Friday, November 11, 2016

TPPA – ‘BABY MUSTAPA’ AKAN DI TANAM HIDUP-HIDUP DI BAWAH TRUMP....


TPPA adalah  perjanjian perdagangan yang 'dahsyat', ia perlu dibatalkan kerana "pengkhianatan terbesar" kepada rakyat Amerika yang akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan kepada akibat penyumberan luar kerja besar-besaran. - Donald Trump

Pada 3 November lalu,  Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed meramalkan terdapat kemungkinan Perjanjian PerkongsianTrans-Pasifik (TPPA) akan diratifikasikan oleh Kongres Amerika Syarikat (AS) sama ada pada akhir November atau awal Disember tahun ini.

Beliau membuat andaian itu selepas  diberikan gambaran ada kemungkinan perkara ini diluluskan oleh Kongres.

Beliau menyatakannya kepada wartawan Malaysia, di Beijing sebelum berlepas ke Cebu, Filipina untuk menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Mustapa, berada di Beijing mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sempena lawatan selama enam hari beliau ke China, akan ke Hong Kong kemudiannya untuk menghadiri majlis penutup Persidangan Asia Pasifik Perniagaan Jerman pada hari Jumaat.

Malah menurutnya TPPA  - dianggap 'baby Mustapa' - akan gagal tanpa penyertaan AS kerana Perkara 30 TPPA telah menjelaskan keperluan penyertaan AS dalam perjanjian perdagangan itu memandangkan AS adalah ekonomi terbesar dunia, menyumbang kira-kira 20 peratus output global.


"Apabila kita merundingkan TPPA, kita merasakan tanpa AS, ia kurang bermakna dan kurang berkesan," katanya.

Kini bukan sahaja ratifikasi TPPA tidak menentu nasibnya malah kebimbangan kerajaan khususnya oleh Mustapa sendiri yang dibayangkan pada 21 Mei lalu bahawa TPPA mungkin berkubur,  jelas semkin menghampiri kenyataan.

Mustapa bercakap di Dewan Rakyat pada tarikh tersebut berkata sekiranya calon Parti Republikan, Donald Trump, menjadi Presiden AS  yang baru bagi menggantikan Barack Obama, keadaan itu akan menjadi kenyataan.

Menyifatkan TPPA sebagai perjanjian perdagangan yang 'dahsyat', Trump mahu ia dibatalkan kerana TPPA merupakan "pengkhianatan terbesar" kepada rakyat Amerika dengan mendakwa perjanjian berkenaan akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan kepada rakyat AS daripada penyumberan luar kerja besar-besaran.

Bagi Trump, TPPA  tidak memberi kelebihan kepada negara Uncle Sam itu.

Berikut ialah pendirian Trump yang jelas tidak bersetuju dengan gagasan berkenaan.

"Donald Trump eviscerated the Trans-Pacific Partnership in a speech, repeatedly calling it “a continuing rape of our country.” Speaking at a campaign rally in St. Clairsville, Ohio, the presumptive Republican presidential nominee made his sharpest remarks yet about the Obama administration’s as-yet unratified trade deal, calling it a “disaster” and a “rape” of the American people.

“The Trans-Pacific Partnership is another disaster done and pushed by special interests who want to rape our country, just a continuing rape of our country,” Trump said. “That’s what it is, too. It’s a harsh word: It’s a rape of our country.” (28 Jun 2016)

Mustapa yang menggerakkan usaha ke arah menjayakan TPPA yang merupakan perjanjian perdagangan bebas yang dirundingkan sebagai sebahagian besar daripada Perkongsian Ekonomi Strategik Trans-Pasifik sejak 2010,  sebelum ini mengharapkan semua pemimpin ASEAN akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN akan datang, dan begitu juga pemimpin TPPA.

Beliau menjangkakan forum itu membincangkan perkembangan terkini berkaitan perjanjian perdagangan itu.

TPPA yang melibatkan 12 negara iaitu AS, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Malaysia telah memuktamadkan rundingan di Atlanta pada 5 Oktober 2015 dan menandatangani perjanjian di Auckland pada 4 Februari 2016.

Namun kini?


Mustapa menegaskan Malaysia kekal komited kepada TPPA, dan akan membincangkan mengenai perjanjian itu semasa mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik di Peru dalam tempoh dua minggu lagi.

Isunya dengan kedudukan sekarang apakah TPPA akan terus dibincangkan di Peru?

Semalam pula Mustapa memberi amaran Malaysia mungkin menerima kesan jika TPPA tidak diteruskan susulan kemenangan Trump dalam pilihan raya presiden AS  kelmarin.

Kebimbangan mengenai terbatalnya TPPA itu tercetus ekoran kenyataan Trump dalam kempennya tidak lama dahulu yang mahu perjanjian tersebut berkubur jika beliau dinobatkan sebagai presiden AS yang baru.

Kebimbangan Mustapa bukan sahaja memberikan kesan terhadap negara tetapi juga usahanya selama ini. TPPA ialah ‘baby Mustapa’.

Malah ada yang menggelarkan Mustapa sebagai ‘Menteri TPPA’ kerana usahanya yang dilihat bersungguh-sungguh meletakkan Malaysia antara 12 anggota TPPA.

Malah, beliau dan pasukannya dari MITI turut mengadakan kempen jalanan menjelaskan ‘kepada rakyat’ mengenai perjanjian yang ditentang oleh banyak pihak di negara ini.

Mustapa memetik kajian oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) yang mengunjurkan satu juta peluang pekerjaan dapat diwujudkan di Malaysia jika TPPA  terlaksana.

"Jika tiada TPPA, maka perkara tersebut tidak akan dihasilkan," jelas Mustapa sambil berkata kerajaan yakin dengan dapatan kajian PwC itu sejajar dengan jangkaan pihaknya bahawa perjanjian dagangan dengan AS  itu akan membantu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia.

Walaupun mengatakan sekarang ini masih terlalu awal untuk mengatakan apa yang akan berlaku namun Malaysia akan memantau perkembangannya dan berbincang dengan rakan dari 11 negara lain.

Meletakkan harapan dan mungkin untuk menyedapkan hati sendiri, Mustapa bagaimanapun berkata masih terlalu awal untuk membuat analisis sama ada Amerika Syarikat akan meneruskan TPPA atau sebaliknya.

 “Bagi saya terlalu awal membuat analisis kerana perkara ini baru berlaku beberapa jam dan kalau kita buat apa-apa andaian terburu-buru mungkin kurang tepat,” katanya kepada pemberita di parlimen Rabu lalu (9 November 2016).


Mustapa cuba menunjukkan sikap positifnya terhadap TPPA apabila mengatakan ketika dalam proses kempen pilihan raya, pelbagai kenyataan boleh dibuat.

Katanya pendapat yang mengatakan Trump tidak mahu melaksanakan TPPA hanyalah sekadar retorik politik bagi mendapatkan undi.

“Jadi kalau kita lihat kempen memang macam-macam kenyataan dibuat, ada berpendapat itu kempen retorik untuk dapat undi dan pancing undi.  Ada juga pandangan setelah menjalankan kerja sebagai presiden akan ada pengubahsuaian tapi sudah pasti ada perubahan kerana Trump kempen atas dasar untuk ubah dasar Amerika,” katanya.

Dalam konteks hubungan perdagangan dan diplomatik antara Malaysia dengan AS beliau percaya tidak akan ada banyak perubahan kerana negara tersebut banyak mendapat faedah menerusi sistem keterbukaannya.

Beliau berpendapat, akan ada perubahan dasar tetapi tidak akan ada perubahan yang radikal. “Sebab itu saya fikir tidak perlu terburu-buru. Tidak semestinya 100 peratus kenyataannya sebelum ini diterjemahkan kepada dasar," tegas Mustapa.

Yang diharapkan Trump akan terus memainkan peranan yang baik membawa keamanan dan kedamaian kepada dunia keseluruhannya selain AS meneruskan peranannya dalam membantu negara lain dari aspek pembangunan.

Persoalannya jika Trump nenanam hidup-hidup 'baby Mustapa' itu yang dijaga dan dibela oleh Mustapa sejak enam tahun lalu, apakah Mustapa juga akan merasai tempiasnya.

Jika ini berlaku mungkin gelaran kepada Tok Pa (Mustapa) sebagai Menteri TPPA akan lenyap dengan sendirinya.


Bermakna ‘sumbangan dan jasa Mustapa’ untuk Malaysia dalam konteks TPPA akan turut hilang seperti hilangnya legasi Baracck Obama di negara Uncle Sam itu.