Friday, April 17, 2009

MENUNGGU SIAPA PENYEBAR SMS & KEPUTUSAN NAJIB

(Dikemaskini)

Bola kini di kaki Najib.

Beliaulah yang akan mengatasi kemelut politik di Terengganu.

Bukan Menteri Besar Terengganu sahaja meletakkan harapan kepada Perdana Menteri tetapi juga Kumpulan 10.

Persoalan ialah benarkah penghantar sms yang menyebabkan pemulauan sidang DUN orang Datuk Ahmad Said. Atau mungkinkah juga ada ‘wayang’ dalam kes ini – daripada puak Kumpulan 10?

Mungkin Perdana Menteri dan Menteri Besar Terengganu sudah tahu identiti orang berkenaan dan bukan ‘orang Ahmad Said’?

Sebagai rakyat, kita menunggu polis mendedahkan mereka yang disyaki atau mungkin identiti yang sudah dikenal pasti.

Orang yang melakukan perbuatan ini, termasuk yang bersekongkol patut dijatuhi hukuman berat. Pengkhianat dan laknat!

Difahamkan, semalam Ahmad Said berbincang dan menjelaskan banyak perkara kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak di Putrajaya.

Isu pokok ialah kenapa Ahmad Said diminta ‘turun’?

Selain itu, perbincangan dikatakan berkisar sekitar apa patut dilakukan oleh UMNO untuk menautkan kembali penyokong dan rakyat Terengganu.

Laporan Malaysiakini semalam menyebut kumpulan 10 kecewa kerana tiga sebab:

1. Menteri Besar tidak melantik mereka sebagai ahli jawatankuasa (AJK) Umno tambahan, apabila mereka kalah dalam pemilihan parti tahun lalu;

2. Menteri besar juga tidak memberi kuasa kepada mereka untuk melantik ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) di kawasan masing-masing. Mulai tahun ini pelantikan JKKK diputuskan oleh ketua Umno bahagian selepas menerima cadangan dari Umno cawangan.

3. ADUN tidak dilantik menjadi penyelaras DUN sedangkan mereka yang paling tahu di kawasan tersebut.

Ketika ini hanya Datuk Seri Idris Jusoh, sementara sembilan lagi ADUN berkenaan, bukan ketua bahagian.

Ternyata mereka ini tidak dapat menerima perubahan yang cuba diperkenalkan oleh Ahmad Said dan menganggap ‘sistem Idris’ sebagai yang terbaik.

Hakikat sebenar mungkin apa yang diperkatakan itu hanya ‘penyebab’ tetapi sebab sebenar ialah mereka masih marah kerana Idris tidak dilantik sebagai Menteri Besar.

Hari ini punca kemarahan terhadap Ahmad Said semakin terserlah apabila dikatakan lebih sepuluh ADUN BN menerima laporan gelagat pentadbiran Ahmad Said yang didakwa penuh dengan politik cantas dan kelemahan - yang menjadi asas kemarahan mereka.

Ahmad Said didakwa memecat atau menggantikan pegawai dan tokoh politik dalam era pentadbiran Idris.

Ini termasuk:

1. Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pembangunan Terengganu (TDI) Dr Azmi Omar, dan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat pelaburan negeri Terengganu Inc. Datuk Seri Azlan Hashim dan Tan Sri Razali Ismail.

2. Bekas ketua Puteri Umno negeri, Nordiana Shafie diberhentikan sebagai pengerusi lembaga pengarah Kuantan Medical Centre (KMC) dan khidmatnya sebagai senator tidak disambung sepenggal lagi.

3. Pengarah eksekutif Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd, pengurus besar Kemaman Supply Base (KSB), dan pengurus besar Konsortium Pelabuhan Kemaman juga dipecat.

4. Seorang penyokong PAS didakwa dilantik sebagai pengerusi lembaga pengarah syarikat perkayuan bawah Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

5. Menteri besar juga didakwa "membuat pertukaran besar-besaran (67 orang) para pegawai tadbir kerajaan negeri pada Disember 2008."

6. Dua bekas guru sekolah rendah masing-masing dilantik untuk memimpin Unit Terengganu Bestari (U-Best) dan KMC yang dianggap "tidak tepat."

Laporan tanpa tarikh itu mendakwa Ahmad Said melantik mereka yang tidak berkeupayaan untuk mengetuai beberapa agensi kerajaan negeri, termasuk Terengganu Inc.

Sementara jawatan senator diberi kepada ketua-ketua Wanita (Umno) yang tidak lagi mampu menyumbang kepada negeri,

Malah, laporan itu menyebut, ada di kalangan mereka yang diturunkan (pangkat) jawatan. Tindakan tersebut telah menyebabkan mereka hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar," laporan itu dipetik.

Laporan tersebut tidak disediakan oleh kelab penyokong BN negeri tetapi dipercayai daripada kajian orang-orang Idris.

Pengerusi kelab itu Datuk Rosol Wahid berkata, laporan itu dibuat untuk membolehkan ADUN mengetahui kelemahan Menteri Besar. "Kelemahan ini yang menyebabkan pentadbiran kerajaan negeri menjadi huru-hara dan Umno tidak bersatu," katanya kepada Malaysiakini.

Apapun, kumpulan yang menyokong Idris perlu sedar bahawa implikasi daripada laporan itu mencerminkan kepentingan kumpulan berkenaan semata-mata.

Malah, kumpulan itu jelas mendabik dada, mereklah kumpulan paling layak dan orang lain berkelulusan rendah dan ‘tidak sekolah’.

Kerana itu, dalam kemelut ini, ada juga pihak – khususnya rakyat – yang marah kepada kumpulan 10 dan faham kenapa Idris ditolak oleh istana.

Najib sendiri sudah banyak belajar politik Terengganu, apa lagi ketika pilihan raya kecil Kuala Terengganu awal tahun ini beliau sepanjang masa berada di negeri itu.

Malah, beliau turun padang bersama-sama Ahmad Said untuk meninjau kedudukan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau juga menyaksikan bagaimana politik di Terengganu sejak ‘krisis pelantikan Menteri Besar’ pada Mac 2008.

Dengan kata lain, Najib lebih tahu daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perkara ini dan Najib memang layak – bukan sahaja mengeluarkan kenyataan tetapi juga tindakan.

Banyak cakap-cakap mengaitkan kononnya Ahmad Said adalah ‘orang bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi’ namun hakikatnya yang Abdullah mahukan Datuk Seri Idris Jusoh.

Hanya selepas Idris ditolak oleh istana, barulah Ahmad Said wujud di persada kuasa dan tidak ada kena mengena dengan sesiapa pun.

Malah, sebenarnya Ahmad Said dilihat lebih kepada Najib dan Idris juga selepas peristiwa ‘kegagalannya ditabalkan menjadi Menteri Besar; turut mendekati Najib.

Pada majlis memperkenalkan calon BN pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu di kediaman Menteri Besar, Najib mengatakan “Idris juga ada peranan’.

Persoalannya, kenapakah kumpulan yang menyokong Idris di Terengganu tidak sabar untuk melihat ‘peranan apa’ yang akan dimandatkan oleh Najib kepada Idris?

Dengan melakukan pelbagai kerenah akan mencalarkan imej Idris dan pastinya akan menjadikan kedudukannya semakin sukar.

Malah, ada khabar angin mengatakan Idris mahu diserapkan dalam Kabinet Najib tetapi kerana ‘sebab-sebab tertentu’, Idris menerima nasib malang tidak dilantik.’
Sejauh mana benarnya, hanya Najib yang tahu.

Ini jelas membuktikan Najib tahu apa kedudukan Idris sebenarnya dan bagaimana kedudukan Idris pada mata pihak-pihak tertentu, khususnya istana.

Di Kuala Lumpur dan Putrajaya, hanya ramalan politik boleh dilakukan tetapi di Terengganu, UMNO negeri perlu turun padang dan menjelaskan kepada rakyat apa juga tindakan yang dilakukan Kumpulan 10 dan kesan sokongan kepada UMNO.

Petanda awal seperti yang berlaku di DUN Tepoh dua malam lalu apabila wakil rakyatnya dipersoal bertalu-talu mengenai kesan tindakan 10 ADUN memulaukan persidangan DUN berkenaan Selasa lalu.

Di kalangan rakyat, bukan semuanya bersetuju dengan cara 10 wakil rakyat berkenaan, apa lagi sokongan kepada UMNO kini dipersoalkan.

Benar juga kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang, bahawa kepemimpinan Umno negeri akan turun padang dalam tempoh terdekat bagi memberi penjelasan kepada rakyat mengenai isu penyebaran SMS ugutan bunuh berkenaan.

Katanya, langkah itu bertujuan memberi tahu rakyat negeri ini situasi sebenar yang berlaku dan mengelakkan mereka daripada terus membincangkan perkara yang tidak sepatutnya dipanjangkan kerana isu itu hanya membabitkan salah faham.

"Sebaliknya semua rakyat perlu bersama dengan Adun dan Ahli Parlimen di kawasan mereka menyokong agenda pembangunan yang sudah direncanakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said," katanya.

Tengku Putera berkata, beliau sudah dihubungi ketua bahagian dan pemimpin setiap sayap parti di peringkat cawangan dan bahagian menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Ahmad Said.