Monday, August 5, 2013

PEMIMPIN PAS TIDAK PERNAH RETI BERSYUKUR, BERTERIMA KASIH...


Sepatutnya ucapan ‘Alhamdulilah’ disebut oleh Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu, Dr Alias Razak, lebih-lebih lagi pada Ramadan yang mulia ini.

Sebaliknya pemimpin itu terus menyalahkan UMNO-BN dalam soal Dewan Bedah Hospital Setiu yang akan beroperasi.

Sikap pemimpin PAS yang nyata tidak bersyukur jelas ditunjukkan Dr Alias melalui laporan bertajuk ‘10 Tahun Baiki Dewan Bedah! : Umno-BN Tak Pentingkan Kesihatan Rakyat!’.

Dr Alias terus menerus menjadikan UMNO-BN ’TONG SAMPAH’ walaupun sepatutnya pihak lain, termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) yang sepatutnya dipersoalkan.

Oleh kerana Dewan Bedah Hospital Setiu sudah dapat digunakan, sepatutnya Dr Alias mengucapkan terima kasih kepada JKR dan kerajaan yang berusaha mengatasi masalah itu walaupun mengambil masa 10 tahun. 

Ini tidak. Tidak siap UMNO-BN kena belasah dan apabila siap pun UMNO-BN juga kena belasah!

Laporan laman rasmi PAS itu hari ini menyebut: “Setelah sekian lama perkara ini dibangkitkan samada dalam (Sidang) Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh wakil (rakyat) PAS atau di luar dewan, 10 tahun baru kerosakan dapat diperbaiki!

“Apakah ini maksud rakyat didahulukan?

Soal kesihatan dan nyawa rakyat pun tidak diberi keutamaan oleh kerajaan Umno/BN.” Begitu mudah membuat andaian dan tuduhan melulu bahawa soal kesihatan dan nyawa rakyat tidak diutamakan oleh kerajaan UMNO/BN.


Selain itu Dr Alias yang juga ADUN Bukit Tunggal menegaskan, selain soal Dewan Bedah tersebut, terlalu banyak isu-isu yang membabitkan perkhidmatan kesihatan yang belum selesai.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan Negeri Ir Rosli Othman yang berkata dewan bedah tersebut yang sebelum ini menghadapi pelbagai masalah, kini sudah hampir pulih.

Hospital Setiu yang berharga keseluruhan RM65.8 juta telah dibina pada tahun 2000 dan mula digunakan sepenuhnya pada tahun 2003, iaitu sejak Terengganu di bawah pemerintahan PAS lagi.

Pada 2 Ogos 2013 lalu, Ir Rosli mengatakan Dewan Bedah Hospital Setiu yang sebelum ini menghadapi pelbagai masalah, kini sudah hampir pulih setelah dibaiki dan akan dapat digunakan akhir bulan ini.

Menurutnya, kerja-kerja ujian udara dan tahap kelembapan di dalam dewan bedah hospital itu sedang dijalankan manakala di bahagian lain kerja-kerja baik pulih sudahpun selesai.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut perbelanjaan kerja-kerja baik pulih hospital berkenaan yang telah digunakan sejak 10 tahun itu.

Sebelum ini hospital itu dikatakan tidak dapat digunakan kerana mengalami kebocoran, kelengkapan tidak sempurna manakala dewan bedahnya tidak boleh beroperasi. Menurutnya dengan siapnya dewan bedah hospital itu, pesakit tidak perlu lagi ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk pembedahan yang kecil seperti membuang selaput mata dan sebagainya.

Kumpulan doktor dari HSNZ juga turut ke Hospital Setiu secara berjadual bagi merawat pesakit yang perlu menjalani pembedahan.

"Dengan siapnya nanti hospital itu, kita harap ia akan mengurangkan tekanan terhadap HSNZ, di mana sebelum ini semua pesakit tertumpu ke hospital itu," katanya.


Isu Dewan Bedah Hospital Setiu ini bukan diperkatakan oleh Dr Alias dan pemimpin PAS sahaja, malah pemimpin UMNO Terengganu, khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sudah beberapa kali ‘bertelagah’ dengan JKR.

Laporan Bernama pada 1 Mei 2010 menyebut Ahmad Said begitu kecewa dengan keadaan hampir kesemua dewan bedah di hospital di Terengganu yang tidak dapat beroperasi seperti dijadualkan.

Keadaan itu bukan sahaja merugikan kerajaan daripada segi kos tetapi turut merisikokan nyawa pesakit.

"Hampir semua dewan bedah hospital di negeri ini gagal... dewan bedah Hospital Besut hampir enam tahun, Hospital Kemaman tiga empat tahun, dewan bedah Hospital Setiu dah masuk tujuh tahun... teruk, rakyat marah kerajaan.

"Bukan sahaja kita rugi daripada segi kos, tapi ia juga melibatkan soal nyawa, pakar bedah pun kecewa sebab tak boleh nak buat kerja," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Peralatan Tomografi Berkomputer Multislice (MSCT) kepada HSNZ di Kuala Terengganu.

"Saya kecewa dengan apa yang berlaku, kalau sekali berlaku tak mengapalah, tetapi berulang kali, semua hospital mengalami masalah hampir sama," katanya.

Sehubungan itu beliau berharap JKR yang bertanggungjawab dalam pembinaan dan membaik pulih dewan bedah berkenaan mengambil perhatian dan tindakan segara.

Berikutan kenyataan itu, ada pegawai JKR yang menegur dengan mengatakan pemimpin politik Terengganu jangan cuba tunjuk hero mengenai isu dewan berkenaan.

Amat jelas bahawa isu berkenaan bukan soal UMNO-BN tetapi membabitkan sebuah jabatan yang DIAMANAHKAN oleh kerajaan yang memerintah tetapi menghadapi berdepan masalah yang mereka sahaja mengetahui untuk mengatasinya.

Dan apabila berjaya diatasi, sepatutnya pemimpin PAS seperti Dr Alias ini mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada JKR – bukan terus menerus menyalahkan UMNO-BN.

Jika 10 tahun masalah ini berlaku, bermakna ia bermula sejak PAS memerintah Terengganu tetapi kenapa ketika itu kerajaan PAS tidak mengambil daya usaha mengatasinya segera? Tidak dalam bidang kuasa kerajaan PAS? Sama jugalah dengan kerajaan negeri pimpinan UMNO-BN yang mengambil alih Terengganu pada 2004. Ia juga tidak mempunyai kuasa kerana yang menggendalikan projek itu ialah JKR.

Ternyata Dr Alias sengaja menimbulkan isu Dewan Bedah Hospital Setiu ini untuk publisiti murah dan menonjolkan kononnya PAS yang memperjuangkan isu ini. Dr Alias menonjolkan dirinya sebagai seorang doktor dan pernah bertugas dengan Jabatan kesihatan untuk ‘mengesahkan’ kritiknya tetapi dia lupa ‘pendedahannya turut mendedahkan kejahilannya terhadap beberapa perkara’ selain menggambarkan sifat beliau yang TIDAK RETI BERSYUKUR dan BERTERIMA KASIH.

Sikap pemimpin PAS yang sanggup menuduh kerajaan negeri bagaikan tidak mendahulukan rakyat dan soal kesihatan serta nyawa rakyat tidak diberikan keutamaan amat dikesali.

Sedangkan laporan media pada 5 Januaru 2010 menyebut, Ahmad Said menyatakan dukacitanya kerana semua operasi pembedahan di Hospital Setiu itu terbantut apabila bumbung dewan bedahnya mengalami kebocoran yang teruk.

Selain bumbung bocor, beberapa bahagian lantai di hospital tersebut mengalami resapan air dan silingnya pula sudah tidak sesuai digunakan.

Ahmad Said dan isteri melawat Hospital Setiu pada Julai 2012.
Keadaan tersebut kerana jika dibiarkan, boleh memberi imej buruk kepada kerajaan negeri. Berikutan itu beliau menggesa semua pihak termasuk pentadbiran hospital, arkitek, Jabatan Kerja Raya dan JKR agar bekerjasama untuk merangka dan membina kemudahan yang selesa bagi mengelak kesukaran kepada rakyat.

Berikutan kemudahan terus tidak dapat digunakan lima bulan kemudian, pada 26 Mei 2010, Menteri Besar, sekali lagi berang dengan syarikat kontraktor yang gagal membaik pulih bumbung dewan bedah hospital berkenaan.

Ahmad Said dengan lantang menyebut bahawa pihak-pihak yang sepatutnya membaiki Dewan Bedah berkenaan telah cuai, tidak bertanggungjawab dan memalukan. Malah beliau mengatakan tidak boleh memaafkan perkara yang berlaku ini apabila ditanya media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu pada hari berkenaan.

Lantas timbul persoalan, siapakah yang wajar dipersalahkan. Apakah kerajaan negeri, UMNO-BN atau pihak Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kesihatan dan kontraktor yang sewajarnya dipertanggungjawabkan kerana gagal membaiki bumbung dewan bedah itu dalam tempoh tujuh tahun selepas siap pada 2003.

Bagi pemimpin PAS, mereka menuding orang politik dan parti pemerintah yang menyebabkan kelambatan sebaliknya, apa pula peranan jurutera, arkitek serta doktor pakar dalam mengatasi masalah yang melanda Dewan Bedah ini.

Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar (paling kanan) meneliti dokumen mengenai kerosakan dewan bedah Hospital Setiu.
Mesyuarat Exco Kerajaan Terengganu pada 26 Mei 2010 itu melahirkan rasa terkilan kerana pemimpin politik dan kerajaan negeri dijadikan ‘bakul sampah’ iaitu tempat dipersalahkan oleh pembangkang sedangkan pada mesyuarat bersama Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan negeri pada 13 April pada tahun yang sama, masalah dikenal pasti disebabkan oleh empat perkara.

Ia termasuk reka bentuk bangunan iaitu struktur bumbung dan reka bentuk yang tidak sesuai dan penggunaan kayu tidak berkualiti, atap genting iaitu kekuda kayu tidak dapat menampung beban atap menyebabkannya melendut.

Selain itu masalah juga diakibatkan bumbung konkrit rata yang menyebabkan permukaan tidak rata dan reka bentuk yang menyebabkan berlaku takungan dan resapan air berterusan selain saluran paip air hujan pada cucuran atap atau gutter yang mengakibatkan saluran paip tidak sesuai untuk mengalirkan air semasa hujan lebat.

Kini, masalah sudah diatasi dan banyak pengajaran daripada kes Dewan Bedah Hospital Setiu ini. Namun bagi pembangkang, walaupun sudah siap mereka tetap mempersoalkan pelbagai perkara dan tidak tahu erti berterima kasih kerana Dewan Bedah itu kini tersedia untuk digunakan oleh rakyat.

“Rumah siap, pahat terus berbunyi”, iaitu kata-kata sesuai untuk pemimpin PAS yang terus-terus mengkritik pemimpin UMNO dan Kerajaan Barisan BN negeri dalam isu ini.

Kita berharap rakyat Setiu akan menggunakan sepenuhnya kemudahan ini kerana kerana pesakit tidak perlu lagi ke Hospital Sultanah Nur Zahirah atau HSNZ di Kuala Terengganu untuk pembedahan yang kecil seperti membuang selaput mata dan sebagainya.

Yang penting, bukan sahaja rakyat di Setiu akan mendapat kemudahan kesihatan di hospital ini tetapi akan turut mengurangkan tekanan terhadap HSNZ, di mana sebelum ini semua pesakit tertumpu ke hospital berkenaan.

Nota - Sebahagian bahan sudah disiarkan melalui Bicara Terengganukita, TRG Fm 5 Ogos 2013, jam 1.30 tengahari.