Mari kita lupa sekejab isu ‘permainan wang’ dalam UMNO.
Kita beraih kepada Zaid Ibrahim.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim menganggap kehadirannya pada perasmian Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Stadium Malawati, Shah Alam kelmarin adalah sebagai tetamu selepas menerima undangan daripada pucuk pimpinan PKR.
Jelas beliau, kehadirannya adalah untuk mendengar isu yang diperkatakan pucuk pimpinan dan perwakilan PKR mengenai keadaan semasa di negara ini.
Lebih jelas, Zaid berkata kehadirannya adalah kerana ‘minat politik’.
Ternyata pemimpin UMNO tidak boleh menerima tindakan bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu itu.
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Lembaga Disiplin UMNO wajar menghukum bekas Menteri itu kerana hadir pada perasmian Kongres PKR itu.
Katanya perbuatan tersebut jelas melanggar etika parti dan bertentangan dengan semangat yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN).
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam mengesahkan akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang akan datang.
Soalnya apakah Zaid bermain politik supaya beliau dipecat? Apakah dengan pemecatan itu akan membolehkannya mendapat liputan meluas?
Juga, Zaid mungkin sedang mencari sebab untuk beliau ‘beralih angin’ tetapi sebelum itu meninjau sejauh mana parti pembangkang – PKR atau Keadilan mahukan beliau – juga sejauh UMNO sudah ‘membencinya’.
Zaid yang ditemui media selepas oerasmian itu tetap menafikan penyertaannya sebagai ahli parti berkenaan. "Saya masih ahli Umno, saya masih belum dipecat," katanya ringkas.
Menurutnya, beliau menerima jemputan dan atas dasar minat yang mendalam tehadap politik. "Saya sekadar tunjukkan minat dalam politik...itu saja," katanya.
Ditanya sama ada kekerapannya yang dilihat sering menghadiri majlis-majlis anjuran parti pembangkang sejak akhir-akhir ini adalah kerana bagi menyatakan sokongan terhadap Pakatan Rakyat, beliau tetap menidakkannya.
Bagaimanapun ketika ditanya sama ada akan menyertai PKR, beliau tidak menolak kemungkinan menyertai parti pembangkang itu pada masa depan.
Lebih jauh Zaid menganggap pakatan pembangkang bukanlah musuh namun sekadar kelompok masyarakat yang mempunyai pandangan yang berbeza dalam politik.
Zaid juga tidak takut jika UMNO mengambil tindakan terhadapnya. Katanya: “Saya rasa saya tak takut mengenainya (tindakan), saya lebih takut akan kesihatan saya sekarang ini...saya tak berapa sihat.”
Ternyata Zaid tidak heran dengan apa juga tindakan terhadapnya oleh UMNO bukan sahaja kerana peristiwa ini tetapi sebelum ini pun Zaid pernah dikenakan tindakan disiplin oleh UMNO.
Menariknya, Zaid mungkin diminta menulis surat tunjuk sebab kepada kepimpinan tertinggi UMNO untuk menjelaskan sebab utama beliau menghadiri kongres tersebut.
Tetapi hakikat di sebalik itu, Zaid belum lagi menghantar surat tunjuk sebab atas kesalahan membantah ISA dan kini, beliau dikatakan membuat satu lagi kesalahan yang melanggar etika parti.
Bagi pemimpin UMNO, tindakan Zaid ini secara tidak langsung memberi sokongan moral kepada parti pembangkang tersebut.
Malah, apabila namanya digugurkan bertanding kerusi Parlimen Kota Bharu selepas pilihan raya umum lalu, beliau dikatakan akan menyertai PAS. Serta merta beliau menafikannya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, UMN O bukan tidak berfikiran terbuka, tetapi tindak tanduk Zaid tidak ikut prosedur disiplin parti, ini satu perbuatan yang tidak boleh dimaafkan kerana melanggar disiplin parti.
Lebih sedap apabila beliau mengatakan kerajaan dan UMNO tidak akan rugi jika bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim ingin menyertai parti pembangkang.
Nazri menganggap Zaid bukanlah individu yang berpengaruh dan penting hingga boleh menjejaskan kerajaan serta UMNO jika beliau menyertai pihak pembangkang.
Mohamed Nazri berkata, sewaktu Zaid dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Menteri, kebanyakan rakyat langsung tidak mengenali beliau.
Itu sudah menunjukkan bahawa Zaid bukanlah individu yang berpengaruh dan akan menjejaskan kerajaan serta UMNO jika beliau menyertai PKR.
Bagi Nazri, ‘‘Sebenarnya, kita tidak rugi apa- apa pun kalau benar beliau (Zaid) akan menyertai pembangkang.”
Zaid meletakkan jawatan Kabinet selepas mendapat kritikan pelbagai pihak khususnya dalam BN terhadap kenyataannya yang membantah penahanan seorang wartawan, Ahli Parlimen dan penulis blog di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), 12 September lalu.
Di Kota Bharu, tanpa diketahui atau diketahui, walau ada mengatakan Zahid tidak berbuat apa-apa tetapi ‘banyak juga’ yang dilakukan Zaid. Dia ‘pemain politik’ secara diam dengan melawat dan bertemu penyokongnya setiap minggu ketika menjadi wakil rakyat.
Saya pernah menjejaki bagaimana beliau turun ke padang bersaorangan. Walaupun Zaid kaya raya, dia tidak menggunakan ‘body guard’ seperti sesetengah pemimpin UMNO lain yang diiringi berpuluh penyokong.
Pada bulan puasa, Zahid hadir di surau-surau berbuka puasa dengan ‘rakyatnya’ secara senyap=senyap tanpa banyak publisiti.
Di Kelantan juga Zahid mempunyai sebuah NGO yang membantu orang kurang upaya dan banyak lagilah.
Tidak tahulah sama ada UMNO akan ‘rugi’ dan ‘tidak rugi apa-apa’.
Apapun, Zaid perlu menghadapi tindakan kerana bakti dan jasa lain, soal disiplin lain.
Namun, kalau manusia bernama Zaid ini tidak penting untuk UMNO, jika mahu melepaskannya – lepaslah dengan baik.
Dan Zaid pula, kalau tidak perlukan lagi UMNO selepas kaya raya, beralihlah angin secara baik dan jangan jadikan UMNO yang banyak berjasa ini sebagai musuh.
Mengambil kata-kata Zaid sendiri jika pembangkang bukan musuh sekadar kelompok masyarakat yang mempunyai pandangan yang berbeza dalam politik, begitulah UMNO – pemimpinnya juga mempunyai pandangan berbeza dengan Zaid dalam politik.