman Samsudeen berkata, membaca pengakuan Harussani dalam Malaysian Insider berhubung usahanya memujuk PAS untuk bekerjasama dengan Umno bagi mewujudkan Kerajaan Campuran di Perak, pasti ramai yang sudah menduga, tapi tidak kurang juga yang kesal dan menganggapnya sebagai tindakan yang sia-sia.

Malah ramai yang kesal kerana beliau sebagai seorang Mufti rela diperkudakan untuk menjadi ejen Umno bagi memujuk PAS.

Paling menyedihkan kerana Umno, beliau sanggup mengkhianati jubah Muftinya dan berbohong kepada rakyat dalam program dialog Zaaba di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ahli Majlis Syura Ulama PAS, yang juga Pesuruhjaya PAS Perak ketika itu Ustaz Ahmad Awang kelmarin menjelaskan: “Apa yang beliau (Harussani) cakap dalam dialog itu adalah tambahan kemudian. (Perkara) Itu tidak betul (bohong),”

Ustaz Ahmad turut menjelaskan bahawa dalam perbualan tersebut, mufti Perak itu tidak memberitahunya yang cadangan itu mendapat perkenan baginda. Malah perbualan tentang ayat al-Quran dan hadis itu pun tidak ada. Ia direka-reka kemudiannya.

Kata Herman: “Memang jelaslah Harussani begitu taksub pada Umno, dan layaknya beliau berhenti jadi Mufti dan bertanding sebagai calon Umno kalau mahu tubuh Kerajaan dan jadi menteri Besar. Harussani sudah lupa bahawa sekarang dia masih lagi Mufti Perak. Dan amat tidak wajar beliau bercakap tentang isu ini sekarang kerana Umno sudah kembali merompak kuasa di Perak dan tubuh Kerajaan haram. Jadi apa jadahnya beliau bangkitkan hal ini dalam Forum di UKM?”

Herman turut menuduh Harrussani, sejak mendapat gelaran Tan Sri ni, makin galak beliau berjuang untuk Umno.Katanya, yang pasti beliau (Harussani) sudah bekerjasama dengan kezaliman yang tidak diredhai rakyat dan Islam.

Harussani sebelum ini mengakui beliau berjumpa dengan Mursyidul Am PAS di Kelantan bagi membincangkan pembentukan kerajaan Melayu yang disertai Umno dan PAS.
Menurutnya, pada perbincangan terbabit, Nik Aziz tidak bersetuju biar pun menyifatkan idea itu bagus.

Ekoran itu Harussani dianggap oleh Nik Aziz menjadi agen UMNO apabila cuba mempengaruhi pemimpin PAS bagi membolehkan sebuah pakatan parti-parti Melayu diwujudkan di negara ini.menganggap membiarkan dirinya menjadi agen Umno.

Kata Nik Aziz: dalam kenyataan: “Hilang luruh kemuliaan seorang mufti kalau merelakan dirinya menjadi agen. Apatah lagi menjadi ejen sebuah parti politik sekular. Saya kira jika seorang mufti yang menjadi agen parti politik sekular, itu bukanlah lagi mufti yang memberikan fatwa tetapi al-mufta (yang diberikan fatwa).”

Mufti Perak itu dikatakan diutus Umno untuk menemui pemimpin PAS termasuk Nik Aziz bagi membolehkan PAS bergabung dengan Umno untuk membentuk kerajaan yang dikuasai 100 peratus orang Melayu.

Kejadian itu berlaku pada pilihan raya umum 8 Mac 2008 apabila Umno gagal membentuk kerajaan di Perak setelah kehilangan majoriti.

Pertemuannya dengan Menteri Besar Kelantan didedah sendiri Harussani pada ucapannya di program Dialog Za’ba Perpaduan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia minggu lepas.

Sehubungan itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS melahirkan rasa hairan mufti boleh bersekongkol dengan Umno apabila cuba merampas dari tangan rakyat kerajaan yang dipilih mereka pada 8 Mac 2008.

Nik Aziz menyatakan terkilan apabila namanya disebut secara terbuka pada forum tersebut dengan tanpa kehadirannya bagi menjawab isu yang dibangkitkan.

Mungkin selepas ini kita boleh mendengar pula apa kata Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Thursday, August 20, 2009

JIKA SAYA SEORANG BUKAN ISLAM

Ikhlas saya katakan, saya sedang berusaha memujuk seseorang bukan Islam – bukan dari Malaysia – untuk memeluk Islam.

Dia seorang anak muda yang bijak, berkelulusan tinggi, profesional dan sedang mempelajari Islam secara universal – bukan Islam cara Malaysia.

Membaca dan cuba memahami situasi politik di Malaysia, dia mengemukakan persoalan:

“Apakah ada perbezaan dalam konteks Islam Malaysia dan Islam universal?”

Kenapa dia bertanyakan sedemikian?

Ini kerana dia merasakan seolah-olah Islam di Malaysia bukan Islam seperti dipraktikkan oleh orang Islam di negaranya.

Saya terpaksa menjawab perbezaannya memang ada dan banyak.

Jika saya bukan Islam, saya pun akan bertanya soalan serupa.

Islam universal mungkin perbezaannya disebabkan oleh mazhab tetapi di Malaysia, walaupun mazhabnya Shafie tetapi “Tok Guru” yang ada melebihi Shafie, Hanbali, Maliki dan Hanafi.

Mereka mengeluarkan fatwa mengikut selera dan kefahaman atau pengalaman mereka sendiri.

Lebih memburukkan, “Tok Guru” ini kebanyakannya mempunyai pendirian politik yang kuat. Sesetengahnya memimpin parti politik.

Parti politik berjuang untuk kuasa. Untuk mendapatkan kuasa, manusia boleh melakukan
Maka jadilah Islam Malaysia ditentukan oleh pemimpin politik.

Ada Islam yang boleh masuk syurga dan ada Islam yang tidak boleh masuk syurga. Walaupun Allah itu satu dan al Quran itu satu serta Nabi Muhammad s.a.w. itu satu dan hadis-hadis sahihnya diyakini, namun belum pasti orang Islam – sama ada dari UMNO, PKR, DAP atau Bebas boleh masuk syurga.

Ia ditentukan oleh pasport yang dikeluarkan oleh PAS.

Siapa yang tidak masuk PAS, mereka tidak akan dapat pasport berkenaan dan tidak terjamin mereka boleh lepas Siratulmustaqin.

Sejak 1959 hingga kini Islam Malaysia ditentukan oleh parti politik.

Jika mengikut PAS, keIslaman seseorang lebih mulia dan jika tidak ikut PAS, Islam seseorang ‘kurang sempurna’ dan mungkin terjerumus ke neraka.

Islam universal?

Islam yang diterima oleh seluruh umat Islam sedunia yang yakin semuanya akan masuk syurga sekiranya beramal dengan ajaran ditetapkan – menerima dan mengamalkan Rukun Islam yang lima serta yakin dan beramal dengan Rukun Islam yang enam.

Lantas pemuda berkenaan bertanya kepada saya, apakah apabila dia memeluk Islam dan tidak menyertai PAS, amalannya diterima?

Saya bukan “Tok Guru” tetapi saya penuh yakin bahawa walaupun tidak menyartai PAS, kebaikan dan amalannya diterima Allah S.W.T. kerana pada asasnya bukan PAS yang menentukan syura dan pahala. Allah jua yang menentukan nasib dan kedudukan keIslaman seseorang.

Setidak-tidaknya, semalam apabila Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Abdul Shukor Husin mengatakan dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada orang, pertubuhan atau parti tertentu diperlukan sebelum seseorang itu layak masuk syurga atau akan ke neraka adalah salah menurut ajaran Islam, saya boleh memberikan jawapan dengan jelas jika ditanya esok atau lusa oleh anak muda berkenaan.

Jelas sudah, keputusan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan telah menetapkan bahawa ketentuan seseorang Islam masuk syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah s.w.t. berdasarkan kepada keimanan dan ketakwaan seseorang itu.

Lebih jelas lagi, pendirian ini telah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja dalam Mesyuarat Raja-Raja Kali ke-188 pada pada 21 hingga 23 Mac 2001 dan menambah bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan telahpun membincangkan isu itu sejak tahun 2000 lagi.

“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga berpendapat bahawa sesiapa sahaja yang mengajar atau menyebarkan pandangan atau fahaman seperti ini adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Shukor mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dua hari lepas .

Selesai persoalan pertama, walaupun saya yakin akan ada lagi kenyataan balas daripada pemimpin PAS itu yang akan mempertahankan pendiriannya. Paling tidak ‘menegakkan benang basah’.

Timbul pula persoalan kedua.

Jika Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan menyifatkan kenyataan terbaru Mursyidul Am PAS kononnya ajaran Islam yang diamalkan Umno tidak boleh membawa seseorang Muslim ke syurga adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar, apa tindakan yang sewajarnya dilakukan?

Saya bukan bermaksud menangkap atau mengurung “Tok Guru” berkenaan. Tetapi jika Ayah Pin diburu atau sesiapa juga yang ‘mengajar ajaran salah’ dikenakan tindakan, apa pula bentuk tindakan terhadap Nik Aziz?

Cukup sekadar menyatakan jawatankuasa berkenaan sebenarnya sudah membincangkan isu itu sejak tahun 2000 dan memutuskan ketentuan seseorang Islam masuk syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah?

Sudah jelas bahawa "Jawatankuasa juga berpendapat sesiapa yang mengajar atau menyebarkan pandangan atau fahaman seperti ini adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar, “ jadi apa tindakannya?

Apakah cukup hanya sekadar nasihat yang berbunyi “umat Islam terutama mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan mengenai Islam dinasihat berhati-hati dan tidak menimbulkan perkara yang tidak betul atau bida'ah yang boleh mengelirukan dan memecahkan umat Islam.

"Kepada orang ramai, saya ingin nyatakan bahawa dalam ajaran Islam sebenar, tidak sesiapa boleh menentukan seseorang itu berhak masuk syurga atau neraka kecuali Allah S.W.T sahaja yang mempunyai hak mutlak dan boleh memasukkan seseorang itu ke syurga atau neraka berdasarkan kepada keimanan dan ketakwaan seseorang itu atau sebaliknya.”?

Majlis Fatwa boleh menasihat dan berharap sebagai tokoh dan arif mengenai agama, Menteri Besar Kelantan perlu membetulkan pandangannya bagi mengelakkan kekeliruan timbul di kalangan umat Islam.

Tetapi kesan besar terhadap Islam itu sendiri perlu difikirkan.

Pertama, jika saya bukan Islam, saya melihat Islam ini sebagai suatu agama yang bercelaru dan boleh dibuat tafsiran begitu sahaja oleh orang yang mengaku arif dalam agama;

Kedua, Majlis Fatwa tidak mempunyai kuasa ‘memperbetul dan membendung fatwa atau ajaran salah’ kerana yang mengeliru dan membuat tafsiran salah mengenai Islam bebas sebebasnya; dan

Ketiga, kalau saya bukan Islam, saya akan menjauhi Islam Malaysia kerana sesiapa sahaja boleh menggunakan Islam atau mengemukakan pandangan tertentu demi kepentingan politik dengan membelakangkan Majlis Fatwa, mufti-mufti dan sebagainya.

Tidak guna kita melabelkan Mursyidul Am PAS itu sudah berada di tahap ekstrem serta boleh disamakan dengan kaum Khawarij pada zaman kegemilangan sejarah Islam kerana ia tidak memberikan kesan apa-apa.

Yang diharapkan jika mufti dan majlis fatwa tidak mempunyai apa-apa kuasa dan kerajaan membiarkan kegiatan menyebarkan ‘fatwa salah’ ini berterusan yang menyebabkan orang Islam di Malaysia semakin keliru, institusi pelindung agama Islam – Majlis Raja-Raja Melayu - hendaklah berbuat sesuatu bagi membendung atau menyekat perbuatan ini.

Jangan biarkan ‘seorang (bukan seekor) kerbau membawa lumpur’ dan Islam di Malaysia terpalit!

Tuesday, November 25, 2008

AMALAN FIZIKAL YOGA OK!

Kalau saya tidak silap dalam kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) 22 November 2008 yang mengharamkan umat Islam mengamalkan yoga, jelas menyebut amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga, tanpa adanya unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya, tidak menjadi kesalahan.

Jelas MFK sudah mengamalkan sikap terbukanya.

Juga jelas, MFK hanya menasihat umat Islam agar menjauhi amalan yoga meskipun sekadar mempraktikkan pelbagai variasi senaman fizikalnya, kerana ia adalah sebahagian daripada keseluruhan sistem senaman tersebut.

‘Kalau setakat kita duduk macam yoga itu tidak ada masalah, lagi pun ia ada beratus jenis pergerakan, tetapi masalahnya amalan senaman itu adalah sebahagian daripada keseluruhan sistem yoga. “‘Amalan fizikal itu hanya peringkat pertama, kita minta umat Islam berhati-hati, takut mereka tidak tahu ilmu yoga itu ke mana matlamat akhirnya dan ini mungkin boleh jadi membawa kepada kesesatan,” tegas Pengerusinya Datuk Dr Abdul Shukor Husin.

Loud and clear!

MFK juga mengatakan amalan yoga yang berasal dari masyarakat Hindu mempunyai tiga peringkat, peringkat pertama adalah fizikal iaitu senaman, peringkat kedua adalah mentera dan pemujaan bagi mendapatkan ketenangan dan peringkat ketiga adalah penyatuan diri dengan tuhan.

Jadi apabila Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin semalam mula menegur Majlis Fatwa Kebangsaan tentang isu pengharaman yoga yang diumumkan baru-baru ini dengan mengatakan MFK jangan hanya mengharamkan saja tapi berilah alternatif, ia mengundang polimik.

Dr Asri nampak bersetuju dengan MFK bahawa ada unsur agama lain dalam yoga tetapi berpendapat ‘tidak seperti air yang sudah tercemar yang sukar untuk dipisahkan’.

Dr Asri yang difahamkan tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan kerana dikatakan kurang selesa dengan sikap diskriminasi JAKIM kepadanya dan kenyataan Pengarah JAKIM yang tidak berapa senang dengan pandangan alternatif beliau, wajar mendapatkan penjelasan lebih lanjut daripada MFK.

Memberi satu lagi pandangan kedua (second opinion) tentang fatwa 'yoga' wajar namun dengan sudah jelas dinyatakan oleh Dr ASbdul Shukor bahawa - amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga, tanpa adanya unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya, tidak menjadi kesalahan

- bukankah ia suatu suatu alternatif?

Dr Asri seperti dilaporkan mStar semalam meminta supaya ditanggalkan yang bertentangan sahaja, sama ada pergerakan, bacaan atau kepercayaan. Dan beliau meminta dikekalkan pergerakan yoga yang baik untuk kesihatan.

Jika Dr Asri bimbang bahawa fatwa yang dikeluarkan pada zaman sekarang hendaknya jangan terlalu rigid dan berilah alternatif yang memisahkan amalan yoga yang mengandungi unsur agama dengan amalan yoga yang baik untuk kebaikan kesihatan, kenyataan Dr Asri ini adalah ulasan biasa jika tidak diulas oleh DR Asri pun tidak mengapa.

Jika benar Dr Asri tidak menghadiri mesyuarat MFK dan meminta majlis itu tidak terlalu kaku, ia perbuatan yang tidak adil kerana tidak mengetahui secara jelas, biarpun mungkin mendapat maklumat daripada orang lain.

Benar seperti dikatakan Dr Abdul Shukor, bahawa “‘Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan hanya menjaga kepentingan dan akidah umat Islam dan pada peringkat ini, kita menggunakan pendekatan menasihat dan memaklumkan kepada umat Islam tentang pandangan Islam terhadap yoga. Soal sama ada pandangan muzakarah akan dijadikan fatwa yang diwartakan, itu terpulang kepada kerajaan-kerajaan negeri dan dari segi penguatkuasaan, itu bukan bidang kita.”

Apa pun nasihat Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Shah bahawa sebarang keputusan fatwa pada masa depan yang menyentuh isu melibatkan masyarakat umum sebaik-baiknya dirujuk kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan sebelum diumum sangat baik.

Menurut baginda ia adalah bagi memastikan supaya kaedah menyalurkan sesuatu keputusan fatwa itu dapat dilaksanakan secara bijaksana bagi mengelak sebarang kekeliruan dan kontroversi.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, akan bersidang membincangkan perkara itu dengan lebih mendalam berkenaan aktiviti senaman yoga di Selangor, dan selepas keputusan muktamad dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, ianya akan disembahkan untuk perkenan baginda.

Awal bulan lalu pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Zakaria Stapa juga menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang dengan mengamalkan yoga boleh menyatukan mereka dengan Tuhan.

Yoga yang menjadi amalan kesihatan yang diperkenalkan sekitar 3,300 sebelum Masihi, dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko diabetes, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.

Monday, November 24, 2008

FATWA PUN MAHU DILANGGAR

Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) kelmarin mengharamkan umat Islam mengamalkan senaman yoga yang dilakukan secara sistematik dan menyeluruh kerana bertentangan dengan syariat Islam serta boleh memesongkan akidah mereka.

Jabatan Agama Islam negeri akan mewartakan fatwa itu selepas dimaklumkan mengenai keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu untuk digunakan pakai pada peringkat negeri.
Berikutan itu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mendesak kerajaan menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan Kanun Keseksaan bagi bertindak ke atas pihak yang mempertikaikan institusi fatwa.

Utusan Malaysia hari ini memetik Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar sebagai berkata, tindakan itu penting bagi memelihara kesucian Islam berikutan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media secara terbuka mengeluarkan kenyataan dan laporan yang mencabar institusi berkenaan.

‘‘Undang-undang telah ada dan bagi PGSM, kerajaan perlu bertindak segera bagi menangani keresahan umat Islam setelah melihat institusi fatwa dicabar lebih-lebih lagi oleh umat Islam sendiri,

‘‘Mencabar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan adalah sama seperti menghina agama Islam kerana institusi fatwa mempunyai peranannya yang tersendiri dan diiktiraf syarak serta Perlembagaan Persekutuan.

‘‘Setiap fatwa adalah untuk menyelamatkan orang Islam daripada tergelincir akidah atau amalan jadi jangan pula ada yang mencabar dan mengingkari termasuk bersubahat seperti menganjurkan kelas yoga,’’ jelasnya.

Fatwa mendapat reaksi daripada Presiden Malaysia Hindu Sanbgam, Datuk A. Vaithilingam bahawa MFK kena hormati sensitiviti dan perasaan penganut agama lain di Malaysia, pada ketika memberikan panduan kepada orang Islam.

“Ramai penganut Hindu terkejut dan kecewa dengan pengumuman majlis itu,” katanya menurut laporan The Star.

Kata Vaithilingam, mereka kesal kerana MFK tidak merujuk kepada pertubuhan Malaysia Hindu Sanbgam untuk mendapatkan penjelasan aspek keagamaan dan bukan keagamaan.

Persoalannya, apakah MFK turut sama mengharamkan mereka yang beragama Hindu atau agama lain mengamalkannya?

Malah MFK semalam menjelaskan, pergerakan amalan fizikal yoga tanpa unsur berkenaan yang dilakukan pada zahirnya (secara luaran) tidak menjadi kesalahan, tetapi tidak digalakkan kerana ia adalah salah satu komponen daripada keseluruhan amalan yang diharamkan itu.

Asasnya semua pihak kena faham, Agama kamu, agama kamu. Kenapa pertubuhan Hindu mahu mempertikaikannya?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap fatwa dikeluarkan MFK adalah panduan kepada umat Islam saja. Dalam hal ini, umat Islam dilarang melakukannya kerana dikhuatiri terpesong akidah kerana mempunyai unsur mentera dan meditasi serta penyatuan diri dengan tuhan.

"Hukum itu tidak membabitkan untuk penganut agama lain dan semua pusat yoga boleh meneruskan operasi senaman itu untuk penganut bukan Islam," katanya.

Begitu juga Sisters in Islam (SIS) tidak habis-habis mengkritik fatwa. Sebelum ini mereka mengkritik fatwa mengenai pengharaman ‘budak perempuan yang menyamai laki-laki’.

Singapura dan Mesir turut mengeluarkan fatwa melarang umat Islam di negara itu mengamalkan senaman yoga kerana memutuskan perkara itu mengandungi bidaah dan sesat kerana mengandungi unsur agama Hindu.

Keputusan melarang umat Islam melakukan senaman yoga dibuat dalam persidangan Majlis Fatwa Kebangsaan di Kota Bahru, Kelantan pada 22 hingga 24 Oktober dan ia akan dipanjangkan kepada semua majlis agama Islam negeri untuk diwartakan.

Fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengharamkan senaman yoga adalah sebagai panduan kepada umat Islam supaya tidak melakukannya secara sistematik kerana ia mengandungi unsur mentera dan meditasi yang dibimbangi memesongkan akidah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata berasaskan keputusan itu, umat Islam yang mengamalkan senaman itu perlu menghentikannya segera dan tidak mengunjungi pusat yoga terbabit.

Zahid mengajak umat Islam menjauhi amalan itu kerana tujuan dan matlamat seperti mendapat ketenangan dan kemuncaknya penyatuan diri dengan tuhan boleh merosakkan akidah umat Islam.

SIS menolak keputusan majlis dengan berkata MFK mengharamkan amalan senaman yoga kerana tiada sebarang bukti dikemukakan bagi mewajarkan yoga diharamkan.

Pengurus Program SIS, Norhayati Kaprawi berkata, sehingga kini negara tidak pernah menerima apa-apa aduan atau bukti yang mengatakan ada individu beragama Islam bertukar kepada agama Hindu selepas mengamalkan senaman yoga.

''Jadi, mengapa perlu ia diharamkan? Mengapa terburu-buru untuk meletakkan undang-undang terhadap aktiviti senaman itu sedangkan ia tidak mengancam kedudukan agama Islam setakat ini?" soalnya ketika dihubungi Utusan Malaysia .

Menurut Norhayati, pihaknya mempunyai alasan kukuh mengapa pengharaman itu tidak patut dilakukan memandangkan amalan yoga tidak lebih daripada sekadar satu senaman untuk kesihatan.

''SIS tidak nampak ia boleh memesongkan akidah seseorang pengamalnya sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam. Ini kerana yoga tidak lebih dari sekadar senaman untuk kesihatan jasmani, sama juga seperti senaman Tai Chi dan Qigong, '' katanya.

Pengerusi MFK, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, semalam berkata senaman yoga berasal daripada masyarakat Hindu menggabungkan tiga unsur, iaitu amalan fizikal (senaman), keagamaan serta mantera pemujaan bagi mendapatkan ketenangan, manakala kemuncaknya penyatuan diri dengan tuhan, yang boleh merosakkan akidah umat Islam.

Katanya, ahli majlis itu memutuskan apa juga jenis dan bentuk amalan yang mengandungi unsur sedemikian dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam.

Abdul Shukor berkata, senaman yoga yang diperkenalkan sejak 3,000 tahun sebelum Masihi tidak sesuai bagi umat Islam kerana ada dua perkara didalamnya yang boleh menghakis akidah umat Islam iaitu kepercayaan untuk bersatu dengan tuhan dan mantera pemujaan.

"Kita harap umat Islam lebih berhati-hati dan kalau boleh segera menghentikan kerana dikhuatiri kalau tidak tahu matlamatnya (bersatu dengan tuhan) boleh menyebabkan kita menjadi sesat.

"Oleh itu, masyarakat Islam wajib berhati-hati dan berwaspada daripada melakukan perkara yang boleh menghakis dan memesongkan akidah menerusi kepercayaan atau keyakinan hati, menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah dan perbuatan," katanya.

Baru-baru ini seorang pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Zakaria Stapa menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang boleh memesongkan akidah.

Amalan yoga didakwa dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko kencing manis, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung. Senaman harian itu kebanyakannya mempunyai pergerakan berdasarkan unsur dalam agama Hindu, manifestasi gerakan, konsentrasi dan posisi tubuh dilakukan sambil membaca mentera.