Friday, November 6, 2015

MANFAAT DAN KEBIMBANGAN BERKAITAN PERJANJIAN PERKONGSIAN TRANS-PASIFIK


Artikel BERNAMA

Berikut adalah soalan lazim berkaitan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), yang tersiar dalam laman sesawang Kementerian Perdagangan Antrbangsa dan Industri http://fta.miti.gov.my/index.php/pages/view/258.

Terdapat tujuh topik utama, pertama ialah mengenai manfaat dan kebimbangan berkaitan TPP.

Di bawah perbincangan mengenai manfaat daripada TPP, 11 soalan dibincangkan iaitu mengenai bagaimana TPPA boleh memberi manfaat kepada negara.

1. Kenapa Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA)?

Sebagai sebuah negara perdagangan dengan pasaran domestik yang kecil, Malaysia akan terus mengamalkan regim perdagangan dan pelaburan terbuka bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang bagi guna tenaga berkemahiran tinggi dan menggalakkan pembangunan teknologi serta inovasi.

Oleh itu, Malaysia perlu memastikan bahawa pasaran global dikawal oleh peraturan yang telus dan mudah dijangka serta kekal bersifat liberal. WTO terus menjadi keutamaan teratas kita.

Memandangkan proses Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengambil masa lebih panjang, maka Malaysia menggunakan Perjanjian Perdagangan Bebas untuk mencari peluang akses ke pasaran yang lebih baik bagi barangan dan perkhidmatan dari negara ini.

Setakat ini, Malaysia menandatangani 13 FTA:

Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (1992)

ASEAN-China (2004)

ASEAN-Korea (2006)

ASEAN-Jepun (2008)

ASEAN-India (2009)

ASEAN-Australia-New Zealand (2009)

Malaysia-Jepun (2005)

Malaysia-Pakistan (2007)

Malaysia-New Zealand (2009)

Malaysia-Chile (2010)

Malaysia-India (2011)

Malaysia-Australia (2012)

Malaysia-Turki (17 April 2014)


Di samping rundingan perjanjian TPP yang dimuktamadkan pada 5 Okt 2015, Malaysia juga mengadakan rundingan mengenai FTA berikut:

Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP); Malaysia-EU FTA; Perjanjian Perkongsian Ekonomi Persatuan Perdagangan Bebas Malaysia-Eropah (MEEPA); dan ASEAN-Hong Kong FTA.

2. Bagaimanakah TPP memberi manfaat kepada Malaysia?

(i) Akses Pasaran

Para pengeksport Malaysia akan memperoleh kelebihan daya saing berbanding pesaing serantau mereka dalam mengeksport produk seperti produk elektrik dan elektronik, produk kimia, produk minyak sawit, produk getah, produk kayu, tekstil dan alat ganti serta komponen automotif.

TPP akan memberi akses keutamaan bagi barangan dan perkhidmatan dari Malaysia ke dalam empat pasaran FTA "baharu" iaitu Amerika Syarikat (AS), Kanada, Mexico dan Peru. Bagi pasaran ini, jumlah eksport mungkin meningkat apabila TPP dilaksanakan, kerana:

- duti import bagi hampir 90 peratus produk akan dihapuskan di AS.

- duti import bagi hampir 95 peratus produk akan dihapuskan di Kanada;

- duti import bagi hampir 77 peratus produk akan dihapuskan di Mexico; dan

- duti import bagi hampir 81 peratus produk akan dihapuskan di Peru.

Di samping itu, Jepun tidak memasukkan papan lapis ke dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-Jepun (FTA), manakala ASEAN-Jepun FTA akan menawarkan akses keutamaan kepada papan lapis serta produk yang didapatkannya dari Malaysia.

Peraturan asal mula yang membenarkan pengumpulan input daripada semua pihak TPP akan memudahkan lagi barangan dari Malaysia layak mendapat duti keutamaan.

Ini juga memberi lebih banyak peluang kepada pengeluar produk alat ganti dan komponen dari Malaysia untuk menyalurkan bekalan ke dalam rantaian nilai serantau.

Kandungan nilai serantau yang tinggi dalam peraturan asal mula bagi kenderaan automotif serta alat ganti dan komponen akan menggalakkan pengeluar auto yang ketika ini mendapatkan alat ganti dan komponen dari luar negara TPP mendapatkannya dari Malaysia.

(ii) Manfaat Kepada Pengguna

- Malaysia akan menghapuskan duti import bagi hampir 85% produk yang diimport dari negara TPP apabila menyertai perjanjian itu. Kita boleh menjangka bahawa pengguna di Malaysia akan menikmati pilihan lebih luas bagi produk berkualiti tinggi yang berasal dari TPP pada harga kompetetif.

(iii) Menambah Baik Tadbir Urus dan Ketelusan

- TPP juga dijangka meningkatkan ketelusan dan amalan kawal selia baik, dari dalam negara dan dalam kalangan anggota TPP, melalui penyelarasan dan pertukaran maklumat yang lebih baik.

3. Bagaimanakah Kebimbangan Malaysia Ditangani?

Sama seperti dalam semua rundingan lain, hasil seimbang perlu diwujudkan bagi semua pihak. Oleh itu, kompromi perlu wujud dalam sesetengah bidang.

Dalam kes Malaysia, mandat kita adalah berasaskan Perlembagaan, memelihara hak negara dan memastikan dasar utama bagi pembangunan sosioekonomi dipulihara, termasuk dasar berkaitan Bumiputera.

Bagi bidang yang sensitif, Malaysia meminta jangka masa lebih panjang untuk melaksanakan kewajipan bagi perolehan kerajaan dan syarikat milik negara serta hak harta intelek.

Kita juga mengeluarkan seksyen tertentu atau langkah yang sensitif bagi Malaysia daripada kewajipan pelaburan dan perkhidmatan, termasuk tanah, penswastaan dan penjualan pelaburan serta keutamaan Bumiputra.

4. Bagaimanakah hak kedaulatan dipulihara?

TPP memperkukuhkan lagi hak kedaulatan kerajaan untuk melaksanakan kawal selia bagi kepentingan orang ramai, termasuk langkah yang diambil untuk melindungi kesihatan manusia, tumbuh-tumbuhan dan haiwan serta keselamatan negara.

Hak negeri untuk melaksanakan kawal selia dalam bidang yang terkandung dalam Senarai Negara, akan dipulihara. Sebagai contoh, kelulusan tanah tertakluk kepada syarat dan terma yang ditetapkan oleh sesuatu negeri.

5. Apakah fleksibiliti yang disediakan bagi melaksanakan dasar berkaitan Bumiputera?

Walaupun terdapat 30 Bab dalam TPP, tidak semua Bab menjejaskan pelaksanaan dasar berkaitan Bumiputera. Bagi bab utama yang memberi kesan terhadap pelaksanaan dasar berkaitan Bumiputera, fleksibiliti berikut diberikan:

- Perolehan Kerajaan

Fleksibiliti yang diberi bagi penyertaan Bumiputera, termasuk peruntukan hingga sebanyak 30% kepada kontraktor Bumiputera dalam perkhidmatan pembinaan yang terbuka kepada anggota TPP.

Bagi perkhidmatan pembinaan yang tidak dibuka kepada anggota TPP, keutamaan Bumiputera sedia ada akan dikekalkan. Di samping itu, program Kontrak Pusat dan keutamaan harga bagi barang dan perkhidmatan yang diberi kepada pembekal dan pekilang Bumiputera, akan dikekalkan.

- Perusahaan Milik Negara (SOE)

SOE akan mempunyai fleksibiliti untuk memberi keutamaan kepada pembekal Bumiputera dan PKS hingga 40% peratus daripada pembelian tahunan mereka.

- Perkhidmatan dan Pelaburan

Malaysia boleh mengekalkan dasar sedia ada dan mengguna pakai dasar baharu berkaitan kepentingan Bumiputera melalui pewujudan lesen/permit baharu serta penambahan dalam pelaburan dan perkhidmatan.

6. Harta Intelek (IP) bagi Produk Farmaseutikal

- Pencapaian hasil kesihatan awam yang lestari bergantung pada kesalingberkaitan dalam dasar kesihatan negara, persekitaran kawal selia, suasana perdagangan dan daya saing, dasar perolehan, strategi inovasi dan sistem harta intelek.

- Paten adalah satu daripada jenis IP. Perlindungan paten pada umumnya adalah bertujuan untuk mengukuhkan insentif berasaskan pasaran bagi pihak berkepentingan sektor swasta untuk melaburkan sumber mereka dalam penyelidikan produk dan pembangunan teknologi baharu.

- Insentif seperti ini dianggap sangat berharga dalam dunia perubatan, khususnya dalam mencipta ubat-ubatan baharu berikutan pertimbangan teknikal dan keperluan jumlah wang yang besar berserta kadar tinggi kegagalan, termasuk di peringkat akhir dalam membangunkan sesuatu produk serta isu berkaitan liabiliti produk.

- Ubat-ubatan baharu memerlukan perbelanjaan besar untuk dicipta, tetapi agak murah untuk dihasilkan. Dalam keadaan seperti ini, adalah tidak lestari bagi sesuatu syarikat untuk melaburkan modal dalam pembangunan produk dan mendapatkan kelulusan kawal selia sekiranya pesaing mereka berada dalam kedudukan sudah bersedia untuk memperkenalkan produk replika mereka dengan serta merta.

- Bagaimanapun, kerajaan sedar inovasi tidak boleh dicapai dengan mengasingkannya daripada kebimbangan tentang akses kepada perubatan dan akses ini perlu dilihat dalam konteks lebih luas dari segi keperluan mempunyai inovasi dan peraturan yang berkesan.

- Tanpa insentif, adalah diragui sektor swasta akan membuat pelaburan besar untuk mencipta atau membangunkan ubat-ubatan, yang kebanyakannya sedang digunakan di negara maju dan membangun. Sebaliknya, kerajaan juga sedar tentang kebimbangan yang disuarakan tentang kesan terhadap harga produk farmaseutikal di Malaysia.

- Objektif Malaysia dalam rundingan yang diadakan ialah untuk mencapai kesimbangan sewajarnya antara menyediakan pelindungan harta intelek yang kukuh agar ubat-ubatan baharu boleh terus ditemui dan untuk menangani keperluan bagi mednpatkan ubat-ubatan perlu.

- Dalam TPP, semua pihak memahami keperluan negara membangun bagi mendapatkan akses kepada ubat-ubatan pada harga patut dan mereka sependapat bahawa fleksibiliti dan pengecualian di bawah Perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia mengenai Aspek Berkaitan Perdagangan Hak Harta Intelek adalah penting kepada negara yang perlu menangani krisis kesihatan, termasuk HiV/AIDS.

- Pihak kepada TPP telah mengesahkan komitmen bersama mereka terhadap Deklarasi Doha mengenai TRIPS dan Kesihatan Awam, yang bertujuan membantu negara membangun dalam menangani kebimbangan tentang kesihatan awam melalui fleksibiliti WTO.

7. Adakah TPP akan membawa kepada perlanjutan tempoh pelindungan paten?

- Mengenai dakwaan bahawa TPP akan melanjutkan perlindungan paten, adalah penting untuk mengetahui bahawa perlindungan paten bagi ubat-ubatan farmaseutikal tetap kekal selama 20 tahun, sejajar dengan TRIPS.

Hanya jika berlaku kelewatan yang tidak sepatutnya, tempoh perlindungan paten ini akan dilanjutkan.

Bagaimanapun, oleh kerana Malaysia mampu memberi kelulusan pasaran dalam lingkungan penanda aras antarabangsa sedia ada iaitu kurang daripada dua tahun, kemungkinan tempoh berkenaan dilanjutkan, tidak sepatutnya timbul.

Mengenai paten, Malaysia mampu memberi paten bawah lima tahun dan oleh itu, kemungkinan akan diberi tempoh lanjutan tidak sepatutnya timbul.

8. TPP dan Perlindungan Data Farmaseutikal

- Mengenai Perlindungan Data Farmaseutikal, ia telah dikuatkuasakan di Malaysia sejak 2011 dan data ujian produk inovator dilindungi bagi tempoh lima tahun.

Sepanjang tempoh itu, data berkaitan keselamatan dan keberkesanan akan menjadi milik eksklusif syarikat penyelidikan farmaseutikal yang memohon mendapatkan kelulusan kawal selia.

Kerajaan bersetuju meluaskan pelindungan data kepada produk biologik bagi menyediakan layanan tidak bersifat menindas.

- Biologik merujuk kepada ubat-ubatan bukan kimia yang menggunakan proses bioteknologi. Ia adalah antara kemajuan paling menarik dalam perubatan moden dan paling kompleks serta mahal.

Tempoh eksklusif lebih pendek akan membolehkan biosimilar lebih murah memasuki pasaran dengan lebih awal.

- Hasil akhir biologik memberi dua opsyen kepada Pihak bekenaan: i) untuk menyediakan perlindungan data selama lapan tahun, ii) perlindungan data selama lima tahun dan langkah lain yang mengiktiraf bahawa keadaan pasaran juga menyumbang kepada perlindungan pasaran yang berkesan, bagi mewujudkan hasil seimbang di pasaran.

Kajian semula akan dilakukan 10 tahun selepas TPPA dikuatkuasakan.

- Malaysia diberi tempoh peralihan selama lima tahun untuk memperkenalkan perlindungan data bagi biologik.

- Hasil akhir TPP adalah sama dengan dasar Malaysia dalam memperkenalkan perlindungan data selama lima tahun.

9. Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS)


- Satu daripada kebimbangan utama mengenai TPP ialah memasukkan mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS).

ISDS bukan perkara baharu bagi Malaysia kerana kita telah memasukkan ISDS ke dalam perjanjian pelaburan dua hala (BIT) dan FTA kita.

Pelabur asing di Malaysia boleh mengemukakan tuntutan ISDS terhadap kerajaan dan begitu juga, pelabur Malaysia di luar negara, akan mendapat mekanisme perlindungan serupa dalam TPP.

Perlu dinyatakan bahawa terdapat sejumlah besar syarikat Malaysia yang melabur di luar negara hari ini. Malah, sehingga akhir tahun lepas, saham pelaburan Malaysia di luar negara melebihi jumlah pelaburan asing langsung di Malaysia.

- Pihak TPP mengekalkan hak kedaulatan mereka untuk mengawal selia objektif kebajikan awam yang sah.

- Pihak TPP boleh memilih untuk menolak ISDS bagi tuntutan yang mencabar langkah kawalan tembakau.

- Dalam kes Malaysia, ISDS tidak akan memohon tempoh tiga tahun selepas penguatkuasaan projek pemerolehan kerajaan di bawah had yang ditentukan bagi kontrak.

- Penambahbaikan tambahan terhadap mekanisme ISDS:

.mempercepatkan kajian semula dan penolakan tuntutan tanpa merit (tuntutan remeh) dan pelabur akan membayar yuran guaman serta kos bagi tuntutan remeh;

.Pengukuhan tuntutan yang timbul daripada perkara atau keadaan yang sama;

.tidak boleh membuat tuntutan sekiranya telah melebihi tempoh tiga tahun dan enam bulan;

.prasyarat bagi menyelesaikan sesuatu tuntutan melalui perundingan dan rundingan sebelum mencapai pertikaian formal; dan

.keputusan untuk tidak memperbaharui atau mengekalkan subsidi bukan suatu ekspropriasi.

10. Adakah TPP akan mengakibatkan kebanjiran buruh asing?

- TPP tidak memberi hak bagi kemasukan buruh asing. Kemasukan buruh asing, termasuk profesional, akan dikawal undang-undang dan peraturan yang terdapat di Malaysia dan akan berdasarkan kepada keperluan industri.

Kerajaan akan terus memberi keutamaan terhadap peluang pekerjaan untuk pekerja tempatan.

- Bab mengenai buruh dalam TPP mengandungi disiplin yang memperjuangkan kebajikan serta hak pekerja, termasuk klausa berkaitan gaji minimum dan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, yang telahpun dilaksanakan Malaysia.

- Pada 2014 sahaja, syarikat dari seluruh dunia, termasuk dari AS, Australia, Eropah dan timur laut Asia, sama ada telah membuka perniagaan atau mengembangkan operasi mereka yang telah sedia ada di Malaysia.

Daripada 773 projek pembuatan yang memulakan pengeluaran pada 2014, 34.7% adalah milik asing.

Ini mewujudkan 35,130 pekerjaan, 25% atau 8,700 daripadanya di peringkat eksekutif yang memerlukan pendidikan tinggi.

- Sesetengah MNC di Malaysia mempunyai hubungan kukuh dengan PKS kita, yang mewujudkan pekerjaan dan peluang perniagaan dalam bidang pengeluaran perisian, pembungkusan dan penyelesaian peragaan serta reka bentuk dan pembuatan alat ganti jentera.

TPP dan PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana)

- PKS sudah pun bersaing di bawah FTA sedia ada di mana lebih 90% daripada duti import dihapuskan.

- PKS akan mendapat manfaat daripada TPP kerana ketika ini, mereka mempunyai akses kepada pasaran lebih liberal di bawah TPP bagi eksport mereka di empat pasaran baharu di mana Malaysia tidak mempunyai FTA ketika ini. Pasaran itu ialah AS, Kanada, Mexico dan Peru.

- PKS akan mendapat manfaat melalui penyertaan dalam rantaian bekalan serantau kerana lebih banyak input akan diperoleh daripada negara TPP bagi memenuhi peraturan syart asal mula.

- Di bawah TPP, satu bab dikhususkan bagi langkah untuk memudahkan penyertaan PKS ke dalam rantaian bekalan global dengan meningkatkan ketelusan dan perkongsian maklumat secara dalam talian dan sebagai program pembinaan keupayaan bagi membantu PKS.