Monday, November 21, 2011

MSO PERLU DEDAHKAN SIAPA MB DIMAKSUDKAN, BUKAN MENYERANG SAYA!


Mohd Sayuti Omar atau MSO memberi reaksi kepada penulisan saya (posting 13 November bertajuk “MB Khalwat – Tunggu Pendedahan MSO, Pengarang’ ) dengan menyerang peribadi dan merendahkan kredibiliti saya bukan menjawab persoalan yang saya timbulkan.

Pada postingnya bertajuk “Siapa Bloger Bermuka Babi - Respons Kepada Beberapa Pertanyaan” pada 13 November 2011, walaupun beliau tidak menyebut nama – seperti juga beliau tidak menyebut nama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dalam postingnya 25 Oktober - tetapi saya tahu dia tujukan ‘serangan’ itu kepada saya.

Buktinya beliau merujuk saya sebagai “seorang blogger yang bekerja dengan Ahmad Said dan penerima anugerah Hadiah Kajai."

Saya bukan blogger yang bekerja dengan Menteri Besar kerana saya memulakan blog saya ini sebelum pun bekerja dengan Datuk Seri Ahmad Said lagi.

Menurut beliau: “…ada seorang bloger yang dikenal pasti bekerja dengan Ahmad Said mencabar saya dan sumber saya (pengarang) agar mendedah seterusnya tentang laporan itu. Bloger ini juga nampak tidak reti dan belum sampai ke tahap boleh menerima anugerah berprestaj Rahim Kajai dalam dunia penulisan.

Saya minta dia membaca sebaik mungkin apa yang saya tulisan sebelum mencabar saya. Secara tidak langsung apabila bloger ini bersikap demikian ia seakan mengesahkan apa yang saya laporkan itu adalah bosnya. Ertinya yang membusukkan nama bosnya adalah dia sendiri bukan orang lain jauh sekali saya."

Saya tidak menuduh atau mengatakan beliau terbabit kerana jelas MSO tidak merujuk pun dalam tulisannya bahawa MB yang ditangkap khalwat itu Menteri Besar Terengganu.

Yang saya minta ialah beliau atau Pengarang yang beliau maksudkan itu dedahkan siapa sebenarnya MB yang dimaksudkan.

Perkataan saya ialah : “Ironinya, sehingga hari ini, kita masih menunggu pendedahan lanjut oleh blogger, Mohd Sayuti Omar (MSO) mengenai posting ‘MB Dua Isteri Ditangkap Khalwat’ pada blognya. Ini kerana pada postingnya bertarikh 25 Oktober lalu, MSO mengatakan seorang Pengarang portal akan mendedahkan lebih lanjut kes ini.

Selanjutnya saya mengatakan: “Sengaja saya memang tidak memberikan reaksi pantas kepada posting MSO ini untuk menunggu MSO dan Pengarang berkenaan membuat pendedahan lebih lanjut seperti dijanjikan.

Namun hingga ke saat ini MSO membisu dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said naik angin dan menyatakan akan menyaman blogger yang mendakwa beliau berkhalwat dan bernikah satu lagi. Mengejutkan kerana beberapa blog yang sebelum ini turut memetik apa yang disiarkan oleh MSO tiba-tiba memadamkan terus dan ada juga blog yang terus memohon maaf kepada Ahmad Said.”

Hakikatnya, yang membuat kesimpulan mengenai ‘pembabitan fitnah oleh blog MSO Melayu’ ini adalah kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sendiri.

Menteri Besar mungkin mendapat nasihat daripada pihak tertentu untuk ‘menuding jari’ kepada MSO tetapi bukan ‘nasihat atau pandangan’ daripada saya.

Ahmad Said menimbulkan isu ini pada sidang media. Pertama pada 9 November 2011 dan kemudian membuat laporan polis pada petang 14 November 2011.

Jadi saya fikir agak keterlaluan kalau MSO ‘bengang’ dan menyerang saya sedemikian rupa kerana saya hanya memperkatakan soal isu bukan peribadi (walaupun saya tahu saya tidaklah blogger ternama dan ‘semulia orang beragama’ seperti MSO).

Saya hanya mengharapkan beliau dan pengarang yang dimaksudkan dapat mendedahkan identity MB yang dimaksudkan. Jika membiarkan ia tergantung seperti itu maka banyaklah tohmahan dan fitnah akan berlegar.

Kita tidak mahu fitnah dan tohmahan berlegar, Itu sahaja, Jika memang MB itu kena tangkap basah, umumkan, Biar padan mukanya dan pembangkang akan dapat untung. MSO tentu gembira jika pembangkang ada modal politik!

Selain itu, saya ulangi, amat benar sekali MSO tidak menyebut MB Terengganu pada postingnya secara khusus.

Jadi, dengan landasan sedemikian kenapa menyerang saya sedemikian rupa?

PEMBLOG PRO-BN 'ASKAR BARU' LAWAN PEMBANGKANG - NAJIB

Mungkin hanya Datuk Seri Najib Razak dan beberapa yang lain sahaja menyifatkan pemblog pro-Barisan Nasional (BN) sebagai “askar baru” perikatan tersebut melawan pembangkang.

Yang lain tidak peduli dan mengganggap cara lama - ceramah, akhbar, tv dan radio - masih amat penting.

Najib semalam melahirkan sokongan padu kepada pemblog-pemblog dan pengguna media sosial pro-Barisan Nasional (BN) dengan menyifatkan mereka sebagai “askar baru” perikatan tersebut melawan pembangkang.

Pengerusi BN itu berkata dunia atas talian adalah medan pertarungan antara pembangkang dan perikatan pimpinannya, dan ramai yang kini mengunjungi laman-laman web, portal dan blog sebagai saluran maklumat.

“Barisan Nasional mengiktiraf anda semua, pengamal-pengamal media sosial. Anda pejuang-pejuang kami, askar baru kami,” kata Najib (gambar) selepas melancarkan Konvensyen Media Sosial 1 Malaysia di Kuala Lumpur semalam.

Perdana Menteri berkata pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli BN perlu mengadaptasi mengikut perubahan masa dengan menggunakan media sosial jika mahu kekal relevan.

Media sosial menjadi semakin penting dalam arena politik negara ini dengan 11.3 juta rakyat Malaysia menggunakan Facebook setakat pertengahan tahun ini.

Najib juga memberitahu peserta konvesyen itu, kebanyakannya pemblog pro-BN bahawa mereka perlu menjelaskan kepada rakyat Malaysia atas talian tentang usaha-usaha diambil kerajaan dan kejayaannya, serta melawan kenyataan-kenyataan pembangkang yang bersifat bohong dan separuh benar.

“Ini adalah peranan pejuang-pejuang atas talian, yang akan meneruskan usaha mereka menggunakan BlackBerry, komputer bimbit dan iPad.

“Jika tidak boleh tangani gelombang ini, kita akan hanyut,” kata Najib.