Tuesday, October 28, 2008

IDRIS JUSOH PENGKHIANAT KEPADA RAKYAT TERENGGANU?

Sedih pun ada, kesal pun ada membaca tulisan Suhaimi Taib dalam portal berita Pas, Harakahdaily hari ini.

Ia berkenaan ulasan terdapa perbahasan Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abdul Wahid Endut mengenai bagaimana Bekas Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh didakwa antara orang yang bertanggungjawab mengakibatkan kira-kira lebih RM7 bilion wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk rakyat negeri Terengganu disalahgunakan.
Kerana perbelanjaan itu dikatakan menyebabkan Kerajaan Terengganu kekeringan wang untuk dibelanjakan bagi kepentingan negeri tersebut sehingga hari ini.

Dalam rencana tersebut, projek mewah termasuklah Taman Tamaddun Islam (TTI) dan Piala Monsun menjadi fokus Suhaimi.

Abdul Wahid turut mendakwa bekas menteri besar itu sebagai pengkhianat kepada rakyat dan negeri Terengganu ketika berucap di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini.

Idris yang juga Adun Jerteh dikatakan tidak mencelah untuk menafikan dakwaan Haji Mohd Abdul Wahid dalam persidangan tersebut.

Bendahari Perhubungan PAS Terengganu Haji Mohd Abdul Wahid pula ketika berucap di satu majlis ceramah di Kuala Terengganu baru-baru ini mendakwa, Idris antara pemimpin Umno Terengganu yang bertanggungjawab mengeringkan kantong kerajaan negeri untuk projek pusat.
"Wang kerajaan negeri digunakan untuk projek pusat ketika Idris memerintah Terengganu. Ini suatu penggunaan wang yang tidak betul. Rakyat tidak dapat manfaat sepatutnya dari projek berkenaan," jelasnya.

Bagaimanapun beliau merasa hairan kenapa rakyat Terengganu tidak terkesan dengan tindakan Idris itu sehingga mereka terus memilih Barisan Nasional (BN) memerintah Terengganu dalam pilihan raya umum ke-12 lalu ketika negeri-negeri pantai Barat menolak parti itu sebagai kerajaan.

Jadi apabila ada kata-kata pembaziran terhadap projek TTI, kita syak ia lebih kepada soal kepentingan politik daripada perkara lain.

Jika benar pemimpin Pas Terengganu mahu memperkatakan mengenai pembaziran, kenapa pula kaitkan dengan rakyat Terengganu tidak memilih Pas pada pilihan raya umum lalu.
Jika rakyat benar-benar menolak Idris, mereka akan memilih Pas kerana ketika itu bukan sahaja Kelantan tidak dapat ditawan semula tetapi angin perubahan cukup kuat sehingga menumbangkan Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Tetapi BN Terengganu terus teguh dan Idris tersenyum lebar dengan kemenangan itu.
Sudah pasti penggantinya, Datuk Ahmad Said akan menilai semua projek ini mengikut kesesuaian semasa tetapi dua projek yang dianggap mega ini tetap penting kepada Terengganu.
Jadi dalam konteks dua projek besar ini di manakah khianatnya Idris kepada Terengganu?

Cuma cermin sedikit, dalam tempoh hampir lima tahun berkuasa, apakah projek Pas untuk rakyat Terengganu dalam konteks pelancongan, pendidikan atau juga pembangunan asas untuk Terengganu?

Bagi pemimpin Pas ketika itu, yang ada sumbangan ialah tambah isteri . mungkin!
Pada asasnya kedua-dua projek ini bertujuan mempromosikan Terengganu pada peringkat dunia.

Hakikatnya, dua projek besar itu diakui penting untuk pelancongan Terengganu apabila Persatuan Pelancongan Terengganu dan ejen- ejen pelancongan negeri itu pada 31 Julai lalu diminta membantu mengubah persepsi negatif rakyat terhadap penganjuran Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun dan pembinaan Taman Tamadun Islam (TTI) ekoran timbulnya beberapa isu mengenainya sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd. Adib berkata, tindakan itu perlu dilaksanakan segera bagi mengelak ia memberi kesan negatif sehingga menjejaskan sektor pelancongan negeri ini. Beliau berkata, isu kos dan pembinaan kemudahan Piala Monsun dan TTI sepatutnya sudah berlalu kerana kedua- duanya sudah siap dibina dan kini menjadi produk pelancongan negeri ini.

''TTI sudah menjadi satu ikon di negeri ini manakala Piala Monsun telah banyak membantu meningkatkan ekonomi penduduk negeri ini ketika musim tengkujuh.

Za'abar berkata, ejen-ejen pelancongan negeri ini juga perlu mewujudkan pakej-pakej baru pelancongan dalam usaha menarik pelancong tinggal lebih lama di negeri ini.

TTI seluas 22 hektar yang dibina dengan belanja RM249.3 juta itu menempatkan replika monumen tersohor dunia seperti Taj Mahal (India), Al-Hambra (Sepanyol), Menara Kaylan (Uzbekistan) dan Kudus Minar (Indonesia).

Kita meneliti kembali kata-kata Pas mengenai pembaziran ini sudah acap sangat. Paling hebat ialah kata-kata pembaziran terhadap pembinaan Pusat Pentadbiran Putrajaya. Tetapi hari ini Putrajaya diakui sebagai Bandar Pentadbiran canggih dan termoden.

Yang pasti TTI sudah menjadi medan penganjurkan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang menyambut jubli emas tahun ini di Dewan Konvensyen TTI antara 18 dan 25 Ogos lalu.

Majlis tahun ini adalah pertama kali diadakan di luar Kuala Lumpur sejak ia diperkenalkan pada 1960.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah pada 15 Oktober lalu melakukan lawatan ke Taman Tamadun Islam yang terletak di Pulau Wan Man di sini.

Turut berangkat dalam lawatan itu ialah raja-raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 di sini. Rombongan diraja itu yang turut diiringi oleh menteri besar negeri masing-masing melawat Masjid Kristal dan Taman Monumen yang menjadi mercu tanda baru Terengganu.

Dalam lawatan sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215, Tuanku Mizan diberi penerangan mengenai keunikan Masjid Kristal dan juga taman monumen tersebut yang menempatkan 21 replika monumen terkenal di seluruh dunia yang menawarkan keindahan, keunikan dan kehalusan seni bina Islam.

Memanglah wajar bagi pentadbiran mengkaji semula semua bentuk pembangunan untuk menjamin ia benar-benar memenuhi keperluan rakyat.

Seperti dilaporkan pada 22 Mei lalu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata Kerajaan negeri akan meneruskan projek pembangunan pulau buatan manusia yang dikenali sebagai Pulau Warisan di muara Sungai Terengganu.

Katanya, tiada sebab mengapa projek itu harus dihentikan kerana pembangunan pulau itu boleh menarik minat pelancong ke negeri ini.

Membuat pengubahsuaian kepada pelan asal projek adalah perkara biasa dan menurut Ahmad Said, apabila siap, Terengganu bakal mempunyai keunikan tersendiri kerana selain mempunyai Taman Tamadun Islam (TTI) dan Masjid Kristal yang berharga lebih RM300 juta, negeri ini juga mempunyai sebuah pulau buatan manusia yang belum terdapat di negeri lain.

Apabila menjadi kenyataan, ia akan menempatkan bangunan yang mempunyai seni bina tradisional Melayu, pentas persembahan kebudayaan dan bazar barangan tradisional Terengganu. Selain itu, pulau itu juga menyediakan tempat riadah, pusat makanan tradisional Melayu Terengganu, pusat permainan tradisional dan rumah-rumah Terengganu.

Mengenai Monsoon Cup, apakah Idris sahaja harus dipersalahkan? Tidakkah ada juga campur tangan Kerajaan Pusat dalam soal ini yang Idris sendiri sukar untuk mengelakkannya?

Lagipun, apa mahu dipersoalkan lagi apabila Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Ahmad Said Hamdan menegaskan minggu lalu, siasatan badan itu mendapati tiada berlaku unsur-unsur rasuah dalam penganjuran kejohanan perlumbaan kapal layar Piala Monsun di Pulau Duyong, Terengganu.

Hakikatnya, kejohanan bertaraf dunia ini jika dicemari rasuah, ia bukan sahaja menjejaskan Terengganu, tetapi juga Malaysia.

Kejohanan Piala Monsun akan datang diadakan pada 4 hingga 7 Disember depan.
Hasil siasatan itu sudah pasti melegakan Menteri Besar yang mahu siasatan dijalankan bagi membersihkan kerajaannya dan bekas Menteri Besar, Datuk Idris Jusoh yang kini Pengerusi MARA apabila dilemparkan pelbagai tuduhan.

Tuduh menuduh dan pelbagai laporan dibuat khususnya oleh Pemuda PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk laporan kepada BPR mengenai penganjuran sukan berprestij itu pada 29 Julai lalu.

Yang jelas pada 7 Mei lalu, kerajaan negeri sudah mengesahkan bahawa peruntukan tambahan RM42 juta dalam fasa II projek pembinaan benteng pemecah ombak di muara Sungai Terengganu digunakan untuk mendalamkan laluan air di kawasan itu untuk penganjuran Piala Monsun dan pelayaran kapal mewah Star Cruise.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Muhamad berkata, pelaksanaan projek benteng pemecah ombak itu meliputi tiga fasa dan fasa I yang menelan kos RM42 juta telah siap pada tahun 2003.

Katanya, peruntukan tambahan RM42 juta itu adalah untuk fasa kedua yang pada mulanya membabitkan peruntukan sebanyak RM367 juta sebelum bertambah RM409 juta manakala fasa III sebanyak RM100 juta masih dalam pembinaan.

''Kerajaan negeri mengakui kenyataan itu, kerja mendalamkan lembangan digunakan untuk penganjuran Piala Monsun," katanya.

Bukankah ini pengiktirafan kerajaan pimpinan Ahmad Said terhadap program ini. Soal bagaimana menganjurkan pertandingan ini adalah hak kerajaan negeri tetapi Piala Monson akan diteruskan.

1 comment:

  1. suka hati saya bila membaca jawapan yang bernas ini.pembaziran itu semua adalah tuduhan pas,parti yang memecah belah kan orang melayu dan islam khusus nya.mereka dengki pada pemimpin umno yang berjaya memajukan negeri terengganu,di zaman pemerintahan pas dahulu mereka tidak berjaya memajukan negeri terengganu,pada masa itu mereka hanya berjaya menutup sekolah tadika,mengunci balai balai raya sehingakan dalam masa 5 tahun pemerintahan mereka itu ada balai raya yang roboh di serang anai anai kerana balai raya tersebut tidak di gunakan dan di biarkan kosong hanya menjadi tempat lembu lepak..apakah itu tidak membazir wahai pemimpin dan pengikut pas?????
    (fikir fikir kan lah)

    ReplyDelete