Wednesday, November 26, 2008

SELAGI NIK AZIZ ADA, PAS BERKUASA

(Bahagian Pertama)


Bukan keadaan politik dalam negara tetapi pertelingkahan siapa dalam PAS yang wajar menggantikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Itulah sebenarnya yang berlaku di Kelantan ketika ini menyebabkan Nik Aziz tidak berani melepaskan jawatan.

Beliau cuba melindungi masalah sebenar di Kelantan – perebutan jawatan di kalangan orang kepercayaannya.

Tepat dan betul apa yang dikatakan oleh Nik Aziz bahawa keadaan politik semasa masih tidak membolehkan beliau untuk melepaskan jawatan yang disandangnya selama lebih 18 tahun.

Juga benar kata-katanya sekiranya terdapat desakan yang jelas di kalangan ahli Pas agar dirinya berundur, Nik Abdul Aziz menegaskan, beliau tidak akan menunggu lebih lama dan tidak teragak-agak berbuat demikian.

Malah katanya, ia boleh dilakukan sekarang kerana sudah lama berhasrat untuk berundur atas faktor kesihatan tetapi beliau tetap mengutamakan kepentingan perjuangan parti.

Hakikatnya siapa berani mendesak supaya ada peralihan kuasa di Kelantan, termasuklah Datuk Husam Musa yang kesekian lama mengidamkan jawatan itu?

Semuanya sudah menunggu sejak lebih dua tahun lalu apabila Nik Aziz mula tidak sihat dan beliau pun menyatakan hasratnya mahu bersara.

Cerita kononnya Husam akan menggantikan bertiup kencang dua atau tiga tahun lepas tetapi kini reda, lebih-lebih lagi apabila Nik Aziz seakan-akan ‘mahu menongkat langit’.

Bagi Husam, sekiranya beliau mendapat jawatan itu, peluangnya untuk meningkat dalam PAS lebih cepat, dan bukanlah sesuatu yang mengjengkelkan sekiranya beliau menjawat Menteri Besar Kelantan dan bertanding Presiden PAS.

Kerana itu beliau berusaha merapatkan diri dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan harapan berpeluang menjadi Menteri untuk membolehkannya menonjolkan imejnya untuk ‘melayakkannya’ menentang jawatan Timbalan dan kemudian Presiden PAS.

Namun, jika mendapat jawatan Menteri Besar, beliau akan beroleh kedudukan yang lebih meyakinkankan dan bonus baginya.

Lihatlah kedudukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika beliau menjadi Menteri Besar Terengganu – ada pangkat dan pengaruh – kerana itu mudah dilantik sebagai Presiden PAS.
Kini apabila PAS Terengganu kalah, ada pemimpin yang sudah menonjolkan diri untuk melanggar beliau. Mungkin Husam sendiri!

Ketika ini jelas Husam yang sudah kurang mendapat kepercayaan Menteri Besar dan ada beberapa calon lain yang turut menawan hati Nik Aziz, beliau terpinggir sedikit.

Kuasanya mempengaruhi Nik Aziz banyak disekat dan dengan laporan rasuah dan penyelewengan terhadapnya ‘mengurangkan sedikit markah’ untuk membolehkannya menjadi satu-satunya orang yang layak menggantikan Nik Aziz.

Cara Nik Aziz menjawab dengan mengatakan “Tiada sampai ke telinga saya setakat ini (desakan) untuk berbuat demikian (berundur) disebabkan saya selalu uzur. 'Kalau betul ada orang Pas mahukan saya undur, saya undur selalu (sekarang), petang ini juga saya buat. Dah lama saya nak buat begini (berundur) tapi orang tak bagi," menggambarkan juga pertelingkahan antara kumpulan yang menyokong Nik Aziz dan yang berhasrat (bukan cara terbuka mendesak) agar ‘orang tua’ itu berundur cepat-cepat.

Nik Aziz kononnya ada kalangan pemimpin Pas yang mahukan Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berundur tetapi tidak berani menyatakan secara terbuka.

Soal beliau bakal berundur dan siapa bakal penggantinya sudah beberapa kali mencetuskan isu termasuk semasa pilihan raya umum Mac lalu.

Menurut Nik Abdul Aziz, selain desakan agar beliau tidak berundur, ada beberapa faktor lain yang masih menjadi halangan baginya untuk melepaskan jawatan itu.

Kata-kata Nik Aziz bahawa ‘'Masalah-masalah baru timbul sekarang seperti keadaan politik yang tidak mengizinkan. Dalam keadaan bergelora, angin kencang, saya sebagai kapten, mana boleh saya tidur dan mengaitkan dengan pimpinan UMNO sekarang yang beliau ibaratkan separuh sedar, lagi saya tak boleh tinggal,” hanya penyedap rasa.

Kenyataan itu bagaikan ‘pencecah budu’ ketika makan ikan singgang. Atau letak sambal belacan dan mentimun sahaja sedangkan nasi panas dengan ikan singgang dah cukup.

Nik Aziz bercakap betul dengan berkata apabila UMNO sudah tidak kuat lagi baru boleh saya tinggal, sebab masa itu dah tak ada musuh lagi," ujarnya.

Persoalannya bila UMNO tidak kuat di Kelantan? LIhat sahaja kepada perbezaan undi, ia tidak banyak dan UMNO di Kelantan jelas turun baik.

Kalah teruk pada 1999, memang dengan hampir menumbangkan PAS pada 2004 dan kini ada lima kerusi DUN sahaja di Kelantan.

Nik Aziz tahu jika kepimpinan baru UMNO di Kelantan melakukan sesuatu yang baik di mata rakyat – pengaruh PAS akan merudum semula.

Juga Nik Aziz sendiri mengakui sukar mencari pengganti kerana wujudnya perebutan apabila beliau mengatakan tidak timbul kesukaran bagi Pas mencari pengganti tetapi beliau tidak akan menyebut siapa yang bakal mengambil alih kelak.

''Saya tak boleh sebut siapa pengganti saya, sama macam ketika Datuk Asri dulu, tak ada siapa jangka saya yang ganti. Kalau saya sebut, bermaknanya hanya seorang, bagaimana yang lain. Tiap-tiap seorang ada kelebihan sendiri dan saya serahkan kepada Perhubungan.

Timbalan-timbalan saya semua berkebolehan,” kata beliau yang menggambarkan betapa jelas wujud perebutan jawatan berkenaan.

Orang UMNO dan orang PAS di Kelantan tahu bahawa Nik Aziz ada ‘blue eye boy’ yang lain –Nik Mohd Amar Nik Abdullah iaitu ‘anak Pok Nik Lah ’ dan ayahnya sahabat baik Nik Aziz - kini Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah dan sebelum ini ialah Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi negeri, adalah saingan Husam paling ketat untuk jawatan Menteri Besar.

Mohd. Amar, 49, sering disebut sebagai calon yang layak menggantikan Nik Aziz ketrana pengalamannya sebagai pensyarah yang berlatar belakang pengajian Islam dan dianggap ulama muda dan pernah memenangi kerusi Parlimen Pengkalan Chepa pada 1995.

Pemilihannya bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Panchor pada 2004 dianggap menyediakannya sebagai pemimpin pelapis.

Nik Amar pada Februari lalu menepis tanggapan sedemikian apabila namanya sentiasa dikaitkan sebagai pelapis kepada kepimpinan Pas Kelantan dan menganggap desas-desus dalam politik suatu yang lumrah.

Selain itu, jika Nik Amar dipilih, di mana mahu diletakkan Timbalan Menteri Besar sekarang iaitu Ahmad Yaacob yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Pembangunan Tanah dan Wilayah?

(Ikuti bahagian kedua esok)

MENUNGGU ROMBAKAN KABINET ABDULLAH

Ramai tertanya-tanya bilakah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menggunakan prerogatifnya merombak Kabinet dengan perlantikan baru, pengguran atau juga pengekalan portfolio Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri.

Ramai juga tertanya-tanya siapakah yang akan jadi mangsa kali ini.

Ramai juga mengatakan ia mungkin diumumkan hari ini iaitu selepas Mesyuarat Kabinet, namun ada juga yang mengatakan ia tidak mungkin berlaku dengan cepat.

Tumpuan adalah kepada calon-calon Timbalan Presiden UMNO, khususnya Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang lantang menyuaran pelan peralinan kuasa dipercepatkan dari Jun 2010.

Ada ramalan mengatakan Muhyiddin akan menerima ‘penangan Pak Lah’ kerana suara-suaranya yang lantang. Malah Perdana Menteri turut menjawab perkara-perkara yang ditimbulkan Muhyiddin ketika di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Ada juga yang meramalkan Muhyiddin akan digugurkan daripada Kabinet, namun ramai juga mengatakan ia tidak akan terjadi kerana ia akan memberikan kelebihan kepada Muhyiddin.
Orang UMNO akan bersimpati kepadanya jika beliau digugurkan.

Abdullah ketika di Turkmenistan baru-baru ini tidak menolak kemungkinan akan melakukan rombakan Kabinet membabitkan pertukaran portfolio atau pengubahsuaian kepada portfolio sedia ada, selain mengisi kekosongan, dalam masa terdekat.

"Kemungkinan sentiasa ada," kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia.
Beliau memberikan reaksi kepada soalan sama ada berlaku rombakan Kabinet berikutan tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai menteri kepada Presiden MCA, Datuk Ong Tee Kiat.

Bernama yang memetik sumber sebagai berkata, Ka Chuan menyerahkan surat peletakan jawatan tanpa tarikh ekoran kekalahannya dalam pemilihan parti 18 Oktober lalu.

Ka Chuan tewas kepada bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam saingan merebut jawatan Timbalan Presiden MCA.

Bagaimanapun isu perletakan jawatan itu dikatakan tidak wujud pun.

Abdullah berkata, beliau akan meneliti perkara itu dan belum boleh memberi sebarang kenyataan kerana perlu melihat tindakan MCA.

Katanya, rombakan itu tidak semestinya hanya bagi mengisi jawatan yang dikosongkan wakil MCA.

"Itu bukanlah rombakan. Rombakan itu ada tukar portfolio atau membuat adjustment (pengubahsuaian) kepada portfolio," katanya.

Ditanya mengenai Ka Chuan, Abdullah berkata, beliau menghormati pendiriannya jika pemimpin MCA itu hendak meletak jawatan dari Kabinet atas sebab kukuh tetapi sejauh ini Menteri itu masih dalam Kabinetnya.

Beberapa blog agak nakal, umpamanya Tranungkite 22 November lalu mengatakan kononnya orang kanan Datuk Seri Mohd Najib Razak mengesahkan bahawa Datuk Nasir Ibrahim , Dr.Puad Zakashi dan Datuk Tajuddin Rahman akan dilantik sebagai Timbalan Menteri pada rombakan kabinet ini.

Datuk Tajuddin yang sebelum ini dikatakan akan memegang jawatan Timbalan Menteri Pelancongan, Dr.Puad jawatan Timbalan Menteri Luar, dan Datuk Nasir akan dilantik sebagai Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri(Kewangan).

Ini adalah bagi persediaan mereka untuk dilantik sebagai menteri penuh apabila Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri nanti,katanya mereka akan memegang jawatan Menteri yang mereka sandang sebagai Timbalan itu.