Thursday, June 4, 2009

DR RAMZI DITUDUH MEMFITNAH WAN AHAMAD

Akhirnya selepas lebih dua minggu dibebaskan, Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, 42, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Ia ada kaitan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bulan lalu.

Bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah terhadap empat tuduhan berhubung ugutan jenayah melalui SMS berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, pada 11.21 malam 13 April lepas di E726 Jalan Kubang Parit, Kampung Kubang Parit di sini, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin Abdullah, ADUN Paka, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepadanya.

Ahmad Ramzi juga didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Abdul Halim Jusoh, ADUN Permaisuri, pada tarikh, tempat dan waktu yang sama, dan juga terhadap Datuk Rosol Wahid, ADUN Ajil, pada 11.25 malam di tempat dan pada tarikh yang sama.

Untuk ketiga-tiga pertuduhan itu, Ahmad Ramzi boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat pada tarikh dan tempat yang sama, antara 11.21 malam dan 11.25 malam, dia didakwa memfitnah Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin, Abdul Halim dan Rosol, melalui laman web http://ownsmsbiz.com/v1 dengan menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Idris Jusoh itu, kelihatan tenang ketika pertuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Hakim Mohamad Khalid Abdul Karim.

Beliau mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas empat pertuduhan berhubung penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan jenayah kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu, April lalu.

Mahkamah membenarkan Ahmad Ramzi, 37, diikat jamin sebanyak RM8,000 dan diarah menyerahkan pasport.

Hakim Mohamad Khalid menetapkan 19 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Bagi kesalahan itu, Ahmad Ramzi boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

AHMAD RAMZI DIBAWA KE MAHKAMAH?

(Berita Awal)

Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, bekas setiausaha politik Datuk Seri Idris Jusoh, kena dakwa?

Beliau dikatakan dilihat dibawa ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pagi ini.
Beliau dipercayai untuk proses pendakwaan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN), April lalu.

Ahmad Ramzi pada 13 Mei jam 9.25 pagi lalu dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Terengganu sehari sebelumnya.
Dr Ramzi ditahan bagi membantu siasatan kes penghantaran SMS ugutan kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu, bulan lepas.
Beliau ditahan kira-kira pukul 8.30 pagi 12 Mei di sebuah hotel apartment sebelum di bawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk siasatan.

Sebelum Ahmad Ramzi ditahan, polis terlebih dahulu menggeledah rumahnya di Kampung Kubang Parit di sini petang semalam selepas beliau gagal tampil sehingga pukul 3 petang dan merampas dua unit komputer riba dan sebuah modem.

Dengan tangkapan Ahmad Ramzi itu, polis percaya siasatan kes berkenaan kini sudah 95 peratus selesai.

HUSAM PENTINGKAN DEMOKRASI, MEMBELAKANGKAN SYURA

(Dikemaskini)

Saya tertarik dengan perbahasan oleh perwakilan Perwakilan Pahang, Shukri Ahmad pada muktamar Dewan Ulama PAS yang menempelak perjalanan pemilihan jawatan kanan PAS yang didakwanya gagal diselesaikan dengan kaedah syura atau kompromi sehingga boleh membawa kepada perpecahan.

"Masing-masing hendak tawar diri (bertanding). Kita tidak nafi pertandingan itu dibolehkan atas dasar demokrasi dalam parti. Tetapi kita dalam masa yang sama mesti lihat pada konsep syura.

"Kenapa Dewan Ulama boleh selesaikan masalah kepimpinan secara syura tetapi kepimpinan tonggak kita tidak (boleh)?" katanya.

"Hasil pengundian dan perlawan tersebut sedikit sebanyak akan mengguris hari. Hendak satukan hati payah, nak berpecah memang mudah.

Kalau Dewan Ulama boleh, kenapa (pemimpin PAS) pusat tak boleh? Kalau Dewan Pemuda boleh, kenapa di peringkat pusat tak boleh? Perkara ini (pertandingan) perlu ditegah."
Jelas di sini, ada pihak yang menganggap pertandingan terbuka khususnya untuk jawatan

Timbalan Presiden seharusnya dilakukan melalui syura.
Tetapi sebaliknya yang berlaku. Kenapa?
Kerana ada yang berminat dan tidak boleh sabar. Dengan kata lain, kalaupun ada cara Islam – syura – tetapi jalan demokrasi yang dipilih. Lebih mengejutkan Musyridul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat bagaikan merestui pertandingan itu.

Kenapa? Kerana orang yang ditajanya bertanding.
Jadi adat bertanding akan ada menang, ada kalah.
Namun, kenapakah media rata-rata memberikan tumpuan lebih kepada Datuk Husam Musa dalam soal pemilihan Timbalan Presiden PAS?

Kenapa begitu besar diberikan ‘penghormatan’? Apakah kerana beliau bakal pengganti Presiden dalam tempoh terdekat?
Apakah kerana nampak kerusi Presiden, Husam sanggup membelakangkan syura dan memilih cara demokrasi yang ditaja oleh Barat?

Atau apakah kerana Husam bijak ‘berbaik-baik’ dan menawan hati editor dan orang kuat media khususnya media web selain akhbar seperti The Star?

Bagi saya ada beberapa faktor kenapa Husam mendapat perhatian.

Pertama kerana dia mencabar Nasharuddin Mat Isa yang sudah dua penggal menjawat TImbalan Presiden;

Kedua, PAS dilihat sedang menyediakan pengganti yang boleh bekerjasama dengan lebih ‘rapat’ dengan komponen pakatan pembangkang;

Ketiga, Husam dilihat rapat dengan Anwar Ibrahim dan bersedia ‘tunduk’ kepada Anwar;

Keempat, Husam dilihat keras dan tidak akan ‘berbaik-baik’ dengan Barisan Nasional (BN); dan

Kelima, Husam boleh ‘bertolak-ansur’ dalam perkara-perkara yang ada ‘kepentingan’ bagi parti seperti Parti Keadilan Rakyat dan DAP.

Lima ciri berkenaan dikatakan tidak ada pada Nasharuddin lebih-lebih lagi beliau dikatakan orang yang boleh memulakan hubungan dengan UMNO dan BN.
Lebih buruk, kempen orang Husam terhadap Nasharudin ialah kononnya beliau cuba membawa PAS bergabung dengan Umno.

Inilah persepsi yang ditanam di kepala orang PAS dan perbuatan Nasharudin yang penuh kesederhanaan itu bagaikan dosa besar yang tidak boleh diampun.

Mungkin kerana tohmahan itu Timbalan Presiden PAS itu malam semalam terpaksa menegaskan bahawa pucuk pimpinan parti itu tidak pernah mempunyai niat atau perancangan untuk membawa Pas menyertai UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya beliau berkata, PAS akan terus dipertahankan daripada sebarang unsur yang boleh menjejaskan keutuhan dan perpaduan parti.

Tegasnya: ''Saya amat percaya adik-adik saya di dalam Dewan Pemuda Pas bersama-sama dalam agenda ini. Akan kita pertahankan parti ini daripada sebarang unsur yang cuba merobek dan mengganggu keutuhan jemaah kita,"

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat ke-50 di Dewan Datuk Haji Fadzil Mohd. Noor, Markaz Tarbiyyah Pas Taman Melewar dekat sini malam ini.

Berbading dengan Nasharudin, Husam lebih hebat kedudukannya kerana beliau adalah Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang boleh ‘memberikan apa sahaja’ kepada perwakilan.

Sedangkan pencabarnya seperti Ahli Parlimen Kuala Kedah, Mohamad Sabu dan Nasharuddin sendiri hanya wakil rakyat.

Husam berkedudukan sebagai ‘orang nombor dua’ dalam kerajaan negeri Kelantan – lupakan Timbalan Menteri Besar – tetapi dalam keadaan tertentu, beliau paling berkuasa di Kelantan kerana mendapat kepercayaan Menteri Besar.

Husam berusaha menunjukkan kepada ahli PAS bahawa beliaulah ‘pengganti Hadi’ yang sebenar-benarnya dengan sikapnya yang boleh ‘ke kanan dan ke tepi”.

Jika PAS ditadbir Husam, ia akan mudah untuk bekerjasama dengan komponen Pakatan Pembangkang lain kerana beliau liberal.

Walaupun tiga mufti mengatakan mogok lapar haram, Husam mempertahankan rancangan pakatan pembangkang untuk melancarkan mogok lapar selama tiga hari bagi mendesak Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan.

Maknanya Husam boleh apa saja asal lawan UMNO dan BN.’

Lagipun beliau sudah mengakui kawan Anwar pada 16 Mei lalu dan berkongsi matlamat dan perjuangan yang sama iaitu menumbangkan UMNO.

''Anwar matlamat dia untuk menumbangkan UMNO dan itu juga perjuangan saya untuk lebih 30 tahun. Maka kenapa saya tak boleh berkawan dengan beliau?” tanya beliau.

Sementara itu, perwakilan Terengganu pada muktamat itu, Saiful Bahari Mamat mahukan Presiden PAS dan timbalannya mestilah seorang ulama kerana kedua-duanya akan menganggotai badan berpengaruh besar dalam penggubalan dasar parti itu, Majlis Syura, demikian desak seorang perwakilan di muktamar Dewan Ulama PAS.

Beliau menegaskan, perkara itu mesti dipertegaskan kembali kerana ia digariskan dalam perlembagaan parti.

"Presiden dan timbalan presiden secara automatiknya akan menganggotai Majlis Syura. Oleh itu mereka mesti alim dan mempunyai kefahaman mendalam tentang agama. Kita mesti mempertegaskan perkara ini," katanya

PANTAU PROJEK MEGA TERENGGANU

Rakyat didahulukan!

Pertama, menjamin keselamatan rakyat yang menggunakan kemudahan disediakan dan kedua menjamin perbelanjaan untuk projek, apalagi dianggap mega – tidak membazir.

Sebagai pengguna, rakyat perlu mendapat perlindungan keselamatan yang maksimum selain mendapat kemudahan sewajarnya melalui perbelanjaan yang dikawal dan berhemah.

Berikutan itu projek-projek mega di Terengganu terpaksa dipantau bagi tujuan ‘rakyat didahulukan’ dan pastinya termasuk tiga projek yang tahap keselamatannya menjadi persoalan sekarang.

Ia termasuk terminal Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Gong Badak, Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Burok dan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.
Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak dibina dengan harga RM292 juta untuk kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2008 pada 31 Mei hingga 9 Jun tahun lepas.
Bangunan terminal LTSM bernilai RM123 juta yang pembinaannya bermula tahun 2004 sepatutnya siap pada Ogos 2007, namun tertangguh hingga April 2008. Bagaimanapun ia sempat digunakan untuk Kejohanan Sukan Kuda Lasak 2008 tahun lalu.

Pada sidang media petang semalam, Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata berikutan kebimbangan kejadian runtuhan bumbung berulang, kerajaan negeri mengarahkan Jabatan kerja Raya (JKR) memberi perhatian ke atas tahap keselamatan beberapa projek mega yang baru siap di negeri ini.
Jangan salah anggap. Bukan mahu menyalah sesiapa.
Ia tidak ada kena mengena dengan individu tertentu atau kontraktor yang membina projek berkenaan. Jadi adalah silap jika ada pendapat – termasuk melalui blog –yang cuba mempertahan individu tertentu seolah-olah ada pihak yang menuding jari kepada orang itu dan orang ini.

Hanya persoalan – apakah ada kait mengait beberapa individu (orang politik tertentu) dengan tiga syarikat berikut – Gengang Mercu, EMarcom Sdn Bhd dan Bina Struktur Sdn Bhd?

Semalam, kehadiran tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu termasuk pengarahnya, Ahmad Sabri Hussin di tempat kejadian menjadi tanda tanya. Apakah langkah mereka seterusnya?

Apapun, Kerajaan Negeri Terengganu mahu pantau balik beberapa projek mega yang selama ini dianggap mercu tanda negeri.

Khabarnya, Yang Dipertuan Agong turut bimbang dengan kejadian yang menimpa Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin dan mengarahkan siasatan terperinci dijalankan.

Tunku Sultan Mizan Zainal Abidin dilaporkan meminta gambar-gambar keruntuhan stadium berkenaan sambil mendapatkan jawapan daripada Kerajaan Negeri mengenai kejadian itu.

Ahmad Said menafikan projek-projek yang dipantau itu adalah ‘projek segera’, termasuk bumbung stadium yang runtuh itu dibuat secara segera untuk sukan Sukma.

"JKR dan kontraktor sudah diberi masa yang secukupnya, malah ada beberapa komponen projek berkenaan yang siap lewat daripada tempoh ditetapkan.

"Benda (projek) itu berdasarkan jadual. Kalau jadual sudah ada, kena penuhilah. Jadual itu JKR yang buat, bukan saya. Kita tak ada beri tekanan pada sesiapa," katanya.

Ahmad memberi contoh, ada kepingan atap bangunan LTSM yang sudah tercabut menyebabkan berlaku kebocoran yang memerlukan tindakan dilakukan.

''Tidak tahulah sama ada bumbung tercabut dipukul ribut, tapi kita kena tengok takut ada masalah lain. Kita bimbang juga sebab semua bangunan ini baru belaka.

''Mungkin buatannya kasar sangat atau ada perkara yang tidak betul. Arkitek sepatutnya mengambil kira faktor cuaca. Terengganu berada di tepi pantai, angin monsun bertiup kuat dan ini akan membebankan struktur bangunan. Sepatutnya binaan mesti lebih kukuh," ujarnya.

Selain itu, difahamkan kompleks peranginan di Pulau Duyong - Ri-Yaz Heritage Resort & Spa juga akan dipantau bersabit kualiti kayu yang digunakan.

Beberapa bangunan utama dalam kompleks berkenaan pernah diperbaiki kerana dikatakan kayu yang digunakan berkualiti rendah.

Buatlah yang terbaik demi pengguna dan menyelamatkan wang kerajaan negeri daripada menanggung beban tidak tentu pasal.

Utamakan rakyat. Wang Kerajaan adalah wang rakyat!