Friday, September 25, 2015

TEKANAN HIDUP RAKYAT - PENDEKATAN PERKAUMAN BUKAN PENYELESAIAN....


Pendekatan perkauman dalam politik tidak sesuai, lebih-lebih lagi ketika ini, apabila sesuatu etnik bukan ditekan atau dijadikan mangsa ekonomi oleh suatu etnik yang lain.

Saya berpendapat tindakan untuk menunjukkan kekuatan Melayu kepada bukan Melayu ketika ini memang tidak sesuai sama sekali.

Harap-harap jangan ada pertelingkahan kaum yang diakibatkan oleh salah faham.

Kalau ada juga, mungkin tangan ghaib cuba berbuat sesuatu untuk kepentingan kedudukan atau sokongan kepadanya.

Kemiskinan rakyat kini bukan kerana peniaga Cina menekan orang Melayu dengan menaikkan harga barang atau sebagainya sesuka hati.

Juga bukan kerana orang bukan Melayu menjalankan dasar diskriminasi dalam apa juga bidang, khususnya perniagaan untuk melemahkan kuasa ekonomi orang Melayu.

Yang pasti,  himpitan hidup ketika ini yang dirasai oleh orang bawahan dan kelas menengah adalah akibat faktor luaran yang memerlukan langkah-langkah berkesan kerajaan menanganinya.

Dengan kata lain, pentadbiran negara perlu berhemah dan diuruskan dengan cekap. Menabur duit oneoff  kepada rakyat hanya langkah sementara dan bukan langkah berkesan.

Apakah kejatuhan harga minyak, kejatuhan nilai ringgit atau juga kejatuhan harga getah dan kelapa sawit diakibatkan oleh orang bukan Melayu yang menjadikan ramai orang Melayu merasai bebannya?

Bukan. Bukan sama sekali.


Di sinilah kita perlu merenung kembali apakah sesuai kita menggunakan pendekatan perkauman dalam mengorak langkah politik atau perjuangan kita.

Saya bersetuju dengan analisis oleh seorang penganalisis berpangkalan di Singapura Dr Ooi Kee Beng mengambil pandangan perkauman merupakan ciri "standard" dalam politik Malaysia, dan ia selalu "ada" untuk digunakan ahli politik.
"Perkauman adalah kad utama. Ia selalu boleh digunakan.
"Tetapi kini Melayu adalah majoriti dan dari segi ekonomi, mereka mengawal syarikat berkaitan kerajaan (GLC), mengawal kerajaan dan Parlimen... jadi mengatakan yang mereka diancam adalah tidak masuk akal."
Ooi yang merupakan timbalan pengarah Institut Yusof Ishak ,Institute of South East Asian Studies (ISEAS) berkata, lebih ramai orang mahukan Putrajaya fokus kepada pentadbiran baik berbanding asyik bercakap tentang hak kaum.
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/isu-perkauman-tak-berkesan-ketika-ekonomi-teruk-kata-penganalisis
Pandangan Dr Maszlee Malik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berkata, penggunaan isu perkauman tidak akan bertahan perlu diambil perhatian yang mendalam.

Ini kerana menurutnya,  kerana orang ramai perlu memikirkan kelangsungan hidup mereka apabila ekonomi mula memburuk.

Kedudukan ekonomi hari ini umpamnya dalam konteks kejatuhan ringgit amat membimbangkan dan ini tidak ada kena mengena dengan isu perkauman.

Hari ini ringgit melepasi paras 4.38 berbanding dolar Amerika dicetuskan oleh tahap mengehadkan kerugian, dalam dagangan rendah di pasaran. Peniaga menyifatkan lonjakan itu disebabkan arahan belian (melepasi paras 4.38) bagi mengimbangi kedudukan spekulatif yang dilakukan sebelum ini.
Ringgit mencatat tahap terendah, pada paras 4.3900 berbanding dolar, sejak krisis kewangan Asia 17 tahun lepas, pagi ini.
Unit tempatan itu kini tertekan akibat kurangnya petunjuk domestik selain harga minyak mentah yang lemah. yang menjejaskan minat global untuk mengambil risiko.
Dengan jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah, penurunan nilai yuan China ekoran kebimbangan mengenai ekonomi China, juga menyumbang kepada satu lagi pusingan penyusutan nilai ringgit.
Walaupun ada beberapa kebaikan daripada kedudukan nilai ringgit yang menjunam, namun kenaikkan harga barang amat dibimbangi dan begitu juga harga perkhidmatan lain.
Memburukkan keadaan GST yang dikenakan untuk berapa barangan keperluan rakyat,  semakin menghakis pendapatan orang ramai.
Jadi, jangan salahkan rakyat yang sedang dihimpit cabaran kehidupan jika percaya cakap-cakap Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa “ekonomi dan mata wang negara hanya akan pulih jika Datuk Seri Najib Razak disingkirkan.”
Rakyat yang semakin lemas akan berpaut kepada harapan baru dan kenyataan bekas Perdana Menteri itu bahawa  jika mata wang dan ekonomi mahu dipulihkan, Najib mesti berhenti menjadi perdana menteri. 
"Hanya apabila beliau berhenti menjadi perdana menteri Malaysia, ekonomi negara akan pulih, nilai ringgit meningkat semula dan kos sara hidup turun. Hanya selepas penyingkirannya rakyat Malaysia boleh berdiri sama tinggi dengan negara lain semula," kata bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu melalui blog popularnya chedet.cc hari ini.
Bagi rakyat, kenyataan siapakah akan mereka percayai ketika ini – sama ada oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang ‘berusaha membawa cahaya’ atau orang seperti Dr Mahathir yang sudah membuktikan keupayaannya mengatasi krisis ekonomi seperti pada akhir 1980-an dan 1996-1998?
Dalam konteks sekarang, soal perkauman dan parti bukan menjadi agenda utama rakyat.
Yang penting bagi mereka, dahan atau kapal manakah yang boleh mereka naiki!
Masalah ekonomi dunia akan berlarutan agak panjang dan sesiapa atau pihak mana yang mampu memberikan jawapan, di situlah rakyat akan berpaut.
Jika UMNO mahu rakyat, khususnya orang Melayu terus yakin kepadanya, inilah masanya menawarkan jawapan kepada penyelesaian masalah ekonomi yang melanda orang Melayu.
Dengan menawarkan jalan perkauman atau menyalahkan kaum dan etnik lain dalam mendapatkan jawapan kepada masalah ekonomi negara yang sedang merudum dan nilai ringgit yang semakin menjunam, ia adalah langkah PALING BANGSAT bagi perjuangan UMNO.
Rakyat, khususnya yang menyokong UMNO sebagai parti teras yang memerintah negara ini mahukan cadangan dan jawapan MUNASABAH bukan dengan cara cuba menghuruharakan negara demi kepentingan segelintir pemimpin yang rakyat sendiri sudah mual dan jijik dengan janji-janji dan dasar pemulihan yang dikemukakan!

JADIKAN ANWAR PM - PAKATAN HARAPAN BANKRAP IDEA

 


Semakin terserlah kini Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) seperti juga Pakatan Rakyat sebelum ini,  memang bankrap idea.

Matlamat penting mereka hanya untuk Anwar. Bagi mereka meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri adalah satu-satunya keutamaan. Yang lain datang selepas  itu.

Dalam sidang Meja Bulat Pakatan 2.0 kelmarin, Presiden PKR yang juga isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan pembangkang masih menamakan suaminya sebagai calon Perdana Menteri sekiranya mereka berjaya mentadbir negara.

Wan Azizah berkata, pembangkang percaya Anwar merupakan pemimpin paling sesuai untuk mena­ngani pelbagai isu nasional seperti kemelut ekonomi, salah urus tadbir, kebajikan rakyat dan perpaduan kaum.

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun kerana kesalahan meliwat.

Tak habis-habis dengan Anwar. Apakah tanpa Anwar, pakatan pembangkang akan lesu?

Kerana itu tidak hairanlah apabila PAS menyifatkan keputusan Pakatan Harapan untuk melantik Anwar Perdana Menteri sekiranya mereka memenangi pilihan raya umum akan datang sebagai perkara yang tidak realistik.

Mana realistiknya?

Dalam soal pemilihan Perdana Menteri, sewajarnya pembangkang perlu berpijak di bumi nyata.

Walaupun pembangkang mungkin menang pilihan raya umum dan berjaya membebaskan Anwar tetapi rekod buruk akibat dipenjarakan itu akan menghantui pembangkang selama-lamanya.

Berbanding dengan Barisan Nasional (BN), pemimpin pelapis yang akan mengambil alih pentadbiran negara tidak ‘memegang rekod’ seburuk Anwar.

Persoalannya, tidak ada orang lainkah  dikalangan pemimpin yang ada dalam Pakatan Harapan itu  layak menjadi Perdana Menteri? Jawapannya kini memang tidak ada.

Jika demikian, layakkan parti seperti itu berangan-angan mahu mengambil alih tampuk pemerintahan negara?

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menyifatkan tindakan mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri juga tidak boleh dianggap satu keputusan konklusif kerana Penasihat PKR itu masih berada di dalam penjara.

Malah PAS, walauapun tidak menyertai rundingan Beja Bulat, turut membincangkan  dalam mesyuarat kelmarin dan mengambil ketetapan bahawa sesuatu keputusan yang mukta­mad mestilah sesuatu yang realistik.

“Maksudnya, dalam keadaan Anwar sekarang di mana, takkan kita boleh buat satu keputusan yang konklusif bahawa dia yang akan menjadi Perdana Men­teri,” katanya di Kota Bharu, kelmarin.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Selangor , TanSri Abdul Khalid Ibrahim secara sinis menegur pakatan pembangkang yang yang sebulat suara memutuskan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya gabungan itu memenangi pilihan raya umum akan datang.

Menurut Khalid, keputusan itu mungkin menimbulkan pelbagai isu sekiranya tidak disusuli dengan penelitian yang terperinci dari sudut undang-undang memandangkan Penasihat PKR itu telah disabit dan menjalani hukuman penjara ketika ini.

 
“Perkara itu (keputusan pilih Anwar sebagai Perdana Menteri) perlu mengambil kira tentang undang-undang sama ada praktikal atau tidak,” katanya.

Berdasarkan apa yang diputuskan ini, langkah pertama pakatan ini sudah tersasar .

Mereka perlu melangkah lebih jauh dan jika langkah pertama sudah tersasar, pastinya  langkah-langkah berikut akan terus tersasar dan akan mengambil masa yang agak lama untuk kembali ke landasan yang betul.

Kita hanya berdoa agar rakyat tidak turut tersasar dan perjuangan menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri adalah tindakan yang tidak tepat.

Mungkin kerana soal seperti inilah, PAS perlu menimbang dan berfikir panjang untuk bersetuju dengan hasrat menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri.


PAS jangan jadi parti bangkrap idea seperti PKR, DAP dan Amanah sebaliknya tentukan arah perjuangan yang betul, kalaupun tidak mahu menjadikan UMNO sebagai rakan seperjuangannya.