Wednesday, February 4, 2009

JANGAN RIAK, HORMATLAH RAJA KITA

Tahniah, Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kembali kerajaan negeri di Perak.
Jangan riak dan takbur– semuanya kuasa Allah.

Jelas apabila sesuatu dimahukanNya, maka berlakulah, walaupun Menteri Besar Perak itu mewakili PAS yang mendakwa ia sebuah parti Islam.

Apa-apa pun menghadap dan persembahkanlah terlebih dahulu sebarang niat sama ada membentuk kerajaan baru dan melantik Menteri Besar baru kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah terlebih dahulu.

Jangan umum dahulu baru meminta perkenan. Itu maknanya membelakangkan Raja kita.
Jangan buat perangai macam pemimpin Pakatan Rakyat di Perak yang mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri sebelum mendapat perkenan Sultan Perak.

Baguslah sungguh cara Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila berkata beliau akan menghadap Sultan Perak secepat mungkin untuk memaklumkan secara rasmi bahawa BN mempunyai sokongan yang diperlukan bagi menubuhkan kerajaan baru di Perak.

Beliau akan menghadap Sultan Azlan Shah dan nama calon Menteri Besar akan diumumkan dalam masa terdekat.

Najib berkata Fasal 16 Undang-undang Tubuh Negeri Perak memperuntukkan jika Menteri Besar hilang keyakinan atau majoriti, beliau hendaklah meletak jawatan bersama ahli Exconya.
Najib memberitahu, keempat-empat wakil rakyat itu turut memaklumkan kepada Speaker DUN Perak selain Presiden PKR dan Setiausaha Agung DAP hari ini bahawa mereka tidak lagi menjadi ahli parti berkenaan.

Pada sidang akhbar pukul 3 petang iaitu sebelum beliau menghadap Sultan Perak, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin membuat tindakan mengejut dan luar biasa apabila mengumumkan pembubaran DUN tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan baginda.

Mohammad Nizar tiba di Istana Kinta pada pukul 3.50 petang dengan diiringi Exco Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan Mohd Zainuddin Mohd Yusof dan Exco Pembangunan Industri dan Penerangan Tai Sing Ng menaiki dua kereta berasingan.

Setiba di luar pintu pagar Istana Kinta, kereta yang dinaiki Mohd Zainuddin dan Tai tidak dibenarkan memasuki kawasan istana.

Beberapa minit kemudian exco kanan kerajaan negeri Datuk Ngeh Koo Ham bersama Speaker DUN V.Sivakumar pula tiba dan turut tidak dibenarkan memasuki kawasan istana.

Mohammad Nizar berkata kerajaan negeri terpaksa memohon perkenan Sultan membubarkan DUN ekoran keadaan yang tidak menentu apabila dua anggota DUN daripada Parti Keadilan Rakyat dan seorang daripada DAP mengisytiharkan diri mereka kini sebagai wakil rakyat Bebas.

Menurut seorang peguam, tindakan Mohammad Nizar yang mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri sebelum mendapat perkenan Sultan Perak adalah salah.

Menurut laporan media, Menteri Besar Perak itu mengadap Sultan Azlan Shah untuk meminta perkenan baginda membubarkan Dewan Undangan Negeri meninggalkan Istana Kinta di Ipoh tanpa memaklumkan kepada media keputusan baginda.

“Saya sudah menerangkan (explained) keadaan politik terkini, terserah kepada Tuanku,” katanya ringkas.

Bagaimanapun, Bernama yang memetik ulasan peguamMalik Imtiaz Sarwar, kuasa untuk membubarkan dewan undangan negeri terletak di tangan pemerintah negeri, dalam kes ini ialah Sultan dan bukannya Menteri Besar.

Katanya Undang-undang Tubuh Negeri Perak secara jelas menyatakan pembubaran dewan undangan negeri merupakan kuasa mutlak Sultan dan "tiada orang lain mempunyai kuasa untuk membubarkan dewan undangan negeri."

"Ini seperti Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen tanpa mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Begitu juga dalam kes ini, Menteri Besar perlu terlebih dahulu mendapatkan perkenan Sultan sebelum membuat pengumuman," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata adalah tidak jelas "bagaimana Menteri Besar memutuskan untuk membubarkan dewan undangan negeri."

Seorang bekas hakim Mahkamah Tinggi, yang enggan namanya disiarkan berkata tindakan Mohammad Nizar itu boleh membawa kepada "akibat undang-undang".

"Adalah lebih elok jika Menteri Besar mempersembahkan terlebih dahulu kepada Sultan sebelum mengumumkan pembubaran itu. Beliau sepatutnya mengadap Sultan tetapi beliau tidak berbuat demikian, oleh itu beliau mungkin mempunyai alasan kukuh untuk bertindak demikian," katanya.

Kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat tumbang selepas tiga wakil rakyat dari kawasan Changkat Jering, Behrang dan Jelapang mengumumkan mereka meninggalkan pakatan pembangkang PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Pada masa yang sama, wakil rakyat kawasan Bota yang meninggalkan Barisan Nasional (BN) hanya seminggu lepas, mengumumkan kembali menyertai BN semula.

Berikutan perkembangan itu, majoriti kerusi dipegang pakatan PAS-Parti Keadilan Rakyat-DAP daripada 59 kerusi di dewan undangan negeri merosot daripada 32 kepada 28 kerusi manakala kerusi BN negeri meningkat kepada 28 daripada 27 kerusi.

Najib pada sidang media petang tadi berkata BN sudah memperoleh wakil rakyat yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri Perak yang baru berikutan tiga wakil rakyat Bebas berkenaan telah berikrar untuk memberikan sokongan kepada BN.

BUKAN GOYAH TAPI DAH NAK LINGKUP!

Ada satu akhbar aliran perdana dan sering bersimpati pembangkang hari ini tidak berani menggunakan perkatakan “nak jatuh” atau “nak tumbang” tetapi menggunakan perkataan goyah dalam mengibaratkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak sekarang.

Tak payah nak beralas-alas lagilah. Sebut sahaja dah nak lingkup!

Akhbar ini juga cuba bermain psikologi dan berusaha spin pendapat umum untuk menarik simpati kepada pembangkang seolah-olah masalah di Perak adalah angkara Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Saya berbual dengan beberapa pemimpin UMNO Perak dan kata mereka kerajaann negeri sekarang ‘hanya menunggu masa’ sahaja lagi untuk lingkup. Mungkin 24 jam? Sehari atau tiga hari.

Keyakina itu berdasarkan jumlah ahli DUN yang akan menyertai Barisan Nasional (BN) sudah cukup, biarpun dengan majoriti kecil.

Selepas itu, segalanya hanya sejarah buat Pakatan Rakyat!

Yang anehnya, akhbar berkenaan juga tidak berani menyatakan dua wakil rakyat sudah meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi sekadar menyebut kemelut politik yang melanda negeri Perak, dilihat semakin meruncing ekoran keputusan salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) - yang menjadi fokus kontroversi terbaru - memutuskan untuk keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR), petang semalam.

Katanya, dengan keputusan ADUN terbabit, Jamaluddin Mohd Radzi dari Behrang, kerajaan Pakatan Rakyat kini kurang seorang wakil rakyat.

Laporan akhbar itu menyebut, Pakatan Rakyat kini hanya menguasai 31 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Barisan Nasional (BN) pula menguasai 27 kerusi. Jamaluddin mahu bertindak sebagai calon Bebas.

Dalam pada itu, kedudukan rakan sejawatannya, Mohd. Osman Jailu iaitu ADUN Changkat Jering pula menjadi tanda tanya.

Apa pula yang menjadi tanda tanya? Sudah jelas, bukan lagi difahamkan, Mohd. Osman mengambil langkah yang sama seperti keputusan Jamaluddin - yang kedua-dua mereka telah diisytiharkan telah meletakkan jawatan sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun Suruhanjaya Pilihan Raya memutuskan sebaliknya. Kedua-dua mereka sebelum ini exco kerajaan negeri.

Berita Harian hari ini melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Mohd Jailu kini mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil rakyat Bebas selepas menganggap tidak lagi dimahukan oleh PKR.

Jamaluddin berkata, ia terbukti melalui tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan kekosongan kerusi DUN Behrang dan DUN Changkat Jering yang diwakili Mohd Osman.

Untuk spin rakyat bagi mengatakan Kerajaan Negeri Perak masih teguh dan mempertahankan parti pembangkang di negeri berkenaan, akhbar berkenaan memilih untuk memetik kenyataan DAP, bukan parti pembangkang di Perak.

Akhbar berkenaan memetik Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai berkata, Pakatan Rakyat akan menggunakan segala ruang yang ada untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Antara pilihan yang ada kini ialah Menteri Besar memanggil sidang tergempar DUN ataupun membubarkan DUN untuk mengadakan pilihan raya negeri tergempar yang memerlukan perkenan Sultan.

Akhbar berkenaan juga cuba menyokong kerajaan pembangkang dengan memetik pandangan seorang pensyarah yang mengatakan tindakan lompat parti tidak sepatutnya berlaku memandangkan wakil rakyat dipilih berdasarkan parti yang diwakili mereka.

Katanya, apa yang dilakukan oleh Speaker DUN Perak itu betul dan menganggap keputusan SPR yang memutuskan Jamaluddin dan Mohd Osman masing-masing masih lagi ADUN Behrang dan Changkat Jering berikutan wujud keraguan pada surat peletakan mereka, juga adalah alasan yang tidak kukuh.

Apakah pensyarah berkenaan mempunyai latar belakang undang-undang?

Seorang lagi pensyarah berpendapat, kerajaan negeri Perak tidak boleh tergesa-gesa membubarkan DUN dan seterusnya mengadakan pilihan raya kerana ia melibatkan amanat rakyat dan isu dalaman yang dihadapi Pakatan masih boleh diselesaikan.

Pensyarah dari Sabah ini berhujah, SPR membuat keputusan setelah mengambil kira dari sudut perundangan pilihan raya dan jika wujud ketidakpuasan hati tetang keputusan itu, terpulang kepada pihak yang berkenaan untuk mencabarnya.

Kalaupun ‘nak main politik’ akhbar berkenaan perlu adil. Kenapa tidak petik kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh?

Kata Karpal: “Adalah sia-sia untuk mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengekalkan Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Mohd Jailu, masing-masing sebagai wakil rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Behrang dan Changkat Jering, di mahkamah,”
Menurut Bernama, Karpal Singh, yang juga seorang peguam kanan, berkata ia "akan hanya membazirkan usaha dan masa" untuk mencabar keputusan SPR itu yang diumumkan hari ini, kerana ia terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 1982 dalam kes serupa.

Pada 1982, Mahkamah Persekutuan dalam kes membabitkan presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Datuk Ong Kee Hui lawan anggota parti ketika itu Sinyium anak Mutit, memutuskan tindakan menyerahkan surat peletakan jawatan tanpa tarikh kepada speaker adalah bercanggah dengan kepentingan awam dan dengan itu adalah tidak sah.

"Keputusan SPR itu boleh dicabar dan tiada siapa boleh menghalang perkara itu dibawa ke mahkamah, tetapi mereka akan berdepan tugas amat sukar berikutan keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan pada 1982.

"Dalam kes ini, saya pasti SPR telah dinasihatkan oleh pejabat Peguam Negara dan agensi berkaitan yang lain. Ini merupakan keputusan yang jelas di pihak SPR yang terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Selasa.

Jelas sekali pandangan Karpal Singh itu bagaimanapun bercanggah dengan pendirian veteran parti itu Lim Kit Siang, yang dalam satu kenyataan berkata SPR telah bertindak mengenepikan perlembagaan dan di luar bidang kuasanya apabila menolak keputusan speaker Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar berhubung kekosongan kerusi DUN Changkat Jering dan DUN Behrang dan diadakan pilihan raya kecil.

Tugas berperlembagaan SPR, katanya ialah mengambil tindakan terhadap notis rasmi Speaker DUN Perak mengenai kekosongan di dua kerusi itu dan menetapkan pilihan raya kecil diadakan dalam tempoh 60 hari akan datang.

"SPR tidak berhak untuk bertindak dan merampas bidang kuasa mahkamah untuk mempertikaikan keputusan speaker, kerana cabaran perundangan seumpama itu sepatutnya diambil oleh Jamaluddin dan Mohd Osman jika mereka mahu mencabar kesahihan peletakan jawatan mereka di kerusi DUN masing-masing," kata Lim.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof semalam berkata keputusan itu dibuat kerana Jamaluddin dan Mohd Osman telah menulis surat kepada speaker DUN Perak yang menyatakan peletakan jawatan mereka adalah tidak sah.

Seorang lagi peguam kanan, Naran Singh, berkata speaker sepatutnya mengesahkan kedua-dua surat itu kerana ia ditandatangani oleh wakil rakyat.

"Speaker sepatutnya bertanya kepada dua wakil rakyat itu jika mereka telah keluar daripada parti yang mereka wakili atau mereka telah meletakkan ajwatan sebagai wakil rakyat. Kedua-dua mereka berhak untuk membuat pengesahan," katanya.

Naran Singh berkata pilihan raya kecil tidak boleh diadakan sewenang-wenangnya hanya berdasarkan surat, dihantar oleh pihak ketiga tanpa sebarang pengesahan.

Beliau juga sependapat dengan Karpal Singh bahawa SPR mempunyai kuasa untuk memutuskan perkara itu berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 1982.

PKR, PAS MEMBURUK-BURUKKAN JAMALUDDIN

Eh...eh..Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperjuangkan keadilan pun main kotor.

Selama ini tuduhan banyak dilemparkan kononnya UMNO main kotor dan PKR bebas daripada permainan kotor.

Rupa-rupanya dalam PKR, permainan belakang juga perkara biasa dan perebutan jawatan berleluasa!

Malah, PAS turut terpalit sama apabila suara rasminya, harakahdaily.net semalam mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi sebagai penyebar dan menjaja dakyah bahawa Menteri Besar Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin merupakan 'boneka DAP' dan 'boneka Cina' sejak penubuhan kerajaan negeri Pakatan Rakyat berjaya ditubuhkan.

Kata harakahdaily.net, menurut beberapa sumber yang ditemui, sebaran dakyah ini dikatakan dijaja di seluruh negeri sering didengari daripada mulut Jamaluddin sendiri yang dikatakan turut berminat untuk menjawat jawatan yang disandang Nizar.

"Inilah kita rasakan tidak layak untuk dia menjadi wakil rakyat atau exco yang memburuk-burukkan Menteri Besar sendiri dengan pelbagai tohmahan. Dan dakyah ini sengaja ditimbulkan berulang kali supaya membakar semangat perkauman, dan mahu menjatuhkan Nizar sendiri," kata salah seorang yang enggan dikenali ketika ditemui oleh harakahdaily di Sri Kota petang semalam.

Dalam pada itu sumber parti KeADILan di Perak memberitahu bahawa 'gerak-geri' Jamaluddin sudah lama dicurigai dan dilihat mahu berkuasa dalam KeADILan negeri sendiri sehingga sanggup mencantas beberapa pimpinan daripada menjawat jawatan dalam parti negeri.

Kata sumber terbabit, Jamaluddin bertindak 'menggantikan' Pengerusi Perhubungan Negeri yang lama kepada yang baru, dikatakan proksi beliau malah Jamaluddin sendiri kini memegang dua jawatan iaitu Timbalan Pengerusi dan Bendahari KeADILan Negeri.

"Perilaku Jamaluddin yang 'tamakkan' kuasa memang lama kita dah nampak...dan tentang tawaran wang itu juga kita ada dengar.

"Dia juga yang menghubungi beberapa Adun KeADILan untuk turut serta bersamanya dan Adun-Adun itu laporkan kepada kita dan kini kita sedang memantau pergerakan itu manakala Osman walaupun pada asasnya dia ok, dia seorang yang tiada pendirian. Dia adalah orang Jamaluddin dan hanya mengikut sahaja." kata sumber parti.

Sumber parti juga memaklumkan bahawa pihak parti sudah berusaha berkali-kali menghubungi beliau yang dilaporkan hilang malah kaum keluarganya juga tidak dapat dihubungi namun tidak dapat mengesahkan tentang masalah displin Jamaluddin yang dikatakan punca beliau berhenti kerja sebelum menceburi bidang politik dan menyertai KeADILan.

Harakahdaily.net seterusnya melaporkan: “Mereka dikatakan mahu jadi Bebas kerana khuatir lompat parti boleh menyebabkan pilihan raya kecil di Perak tetapi bebas pun tak lama lepas tu masuk Umno juga,"katanya yang akan memaklumkan keputusan displin parti dan maklumat terkini kepada Harakahdaily dalam masa yang terdekat.

"Apa yang dilaporkan di dalam blog atau laman web tentang pergolakan KeADILan Negeri akibat tindakan Jamaluddin, 80 peratus boleh dipercayai dan krisis ini sebenarnya telah lama berlaku dan bukannya sejak insiden enam hari kehilangan kedua-duanya," katanya memberi rujukan beberapa laman web terbabit.

Jamaluddin semalam mengesahkan beliau kini adalah wakil rakyat bebas.

Katanya, hakikat tersebut perlu diterima kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diwakili sebelum ini, telah `membuangnya.'

“Bila dia (PKR) hantar surat peletakan jawatan saya itu, maknanya dia tak nak saya lagi,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jamaluddin sendiri semalam mendakwa tindakan PKR menghantar surat peletakan jawatan beliau sebagai wakil rakyat berpunca daripada keinginan pemimpin tertentu parti itu yang berhasrat bertanding jika diadakan pilihan raya kecil.

Beliau berkata, ada pihak dalam PKR yang ingin pilihan raya kecil diadakan supaya calon pilihan mereka dipilih bertanding.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar menerima surat peletakan jawatan Jamaluddin dan Adun Changkat Jering Mohd Osman Jailu Ahad lepas tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan pada keduadua kerusi berkenaan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata, ini kerana SPR mendapati wujudnya keraguan terhadap kedua-dua surat peletakan jawatan Mohd Osman sebagai Adun Changkat Jering dan Jamaluddin sebagai Adun Behrang.

Jamaluddin mendakwa berlaku perebutan jawatan di kalangan pimpinan PKR dan usaha untuk mengadakan pilihan raya kecil di dua kerusi DUN dirancang bagi membolehkan pemimpin tertentu dalam parti menjadi wakil rakyat dan seterusnya Exco kerajaan negeri.

Jamaluddin yang juga Bendahari dan Timbalan Pengerusi PKR Perak menyifatkan keadaan yang berlaku sebagai mainan kotor beberapa pemimpin parti yang ingin bertanding di DUN Behrang dan DUN Changkat Jering.

Mengenai tuduhan bahawa "kehilangan" beliau dan Osman didalangi oleh Barisan Nasional (BN), Jamaluddin berkata beliau sebenarnya cuti sakit dan tiada kena mengena dengan Umno.

Siapa main belakang sebenarnya?

BILAKAH MELAYU NAK SEDAR

Bila kena kepada Melayu isu kecil.

Tetapi kalau kena kepada bukan Melayu walaupun seorang, isu besar – nasional dan dunia.
Dulu PAS lakukan, kini DAP. Yang jadi mangsa adalah Melayu!

Kepada PAS yang menjadi ‘sahabat baik DAP’, perbuatan seperti ini halal sebab tindakan kerajaan Pulau Pinang dilakukan ke atas kanak-kanak Melayu (bukan Islam?)
Lagipun mereka adalag ‘guru’ kepada perbuatan seperti ini.

Anggapan Lim Guan Eng mengenai tindakan Tabika Kemas Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau, yang dikunci sehingga menyebabkan muridnya terpaksa belajar bawah pokok, kelmarin, sebagai isu kecil adalah tidak bertanggungjawab.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak pun mengambil tanggungjawab atau minta maaf sebaliknya meminta semua pihak supaya tidak terlalu memperbesarkan isu itu kerana ia dianggap selesai.

"Janganlah uar-uar isu ini sangat besar sedangkan ia tidak besar mana pun. Mungkin ada kesilapan sehingga perkara itu boleh berlaku," katanya semalam.

Pelik sungguh. Pada ketika mengatakan mungkin ada kesilapan, Guan Eng bagaikan tidak melihat bagaimana kanak-kanak Melayu ini diperlakukan sedemikian rupa.

Beliau mengulas mengenai tindakan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) yang mengunci pagar tabika itu, kelmarin.

Berikutan itu, 22 murid tabika terbabit terpaksa belajar bawah pokok.

Difahamkan kejadian kali ketiga itu berlaku sejak JKKK menghantar notis pengosongan bangunan pada awal Januari lalu.

Guan Eng berkata, beliau tidak mengetahui langsung tujuan sebenar JKKK Kuala Sungai Pinang berbuat demikian tetapi dasar kerajaan negeri tidak pernah menghalang murid belajar di situ.

Tidak munasabah beliau tidak tahu kerana isu ini sudah berlarutan sejak Januari lalu. Ternyata Guan Eng lepas tangan bila tidak ada kena mengena dengan sokongan terhadap diri dan partinya DAP.

Semalam, seramai 22 murid Tabika Kemas Kuala Sungai Pinang terpaksa belajar bawah pokok selepas kelas mereka dikunci, kelmarin.

Kanak-kanak yang berusia empat hingga enam tahun duduk beralaskan tikar dan belajar di bawah pokok antara jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Berikutan itu, enam murid mengadu tidak sihat termasuk demam dipercayai kerana terpaksa belajar di bawah terik matahari.

Kejadian itu dipercayai kali ketiga sejak Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung (JKKK) Kuala Sungai Pinang menghantar notis pengosongan bangunan pada awal Januari lalu.

Apakah JKKK itu mempunyai hak menghantar notis pengosongan bangunan, apatah lagi mengunci pagar bangunan kerana Tabika berkenaan terletak di tanah milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda)?

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat wajar didesak memberi penjelasan kerana membenarkan JKKK terbabit sesuka hati mengunci tabika berkenaan, selain membuktikan yang tanah itu dalam bidang kuasa mereka.

Seorang ibu kepada murid Tabika, Azizah Mohd Ismail, 45, berkata anaknya, Noor Hidayat Mustahpha, enam tahun yang sihat sebelum ini, muntah dan mengadu demam selepas belajar di bawah pokok.

Orang Melayu Pulau Pinang sewajarnya insaf dan memperjuangkan kepentingan mereka dan tidak lagi mengelamun akibat dibuai mimpi oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang ternyata tidak membela mereka.

Pengajaran ini sangat bermakna untuk Mamu, Mami dan seluruh rakyat Melayu di Pulau Mutiara!