Tuesday, October 28, 2008

SUKARNYA MENDAPAT MAKLUMAT

Sukarnya mendapat maklumat terkini mengenai pemilihan UMNO yang benar-benar sahih.
Tidak pasti orang lain tetapi saya menghadapi masalah mengumpul maklumat apabila sumber berita semuannya berbeza sama ada daripada sumber rasmi seperti Bernama atau Utusan Malaysia serta daripada portal berita seperti Malaysiakini dan Agendadaily.

Usaha Agendadaily dan Malaysiakini sebagai antara yang terbaik sejauh ini selain Bernama dan Utusan Malaysia yang kadang-kadang agak ketinggalan.

Laporan mengenai jumlah Bahagian UMNO yang sudah bersidang pun pening dibuatnya. Bernama mengatakan sehingga 27 Oktober (semalam), sebanyak 102 sudah bersidang.

Malaysiakini pula melaporkan 103 sudah bermesyuarat dan Utusan Malaysia juga mengatakan 103 tetapi Agendadaily melaporkan 105 UMNO Bahagian telah selesai mengadakan Persidangan Perwakilan masing-masing. Ini bermakna ada 86 lagi UMNO Bahagian yang belum mengadakan persidangan perwakilan mereka.

Lalu cuba ke portal umno-online (http://irc-malaysia.com) lagi tidak boleh diharap. Tidak payah disebutlah.

Sepatutnya pada musim seperti ini laman web UMNO smenjadi tempat rujukan rasmi tetapi itulah keadaan sebenar sumber maklumat UMNO. Tidak boleh diharap!

Inilah masalahnya dengan UMNO, orang lain ada portal, kita mahu ada portal, orang ada website, kita ada website. Walaupun ada usaha menyediakan maklumat pada pautan memgenai pemilihan tetapi tidak juga di update.

Nak harapkan laman UMNO negeri-negeri? Laman UMNO Pahang menunjukkan kemaskini terkini pada Februari 2008.

Cuba juga cari laman web UMNO Sabah tidak juga jumpa, begitu juga dengan Perak. Melaka, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Umno Selangor pula yang terbaru ialah berita 13 September bertajuk “Anwar Berdolak-dalik Tentang Rancangan Ambil Alih Kerajaan” sementara cerita terbaru mengenai Ketua Perhubungannya iaitu Tan Sri Muhammad Muhd.

Taib ialah ketika menawarkan diri untuk kembali merebut kerusi Naib Presiden pada pemilihan Disember ini” (Tarikhnya ialah
Bayangkanlah, betapa maklumat mengenai pertandingan yang begitu penting seperti ini daripada UMNO termasuk dari Ibu Pejabat UMNO Kuala Lumpur pun tidak ada.

Dengan berbezanya jumlah bilangan mesyuarat yang dilaporkan daripada empat sumber di atas, maka berlakunya juga perbezaan nombor pencalonan,

Malaysiakini melaporkan, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat pencalonan ke-103 untuk jawatan presiden . Muhyiddin pula dikatakan memperolehi 65 pencalonan.Manakala dua lagi calon - Datuk Mohd Ali Rustam mendapat 23 pencalonan manakala Tan Sri Muhammad Muhd Taib mendapat 17 pencalonan.

Untuk jawatan Timbalan Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein (85), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (62), Datuk Seri hafie Apdal (46), Datuk Khaled Nordin (50) dan Datuk Syed Hamid Albar (22).

Utusan Malaysia pula berkata, Najib mendapat 101, Muhyiddin 63, Mohd Ali Rustam (23) dan Muhammad (15).

Untuk Naib Presiden Utusan Malaysia menyebut Hishammuddin Tun Hussein (83), Zahid (58), Shafie (50) dan Khaled (49).

Bernama berkata Najib menyapu bersih 102 pencalonan sehingga kini sementara Muhyiddin mara dengan jumlah 65 pencalonan. Muhammad mendapat 15 manakala Ali Rustam masih kekal dengan 22 pencalonan.

Hishammuddin pula dengan 85 pencalonan, Zahid (62), Khaled (50), Mohd Shafie (45) dan Syed Hamid (22).

Bilakah agaknya akan ada satu sistem maklumat yang baik untuk memudahkan rujukan bagi tujuan dan penyelidikan khususnya mengenai UMNO.

Waktu ‘main-main tunjuk kertas’ tidak sesuai lagi ketika ini apa lagi pemilihan ini penting bukan seperti pemilihan biasa.

Ia bagi menentukan Presiden dan Timbalan Presiden yang akan menjadi Perdana Menteri dan Timbalannya yang kedua-duanya dari UMNO.

Pada ketika tokohnya begitu gah, sistem penyaluran maklumat mengenai pemilihan UMNO begitu lemah.

Masa masih ada, sebaik-baiknya diperbetulkan semua ini supaya UMNO bukan sahaja gah dari segi nama dan ketokohan pemimpinnya tetapi juga sistem maklumat untuk tujuan penyelidikan, penyaluran dan penyampaian yang berkesan dalam abad ke 21 ini.

PENCALONAN NAIB PRESIDEN SEMAKIN MENARIK

Dengan pencalonan kini daripada 102 Bahagian, persaingan paling menarik ialah pertandingan Naib Presiden.

Lima calon Naib Presiden yang telah layak bertanding iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Syed Hamid Albar dan menjadi pilihan pencalonan.

Kombinasi calon lama, pertengahan dan baru menunjukkan persaingan pada peringkat ini sebagai persediaan pemimpin pelapis untuk menerajui negara pada masa hadapan.
Mereka juga akan bergerak sebagai pasukan dalam kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak yang kini menghampiri layak untuk menjadi Presiden UMNO.

Di kalangan calon Naib Presiden ini paling berpengalaman dalam UMNO sudah pasti Syed Hamid yang menjadi Ahli MT sejak 1986 diikuti Shafie yang menduduki MT selama lima penggal walaupun Hishamuddin dan Zahid pernah menduduki kerusi ‘Naib Presiden secara automatik’ ketika menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

Dalam konteks pemilihan MT lalu, Zahid mendapat undian kedua paling tinggi dan diikuti Syed Hamid (10), Khaled(11) dan Shafie (12).

Hishammuddin mendapat tiga pencalonan lagi hari ini daripada Jeli, Maran dan Penampang menjadikan jumlah pencalonannya sebanyak 85, Zahid menerima pencalonan daripada Jeli, Maran dan Kota Tinggi (62), Mohamed Khaled menerima pencalonan daripada Jeli (50), Mohd Shafie pencalonan daripada Jeli (45) dan Syed Hamid dua pencalonan Kota Tinggi dan Penampang (22).

Pemimpin lain yang telah mendapat pencalonan bagi jawatan Naib Presiden ialah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dengan mengumpul lapan pencalonan, Datuk Seri Dr Rais Yatim (lapan), Datuk Seri Shahidan Kassim (enam), Tan Sri Rahim Thamby Chik (enam), Datuk Seri Mohamad Hasan (tiga), Datuk Seri Musa Aman (dua), Tan Sri Annuar Musa (satu) dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam (satu).

Menurut Agendadaily, kejayaan Datuk Seri Syed Hamid Albar memecah monopoli ‘ orang baru’ dalam pencalonan jawatan Naib Presiden UMNO kelmarin mencetuskan tandatanya apakah mungkin ada satu,dua atau tiga lagi ‘ orang lama’ dapat mencelah untuk beradu dengan mereka.

Ramalan setakat ini menunjukkan pertandingan Naib Presiden akan menjadi padang permainan bagi golongan muda iaitu Hishamuddin,Zahid,Shafie dan Khaled. Namun ada juga kalangan yang tidak menolak kemungkinan para perwakilan mungkin terdorong nak letak seorang ‘ orang lama’ dalam barisan naib Presiden bagi mengimbangi kedudukan jawatan itu.

Makanya persaingan sengit dan tidak kurang menarik akan berlaku jika katakan satu atau dua orang lama lagi dapat kelayakan bertanding.

Ada para pemerhati politik sudah cop pertandingan Naib Presiden sebagai ‘ pertandingan dua generasi’.

Bagi jawatan timbalan presiden Umno, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengutip dua lagi pencalonan iaitu daripada Jeli dan Maran untuk mara dengan jumlah 65 pencalonan. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib juga meraih dua pencalonan baru daripada Kota Tinggi dan Penampang, menjadikan keseluruhan pencalonannya 15.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam masih kekal dengan 22 pencalonan. Ali memerlukan pencalonan lagi untuk layak bertanding.

Datuk Seri Najib Tun Razak terus mengungguli pertandingan bagi Presiden UMNO dan memerlukan hanya untuk disahkan sebagai Presiden.

Hari ini Jeli, Maran, Kota Tinggi dan Penampang memberikan pencalonan terbaru kepada Najib untuk membolehkan beliau memungut kesemua 102 pencalonan.

Menurut Bernama, persidangan perwakilan Umno yang berlangsung sehingga 6 petang ini menunjukkan sokongan tidak berbelah bagi kepadanya sebagai calon tunggal untuk jawatan Presiden Umno.

Hanya 32 lagi pencalonan diperlukan oleh Najib untuk mendapatkan 134 pencalonan daripada 89 lagi bahagian bagi dinobatkan sebagai Presiden UMNO yang ke-7.

Setakat ini selain Najib, hanya Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden tetapi masih belum memperolehi sebarang pencalonan.

Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil masih terus menerima pencalonan untuk jawatan Ketua Wanita Umno apabila Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kuala Pilah yang mengadakan persidangannya hari ini mencalonkan beliau.

Shahrizat, yang sehingga kini masih tidak menyatakan pendirian sama ada untuk bertanding ke jawatan itu walaupun telah layak bertanding, mengumpulkan 56 pencalonan. Penyandang jawatan Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz masih mendahului dengan mengumpul 94 pencalonan.

Wanita Umno Kuala Pilah juga mencalonkan Exco Wanita Pusat Datuk Kamilia Ibrahim sebagai Naib Ketua Wanita, menjadikan keseluruhannya 41 pencalonan.

Pemimpin lain yang dicalonkan bagi jawatan Naib Ketua Wanita Umno ialah Shahrizat dengan 92 pencalonan, Ketua Umno Bahagian Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said (10), Ketua Wanita Umno Johor Datuk Halimah Sadique (dua), Exco Wanita Datuk Dr Norraesah Mohamad (satu) dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Maznah Mazlan (satu).
Ini bermakna Azalina memerlukan 10 sahaja lagi pencalonan untuk dapat bertanding Naib Ketua Wanita. Kuotanya ialah 20.

Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menerima satu lagi pencalonan hari ini iaitu daripada Kepala Batas, menjadikan jumlah keseluruhan pencalonan yang diperolehnya ialah 45.

Sementara itu, Anggota Parlimen Jerlun yang juga Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Mahathir setakat ini masih kekal dengan 66 pencalonan manakala bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo pula memperoleh 47 pencalonan. Sebanyak 159 daripada 191 Pemuda bahagian telah mengadakan persidangan perwakilan masing-masing sejak 9 Okt lepas.

Bagi jawatan Naib Ketua Pemuda Umno pula, Anggota Parlimen Muar Razali Ibrahim masih mengungguli persaingan dengan memperoleh 79 pencalonan setakat ini manakala pesaingnya iaitu Exco Pemuda Umno Datuk Reezal Merican Naina Merican pula memperoleh 66 pencalonan.

Calon lain untuk jawatan naib Ketua Pemuda Umno ialah Ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Kinabalu Bahrul Razha Chuprat (3), manakala Ketua Pemuda Umno bahagian Bagan Marzuki Yahaya, Ketua Pemuda Umno bahagian Subang Megat Firdaus Megat Junid, Khairy dan Ketua Pemuda Umno bahagian Kapar Faizal Abdullah, masing-masing masih dengan satu pencalonan.

KELANTAN – ANTARA HUTANG RM1B DAN ‘BAJET BERIMBANG’

Membaca dua artikel melalui blog lawi-ayam.blogspot. com bertajuk ‘Hutang Kerajaan Negeri Terus Tinggi’ dan “Kelantan bentang ‘Bajet Berimbang’ utamakan golongan dhaif dalam Harakahdaily yang kedua-duanya diterbitkan semalam, ada sesuatu yang perlu diteliti secara mendalam mengenai pandangan yang berbeza ini.

Secara umumnya menurut Menteri Besar, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat anggaran hasil bagi tahun hadapan sebanyak RM339.98 juta, manakala perbelanjaan mengurus sebanyak RM360.62 juta.

Dalam usaha mempertahankan ‘kejayaan pentadbiran kerajaannya;, Nik Aziz berkata defisit bagi tahun 2009 akan berkurangan menjadi RM20.28 juta berbanding defisit tahun 2008 sebanyak RM23.73 juta.

Faktanya, hasil tanah menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak RM116.97 juta atau 34.4 peratus, hasil perhutanan (RM94.97 juta atau 27.93 peratus.

Teks ucapan belanjawan itu dibaca Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Dato' Husam yang mengambil masa hampir sejam.

Bagaimana pula dengan hutang kerajaan negeri?

Pada akhir tahun 2007 baki hutang Kerajaan Kelantan adalah hampir RM1 bilion, Jumlah sebenarnya ialah RM958.67 juta berbanding RM940.06juta pada tahun 2006 iaitu meningkat sejumlah RM18.61 juta. Peningkatan hutang ini adalah disebabkan Kerajaan Pusat menerima sejumlah RM23.35 juta pinjaman baru daripada Kerajaan Persekutuan iaitu sejumlah RM9 juta Projek Bekalan Air yang baru dan RM14.35 juta bagi menggenapkan baki pinjaman tiga Projek Bekalan Air yang telah diluluskan sebelumnya.

Sehingga akhir tahun 2007, Kerajaan Negeri perlu menjelaskan bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM35.85 juta iaitu RM23.71 juta bayaran anuiti tahun semasa dan RM12.14 juta tunggakan tahun sebelumnya.

Dua agensi kerajaan negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu yang bergelar ‘Bandaraya Islam itu’ gagal menjelaskan anuiti tahunannya melalui sumber Persekutuan.

Hutang PKINK berjumlah RM9.36 juta menyebabkan tunggakan bayaran balik terkumpul mencecah RM40.88 juta. Manakala MPKB gagal menjelaskan anuiti tahunannya berjumlah RM0.96 juta melalui pinjaman sumber Negeri dan sejumlah RM1.06 juta melalui sumber Persekutuan menyebabkan tunggakan bayaran balik pinjaman menjadi RM9.48 juta.

Faktanya ialah dalam kerajaan negeri memburuk-burukkan Barisan Nasional iaitu parti yang memerintah di Pusat, kerajaan Pas berhutang dengan kerajaan Pusat sebanyak RM35.65 juta.

Wajarkah ‘tangan yang memberi’ yang dalam Islam lebih mulia daripada tangan yang meminta dicerca dan terus digigit?

Harakahdaily dalam laporannya mengatakan, ketika ekonomi dunia merudum dengan kejatuhan luar biasa institusi kewangan di peringkat global, kerajaan Kelantan masih mampu membentang anggaran belanjawan 2009 yang bertema 'Bajet Berimbang'. Bajet tersebut memberi tumpuan kepada penjanaan ekonomi secara berterusan untuk semua rakyat, pembinaan ihsan berteraskan Islam dan pembelaan golongan dhaif.

Nik Aziz berkata, kerajaan negeri memantapkan lagi dasar berjimat cermat dengan perbelanjaan berhemah. Selain itu, mengembeling usaha untuk meningkatkan hasil melalui pemantapan jentera kutipan hasil dan penguatkuasaan yang tegas dan berkesan, memantapkan jentera pentadbiran, dan meneruskan pendekatan pentadbiran menyeluruh.

Sebaliknya, Wakil Barisan Nasional Datuk Noor Zahidi Omar pula hairan apabila bajet kerajaan negeri Kelantan dimaklumkan peruntukan yang tidak pernah cukup sedangkan Kelantan kaya dengan hasil yang boleh memberi keuntungan kepada negeri.

Katanya, rakyat Kelantan terus "digula-gulakan" seperti Ladang Rakyat yang belum lagi ditanam dan mendatangkan hasil tetapi sudah diberikan dividen.

"Saya ingin bertanya adakah hasil penebangan balak untuk tanaman ladang rakyat itu dimasukkan ke dalam hasil wang yang disatukan," katanya.

Noor Zahidi (BN-Pengkalan Kubor) juga mempersoalkan skim penanaman getah klon balak di hutan simpan sama ada di hutan simpan itu tidak mempunyai balak atau sebaliknya. "Apa yang dikhuatiri penanaman klon getah ini akan menjadi seperti penanaman sentang yang akhirnya perkara ini tidak berlaku," katanya.

Kerana itu Bajet Kelantan yang dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan (DUN) Kelantan semalam tidak mampu akan menjana peningkatan hasil kerajaan negeri yang terus menyaksikan jumlah hutang Kelantan terus tinggi.

Timbalan Ketua Pembangkang di Dun Kelantan itu berkata bajet yang bertemakan "Bajet Berimbang" itu sebenarnya langsung "tidak berimbang" dan banyak merugikan kerajaan Kelantan.

“Hutang awam Kelantan kini sudah melebihi aset iaitu sebanyak RM326 juta tahun lalu akan terus meningkat pada masa depan dan jika tidak ada usaha untuk berbuat sesuatu keadaan hutang Kelantan semakin membimbangkan.

Noor Zahidi menegaskan: "Titah Sultan Kelantan juga harus diambil kira apabila menegur ada beberapa hasil kerajaan negeri yang tidak dimasukkan dalam hasil wang yang disatukan," katanya ketika membahaskan Bajet 2009 itu.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, dalam laporan Audit Negeri Kelantan 2007 berkata kedudukan kewangan Kerajaan Negeri berdasarkan Lembaran Imbangan tidak kukuh kerana aset tidak dapat menampung tanggungan semasa dan keseluruhan tanggungan.



Manakala Penyata Akaun Memorandum pula menunjukkan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri juga tidak kukuh memandangkan nilai hutang yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri melebihi nilai aset.

Oleh itu bagi memperbaiki kedudukan kewangan yang semakin merosot, Kerajaan Negeri perlu mengamalkan dasar perbelanjaan berhemat serta mencari sumber hasil yang baru dan berusaha mengutip
tunggakan hasil.

Cadangan ini bukan perkara baru tetapi berlaku lagi tahun lalu selepas pada 2006 ia berada dalam kedudukan serupa.

Pada persidangan tahun lalu Ketua Pembangkang ketika itu, Tan Sri Annuar Musa turut membangkitkannya.

Selain itu, pada 2007 baki pinjaman boleh tuntut Kerajaan Negeri kepada Agensinya berjumlah RM617.38 juta berbanding RM598.89 juta pada tahun 2006 iaitu meningkat sejumlah RM18.49 juta.

Peningkatan ini adalah disebabkan Kerajaan Negeri mengeluarkan kesemua sumber pinjaman yang diterima bagi pelbagai Projek Bekalan Air daripada Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM23.35 juta kepada Agensinya iaitu Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. Dan sejumlah RM2.33 juta melalui sumber Negeri kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu. Selain itu Kerajaan Negeri telah menerima balik bayaran hutang daripada agensinya berjumlah RM7.50 juta.

Analisis Audit mendapati bayaran balik pinjaman yang telah matang tidak mengikut
Jadual Bayaran Balik atau anuiti tahunan yang ditetapkan menyebabkan tunggakan
bayaran balik agensi tersebut terus meningkat. Keadaan ini lebih ketara lagi apabila
dasar Kerajaan Persekutuan tidak lagi menyalurkan geran keseimbangan Pihak
Berkuasa Tempatan melalui Kerajaan Negeri.

Pada tahun 2007 Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan gagal menjelaskan anuiti tahunannya melalui sumber Persekutuan berjumlah RM9.36 juta menyebabkan tunggakan bayaran balik terkumpul mencecah RM40.88 juta. Manakala Majlis Perbandaran Kota Bharu gagal menjelaskan anuiti tahunannya berjumlah RM0.96 juta melalui pinjaman sumber
Negeri dan sejumlah RM1.06 juta melalui sumber Persekutuan menyebabkan
tunggakan bayaran balik pinjaman menjadi RM9.48 juta.

Yang menghairankan, rakyat Kelantan melihat Laporan Audit Negara dengan menterjemahkannya sebagai berkepentingan politik bukan ekonomi atau kegagalan pentadbiran Kelantan.

Rakyat Kelantan tetap memilih Pas untuk memerintah Kelantan walaupun tahu bahawa pentadbiran negeri itu gagal memulih atau mengurangkan beban hutang selain sumber baru Kerajaan Negeri tidak ada langsung.

Lebih mengejutkan pada 31 Ogos lalu, dalam suasana kewangan negeri yang tidak stabil dan lemah dan diakui sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat , Kelantan akan tetap membayar bonus sebulan kepada kakitangan kerajaan negeri tahun ini.

Ia akan dilakukan seperti diterima kakitangan sektor awam di peringkat pusat walaupun hutang kerajaan negeri telah melebihi nilai asetnya hasil ‘langkah berjimat cermat’ nya.

Lebih jauh, Mursyidul Am Pas mempertahankan bahawa pentadbiran kerajaan negeri tidak pernah membazir kerana ia merupakan satu amalan dosa.

Persoalannya, apakah bonus itu anugerah atau penilaian prestasi kakitangan yang wajar diberika hanya kepada mereka yang berkhidmat dengan cemerlang dan bukan semua kakitangan?

Tidakkah memberikan bonus kepada kakitangan yang tidak berprestasi cemerlang dan sederhana itu sebagai membazir dan amalan menyogok untuk mendapatkan sokongan politik.
Bukankah dengan melakukan sedemikian ia adalah satu dosa?


IDRIS JUSOH PENGKHIANAT KEPADA RAKYAT TERENGGANU?

Sedih pun ada, kesal pun ada membaca tulisan Suhaimi Taib dalam portal berita Pas, Harakahdaily hari ini.

Ia berkenaan ulasan terdapa perbahasan Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abdul Wahid Endut mengenai bagaimana Bekas Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh didakwa antara orang yang bertanggungjawab mengakibatkan kira-kira lebih RM7 bilion wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk rakyat negeri Terengganu disalahgunakan.
Kerana perbelanjaan itu dikatakan menyebabkan Kerajaan Terengganu kekeringan wang untuk dibelanjakan bagi kepentingan negeri tersebut sehingga hari ini.

Dalam rencana tersebut, projek mewah termasuklah Taman Tamaddun Islam (TTI) dan Piala Monsun menjadi fokus Suhaimi.

Abdul Wahid turut mendakwa bekas menteri besar itu sebagai pengkhianat kepada rakyat dan negeri Terengganu ketika berucap di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini.

Idris yang juga Adun Jerteh dikatakan tidak mencelah untuk menafikan dakwaan Haji Mohd Abdul Wahid dalam persidangan tersebut.

Bendahari Perhubungan PAS Terengganu Haji Mohd Abdul Wahid pula ketika berucap di satu majlis ceramah di Kuala Terengganu baru-baru ini mendakwa, Idris antara pemimpin Umno Terengganu yang bertanggungjawab mengeringkan kantong kerajaan negeri untuk projek pusat.
"Wang kerajaan negeri digunakan untuk projek pusat ketika Idris memerintah Terengganu. Ini suatu penggunaan wang yang tidak betul. Rakyat tidak dapat manfaat sepatutnya dari projek berkenaan," jelasnya.

Bagaimanapun beliau merasa hairan kenapa rakyat Terengganu tidak terkesan dengan tindakan Idris itu sehingga mereka terus memilih Barisan Nasional (BN) memerintah Terengganu dalam pilihan raya umum ke-12 lalu ketika negeri-negeri pantai Barat menolak parti itu sebagai kerajaan.

Jadi apabila ada kata-kata pembaziran terhadap projek TTI, kita syak ia lebih kepada soal kepentingan politik daripada perkara lain.

Jika benar pemimpin Pas Terengganu mahu memperkatakan mengenai pembaziran, kenapa pula kaitkan dengan rakyat Terengganu tidak memilih Pas pada pilihan raya umum lalu.
Jika rakyat benar-benar menolak Idris, mereka akan memilih Pas kerana ketika itu bukan sahaja Kelantan tidak dapat ditawan semula tetapi angin perubahan cukup kuat sehingga menumbangkan Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Tetapi BN Terengganu terus teguh dan Idris tersenyum lebar dengan kemenangan itu.
Sudah pasti penggantinya, Datuk Ahmad Said akan menilai semua projek ini mengikut kesesuaian semasa tetapi dua projek yang dianggap mega ini tetap penting kepada Terengganu.
Jadi dalam konteks dua projek besar ini di manakah khianatnya Idris kepada Terengganu?

Cuma cermin sedikit, dalam tempoh hampir lima tahun berkuasa, apakah projek Pas untuk rakyat Terengganu dalam konteks pelancongan, pendidikan atau juga pembangunan asas untuk Terengganu?

Bagi pemimpin Pas ketika itu, yang ada sumbangan ialah tambah isteri . mungkin!
Pada asasnya kedua-dua projek ini bertujuan mempromosikan Terengganu pada peringkat dunia.

Hakikatnya, dua projek besar itu diakui penting untuk pelancongan Terengganu apabila Persatuan Pelancongan Terengganu dan ejen- ejen pelancongan negeri itu pada 31 Julai lalu diminta membantu mengubah persepsi negatif rakyat terhadap penganjuran Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun dan pembinaan Taman Tamadun Islam (TTI) ekoran timbulnya beberapa isu mengenainya sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib berkata, tindakan itu perlu dilaksanakan segera bagi mengelak ia memberi kesan negatif sehingga menjejaskan sektor pelancongan negeri ini. Beliau berkata, isu kos dan pembinaan kemudahan Piala Monsun dan TTI sepatutnya sudah berlalu kerana kedua- duanya sudah siap dibina dan kini menjadi produk pelancongan negeri ini.

''TTI sudah menjadi satu ikon di negeri ini manakala Piala Monsun telah banyak membantu meningkatkan ekonomi penduduk negeri ini ketika musim tengkujuh.

Za'abar berkata, ejen-ejen pelancongan negeri ini juga perlu mewujudkan pakej-pakej baru pelancongan dalam usaha menarik pelancong tinggal lebih lama di negeri ini.

TTI seluas 22 hektar yang dibina dengan belanja RM249.3 juta itu menempatkan replika monumen tersohor dunia seperti Taj Mahal (India), Al-Hambra (Sepanyol), Menara Kaylan (Uzbekistan) dan Kudus Minar (Indonesia).

Kita meneliti kembali kata-kata Pas mengenai pembaziran ini sudah acap sangat. Paling hebat ialah kata-kata pembaziran terhadap pembinaan Pusat Pentadbiran Putrajaya. Tetapi hari ini Putrajaya diakui sebagai Bandar Pentadbiran canggih dan termoden.

Yang pasti TTI sudah menjadi medan penganjurkan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang menyambut jubli emas tahun ini di Dewan Konvensyen TTI antara 18 dan 25 Ogos lalu.

Majlis tahun ini adalah pertama kali diadakan di luar Kuala Lumpur sejak ia diperkenalkan pada 1960.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah pada 15 Oktober lalu melakukan lawatan ke Taman Tamadun Islam yang terletak di Pulau Wan Man di sini.

Turut berangkat dalam lawatan itu ialah raja-raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 di sini. Rombongan diraja itu yang turut diiringi oleh menteri besar negeri masing-masing melawat Masjid Kristal dan Taman Monumen yang menjadi mercu tanda baru Terengganu.

Dalam lawatan sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215, Tuanku Mizan diberi penerangan mengenai keunikan Masjid Kristal dan juga taman monumen tersebut yang menempatkan 21 replika monumen terkenal di seluruh dunia yang menawarkan keindahan, keunikan dan kehalusan seni bina Islam.

Memanglah wajar bagi pentadbiran mengkaji semula semua bentuk pembangunan untuk menjamin ia benar-benar memenuhi keperluan rakyat.

Seperti dilaporkan pada 22 Mei lalu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata Kerajaan negeri akan meneruskan projek pembangunan pulau buatan manusia yang dikenali sebagai Pulau Warisan di muara Sungai Terengganu.

Katanya, tiada sebab mengapa projek itu harus dihentikan kerana pembangunan pulau itu boleh menarik minat pelancong ke negeri ini.

Membuat pengubahsuaian kepada pelan asal projek adalah perkara biasa dan menurut Ahmad Said, apabila siap, Terengganu bakal mempunyai keunikan tersendiri kerana selain mempunyai Taman Tamadun Islam (TTI) dan Masjid Kristal yang berharga lebih RM300 juta, negeri ini juga mempunyai sebuah pulau buatan manusia yang belum terdapat di negeri lain.

Apabila menjadi kenyataan, ia akan menempatkan bangunan yang mempunyai seni bina tradisional Melayu, pentas persembahan kebudayaan dan bazar barangan tradisional Terengganu. Selain itu, pulau itu juga menyediakan tempat riadah, pusat makanan tradisional Melayu Terengganu, pusat permainan tradisional dan rumah-rumah Terengganu.

Mengenai Monsoon Cup, apakah Idris sahaja harus dipersalahkan? Tidakkah ada juga campur tangan Kerajaan Pusat dalam soal ini yang Idris sendiri sukar untuk mengelakkannya?

Lagipun, apa mahu dipersoalkan lagi apabila Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Ahmad Said Hamdan menegaskan minggu lalu, siasatan badan itu mendapati tiada berlaku unsur-unsur rasuah dalam penganjuran kejohanan perlumbaan kapal layar Piala Monsun di Pulau Duyong, Terengganu.

Hakikatnya, kejohanan bertaraf dunia ini jika dicemari rasuah, ia bukan sahaja menjejaskan Terengganu, tetapi juga Malaysia.

Kejohanan Piala Monsun akan datang diadakan pada 4 hingga 7 Disember depan.
Hasil siasatan itu sudah pasti melegakan Menteri Besar yang mahu siasatan dijalankan bagi membersihkan kerajaannya dan bekas Menteri Besar, Datuk Idris Jusoh yang kini Pengerusi MARA apabila dilemparkan pelbagai tuduhan.

Tuduh menuduh dan pelbagai laporan dibuat khususnya oleh Pemuda PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk laporan kepada BPR mengenai penganjuran sukan berprestij itu pada 29 Julai lalu.

Yang jelas pada 7 Mei lalu, kerajaan negeri sudah mengesahkan bahawa peruntukan tambahan RM42 juta dalam fasa II projek pembinaan benteng pemecah ombak di muara Sungai Terengganu digunakan untuk mendalamkan laluan air di kawasan itu untuk penganjuran Piala Monsun dan pelayaran kapal mewah Star Cruise.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Muhamad berkata, pelaksanaan projek benteng pemecah ombak itu meliputi tiga fasa dan fasa I yang menelan kos RM42 juta telah siap pada tahun 2003.

Katanya, peruntukan tambahan RM42 juta itu adalah untuk fasa kedua yang pada mulanya membabitkan peruntukan sebanyak RM367 juta sebelum bertambah RM409 juta manakala fasa III sebanyak RM100 juta masih dalam pembinaan.

''Kerajaan negeri mengakui kenyataan itu, kerja mendalamkan lembangan digunakan untuk penganjuran Piala Monsun," katanya.

Bukankah ini pengiktirafan kerajaan pimpinan Ahmad Said terhadap program ini. Soal bagaimana menganjurkan pertandingan ini adalah hak kerajaan negeri tetapi Piala Monson akan diteruskan.