Thursday, June 24, 2010

JULIA GILLARD PM WANITA AUSTRALIA PERTAMA

Tahniah untuk kaum wanita. Mereka membuktikan sekali lagi mampu melakukannya.

Julia Gillard menjadi Perdana Menteri wanita pertama Australia selepas parti pemerintah menyingkirkan bekas pemimpin nombor satu, Kevin Rudd sebagai ketua Parti Buruh.

Gillard yang menang tanpa bertanding kini menjadi perdana menteri ke-27 di negara itu dan merupakan pemimpin wanita pertama.

Beliau telah memilih Bendahari, Wayna Swan sebagai Timbalan Perdana Menteri, perkara itu diumumkan oleh Senator Michael Forshaw selepas mesyuarat kokus.

Sebagai Perdana Menteri baru, beliau akan memimpin parti bagi menghadapi pilihan raya dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Gillard mendapat 74 undian daripada 112 undian kokus, sokongan majoriti di dalam parti berkenaan.

“Rudd dan Gillard sudah dijangka akan bertanding, tetapi Rudd meletakkan jawatannya pada saat akhir. Rudd mengambil keputusan selepas 25 minit di dalam mesyuarat selepas mendapat tekanan daripada pelbagai laporan yang akan mengatakan beliau akan kalah.

“Tindakan itu sekaligus memberi laluan kepada Gillard untuk menjadi ketua Parti Buruh dan perdana menteri yang baru,” kata pegawai kerajaan Buruh, seperti yang dilaporkan oleh agensi berita China, Xinhua pada Khamis.

“Beliau (Gillard) akan mengangkat sumpah dalam waktu terdekat,” kata Forshaw yang turut menambah bahawa beliau kini yakin terhadap pilihan raya seterusnya akan diketuai kumpulan baru.

Rudd mengetuai Parti Buruh selepas kemenangan beliau dalam pilihan raya pada tahun 2007 selepas 11 tahun sebagai pembangkang.

Gillard sebelum ini menjadi Timbalan Perdana Menteri Australia yang merupakan wanita dan rakyat asing pertama memegang jawatan tersebut sejak 3 Disember 2007.

Beliau yang dilahirkan pada 29 September 1961 di Barry, Wales, United Kingdom sebelum ini pernah menjadi Menteri Pelajaran, Menteri Perhubungan Pekerjaan dan Tempat Kerja serta Menteri Hal Sosial.

Gillard menjadi ahli Parti Buruh Australia sejak pilihan raya persekutuan sejak tahun 1998 mewakili Divisyen Buruh di Victoria.