Friday, October 24, 2008

BENARKAH IBRAHIM “MAIN DUIT” ?

Seronok juga membaca dialog antara Kijang Jantan (www.kijang-jantan.blogspot.com) dan Murai (www.ms0melayu.blogspot.com) mengenai isu ‘habuan wang’ (boleh dipanggil sogokan?) oleh Datuk Ibrahim Ali kepada pemimpin Pas.

Ini membawa kepada permintaan maaf oleh Kijang Jantan dan berterima kasih kepada Murai kerana maklumat berkenaan.

Tetapi menurut Kijang Jantan dalam postingnya hari ini, bertajuk “Becok Tapi Benar’ dia juga berharap agar Murai jangan sorokkan perkara ini.

Bagi saya pula, sejauh mana benar atau tidak saya tidak tahu. Saya turut mendengar ada orang di Pasir Mas, termasuk beberapa pemimpin Barisan Nasional memperkatakannya sebelum pilihan raya umum lalu.

Tetapi Murai melalui tajuk “Meralat Sebuah Laporan Tidak Tepat’ dalam msomelayu.blogspot.com ada menyebut: “Pun begitu ini bukan bermakna ahli Parlimen itu tidak main wang, ada.... tetapi bukan kepada calon-calon berkenaan, tetapi kepada orang lain.”

Selain itu dengan jawapan Murai bahawa dia ada senarai nama dengan jumlahnya sekali, isu ini semakin terserlah.

Kata Murai: “Seorang wakil rakyat terima RM10,000, seorang lagi terima RM15,000, seorang lagi terima RM5,000, seorang lagi terima RM30,000 dan seorang lagi terima RM20,000. Kalau dijumlahkan semua sekali hampir RM100,000 juga. Ini tidak termasuk beberapa ekor lembu yang dihulurkan oleh ahli Parlimen itu.”

Persoalannya, apakah beberapa pemimpin Pas boleh dibeli dengan harga itu?

Apakah dengan RM10,000 atau RM20,000 mereka sanggup menggadaikan maruah dan parti untuk ditukarkan dengan Ibrahim?

Rendahnya maruah mereka ini dan apakah ini ciri-ciri yang dikatakan pemimpiun Islam?

Kerana itu timbul pertanyaan lain apakah benar Ibrahim ‘main duit’ sebanyak yang disebut oleh Murai itu? Ini kerana memang ramai yang mengatakan Ibrahim berbelanja RM1 juta seorang.

Saya pula berpendapat tidaklah logik Ibrahim mahu berbelanja sebanyak RM3 juta hanya untuk menjadi wakil rakyat Bebas.

Menurut posting awal Kijang Jantan pada 21 Oktober 2008, bertajuk “Dulu Puji, Kini Keji’ blog itu menimbulkan beberapa pertanyaan apabila berkata:

“Kijang tidak mahu campur hal orang dan persengketaan orang Pas dengan Ibrahim, persoalannya kenapakah Pas bersetuju memberikan kerusi itu kepada ‘katak besar’ ini setelah mengetahui dari awal sikap beliau suka melompat-lompat. Orang pertama yang patut digerudi ialah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri.

Beliaulah dikatakan membuat keputusan ‘menerima’ Ibrahim dan kerana bantuan kewangan Ibrahim pulak tu!
Yang menghairankan mudah sangat Pas berikan kerusi. Pada Kijang mesti ada sebab penting atau mustahak sangat. Lalu teringatlah Kijang kepada cakap-cakap bahawa di Pasir Mas, Ibrahim taja tiga calon Pas pada pilihan raya berkenaan dan katanya hampir RM1 juta bagi setiap DUN.

Akibatnya bukan sahaja Ibrahim menang. Dua calon BN yang juga bekas wakil rakyat, Hanafi Mamat (Pengkalan Pasir) dan Fauzi Mohd (Tendong) bungkus. Satu lagi kerusi DUN memang milik Pas.”


Apa yang diperkatakan oleh Murai ialah: “Ahli Parlimen itu tidak membelanjakan wang sebanyak itu (RM 3 juta) sebagai pertukaran kerusi ataupun untuk menjamin sokongan dari ahli dan penyokong Pas kepadanya. Kepada ketiga-tiga Adun berkenaan Murai tidak terdengar pula mereka diberikan sekian banyak wang. Calon Pas untuk ketiga-tiga Adun berkenaan (Pengkalan Pasir, Tendong dan Chetok) sebenarnya tidak mendapat satu sen pun wang daripada ahli Parlimen berkenaan.

Mungkin mereka menyedari jika mereka terima wang itu mereka terpalik dengan perbuatan keji rasuah. Kalau sekalipun ahli Parlimen itu hulur Murai jamin mereka tidak akan terima.”

Saya pun seperti juga Kijang Jantan mahu mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga Adun berkenaan.

Kini tinggal persoalan, siapa pula yang kebar duit itu?

Jika mengikut Murai, marfumnya ahli Parlimen itu tidak membantu ketiga-tiga Adun Pas itu dengan bantuan kewangan berupa bodek agar menyokongnya.

Kata Murai: “Sebaliknya Ibrahim membantu calon lain yang agak berkedudukan dan berpengaruh dalam Pas.

Di mana calon-calon itu dikira boleh memainkan peranaan untuk membantu ahli Parlimen itu bertanding menggunakan simbol bulan dan mempengaruhi orang-orang Pas di Pasir Mas agar menyokongnya.
Di sini semacam ada perbuatan barter trade antara ahli Parlimen itu dengan beberapa calon Pas bertaraf pemimpin itu.

Murai pernah diberitahu satu persatu oleh ahli Parlimen berkenaan kepada siapa yang beliau berikan wang semasa pilihan raya lalu dan jumlahnya sekali.”


Murai berhujah lebih jauh apabila mengatakan: “...ada di kalangan mereka yang termakan wang ahli Parlimen berkenaanlah menyebabkan mereka membisu apabila ahli Palimen itu membuat onar mengkritik Pas macam nak rak dalam Parlimen.

Betul juga kata Murai, sebab kita sudah menerima pemberian berunsur ada undang di sebalik batu itu kita akan bermasalah.”


Seronok cerita ini kerana sebelum ini ‘mainan wang’ selalunya dalam proses membeli undi atau perkara-perkara lain selepas penamaan calon tetapi kali ini Ibrahim dikaitkan dengan ‘mainan wang’ untuk disahkan menjadi calon.

Saya hanya berharap Kijang Jantan dan Murai berkata benar dan tidak tuduhan untuk memburuk-burukkan Ibrahim.

Kerana itu adalah baik agar Ibrahim sendiri membuka mulut mengenai perkara ini.

Selain itu, benarkah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terbabit dalam perundingan nini dan siapa pula orang kelilingnya yang terima habuan daripada Ibrahim?