Thursday, June 2, 2016

NAK BERBUDI DENGAN PAS KONON – ISLAM KINI TERDEDAH KUTUKAN


UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang  ambil langkah salah perlu bertanggungjawab. Lihat apa sudah jadi dengan cercaan terhadap RUU 355 dan Hudud.

Jika Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta 355 (Bidang Kuasa Mahkamah Syariah) atau RUU 335 tersangat penting, kenapa pula beri Presiden PAS, Abdul Hadi Awang untuk mengusulkannya di Dewan Rakyat?

Sedangkan hakikatnya, usaha meminda Akta 355 itu adalah usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh UMNO untuk memperkasakan bidang perundangan Syariah sedia ada.

Ia diharap akan berubah  kepada sistem yang selari dengan perkembangan semasa dan berakar kukuh kepada sumber-sumber perundangan syariah yang diiktiraf di dalam Islam.

Usaha ini wajar disokong dan sudah pasti selain menegakkan Islam, ia membawa kelebihan atau milage kepada UMNO selepas menjelaskan tujuan murni itu kepada parti komponen Barisan Nasional.


Sebaliknya, kenapa pula UMNO mahu menghadiahkan milage itu kepada PAS dan Hadi?

Umno bukan sahaja terlepas peluang baik sebaliknya menghulurkan lehernya untuk dijerut dan disembelih,  bukan sahaja oleh parti komponen BN, sebaliknya juga oleh PAS.

Politik baik hati, berbudi dan bekerjasama konon! Dalam ungkapan orang kampung, disebut ‘bodoh tak habis-habis’.

Untuk rekod, usul mengenai RUU itu dibacakan buat kali pertama selepas dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan disokong Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Melalui cadangan pindaan usul persendirian itu, ia hanya terpakai kepada orang-orang Islam di negara ini dan tidak memberi kesan langsung kepada golongan bukan Islam, selagi hak beragama yang diamalkan bersikap aman dan damai terhadap Islam.

Ia juga tidak ada kena mengena dengan Enakmen Jenayah Syariah II Negeri Kelantan yang pernah dicadangkan di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom sendiri mengakui usaha ini. Pindaan ini akan meningkatkan jumlah hukuman di Mahkamah Syariah yang telah begitu lama tidak dipertingkatkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap usul itu akan dapat memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menjatuhkan hukuman jenayah mengikut ketetapan syariah dan tidak sesekali melangkaui bidang kuasa Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan.

Usul itu adalah untuk dibahas dan dipinda bagi membolehkan Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman berkaitan dengan zina, qazaf, minum arak dan murtad melebihi kuasa sedia ada sebelum ini.

Usul berkenaan bertujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan seksyen 2A iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.

Jika demikian, bukankah pelik apabila Hadi yang memang ‘berwajah Hudud’ diberikan ruang untuk membentangkan usul berkenaan, apalagi ia bukanlah  bertujuan untuk mewujudkan undang-undang baharu berkaitan Hudud.

Tidak ada Menteri dalam kerajaan yang berupaya membentangkan usul ini? Di atas nasihat siapakah boleh Perdana Menteri atau pemimpin tertinggi kerajaan bersetuju dengan cadangan ini?

Kerananya, timbul berbagai  tuduhan, termasuk oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga peguam terkenal Datuk Zaid Ibrahim bahawa Presiden PAS itu mengubah suai undang-undang hudud bagi memenuhi keperluan politiknya, sebahagiannya untuk mengekalkan sokongan pengundi Cina.

"Hudud, versi asal undang-undang Allah Taala, pastinya meliputi semua orang dan jika hukuman membawa kepada kematian, biarlah. Itu hukum Allah, tetapi Abdul Hadi mengubah suai untuk memenuhi agenda politiknya. Beliau hanya menjadikan undang-undang itu tertakluk kepada orang Islam, jadi beliau boleh kekalkan undi Cina," kata bekas menteri  baru-baru ini.

Gara-gara Hadi membentangkan usul itu, pelbagai kekecohan dan keributan berlaku, malah Hadi sendiripun ‘sudah menghukum’ pihak-pihak tertentu sebagai ‘anti-islam’ dan sebagainya.
  
Zaid berkata, menerusi RUU itu, Presiden PAS mahu mahkamah syariah diberikan kuasa tanpa had dalam mengenakan hukuman. Ini adalah sebahagian daripada helah penipuan oleh Abdul Hadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan UMNO.

Berikutan itu, adalah baik untuk meneliti dan menilai cadangan oleh IKRAM Malaysia (IKRAM) yang berpendirian bahawa pihak kerajaan perlu melihat kembali cara pindaan undang-undang ini dikendalikan dan membuat pembetulan dengan kerajaan sendiri mengambil inisiatif melalui proses dan tatacara yang sepatutnya dalam meminda mana-mana undang-undang yang berkaitan dengan Agama Islam.

"Ini adalah usaha bagi kepentingan Agama Islam dan tidak harus dipolitikkan oleh mana-mana pihak," kata IKRAM.

Malah IKRAM berharap agar semua pihak bertindak secara rasional, objektif dan tidak mengikut emosi dalam membincangkan perkara ini serta mengelakkan daripada menjatuhkan sebarang hukum terhadap golongan yang berbeza pendapat.

Ambillah pengajaran ini agar apa sahaja berkaitan Islam, kerajaan hendaklah mengambil inisiatif utama sesuai dengan kuasa dan fungsinya menjamin Islam dimartabatkan dan tidak diperlekehkan sesuka hati.

Baca kenyataan Presiden IKRAM Presiden Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad seperti berikut:


31 Mei 2016


Akibat kerajaan membenarkan cara luarbiasa iaitu dikemukakan pembangkang dalam mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta 355 (Bidang Kuasa Mahkamah Syariah) di Parlimen maka terjadilah kutukan dan bantahan daripada pelbagai pihak termasuk daripada parti-parti komponen dalam Barisan Nasional sendiri.

Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata kerajaan adalah pihak yang lebih wajar mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta 355 (Bidang Kuasa Mahkamah Syariah) di Parlimen bagi mendapatkan kelulusan.

"Berkenaan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan, IKRAM katanya pernah menyatakan pandangan mengenainya pada 11 Mei 2014, yang antara lain menyarankan empat langkah awal bagi menjamin perlaksanaan enakmen ini dapat mencapai matlamatnya, demi menjamin keadilan dan kesejahteraan rakyat, yang merupakan maqasid penting dalam perlaksanaan undang-undang Islam itu sendiri.

"Dalam kenyataan tersebut juga, IKRAM mengalu-alaukan penubuhan Jawatankuasa teknikal antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk memastikan enakmen ini bertepatan dengan kehendak syariah, mencari pendekatan yang terbaik dan mengelak ia dari dipolitikkan," katanya.

Pada ketika itu juga menurut beliau, IKRAM mengalu-alukan keputusan Presiden PAS untuk menangguhkan dan tidak membentangkan Rang Undang-undang Persendirian dalam Persidangan Dewan Rakyat bulan Jun 2014 kerana ia memberi masa yang lebih kepada Jawatankuasa Teknikal dan rakyat untuk mengemukakan pandangan dan cadangan.

Beliau percaya bahawa Jawatankuasa Teknikal ini telah bekerja keras bagi membuat kajian dan mendapatkan pandangan pelbagai pihak bagi memastikan perlaksanaan undang-undang syariat dapat dilaksanakan secara efektif dan mencapai maqasidnya.

"Kita berpandangan bahawa jawatankuasa ini yang seharusnya berperanan menasihati kerajaan tentang isu berkaitan pindaan Akta 355 ini sebagai sebahagian daripada usaha meluaskan kuasa Mahkamah Syariah. Kerajaan sepatutnya mengurus pindaan ini dengan membawa kepada kabinet, berbincang dengan semua pemegang taruh (stakeholders) dan akhirnya membawa kepada Majlis Raja-raja bagi mendapatkan perkenan sebelum dibawa ke Parlimen," katanya.

Beliau berpendapat, jika ini dapat dilakukan dan semua agensi kerajaan termasuk IKIM, IKSIM, para mufti, jabatan-jabatan agama, NGO-NGO dan universiti-universiti berperanan untuk berbincang, mengemukakan pandangan dan memberi penjelasan kepada rakyat, maka salah faham yang timbul pada hari ini berkaitan RUU 355 ini dapat diminimumkan.

"Oleh kerana proses perundingan ini tidak berjalan dengan baik dan perkenan Majlis Raja-raja juga tidak diperolehi, maka kita lihat bantahan daripada pelbagai pihak sedang berlaku termasuk daripada parti-parti komponen dalam Barisan Nasional," katanya.

IKRAM katanya, tetap dengan pendirian pihak kerajaan perlu melihat kembali cara pindaan undang-undang ini dikendalikan dan membuat pembetulan dengan kerajaan sendiri mengambil inisiatif melalui proses dan tatacara yang sepatutnya dalam meminda mana-mana undang-undang yang berkaitan dengan Agama Islam.

"Ini adalah usaha bagi kepentingan Agama Islam dan tidak harus dipolitikkan oleh mana-mana pihak," katanya.

Beliaumenyeru agar semua pihak bertindak secara rasional, objektif dan tidak mengikut emosi dalam membincangkan perkara ini serta mengelakkan daripada menjatuhkan sebarang hukum terhadap golongan yang berbeza pendapat.

Kenyataan beliau diakhiri dengan terjemahan dua ayat berikut:

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama." (al-Hajj: 78)

"Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan." (Taha: 2)