Wednesday, February 12, 2014

ANTARA MUHD IRFAN & AZLAN JOHAR, KHAIRAN EZUAN…SIAPA YANG BERBOHONG?


"Ada sesuatu yang berlaku, tetapi saya tidak tahu apa yang berlaku dan siapa yang terlibat, tetapi apabila ada pemain dan pegawai sanggup mengangkat sumpah, perkara ini bukan perkara remeh.”
- Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) digesa segera mengeluarkan hasil siasatan berhubung insiden dalam terowong yang membabitkan pasukan T-Team dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor Baharu pada 1 Februari lalu.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata tindakan seorang pemain dan penolong jurulatih T-Team bersumpah Al-Quran di hadapan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said di Kuala Terengganu malam tadi dilihat sebagai sesuatu yang amat serius.

Mereka mengangkat sumpah seperti yang disarankan Ahmad Said sebelum ini yang percaya langkah itu mampu merungkai perkara sebenar yang berlaku dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain.

"Ada sesuatu yang berlaku, tetapi saya tidak tahu apa yang berlaku dan siapa yang terlibat, tetapi apabila ada pemain dan pegawai sanggup mengangkat sumpah, perkara ini bukan perkara remeh,” kata Khairy semalam.


Malam kelmarin, pemain T-Team Khairan Ezuan Razali dan penolong jurulatih Azlan Johar bersumpah di hadapan al-Quran bagi membuktikan kenyataan mereka bahawa Evaldo ditumbuk ketika di dalam terowong itu adalah benar.

Upacara itu disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang sebelum ini meminta pemain dan pegawai T-Team yang beragama Islam bersumpah menggunakan al-Quran bagi membuktikan kebenaran.

Mengulas majlis sumpah al-Quran malam kelmarin, Menteri Besar Terengganu, berkata beliau terharu kerana sebagai orang Islam kedua-dua mereka tahu risiko bersumpah dengan al-Quran jika mereka berbohong.

"Soal itu (siapa pelaku) tidak penting kerana apa yang penting ialah kejadian tumbuk itu benar-benar berlaku. Itu yang penting," katanya.


Sementara itu di Johor Bahru, sambil tangannya memegang kitab suci al-Quran, bekas pemain T-Team Irfan Abdul Ghani turut bersumpah bahawa kenyataannya berhubung kekecohan membabitkan T-Team dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Larkin minggu lepas adalah benar.

"Saya bersumpah bahawa apa yang diperkatakan oleh saya adalah benar," kata anak jati Johor itu yang bermain dalam barisan pertahanan pasukan kelab dari Terengganu tersebut.

Tindakannya itu menyusuli upacara bersumpah menggunakan al-Quran yang dibuat oleh seorang pemain dan penolong jurulatih T-Team di Kuala Terengganu, malam semalam, berhubung insiden sama Irfan yang menghantar surat peletakan jawatan sebagai pemain T-Team pada 4 Februari lepas berbuat demikian dalam satu sidang media di sebuah restoran di Johor Bahru.

Mengulas kejadian, Irfan, 25, berkata beliau terdengar kekecohan di dalam terowong pemain semasa tamat separuh masa pertama perlawanan, namun tidak nampak apa yang berlaku.

Katanya semasa berada di dalam bilik persalinan kemudian, beliau mendengar pemain import T-Team, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano Impligazzo mendakwa dipukul ketika di dalam terowong itu.

"Daripada pemerhatian saya sendiri semasa di dalam bilik persalinan tersebut, saya lihat tiada sebarang tanda bahawa Evaldo dan Stefano telah dipukul," katanya.

Susulan kejadian itu juga Irfan membuat keputusan 'menggantung but' dan bersara daripada arena bola sepak buat sementara waktu.

Katanya langkah itu juga bagi membolehkan beliau menjaga ibunya yang sedang sakit. "Saya akan cuba mencari pekerjaan lain memandangkan saya telah bersara daripada bermain bola sepak," katanya.



Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid mengakui beliau sudah dimaklumkan oleh T-Team mengenai hasrat Mohd Irfan mahu meninggalkan pasukan kelab yang berpangkalan di Terengganu itu.

Beliau turut mengakui bahawa PBSNT sudah menerima surat peletakan Mohd Irfan. Pihaknya akan meneliti surat itu dan mempertimbang tindakan susulan berasaskan kontrak pemain berkenaan dan juga peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Saya tidak pasti bila surat itu dihantar," katanya dalam sidang media, di Kuala Terengganu, semalam

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan bahawa penamatan kontrak seseorang pemain tidak boleh melibatkan sebelah pihak.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin memberitahu, seseorang pemain tidak boleh membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sekiranya masih terikat kontrak dengan majikan asalny

Semalam, pemain pertahanan T-Team, Muhammad Irfan Abdul Ghani telah membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya bersama pasukan berstatus kelab dari Terengganu itu. Ia gara-gara kenyataan Irfan sebelum ini yang mendakwa tiada sebarang insiden panas berlaku di dalam terowong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Hamidin berkata, FAM tidak boleh masuk campur tangan dalam kemelut yang melanda Irfan dan pihak pengurusan T-Team berhubung insiden di Larkin.

"Kita tunggu apa jawapan pihak pengurusan T-Team. T-Team boleh mengambil tindakan seperti yang ada dalam kontrak (Irfan). "Sudah tentu penamatan kontrak sebelah pihak tidak dibenarkan. "Andai kata ada pertikai berlaku selain aduan rasmi daripada T-Team, barulah FAM boleh bertindak," katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Menurut Hamidin, Irfan yang juga bekas pemain Johor DT perlu berbincang dengan pihak pengurusan T-Team sebelum membuat keputusan sedemikian.

"Atas kertas, Irfan masih lagi milik T-Team dan jika ada pertikaian dalam kontrak tersebut, Jawatankuasa Status FAM akan membuat tindakan sekiranya T-Team mengemukakan aduan rasmi kepada kami," katanya.

Walaupun Muhd Irfan bersumpah Al-Quran di Johor, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) tetap menyifatkan pemain berusia 25 tahun berkenaan sebagai "pengecut" kerana menghilangkan diri begitu sahaja.

Ini kerana pemain yang berasal dari Johor itu dilapor "hilang" selama beberapa hari selain gagal dihubungi selepas membuat kenyataan bercanggah dengan T-Team berhubung dakwaan pergaduhan membabitkan pemain import T-Team dan pegawai pasukan Johor Darul Takzim (JDT) ketika pertemuan di Stadium Larkin, Johor Baharu minggu lepas.

Wan Ahmad Nizam  berkata ternyata Muhd Irfan sudah bersedia untuk melarikan diri dan ini adalah satu perkara yang tidak bagus.

"Selepas dia membuat kenyataan di Johor tu, kita dah cek (periksa)... pakaian dia pun tak ada (rumah sewanya di sini telah dikosongkan).

Khairy berkata beliau ada menghubungi Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin untuk memaklumkan kepada beliau mengenai hasil siasatan insiden 1 Februari itu adalah serius dan tidak boleh diketepikan.

“Kalau memang ada kejadian yang tidak diingini berlaku di Stadium Larkin, FAM kena membuat pertuduhan. Jika ada kesalahan jadi perlu dihukum, hukuman itu haruslah tidak pilih kasih.

Saya hanya menteri belia dan sukan, saya tidak boleh membuat sebarang hukuman. Sekiranya FAM tidak mengambil tindakan terhadap apa yang berlaku, kredibiliti FAM akan terjejas," katanya.

Khairy juga meminta FAM memperketatkan lagi kawalan keselamatan di stadium bagi mengawal tindakan agresif penyokong bola sepak tempatan.

"Ada sekumpulan penyokong yang muncul boleh dikatakan sebagai samseng, saya juga telah memaklumkan kepada Hamidin yang saya bimbang perkara ini. Kerjasama dengan pihak PDRM (polis) perlu diperketatkan.

"Bola sepak adalah sukan keluarga, ramai ibu bapa membawa anak-anak mereka menonton perlawanan, jadi bahaya kepada mereka jika penyokong menjadi agresif," katanya.

Pada aksi Liga Super pada Jumaat lepas di Stadium Darul Makmur, Kuantan, penyokong JDT dan Pahang dilapor mencetuskan provokasi sehingga menyebabkan ada penyokong JDT cedera dipercayai terkena balingan objek keras.