Sunday, January 11, 2009

HUDUD – SIAPA ‘LEBONG’ SEBENARNYA?

(Sembang Ahad)

Sekarang siapa ‘lebong’?

Lebong atau belawok bagi orang Terengganu ialah berbohong.

Dalam kes Hudud ini banyak pendapat, khususnya daripada pembangkang, kononnya pemimpin UMNO berbohong apabila berkata ada perbezaan pendapat ketara antara DAP dan PAS.

Kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Musyridul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, cuba menggambarkan betapa PAS dan DAP kini sudah bersefahaman dalam isu ini.

Pada masa yang sama mereka memburukkan UMNO khususnya, kononnya UMNO menolak Hudud dan menyebabkan orang bukan Islam keliru mengenainya.

Tetapi semalam, Pengerusi DAP, Karpal Singh menafikan dakwaan kononnya parti itu tidak mempunyai sebarang masalah berhubung perlaksanaan hukum hudud dalam negara sebagaimana yang dinyatakan oleh Hadi, baru- baru ini.

"Kenyataan oleh Abdul Hadi berhubung perlaksanaan hukum hudud, kononnya DAP sudah jelas dan faham dengan apa yang sedang bermain difikiran Pas, sebenarnya tersimpang jauh daripada kebenaran.

"Pas tidak pernah menjelaskan isu berhubung perlaksanaan hukum hudud kepada DAP. DAP sudah tentu ada masalah berhubung perlaksanaan hukum hudud dalam negara," menurutnya dalam satu kenyataan di semalam.

Karpal mengulas kenyataan Hadi di Kuala Terengganu bahawa DAP tidak perlu lagi memberi penjelasan mengenai pelaksanaan hukum hudud dan qisas kepada Pengerusi DAP Karpal Singh kerana anggota Parlimen Jelutong itu telah faham mengenainya.

Hadi berkata soal pelaksanaan hukum tersebut telah pun dijelaskan kepada pemimpin Pakatan Rakyat (PR) termasuk pemimpin DAP.

“Kita dah pernah buat seminar dan berbincang pasal benda ini (hudud dan qisas) kepada semua pemimpin Pakatan Rakyat. Saya rasa tak perlu lagi saya nak jelaskan kepada DAP kerana saya rasa Karpal Singh (Pengerusi DAP) dah faham.

“Sekarang ini persoalannya kenapa UMNO menolak untuk dilaksanakan hudud?

Saya bersedia untuk berbincang dan memberikan penjelasan kepada Umno mengenai hudud,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Rusila, Marang.

Sebelum ini pun Karpal Singh sudah meminta parti itu menjelaskan mengenai pelaksanaan hukum hudud itu.

Bukan Karpal sahaja yang pening berkaitan Hudud ini.

Ramai orang PAS – apa lagi UMNO yang dikatakan menolak hokum Hudud.

Hakikat sebenar ialah PAS sendiri yang sekali begitu dan sekali begini dalam hokum Hudud ini dari segi pelaksanaan khususnya.

Lebih membingungkan apabila Dewan Ulama Pas menyifatkan pelaksanaan hudud dan qisas di negara ini bukan menjadi keutamaan parti tersebut sekiranya pakatan pembangkang berjaya mengambil alih kerajaan.

Seperti dikatakan oleh ketuanya, Datuk Mohamed Daud berkata baru-baru ini, perkara utama yang harus ditekankan jika pakatan pembangkang memerintah ialah keamanan dan keadilan kepada rakyat di negara ini.

Amat jelas hasrat PAS dalam melaksanakan hukum hudud sekiranya mentadbir negara adalah satu dasar yang tidak konsisten kerana lebih mengambil kita perasaan rakan mereka dalam pakatan pembangkang yang tidak senang dengan cadangan berkenaan.

PAS yang sebelum ini tidak pernah mahu berkompromi mengenai Hudud ternyata sedang ‘mencari-cari’ arah perjuangan sebenar mereka apabila terpaksa memilih antara kuasa dan perkara-perkara lain berkaitan Islam.

Apakah PAS sanggup ‘menggadaikan’ hukum Islam hanya kerana ingin berkuasa?
Persoalannya berbanding UMNO atau parti lain, apa istimewanya PAS jika hanya berlandaskan keamanan dan keadilan?

Apakah rekod UMNO dan Barisan Nasional selama lebih 5o tahun menjadikan Malaysia aman dan sejahtera bukan perjuangan kea rah keamanan?

Seperti yang saya kemukakan sebelum ini, apa jaminan PAS apabila memerintah mampu melaksanakan keamanan? Apa yang diperkatakan oleh Islam mengenai keamanan dan pelaksanaan atau realiti politik semasa tidak sama.

Contoh sudah ada di beberapa negara Islam yang turut menekankan keamanan tetapi peperangan saudara, bunuh-membunuh dan ketidak stabilan terus berlaku. Slogan sahaja tidak mampu menjamin wujudnya keamanan sebenar.

Agak aneh apabila, Ketua Dewan Ulama PAS berkata, hudud dan qisas sukar untuk dilaksanakan secepat mungkin kerana masih ramai yang tidak memahami kebaikan hukum tersebut.

Saya ingin mengulangi - saya bukan takbur atau mahu memperkecilkan Islam - jika PAS bersekongkol dengan DAP dan PKR, sampai kiamat pun Hudud tidak mampu dilaksanakan di Malaysia kerana DAP khususnya akan menentang habis-habisan.

Bagi DAP, saya yakin kena ‘langkah mayat mereka dahulu’ baru dasar Islam dan Negara Islam dapat diwujudkan.

Jika PAS ikhlas untuk melaksanakan Hudud secara berperingkat, tiada parti lain yang lebih memahami Islam selain UMNO.

Kekuatan PAS adalah pada usahanya untuk melaksanakan hukum Allah tetapi apabila Hudud yang diperjuangkan dan diterima oleh penyokong PAS, pemimpinnya pula ‘mengorbankan Hudud’ demi kuasa, penyokong PAS sewajarnya menilai semula arah perjuangan sebenar mereka.

PAS tidak wajar meletakkan Hudud di belakang atau ke tepi kerana dengan tindakan itu PAS ternyata bukanlah sebuah parti yang boleh lagi diharapkan akan memperkatakan perkara-perkara berkaitan Islam tetapi sekadar sebuah parti yang pemimpinnya gilakan kuasa dan sanggup mencemarkan Hudud demi kuasa.

Apakah perbuatan sedemikian diredhai Allah?

Atau apakah PAS termakan ‘sumpah’nya sendiri apabila sering menuduh orang lain tidak Islam, sedangkan hakikatnya orang lain tidak menonjolkan mereka sebagai ulama, uztaz atau lebih Islamnya tetapi berjaya menubuhkan institusi penting Islam seperti Universiti Islam Antarabangsa, perbankan Islam, perundangan Islam, serta perkara lain yang memupuk ke arah kehidupan cara Islam dalam suasana orang bukan Islam hampir separuh mendiami negara ini.

Dalam konteks Hudud ini amat jelas PAS menggunakannya sebagai sebagai slogan atau propaganda politik semata-mata tetapi menyisihkannya hanya kerana pemimpin PAS gila kuasa.
Lebih buruk usaha mendapatkan kuasa ini dilakukan dengan sanggup berlebong kononnya DAP – yang memperjuangkan kepentingan satu kaum semata-mata - sudah menerima dasar-dasar PAS.

Menyedihkan kerana dalam usaha berbaik-baik dengan bukan-Melayu, PAS menuduh UMNO (majoriti besarnya Islam) menolak Hudud sedangkan hakikat sebenar mereka sedar tidak mampu melaksanakannya.

KT PUSAT KECEMERLANGAN PENDIDIKAN

Rakyat Kuala Terengganu sewajarnya berterima kasih kepada kerajaan. Ini kerana Kuala Terengganu akan dibangunkan sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan.

Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sudah member jaminan kelmarin bahawa legasi pendidikan bekas Timbalan Menteri Pelajaran Allahyarham Datuk Razali Ismail untuk penduduk di Kuala Terengganu akan diteruskan melalui hubungan langsung dengan dirinya.

Hishammuddin memberi jaminan akan menjalankan peranan untuk memastikan Kuala Terengganu dibangunkan sebagai sebuah pusat kecemerlangan pendidikan.
Amat jelas bahawa kerajaan tidak pernah membelakangkan hasrat rakyat Terengganu dan usaha Razali selama ini akan diteruskan.

"Secara peribadi, saya mengambil pendekatan yang lebih bersungguh-sungguh kerana kawasan ini bekas kawasan Timbalan Menteri saya yang merupakan seorang yang cukup komited, ikhlas dan jujur untuk pastikan dan impikan untuk bangunkan Kuala Terengganu sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.

"Jangan bimbang pengorbanan arwah tidak akan kita lupakan... orang sini akan ada hubungan langsung dengan Menteri Pelajaran sendiri selepas ini," kata Hishamuddin mengadakan perjumpaan dengan pengundi guru di SK Pulau Rusa di Kuala Terengganu.

Hishammuddin mengakui, beliau jarang turun padang ke Kuala Terengganu sebelum ini kerana mempunyai seorang timbalan yang berkarisma, namun kini dengan ketiadaan Allahyarham Razali, beliau akan memastikan kekosongan itu diisi dengan dibantu oleh rakan-rakan yang lain.

Beliau turut memberi jaminan bukan sahaja pendidikan anak-anak di kawasan Kuala Terengganu terbela tetapi juga soal kebajikan mereka menerusi calon Barisan Nasional Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh jika diberikan peluang untuk menjadi Anggota Parlimen nanti.

"Saya tidak akan biarkan kawasan Kuala Terengganu. Memang pemergian Datuk Razali satu kehilangan yang besar, tetapi saya hadir hari ini dan serta beberapa hari yang lalu untuk terus sokong usaha calon kita. Sekiranya diberikan tempat nanti, apa yang dijanji akan terus ditunaikan," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pengundi di Kuala Terengganu termasuk warga pendidik supaya membuat pertimbangan yang wajar semasa hari pengundian nanti kerana ia akan turut melibatkan soal pendidikan anak-anak.

Mengenai pendidikan ini, terbukti bahawa sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu memerintah Terengganu selepas pilihan raya umum 2004, banyak usaha dilakukan bagi mempertingkatkan mutu, kelengkapan dan bantuan.

Sedangkan Kerajaan PAS Terengganu yang memerintah antara 1999-2004 tidak menyediakan pelan khusus dan ternyata gagal membawa perubahan terutamanya dalam usaha meningkatkan taraf pendidikan.

Kegagalan itu menyebabkan kerugian yang besar terhadap anak-anak Terengganu terutamanya golongan Melayu yang perlukan pendidikan diperingkat yang lebih tinggi.
Manifesto tambahan BN Terengganu pada 2004 yang mengandungi enam bahagian itu antara lainnya menjanjikan pembangunan dalam bidang pendidikan.

Ini termasuklah mewujudkan univesiti penuh, menaikkan taraf Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dan Istitut Pendidikan Teknikal Terengganu (TATI).

Terenganu juga berjanji mewujudkan dua buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) baru, mempertingkatkan prestasi kecemerlangan pendidikan dan mempertingkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di tadika dan sekolah.

Dan sejak itu, mutu pendidikan di Kuala Terengganu dan Terengganu amnya mengalami perubahan drastik dan mencapai banyak kejayaan.

Usaha terbaru ialah kerajaan Negeri Terengganu, Top IT Industries Sdn Bhd dan Intel Malaysia baru-baru ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membekalkan 25,000 Classmate PC dipacu Intel kepada pelajar Tahun Lima di sekolah di negeri terbabit.

Projek itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan kualiti pendidikan menerusi peralatan komputer mudah alih dan pembelajaran berasaskan IT.

Program yang dinamakan Projek Buku Elektronik (PBE) itu diilhamkan oleh kerajaan negeri bagi merintis jalan untuk memanfaatkan teknologi dan meningkatkan kecekapan pendidikan dengan menyampaikan kurikulum sekolah dalam bentuk digital untuk menggantikan buku teks yang berat.

Projek tersebut yang membabitkan Top IT Industries Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Terengganu, dengan sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka.