Monday, January 25, 2010

POLITIK TERENGGANU – MULUT MANIS, JUBOR MASAM

Politik Terengganu ketika ini nampak tenang. Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar nampak tidak tergugat.

Itu mungkin di mata rakyat dan pada sesetengah pemimpin. Cakap-cakap politik sebaliknya bertentangan dengan kedudukan itu.

Dengan kata lain, hakikatnya di permukaan nampak tenang namun di bawahnya arus semakin ganas dan kalau boleh arus itu mahu menenggelamkan Ahmad Said ke dasarnya.

Kalau boleh Ahmad Said mahu dilihat sebagai nangka buruk yang jatuh ‘berdebuk’ dan terus dimakan cacing, jangan sampai tinggal walau sekumit tulang.

Menghairankan sungguh kenapa Putrajaya dan Ibu Pejabat UMNO terus membiarkan keadaan berlaku pada ketika fokus sepatutnya diberikan bagi menjamin UMNO Terengganu terus mantap.

Saya akan memperkatakan dalam konteks Putrajaya dahulu untuk siri ini.

Dalam konteks Putrajaya, ada beberapa perkara diperkatakan di Terengganu:

1. Kenapa Pejabat Perdana Menteri bagaikan membiarkan politik Terengganu menjadi ‘yo-yo’ sedangkan perkara ini boleh dihentikan serta serta merta dengan kuasa yang ada pada pentadbiran tinggi di Putrajaya;

2. Kenapa dibiarkan cakap-cakap kononnya Perdana Menteri tidak ‘gemar’ kepada Ahmad Said dan lebih berminat dengan seseorang yang lain yang sudahpun ditolak oleh Yang Dipertuan Agong; dan ketiga

3. Apakah dengan membiarkan keadaan berlaku ia strategi untuk mengenakan Ahmad Said dan dengan sendirinya tercicir selepas pilihan raya umum nanti?

Perkara pertama ialah soal hubungan Ahmad Said dan pemimpin Pusat. Berulang kali dan perlu diulang sekali lagi, Ahmad Said bukan meminta atau merancang untuk menjadi Menteri Besar seperti orang lain.

Sebelum pilihan raya umum lalu, beliau tidak menentukan calon atau siapa yang wajar bertanding atau tidak. Beliau bukan orangnya yang menggugurkan Ketua-Ketua Bahagian agar jangan bertanding atau menukar Ketua Bahagian tertentu bertanding di Parlimen untuk menjamin kedudukannya selamat agar dilantik semula sebagai Menteri Besar.

Ahmad Said sendiri tercicir namanya sebagai calon pada peringkat-peringkat akhir pun. Tetapi ketentuan Allah kalaupun ada perbuatan ‘jubor masam’ oleh seseorang, jika Allah menghendaki orang itu menjadi calon, ia tetap berlaku!

Lupakan soal ‘penderhakaan terhadap istana Terengganu’ dan bila Ahmad Said dilantik menjadi Menteri Besar sepatutnya endorsement Putrjaya pada Ahmad Said dibuat dengan menerima perkenan apa yang yang diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Gambaran kini ialah sseolah-olah Datuk Seri Mohd Najib Razak masih meneruskan cara pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam kontaks Ahmad Said sebagai Menteri Besar ini bagaikan ‘ telunjuk lurus, kelingking berkait’ atau depan manis, belakang masam atau dengan kata-kata lebih jelas ‘mulut manis, jubor masam’.

Cakap-cakap di mana pun mengatakan Najib ‘tidak suka’ kepada Ahmad Said dan mungkin perkara inipun sudah sampai ke pengetahuan Tuanku Mizan.

Persoalan utama yang dikemukakan penganalisis ialah kenapakah Najib tidak mahu menutup mulut mereka yang terus ‘becot’ yang mengatakan beliau tidak ‘restui’ Ahmad Said dan masih mahukan orang lain?

Apakah Najib juga seperti Pak Lah yang pernah berkeras untuk melantik seseorang menjadi Menteri Besar walaupun ‘dalam tempoh enam bulan’?

Kenapa dengan kuasa yang ada padanya, Najib tidak melakukan sesuatu seperti dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam soal perlantikan Tan Sri Sanusi Junid sebagai Menteri Besar Kedah iaitu memastilan semua pihak patuh dengan kepimpinan Pusat?

Jika benar cakap-cakap ini, ternyata Najib juga ‘lembik’ seperti Pak Lah. Saya pasti Najib tidak bersifat dan berperangai sedemikian.

Perdana Menteri sewajarnya dihormati dan dipatuhi dan berani untuk menyatakan dengan jelas pilihannya.

Apakah dengan bermain ‘telunjuk lurus, kelingking berkait’ akan menguntungkan Pusat dan kerajaan negeri?

Lebih memburukkan keadaan apabila caka-cakap semakin lantang kononnya Najib mahu memecat Ahmad Said pada ketika Najib turun ke Terengganu mengagih-agihkan bantuan banjir akhir tahun lalu.

Berita-berita tersebar luas hingga ke Sabah yang memetik sumber Kementerian Kewangan kononnya Ahmad Said akan ditukarkan secepat mungkin.

Malah, ketika ini pun ada pihak mengatakan Ahmad Said akan ditukarkan Mac depan.

Bukan mudah untuk menukar Menteri Besar Terengganu. Selain perlembagaan negeri yang begitu kukuh melindungi seseorang Menteri Besar, pertukaran akan menyebabkan krisis besar antara istana dan Pusat.

Najib tidak boleh mengambil risiko ini kerana jangan melihat Tuanku Mizan semata-mata tetapi lihatlah institusi beraja dan apa hubungan antara satu istana dengan istana yang lain.

Najib mungkin boleh melakukan sesuatu kepada keputusan istana Terengganu tetapi dalam konteks sistem beraja negara kita, ‘satu peha kanan kena cubit, semua peha kiri akan sakit’.

Persoalan lain ialah, apakah kemelut yang berlanjutan sekarang sengaja dibiarkan oleh Putrajaya untuk melemahkan Ahmad Said?

Tanpa mengenakan sebarang ‘kawalan’ sama ada melalui pentadbiran atau parti oleh Putrajaya terhadap mereka yang sengaja menentang keputusan perlantikan dan pentadbiran Ahmad Said ini memperlihatkan sikap ‘pecah dan perintah’ Putrajaya di Terengganu?

Untungnya siapa?

Najib juga tidak boleh memperbanyakkan lagi kritikan dan anggapan serong terhadapnya kerana sudah banyak tanggapan serong yang perlu beliau jawab.

Persoalannya, kalau Ahmad Said menentang arus atau menentang kepimpinan Najib dan menyokong calon lain umpamanya pada pilihan raya atau pemilihan UMNO, mungkin ada sebab untuk ‘memusuhi’ Ahmad Said pula.

Tetapi Ahmad Said menunjukkan kesetiaannya kepada Najib dan tidak pun menentang atau bersuara dalam banyak perkara, termasuk perlantikan dalam Terengganu Investment Authority (TIA) walaupun wang itu adalah amanah rakyat Terengganu.

Sehingga hari ini Ahmad Said tidak tahu dan tidak kenal siapa orang penting TIA yang sepatutnya Menteri Besar dimaklumkan kerana ia adalah hasil wang minyak Terengganu.

Sebagai Menteri Besar, Ahmad Said sewajarnya diberitahu dengan jelas mengenai isu ini, bukan dihijack begitu sahaja.

Ahmad Said sudah tunduk hampir rapat ke bumi kepada Najib dan tidak wajar Putrajaya bermain kotor dengan Ahmad Said yang diperkenankan perlantikan oleh Tuanku Mizan.

Selain itu, Ahmad Said yang menjadi pemegang amanah kuasa dan harta rakyat Terengganu perlu diberikan ‘kedudukan dan penghormatan’ yang adil kerana walaupun Ahmad Said bukan anggota Majlis Tertinggi atau Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, namun beliau juga ahli dan pemimpin UMNO.

UMNO Kemaman yang diketahui mempunyai sejarahnya juga berperanan besar untuk Barisan Nasional (BN) yang menjadi tonggak pemerintahan di Putrajaya.

Ahmad Said juga mempunyai peranan menjamin Najib berada di kedudukannya. Perlu diingat, ketika Najib mengumumkan akan bertanding Presiden, ia dibuat di Kuala Terengganu dan Ahmad Said berada di sebelahnya, bukan pemimpin lain yang cuba mengadu-domba Najib.

(Bersambung)

ZULKIFLI UMPAMA “ANJING YANG MENYALAK BUKIT’

Ahli Parlimen paling kontroversi masa kini dari Shah Alam, Khalid Abd Samad berkata, rakannya dari Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin boleh terus menyalak bukit tanpa perlu beliau menghiraukannya.

Malah Khalid berkata, Zulkifli yang menuduhnya (Khalid) mengeluarkan kenyataan memperlekeh dan menghina agama Islam sebagai seorang yang tidak berfikiran terbuka.

Beliau berkata, tindakan Zulkifli itu juga mencerminkan sikap semulajadinya sebagai seorang yang suka bertindak tanpa usul periksa.

"Perumpamaannya mudah sahaja, walaupun ada anjing yang menyalak tapi kita akan tetap terus berjalan dan tak perlu menghiraukannya.

"Begitu juga dengan hal ini, saya tak perlu nak buat apa-apa terhadapnya, saya akan terus dengan cara saya dan mempertahankan tindakan saya," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Zulkifli yang membuat laporan polis terhadapnya kerana didakwa secara berterusan mengeluarkan kenyataan menghina Islam.

Laporan polis berkenaan merujuk kepada kenyataan Khalid dalam satu artikel disiarkan portal berita Malaysiakini bertajuk ‘Enakmen larang kalimah Allah ketinggalan.’

Menerusi artikel itu, Khalid dipetik sebagai berkata bahawa enakmen agama Islam yang melarang penggunaan kalimah Allah dan perkataan lain berkaitan Islam sudah ketinggalan zaman.

Kenyataan Khalid itu merujuk kepada Enakmen Ugama Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988.

Berikutan itu, Zulkifli menggesa polis supaya menjalankan siasatan terhadap Khalid mengikut Akta Hasutan 1948 atau Seksyen 298 Kanun Acara Jenayah.

Bagaimanapun Khalid berkata, beliau tidak berkecil hati malah tidak mengendahkan tindakan Zulkifli itu.

"Bila masa pula saya perlekeh dan hina Islam? Bila saya cakap macam itu?

"Dia (Zulkifli) tak tahu isu sebenar tapi nak buat tindakan melulu dengan tuduh saya macam-macam," katanya kepada mStar Online hari ini.

Malah Khalid sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa undang-undang pentadbiran keagamaan bukan merupakan hukum yang bersifat 'qatii' atau mutlak yang tidak boleh diubah.

Selain itu, Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam berkata, sebelum ini beliau telah mengusulkan kepada kepimpinan PAS Pusat agar parti itu mengemukakan satu usul kepada Sultan Selangor supaya satu kajian semula dibuat terhadap undang-undang agama Islam di negeri itu.

Malah menurutnya, PAS juga mungkin akan mencadangkan supaya usul berkenaan diajukan kepada kepimpinan Pakatan Rakyat.

"Baru-baru ini saya mengadap Sultan Selangor dan kami berbincang mengenai perkara ini.
"Baginda begitu mengambil berat mengenai isu ini dan Baginda juga menitahkan saya supaya mengemukan satu cadangan secara bertulis agar satu perbincangan khusus dan profesional dapat dibuat.

"Baginda begitu rasional dan sangat terbuka untuk mengkaji semua enakmen berkenaan agar menepati keadaan semasa," katanya.

Dalam pada itu Khalid berkata, Zulkifli sepatutnya berasa malu dengan Sultan Selangor yang melihat isu berkenaan secara lebih terbuka.

"YB (Yang Berhormat) Zulkifli kena malu dengan Tuanku. Baginda sangat prihatin malah sedia untuk mendengar pandangan," katanya.

Daripada mStar

AL-FATIHAH UNTUK TUN GHAZALIE SHAFIE

Seorang lagi negarawan meninggalkan kita. Kali ini giliran bekas Menteri Dalam Negeri Tun Ghazali Shafie pula. Beliau meninggal dunia di kediamannya di Subang Jaya di sini kira-kira 7.45 malam semalam.

Kematian Ghazali, 88, disahkan oleh cucunya Farah ketika dihubungi.

Ghazali, dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang, meninggalkan dua orang anak lelaki Bachtiaer dan Sheriffudin.

Isteri beliau Toh Puan Khatijah Abdul Majid meninggal dunia pada April 2008.

MUBIN PERSOAL LAGI PERKENAN SULTAN MIZAN


Apakah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin terhadap pertukaran pegawai tadbir negeri Terengganu tidak mendapat restu Mohd Mubin Ismail?

Jika sebelum ini beliau banyak mempertikaikan mengenai perlantikan dan keputusan Menteri Besar Terengganu, kali ini dia mempertikaikan pula pertukaran berkenaan yang sudahpun diperkenankan oleh Tuanku Mizan.

Siapa Mohd Mubin Ismail? Kenapakah dia berani bersuara sedemikian? Siapakah yang
‘memberikan lampu hijau’ untuknya berbuat demikian? Berapa upah menulis bahan seperti itu daripada mereka yang tidak puas hati?

Kebal sungguh Mubin ini. Kalau tiada seorang penjawat awam kerajaan, adalah beliau ada ‘kekebalan’ tersendiri sehingga terlepas daripada tindakan. Dan kalau beliau seorang blogger, apakah tulisannya tidak berunsur fitnah dan cercaan terhadap pihak-pihak tertentu yang boleh diambil tindakan?

Jika dia seorang guru, apakah tindakan Jabatan Pelajaran atau Kementerian Pelajaran terhadapnya?

Kenapakah dia berani benar melemparkan tuduhan dan membuat andaian yang boleh mengeruhkan suasana? Apakah dia memakai lesen sebagai bekas pegawai kepada Datuk Din Adam yang kini bekerja dengan Datuk Seri Hishamuddin Hussein?

Sampai masa Datuk Mokhtar Nong terpaksa mengundurkan diri, biarlah dia berundur diri, walapun dalam tangisan.

Satu daripada perkara yang dipertikaikan oleh beliau kini ialah kononnya ada dua Setiausaha Kerajaan Terengganu ketika ini.

Blog www.teganukini.blogspot.com hari ini ada memperkatakan isu “BENARKAH DUA SUK TADBIR TERENGGANU?”

Ia adalah jawapan kepada entri Mubin dalam blognya.

Blog berkenaan bertanya: “Benarkah dua orang SUK mentadbir Terengganu sekarang ini ?” Menurut blog berkenaan sensasi terbaru ini sengaja dibuat setelah kecewa dengan Ahmad terus menerajui Terengganu dengan disayangi rakyat.!!!!

Hakikatnya seperti kata blog berkenaan, menguruskan pertukaran pegawai tadbir negeri Terengganu (TCS) merupakan tugas pertama Datuk Mazlan Ngah yang baru dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan secara pemangkuan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri, setelah mendapat perkenan daripada Tuanku Mizan.

Datuk Mokthar Nong, penyandang Setiausaha Kerajaan sebelum ini telah telah diluluskan permohonan bercuti sebelum bersara mulai 15 Januari 2010.

Arahan Perkhidmatan memperuntukkan seseorang pegawai yang akan bersara boleh dibenarkan mengambil semua cuti rehat yang dilayaki sebelum ia bersara supaya cuti rehat itu tamat pada hari akhir perkhidmatannya.

Arahan Perkhidmatan seterusnya memperuntukan cuti rehat yang boleh diambil oleh seseorang pegawai itu hendaklah jangan melebihi jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkannya bagi tempoh perkhidmatan selama masa 36 bulan sebelum tarikh persaraannya, dikira kebelakangan dari hari akhir perkhidmatannya itu.

Setelah diluluskan permohonan cuti sebelum bersara, pegawai akan terus meninggalkan tugas dan pejabat terus menerus sehingga ke hari persaraan sebenar. Maka tiada lagilah bertanggungjawab dengan tugas harian.

Mengikut Peraturan Pegawai Awam Kelakuan Dan Tatatertib, Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional samasekali tidak dibenar bergiat aktif dalam politik. Tetapi kelonggaran diberi apabila mereka diluluskan cuti sebelum bersara, pegawai boleh bergiat aktif dalam aktiviti politik semasa menghabiskan cuti terkumpul sebelum bersara wajib jika mendapat kelulusan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Dengan kelulusan cuti sebelum bersara mulai 15 Januari 2010 yang telah diluluskan kepada Mokhtar ini bermakna beliau akan terus meninggalkan pejabat berterusan sehingga ke tarikh persaraannya.

Mazlan telah memulakan tugas SetiusahaKerajaan menggantikan Mokthar mulai tarikh cuti sebelum bersara yang telah diluluskan kepadanya.

Perlantikan Mazlan dibuat secara pemangkuan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu selaku Pihakberkuasa Melantik mengikut Undang-Undang Tubuh Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu 1911 pindaan 1948 setelah mendapat ampuni perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang juga Duli Yang Maha Mulia Sultan.

Mengikut peruntukan Arahan Perkhidmatan, memangku ialah sesuatu keadaan di mana anggota perkhidmatan awam diarah menjalankan tugas-tugas dan tanggungjawab sepenuh masa sesuatu jawatan lain yang lebih tinggi dalam Skim Perkhidmatan yang sama atau berlainan, dengan meninggalkan jawatan hakikinya.

Peruntukan di aras membawa maksud dan menyebabkan Mazlan telah meninggalkan jawatan sebelum ini ia itu Pegawai Kewangan Negeri. Selaras dengan ini, pada 17 Januari 2010 dengan rasminya Mokthar menyerah tugas Setiausaha Kerajaan kepada Mazlan disaksikan oleh hampir semua Pegawai Tadbir Negeri Terengganu.

Mulai tarikh yang sama Mazlan telah mengosongkan bilik di pejabat lamanya di Pejabat Kewangan berpindah Pejabat Setiausaha Kerajaan mengambil bilik yang telah disongkan oleh Mokthar akibat cuti sebelum bersara.

Status pegawai yang cuti sebelum bersara akan menjadi pegawai jawatan kumpulan atau Tambahsentara dibawah pentadbiran negeri sehingga ke tarikh persaraan hakiki beliau dan tidak bertanggungjawab lagi untuk menjalankan tugas.

Pada majlis penyerahan tugas Setiausaha Kerajaan kepadanya, Mazlan dalam ucapannya telah menekankan kreteria utama bagi penempatan dan kenaikan pangkat pegawai tadbir negeri dibawah kepimpinan beliau ialah intergriti , acceptability, meritokrasi dan senioriti.

Tugas utama Mazlan selaku Setiausaha Kerajaan adalah menyusun semula kedudukan pegawai Tadbir akibat daripada persaraan awal Mokthar berasaskan kepada kreteria intergriti dan acceptability barulah diikuti dengan meritokrasi dan seniority.

Hasil percaturan beliau telah diangkat serta mendapat persetujuan dan perkenan pihak atasan. Menurut sumber, Mazlan mengendali sepenuhnya senarai pertukaran ini. Semasa perbincangan dengan Menteri Besar berkait cadangan senarai, tiada seorang pegawai pun dibenarkan masuk.

Semasa majlis penyerahan tugas, Mokthar dalam ucapannya bertanya Mazlan kenapa arahan pertukaran pegawai belum keluar sedangkan telah diangkat ke Istana. Mazlan member jawapan bahawa terdapat pindaan kepada senarai berkenaan.

Situasi di atas jelas menunjukkan Mazlan memikul tanggungjawab penuh terhadap rombakan pentadbiran negeri, tanpa campurtangan pegawai-pegawai lain. Ini lah kehebatan Mazalan memikul tanggungjawab yang diberikan.

Tepat lah kata-kata e-mail yang diterima berkait arahan pertukaran TCS yang akan berkuatkuasa pada 1 Febuari 2010 berbunyi “Pertukaran jawatan tcs trg adalah yg terbaik dlm sejarah sejak zaman wan mukhtar...tanpa dendam...tanpa zalim...hatta zaman pas x gining...alhamdulilaah...dato mat said adalah betul2 menteri besar yang Allah hantar ke trg darul iman....untuk bantu rakyat..menteri besar yg betul2 jadi juara rakyat...bukan hanya cakp2”.

Jelaslah kini hanya ada seorang sahaja Setiausaha Kerajaan yang mentadbir negeri Terengganu Darul Iman.

Lebih penting lagi beliau seorang yang kenal dan setia kepada bosnya.

Mubin mestilah faham bahawa berubahnya pentadbiran, berubahlah pegawainya.

Datuk Ahmad Said tidak melakukan pertukaran tergesa-gesa menukarkan Mokhtar seperti dilakukan oleh Menteri Besar sebelum ini.

Mubin juga kena faham jika bahtera mempunyai dua nakhoda lambat laun kalau ia tidak tenggelam, mungkin melanggar batu karam.

Mungkin Mubin lebih suka bahtera karam daripada melihat pentadbiran Terengganu bertukar tangan bagi menjamin kejayaan merakyatkan pembangunan!