Thursday, September 17, 2009

USAHA ANWAR LEMAHKAN PROSIDING JENAYAH GAGAL


Cukuplah. Diharapkan tarikh perbicaraan kes liwat itu akan dapat disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Jenayah), Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah pada 3 November depan.

Kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melucutkan kelayakan keseluruhan pasukan pendakwaan dalam kes liwat terhadapnya diharap akan mempercepatkan proses pendakwaan terhadapnya.

Malah kegagalan Anwar untuk turut sama membabitkan Pendakwa Raya dan kerajaan Malaysia sebagai responden kelapan dan kesembilan diharapkan Penasihat Parti Keadilan itu dibicarakan pada tarikh ditetapkan.

Sudah pasti peguam Anwar akan melakukan sesuatu, sama ada merayu atau melalui cara lain untuk terus menangguhkan perbicaraan terhadapnya.

Anwar sebenarnya cuba menangguh-nangguhkan kesnya dan mahkamah mendapati beliau telah menyalahgunakan proses Mahkamah Tinggi bertujuan melemahkan prosiding jenayah yang dihadapinya.

Hakikatnya, jika benar Anwar mempunyai sebab yang munasabah untuk menggugurkan pasukan pendawaan itu, kenapa permohonan Anwar tidak menyatakan secara khusus sebarang tindakan tertentu yang salah di sisi undang-undang dilakukan oleh tujuh pendakwa raya tersebut sehingga memerlukan mahkamah menggunakan kuasa melucutkan kelayakan mereka?

Apa yang berlaku dalam kes ini ialah, rakyat semakin jemu dengan kes ini dan kesian dengan bekas pembantunya Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24, yang mengharapkan perbicaraan dijalankan bagi menegakkan keadilan selepas setahun kes ini tertangguh.

Kegagalan Anwar bermakna Peguam Cara Negara I, Datuk Idrus Harun; Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden; dan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Shamsul Sulaiman serta Noorin Badaruddin, boleh meneruskan tugas mereka tanpa gangguan lagi.

Mereka ini adalah responden pertama hingga ketujuh dalam usaha Anwar melucutkan kelayakan keseluruhan pasukan pendakwaan berkenaan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengemukakan permohonan dengan alasan wujudnya berat sebelah atau wujud bahaya sebenar bagi berat sebelah, konflik kepentingan dan salah laku pendakwaan oleh responden pertama hingga ketujuh.

Anwar mendakwa pasukan pendakwaan itu mendapat arahan daripada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, pertuduhan dibuat dengan niat jahat (mala fide) serta ia adalah kesinambungan daripada kes yang dihadapinya pada 1998.

Dakwanya lagi, Abdul Gani bertindak secara berat sebelah dan prejudis dalam pendakwaan kes itu apatah lagi terdapat laporan polis terhadap Peguam Negara itu berhubung konspirasi politik dalam kes tahun 1998 dan insiden ‘mata lebam’.

Anwar, 62, didakwa meliwat bekas pembantunya di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin semalam mendapati Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu antara lain telah menyalahgunakan proses mahkamah bertujuan melemahkan prosiding jenayah yang dihadapinya.

Justeru beliau memutuskan untuk menolak permohonan Anwar mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi melucutkan kelayakan seluruh pasukan pendakwaan dalam kes liwat itu.

Dalam penghakimannya, Hakim Alizatul menyatakan permohonan Anwar itu tidak menyatakan secara khusus sebarang tindakan tertentu yang salah di sisi undang-undang dilakukan oleh tujuh pendakwa raya tersebut sehingga memerlukan mahkamah menggunakan kuasa melucutkan kelayakan mereka.

Walhal, katanya, mengikut Perintah 53 Perintah-Perintah Mahkamah Tinggi 1980, seseorang pemohon dibenarkan mengemukakan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar sesuatu keputusan atau tindakan oleh pihak berkuasa yang dikatakan salah di sisi undang-undang atau berlakunya penyalahgunaan kuasa.

‘‘Dalam kes ini, pemohon tidak mencabar secara spesifik sebarang tindakan salah oleh pendakwa raya yang membolehkan mahkamah ini menggunakan kuasa penyeliaannya,’’ katanya.

Justeru pada hemat Hakim Alizatul, permohonan tersebut sepatutnya dikemukakan di Mahkamah Tinggi Jenayah dan bukannya di mahkamah beliau.

Beliau turut menegaskan, melalui permohonan itu, Anwar bukan sahaja cuba berusaha melucutkan kelayakan tujuh pendakwa raya terbabit tetapi juga kesemua pendakwa raya dari Jabatan Peguam Negara dan Peguam Cara Negara daripada mengendalikan pendakwaan kes liwatnya.

‘‘Ia adalah sama seperti untuk melemah dan menghentikan prosiding (jenayah) walaupun Sivarasa (peguam Anwar, R. Sivarasa) menyatakan pemohon tidak bermaksud untuk menghentikan keseluruhan pasukan pendakwaan,’’ tegas beliau.

Dalam permohonan yang difailkan pada 11 Ogos lalu, Anwar memohon kebenaran semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah perisytiharan agar keseluruhan pasukan pendakwa raya dilucutkan kelayakan mereka daripada mengendalikan pendakwaan atau rayuan kes liwat tersebut.

Anwar diwakili barisan tujuh peguam diketuai oleh Sivarasa manakala responden diwakili tiga Peguam Kanan Persekutuan diketuai oleh See Mee Chun.

Sivakumar ketika ditemui pemberita memberitahu pihaknya akan menasihatkan Anwar berhubung tindakan selanjutnya yang perlu diambil sama ada memfailkan permohonan baru di Mahkamah Tinggi Jenayah atau mengemukakan rayuan terhadap keputusan semalam.

MUDAH MEMAAF SUKAR MELUPAKAN

Ini sikap Tun Dr Mahathir Mohamad sejak dulu.

Pemaaf dan tidak berdendam.

Setakat mahu mengalungkan selipar ke gambarnya bukanlah besar berbanding kritikan dan cercaan mereka yang menentangnya sama ada dalam UMNO atau pembangkang.

Sepuluh tahun lalu, Dr Mahathir pernah digelar MAHAZALIM, MAHAFIRAUN dan sebagainya, namun Dr Mahathir sudah lali dengan itu semua.

Dan sepanjang empat tahun selepas melepaskan jawatan beliau dikecam daripada pelbagai sudut hanya kerana mengkritik dasar yang dianggap merugikan rakyat.

Beberapa menteri yang beliau lantik dan pernah berkhidmat dengannya turut mengencam beliau, sama kerana dasar kerajaan atau UMNO.

Dr Mahathir pernah keluar UMNO tetapi kembali sejak Datuk Seri Mohd Najib menjadi Presiden UMNO.

Betul juga kalau Dr Mahathir sedih apabila beliau dikecam oleh ahli UMNO sendiri.

Hari ini, Dr Mahathir berkata beliau tidak sedih atau marah dengan cadangan seorang anggota MIC agar gambar beliau dikalung selipar.

Bekas Perdana Menteri itu berkata beliau tidak merasakan apa-apa dengan kecaman tersebut kerana "bukan saya jadi apa-apa".

Ini kerana kecaman itu datang daripada anggota parti lain dan ianya tidak merugikannya.
Menurut Bernama, Dr Mahathir berkata, beliau amat sedih dan marah sekiranya kecaman datang daripada anggota Umno sendiri seperti yang pernah berlaku.

"Ini bukan kali pertama saya dikecam. Dulu orang dah lupa macam mana pemimpin Umno kecam saya. Nazri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz) dan Menteri Besar Kedah dahulu nak buang saya daripada Umno.

"Tapi masa itu tak ada siapa bagi reaksi apa pun. Tak ada orang berani cakap apa," katanya.
Cadangan kalungan selipar itu dibuat oleh Timbalan Ketua MIC bahagian Paya Besar, Pahang, M. Sukumaran pada perhimpunan agung MIC Ahad lepas di ibu negara kerana mendakwa Dr Mahathir mencampuri urusan parti itu melalui kenyataan-kenyataan yang dibuatnya.

Ekoran itu, Sukumaran dikecam hebat dan dianggap sebagai biadab. Beliau kemudian memohon maaf dengan memberi alasan beliau telah terlepas cakap.

Malah, anggota MIC itu ingin menemui Dr Mahathir untuk meminta maaf secara peribadi.
Mengulas lanjut isu itu, Dr Mahathir berkata : "Tiba-tiba saya jadi popular. Orang semua pertahankan saya. Seperti yang saya katakan, dulu saya kena kecam, kena kata...suruh buang daripada Umno. Tapi orang tak react (beri reaksi). Pasal apa dulu tak react, kali ini react.

"Dulu bila saya kena kecam, tak ada sesiapa pertahankan saya. Taklah secara terbuka. Orang senyap-senyap beranilah tapi orang kenamaan dan orang terkenal tak beranilah pertahan saya," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau sedih apabila orang partinya sendiri dan orang yang duduk dalam kabinetnya sendiri mengecamnya.

Katanya beliau lebih marah terhadap kecaman yang dilontarkan oleh anggota Umno dan bekas anggota kabinetnya daripada kecaman yang dibuat oleh anggota MIC.

"Saya duduk dalam Umno dari mula parti itu ditubuhkan. Yang tegur saya ini belum beranak pun lagi," katanya.

Mengenai hasrat Sukumaran ingin menemuinya untuk memohon maaf, Dr Mahathir berkata: "Minta maaf tak apa, tak minta maaf pun tak apa. Bagi saya tak ada apa-apa. Saya yang sedih bila orang parti saya sendiri, orang yang duduk dalam kabinet saya sendiri kecam saya," katanya.

Dr Mahathir berkata Sukumaran kini menjadi mangsa percakapannya sendiri.
Selasa lepas, Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu mengumumkan penggantungan serta-merta keanggotaan Sukumaran ekoran kecamannya itu.