April lalu, lebih 100 ahli UMNO Bahagian Kota Bharu berhimpun secara aman di Jalan Sultanah Zainab di Kota Bharu bagi membantah tindakan Datuk Zaid Ibrahim yang cuba menjual bangunan milik parti itu dengan harga berjuta ringgit.
Kesemua ahli terbabit membidas Zaid yang dikatakan bersikap tidak amanah dan melanggar perjanjian apabila premis parti bertukar menjadi miliknya.
Malah sebelum itu (pada Februari 2010), Setiausaha UMNO bahagian tersebut, Zulkifli Abd. Ghani telah membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu terhadap Zaid yang didakwa telah mengambil-alih sebuah syarikat milik parti tersebut, Umbak Baru Sdn. Bhd. yang merupakan pemilik tanah bangunan itu.
Menurut Zulkifli, apabila dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu pada tahun 2001, Zaid telah mengambil-alih syarikat itu dan memegang amanah bagi pihak parti tersebut.
"Selepas tewas kepada Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh pada pemilihan bahagian yang lalu, dia cuba untuk menjual bangunan ini kepada pihak ketiga. UMNO Bahagian Kota Bharu telah memasukkan kaveat persendirian untuk menahan penjualan tanah dan bangunan tersebut kerana ia adalah hak milik kami," katanya.
Dilaporkan, Zaid telah menggadaikan tanah dan bangunan itu kepada Bank Rakyat sebanyak RM5.3 juta beberapa tahun lalu.
Pengurusan bahagian itu telah menghantar surat kepada Zaid untuk berbincang dan mengambil semula bangunan tersebut tetapi beliau meminta pihaknya membayar sebanyak RM9.5 juta melalui surat yang dihantar pada April 2009.
Selepas perbincangan dilakukan, pada Oktober lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menghantar surat melalui wakilnya dengan mengurangkan harga bangunan itu kepada RM8 juta sahaja.
Difahamkan, Zaid tidak pernah mendedahkan kos sebenar yang dikeluarkannya untuk menyiapkan pembinaan bangunan tersebut dan pihaknya tidak pernah bertanya pada ketika itu kerana percaya serta yakin beliau berpegang kepada amanah yang diberikan.
Kelmarin apa yang dibimbangi UMNO kota Bharu menjadi kenyataan.
PAS Kelantan mendakwa mencatat satu lagi sejarah sempena genap usia 20 tahun pemerintahan apabila berjaya memiliki bangunan empat tingkat yang pernah dijadikan pejabat Umno Bahagian Kota Bharu.
Tindakan Zaid menyebabkan kemarahan pihak-pihak tertentu di UMNO Bahagian Kota Bharu, terutamanya Fatmi.
Menurut laporan kijangjantan, UMNO Bahagian Kota Bharu menyifatkan Dewan Pemuda Pas Kelantan dan penyelaras pakatan pembangkang, Zaid sebagai tidak bermoral kerana terlibat dalam penjualan Bangunan UMNO Kota Bharu. Ini kerana Zaid menjual harta ‘orang lain’ manakala kepimpinan Pas pula mengetahui bahawa tanah bangunan tersebut milik UMNO Bahagian Kota Bharu.
Beliau berkata, biarpun tanah bangunan tersebut atas nama Zaid tetapi ia hanyalah prosedur biasa kerana pada ketika itu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menerajui bahagian berkenaan.
“Penjualan bangunan ini memang tidak betul, tanah itu hak UMNO. Kalau tengok syarat kegunaan tanah pun untuk kegunaan UMNO, separuh daripada bangunan ini dibina oleh Tengku Ahmad Rethaudeen tetapi UMNO diharamkan ketika itu, jadi ia terbengkalai sehinggalah Zaid menyiapkannya, itu pun hanya 30 peratus, “ kata Fatmi.
Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian berkenaan, Datuk Kamarudin Abdullah berkata, kerajaan negeri perlu membuat penjelasan berkenaan memandang mengikut keputusan mesyuarat exco kerajaan negeri pada tahun 80-an telah memutuskan bahawa tanah berkenaan hanya untuk didirikan premis bangunan UMNO dan premis perniagaan.
‘‘Berdasarkan kepada keputusan itu kerajaan negeri pada masa tersebut mengeluarkan geran atas nama pemiliknya Umbak Baru Sdn.Bhd dengan meletakkan syarat yang sama. Oleh itu kita hairan bagaimana Pas Kelantan boleh membeli bangunan itu dan lebih aneh ia dijual atas nama bangunan UMNO Kota Bharu,’’ katanya.
Menurut Kamarudin, beliau kecewa dengan sikap kerajaan negeri dan Pas Kelantan yang sewenang-wenangnya melakukan pembelian tersebut tanpa mempedulikan sama ada ‘ia halal atau haram'.
Anehnya, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,mengulas perkara ini mengatakan sekiranya bangunan milik Umno Bahagian Kota Bharu itu dapat ‘ditawan’ Pemuda PAS semoga ianya dijadikan perangsang untuk menawan negara pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan bangunan baru Dewan Pemuda PAS yang bernilai RM4.5 juta, pagi semalam. Katanya, kejayaan itu hasil kemenangan perjuangan yang didokong semua pihak khususnya golongan pemuda dalam menggalas tanggungjawab menyebarkan dakwah Islam.
“Kalau kita dapat menawan Kota Bharu sebagai ibu negeri Kelantan, diharap pada masa akan datang kita dapat menawan Putrajaya,” ujarnya.
Majlis perasmian bangunan yang dinamakan Asy-Syabab Point itu berlangsung dengan penuh gilang gemilang apabila Nik Aziz diarak ke pejabat berkenaan dari JKR 10 dengan menaiki motosikal yang diiringi 20 orang pemuda.
Blog http://ohsedapnya.blogspot.com, hari ini mengatakan “tawanlah apa sahaja milik Datuk Zaid Ibrahim. Kalau mahu pejabat peguamnya di Bandar Damansara pun tidak apa. Kenapa? Ia bukan milik UMNO atau sebagainya. Ia milik peribadi Datuk Zahid.
“Cuma kadangkala termenung juga kita kerana mungkin Zaid menggunakan peluang melalui UMNO untuk membeli ‘harta’ sedemikian. Ramai yang tahu Zaid memang menggunakan peluang ketika dalam UMNO untuk mendapatkan bisnes, termasuk menjadi peguam kepada projek perumahan mega dan sebagainya.
Tetapi jika kini Zaid merasakan dia mahu jual hartanya, itu haknya. Tidak mengapa dan jika Zaid merasakan nak bagi free pun tidak apa!”
Dalam kes ini hanya Zaid yang dapat menjawab kesemua ‘tuduhan’ ini.
Persoalannya, apakah benar Zahid membuat untung berlipat ganda. Juga kenapa beliau tidak menjualnya kepada UMNO Kota Bharu tetapi kepada PAS.
Juga persoalan ialah jenis manusia TAMAKkah Zaid ini?