Apabila UMNO menganjurkan pertandingan dan
menerbitkan buku “DAP Bahaya Kepada Melayu-Islam di Malaysia”, apakah DAP perlu
bertindak balas dengan menerbitkan pula buku memperkatakan parti berasaskan Melyu-Islam
sebagai bahaya kepada orang Cina serta bukan Islam di Malaysia?
Apakah dengan
berbalas-balas penganjuran menulis buku dan menerbitkan artikel dan buku
perkauman seperti dilakukan oleh UMNO akan menyumbangkan kepada perpaduan di
negara ini?
Rasanya DAP dan Lim Kit Siang tidak akan terikut-ikut dengan rentak UMNO itu.
Namun persoalan ialah, apa sudah jadi dengan
parti politik khususnya UMNO akhir-akhir ini?
Malang sekali yang
menerbitkan artikel dan buku perkauman ini ialah UMNO, iaitu parti komponen
utama Barisan Nasional (BN) yang sepatutnya menjadi ‘pengawal dan pengimbang’
kepada masalah polarisasi kaum dan etnik di negara ini.
Sejak merdeka dan ketika
berlakunya peristiwa 13 Mei 1969, UMNO membuktikan ia parti yang memainkan
peranan ke arah mempertahankan perpaduan kaum di negara ini apabila mengemukakan pelan penubuhan BN menggantikan
Perikatan.
Namun kini?
Jelas UMNO, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa
serta pasukannya termasuk Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan
Kerajaan Tempatan , Tan Sri Noh
Omar sangat berbangga dengan hasil usaha yang dilihat terkebelakang itu.
Apakah ini menggambarkan
dan sebagai isyarat bahawa UMNO dan BN sangat bimbang dengan sokongan rakyat
terhadap pembangkang sehingga gelabah di peringkat gaban yang memaksa mereka
menerbitkan dokumen bersifat perkauman sedemikian?
Apakah UMNO begitu goyah dengan pengaruh pembangkang apalagi selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dilihat akan menggantikan peranan UMNO dalam menegakkan kepentingan Melayu dan Islam?
Apakah bimbang kerjasama antara parti pembangkang menyebabkan UMNO semakin hilang arah dan gelabah tidak tentu pasal?
Persoalannya, apakah
kejayaan menganjurkan pertandingan dan menerbitkan buku seperti ini akan menggembirakan
orang Melayu dan Islam untuk mereka membenci DAP serta pemimpin parti yang
dilabelkan sebagai anti-Melayu dan Islam’?
Kenapa mesti UMNO
membangkitkan kebencian sedemikian pada ketika ia sepatutnya membuktikan kepada
semua orang Melayu dan orang Cina mengenai sumbangan dan jasa UMNO selepas 71
tahun ditubuhkan?
Apakah pemimpin UMNO
merasakan ia tidak lagi mampu melakukan tugas meyakin dan menarik sokongan
orang Melayu dan perasaan hormat rakyat bangsa lain kepada parti itu?
Apakah cara menghentam DAP
dan pemimpinnya akan menyebabkan orang Melayuseratus peratus akan menyokong UMNO dalam pilihan raya akan
datang?
Juga dengan berbuat
demikian, apakah orang Cina akan semakin yakin dengan BN dan menambahkan
sokongan kepada MCA dan Gerakan gara-gara menghentam DAP dan pemimpinnya sebagai
‘rasis’ dengan begitu teruk sekali?
MCA dan Gerajkan Bantah RUU355 |
Meletakkan DAP dan
pemimpinnya sebagai musuh Melayu dan Islam adalah perbuatan melampau. Kalaupun
mahu enarik sokongan dan mengharapkan rakyat mengundi UMNO dan BN pada pilihan
raya umum ke-14 nanti, sewajarnya jangan sampai begitu jauh bermain dengan isu
perkauman dan keagamaan.
Penerangan UMNO nampak
seperti bankrap idea.
Bagaikan tiada cara lain
sudah dari segi tindakan untuk memujuk orang Melayu-Islam agar menyokongnya dan
tiada cara lain lagi selain mengecop DAP
sebagai musuh ‘Islam dan Melayu’.
Pendekatan ini ada
risikonya. Ia berisiko bukan kepada
sokongan politik kepada UMNO dan BN semata-mata tetapi akan menyebabkan semakin
renggangnya orang Cina dengan masyarakat Melayu, khususnya dengan penyokong UMNO.
Apakah perbuatan
merenggangkan antara kaum dan agama ini sebagai pra-syarat kepada negara maju
dan perjuangan UMNO ke arah Transformasi Nasional 2050?
Atau TN50 itu untuk
masyarakat Melayu dan UMNO semata-mata?
Jangan lupa bahawa DAP
mempunyai pengaruh yang kuat di Pantai Barat, kalaupun tidak di Pantai Timur
dan perbuatan UMNO ini akan menyebabkan polarisasi kaum yang bertambah buruk di
negeri-negeri berkenaan.
Kesannya akan mendatangkan
gejalaburuk dalam semua aspek yang akhirnya menyebabkan polarirasi kaum dan
segregasi antara kaum pada peringkat yang kronik.
Di sebalik perbuatan yang mempunyai
motif politik perkauman yang tebal seperti ini, apakah UMNO mahu mengajar dan
mengheret rakyat negara ini ke kancah kebencian kaum yang melampau?
Kenapa sebegini teruk
pemikiran pemimpin UMNO khususnya Penerangan UMNO sehingga tidak melihat kepada
kesan kepada hubungan kaum dan agama di negara ini?
Kalaupun merasakan DAP
mempunyai pegaruh yang sukar untuk
dibendung, UMNO dan BN jangan sampai menggunakan isu dan pendekatan perkauman
dan agama dalam menyerang DAP dan pemimpinnya.
Atau apakah UMNO merasakan
ini sahaja cara paling sesuai untuknya bertindak melawan arus pengaruh parti
berbagai kaum ini daripada terus disokong, termnasuk oleh masyarakat Melayu dan
Islam pada pilihan raya umum akan datang?
Tindakan Annuar menaja pertandingan esei mengapa ‘Ketua
Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang Rasis’ dengan hadiah wang tunai berjumlah
RM50,000 yang ditawarkan kepada pemenang pertandingan - walaupun diuar-uarkan berjaya
menarik kira-kira 1,200 penyertaan dalam pelbagai kategori seperti blog, video
dan grafik - kesan secara terus kepada bukan Melayu dan Islam sangat
dibimbangi.
Yang nyata dan pasti ialah.
buku itu jelas bersifat menghasut
kebencian dalam kalangan rakyat yang cintakan keamanan, selain akan menjejaskan perpaduan yang dicapai selama ini,
gara-gara kepentingan politik UMNO semata-mata yang dilihat semakin hilang
pengaruhnya.
Memandangkan sudah ada
laporan polis dan aduan pihak tertentu, termasuk surat rayuan peribadi kepada Ketua
Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi
Ali untuk bertindak dengan segera terhadap buku ini, kita akan dapat melihat
apakah aka nada tindakan sewajarnya akan dibuat?
Rakyat bukan Melayu dan
bukan Islam pastinya tidak akan sekadar memerhati. Mungkin kalaupun tidak
membantah atau melakukan tindakan spontan, ‘kemusnahan sudah dilakukan’ dan
perasaan yang mungkin terpaksa dipendamkan itu dibimbangi akan menjadi ‘api
dalam sekam’.
Malaysia sudah mempunyai
rekod pertelingkahan kaum yang pernah menggoncangkan kestabilan negara. Dengan membiarkan
tindakan oleh parti pemerintah membuat provoksi seperti ini, sama sekali tidak akan membawa kebaikan.
Sebaliknya akan
memburukkan keadaan polarisasi kaum dan meningkatkan syak-wasangka antara kaum
dan agama.
Jika benar DAP dan
pemimpinnya ‘anti-Melayu dan Islam’, adalah lebih baik sebagai pemerintah, UMNO dan BN mengambil tindakan melalui saluran
undang-undang, bukan menerbitkan dokumen yang boleh menjejaskan perpaduan
antara kaum dan agama.
Apakah tindakan oleh UMNO i
ini tidak bersifat ‘rasis’? Inikah cara
paling baik untuk bertindak terhadap Kit Siang sekiranya beliau
benar-benar mengamalkan ‘perkauman’?
Apakah ini tindakan yang
terbaik untuk menentang DAP, jika benar ia menentang Islam?
Mencipta isu dan menghukum
parti dan sesuatu kaum lain dengan ‘penilaian dan keputusan sendiri’ tidak
menggambarkan kebijaksanaan UMNO.
Ironinya buku "DAP Bahaya Kepada Melayu-Islam Di
Malaysia" yang memuatkan 16 rencana tidak memaparkan sebarang nama penerbit dan pencetak seperti yang disyaratkan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
Kedudukan ini menyebabkan Ketua Pemuda DAP Wong
Kah Woh membuat pertanyaan bagaimana sebuah buku disusun atau diterbitkan
tanpa butiran ini? "Ini adalah satu lagi percubaan yang jelas melanggar
undang-undang,” kata Wong.
Apakah pertandingan dan penerbitan buku diusahakan oleh UMNO ini sebenarnya buku yang tidak berkredibiliti dan sengaja diuar-uarkan untuk menyakitkan hati orang bukan-Melayu dan bukan-Islam?
Sebagai parti utama dalam
pasukan yang memerintah negara, UMNO dan BN mempunyai banyak pilihan jika benar mahu membuktikan DAP dan Kit Siang memang ;anti-Melayu dan anti-Islam'..
Dan pilihan itu jangan
sampai menyebabkan orang bukan Melayu dan Islam merasakan mereka dijadikan
mangsa hasil permainan politik perkauman yang masih menebal dan kebimbangan
akan kalah dalam pilihan raya.
UMNO dan BN yang menguasai
kerajaan mempunyai jentera, peraturan dan
perlembagaan untuk mengawal selia perbuatan dan tindakan bersifat anti-Melayu
dan Islam, jika benar ia memang berlaku.
Namun menggunakan media,
apa lagi menaja penerbitan artikel, video atau juga buku yang menyerang
pemimpin dan parti pembangkang dengan
melabelkan mereka ‘rasisi’ serta ‘anti-Melayu dan Islam’ seperti ini sangat
medukacitakan.
Walaupun berusia 71 tahun,
jelas pemimpin UMNO bukan semakin waras dalam tindakan sebaliknya gelabah,
goyah dan bimbang akan ditolak oleh rakyat yang menyebabkan ia meroyan dan
membuat keputusan yang mendatangkan bahaya kepada perpaduan dan masa depan
Malaysia.