Saturday, January 14, 2017

APABILA ‘RASUAH’ JADI PENGUBAHAN WANG HARAM, RAKYAT YANG ‘BERPUTIH MATA’?


"Jangan memperkecilkan rakyat sekiranya mereka melihat dan menganggap proses keadilan melalui pendakwaan rasuah ketika ini sebagai suatu yang tidak adil dan tidak berpihak kepada mereka. Namun, inilah sistem yang terpaksa ditelan oleh mereka."

Sama ada benar atau palsu hanya Pejabat Peguam Negara sahaja yang boleh mengesahkannya.

Membiarkan surat itu berlegar di media sosial ia akan menjejaskan imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seolah-oleh mereka membuat siasatan tidak lengkap dan salah sasaran.

Atau mereka memang tidak mampu menyiasat dalam keadaan tertentu kerana di luar bidang kuasa mereka?

SPRM bertindak dalam beberapa kes berprofil tinggi  pada 2016 melibatkan penyelewengan wang berpuluh-puluh juta ringgit tetapi banyak pertanyaan ialah, apa pengakhiran pendedahan dan siasatan itu?

Ramai mahu mengetahui di sebalik mereka yang ditahan dan didkawa, apakah ada pihak lain termasuk orang politik, penjawat awam atau sesiapa sahaja boleh diheret ke pendakwaan ini?

Namun kini wujud kerisauan bahawa harapan itu tidak akan ke mana-mana.

Kenapa?


Ia semacam membenarkan  kerisauan itu menjadi kenyataan apabila berlegarnya sepucuk surat SPRM kepada seseorang dengan tanggapan kononnya Jabatan Peguam Negara menolak atau menganggap siasatan itu tidak boleh kepada pendakwaan rasuah di mahkamah biarpun tiada nama Jabatan Peguam Negara disebut secara langsung.

Kita masih ingat dengan jelas isu yang didedahkan oleh SPRM mengenai Skandal Jabatan Air Sabah melibatkan rampasan wang tunai berpuluh juta ringgit yang sebahagiannya disimpan dalam kabinet.

Dilaporkan, pada 5 Oktober 2016, SPRM merampas RM112 juta wang tunai dan wang yang disimpan di dalam bank merangkumi RM52 juta wang tunai dan RM60 juta lagi dalam akaun bank yang telah dibekukan- menjadikan rampasan terbesar SPRM setakat ini.

Selain wang tunai, turut disita sembilan kenderaan mewah, 94 beg tangan mewah, barang kemas dan jam mewah.

Kini tersebar surat jawapan kepada sesorang kononnya SPRM mengesahkan bahawa tiada unsur rasuah dalam kes tersebut dan di luar bidang kuasanya untuk didakwa mereka yang disyaki itu melalui tuduha rasuah.

Berikutan itu  SPRM terpaksa menerimanya sebagai ‘tiada tindakan lanjut akan diambil (NFA — No Further Action)’.


Dengan NFA itu bermakna akan tiada kes rasuah dan sesiapa sahaja yang sebelum ini disoalsiasat atau sudah disyaki terlibat, ‘akan bebas daripada tuduhan rasuah’.

Di sebalik kerisauan itu, Bernama melaporkan, bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah dan isteri serta penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Negeri mengaku tidak bersalah terhadap 37 pertuduhan menyeleweng dana infrastruktur  berjumlah RM61.48 juta dalam bentuk tunai dan simpanan bank serta memiliki barangan berjenama mewah secara menyalahi undang-undang.

Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 54, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 kesalahan melakukan penyelewengan dana infrastruktur berjumlah RM56.9 juta dan memiliki pelbagai jam tangan dan kenderaan mewah yang menyalahi undang-undang.

Beliau juga mengaku tidak bersalah bersama isterinya, Fauziah Piut, 51, atas dua pertuduhan memiliki barangan kemas secara tidak sah, manakala Fauziah juga menghadapi 19 pertuduhan lain, memiliki barangan kemas dan beg mewah serta mempunyai simpanan RM2.2 juta dalam pelbagai akaun bank.

Penasihat teknikal dan kejuruteraan, Lim Lam Peng, 62, yang telah digantung tugas, memohon dibicarakan atas tiga pertuduhan memiliki wang tunai RM2.38 juta dan memiliki kenderaan mewah secara tidak sah.

Lantas timbul persoalan, dengan sebegitu banyak pendedahan dan ‘harta rampasan’, apakah mereka masih belum cukup untuk didakwa melalui akta rasuah?

Di mahkamah ia disebut penyelewengan dan hanya mereka sahaja akan dibicarakan dan tidak melibatkan pihak lain?


Laporan media menyebut, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masing-masing yang dibuat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
  
Ketika prosiding, pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Husmarudin Husin dan Farez Rahman manakala barisan peguam diketuai PJ Pereira mewakili Awang Mohd. Tahir dan Fauziah.

Apakah kerana sebab lain seperti sebab-sebab campur tangan politik atau memang tidak ada kes rasuah?

Atau kes yang disiasat itu bukan melibatkan rasuah tetapi  penyelewengan dan  pengubahan wang haram sahaja?

Surat yang diviralkan di media sosial yang kononya daripada SPRM itu seolah-olah cuba menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh banyak pihak ketika ini.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan Negeri Sabah, Mohd Khairuddin bin Daud menimbulkan isu ini dengan bertanyakan apa status siasatan isu berkenaan.

Melalaui kenyataan Pemuda AMANAH Sabah dalam FB itu, disahkan SPRM bahawa ketiga-tiga individu yang ditangkap berkaitan skandal itu hanya akan didakwa atas kesalahan pengubahan wang haram bukan didakwa atas kesalahan rasuah.

Memang menjadi persoalan dalam kepala kita bagaimana mereka yang didakwa itu berupaya mengumpul begitu banyak wang?

Apakah mereka ada kaitan dengan orang tertentu dalam kerajaan Posit dan negeri?

Namun kini jika berasaskan kepada surat SPRM itu ternyata ia ‘TIDAK BERUNSUR RASUAH DAN TIDAK DALAM BIDANG KUASA SPRM’ serta ‘TIADA TINDAKAN LANJUT’.


Dengan jawapan itu maka dengan sendirinya kes ini sudah menjadi sesuatu yang bukan lagi ‘besar’ seperti yang heboh sebelum ini.

Sudah pasti akan ada kekecewaan di pihak tertentu untuk melihat siapa turut bersekongkol, termasuk orang politik atau penjawat awam lain apabila kes ini dibawa ke mahkamah.

Ternyata kini tidak semua kes di bawah siasatan SPRM boleh dibawa ke mahkamah dan dituduh di bawah rasuah walaupun dilihat sebagai berunsur rasuah dan salah guna kuasa.

Juga benarlah kata-kata seperti dipetik oleh Utusan Malaysia bahawa: “Kalau setakat hendak bawa kes berprofil tinggi ke mahkamah bagi mendapat publisiti apatah lagi sekadar mahu mengejar ranking buat apa. Kalaulah peguam negara sudah memutuskan tiada kes maka kita kena patuh.

­Memanglah sebagai pegawai atau pasukan penyiasat kita akan berasa kecewa tetapi dalam masa sama kita perlu akur kepada peruntukan undang-undang sedia ada.’’

Kerana itu tidak payah ‘bersemangat’ sangatlah jika ada laporan tangkapan atau rampasan berkaitan rasuah kerana belum tentu ia akan diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara untuk dakwa.

Walau nampak ia kes berprofil tinggi, hanya Jabatan Peguam yang boleh menentukan segala-galanya berdasarkan interpretasi dan kajian undang-undang ‘yang mendalam’ mereka praktikkan.

Mungkinkah ini antara sebab kenapa rakyat tawar hati untuk melaporkan kes yang disyaki rasuah?

Apakah dengan kedudukan seperti ini SPRM dan Jabatan Peguam Negara tidak lagi menjadi ‘suatu harapan’ kepada mereka?

Salahkah mereka jika memandang rendah kepada jabatan dan pegawainya? Bagi mereka, tiada yang istimewa dengan SPRM, Jabatan Peguam Negara, pegawainya  dan Peguam Negara sendiri.

Berikutan itu jangan memperkecilkan rakyat sekiranya mereka melihat dan menganggap proses keadilan dan pendakwaan rasuah ketika ini sebagai suatu yang tidak adil dan tidak berpihak kepada mereka. Namun, inilah sistem yang terpaksa ditelan oleh mereka.

Yang ada untuk jalan keluar bagi perkara seperti ini ialah melalui undi dalam pilihan raya.

Ia dengan menukar pemerintah.

Itu pun juga dengan meletakkan harapan agar sistem ditukar.

Namun, apa jaminan kerajaan baru akan melakukan sesuatu yang drastik?

Ini  kerana kemungkinan pemimpin baru juga jenis ‘perompak dan menyokong perompak’ yang akhirnya rakyat akan sekali lagi berputih mata.