Wednesday, June 24, 2009

TERENGGANU WAJAR ADA BADAN PENYIASATAN SENDIRI

Saya tertarik dengan pendapat seseorang yang bernama Aqil Farhan bertajuk “Kerajaan Negeri perlu ada jawatankuasa penyiasat sendiri dalam blog teganuku.blogspot.com hari ini.

Selain mengulas penulisan saya mengenai “STADIUM SULTAN MIZAN- MENCARI FAKTA SEBENAR” beliau turut mencadangkan supaya kerajaan negeri Terengganu memikirkan semula agar menubuhkan jawatankuasa penyiasat keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan.
Dengan alasan-alasannya sendiri Aqil Farhan berpendapat jawatankuasa itu penting sebagai second opinion yang tentunya bebas daripada sebarang ikatan.


Saya menyokong dan bersetuju dengan pendapat dan cadangan beliau.

Apa yang penting di sini ialah, jawatankuasa jika ditubuhkan bertujuan menyiasat sebuah projek kerajaan negeri sendiri. Tindakan ini wajar.

Persoalan ialah apakah ia akan dianggotai oleh pakar tempatan atau luar negara?
Jika ditubuhkan apakah ia akan digerakkan melalui Setiausaha Kerajaan Negeri atau terus di bawah Menteri Besar, Datuk Ahmad Said?

Perlu diingat bahawa SUK serta pegawai-pegawai lain dari Jabatan Kerja Raya (JKR), kakitangan syarikat kontraktor dan arkitek kini turut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ‘mengamuk’ minggu ini untuk melengkapkan siasatan mereka berhubung kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang runtuh 2 Jun lalu.

Ikuti apa sebenarnya yang dikatakan oleh Aqil Farhan:

PENDAPAT SAYA...

Kerajaan Negeri perlu ada jawatankuasa penyiasat sendiri

Oleh AQIL FARHAN (teganuku.blogspot.com. - Wednesday, June 24, 2009)

Saya tertarik dengan penulisan Hambali Abdul Latiff secara bersiri melalui blognya hambali1.blogspot.com yang dipetik oleh blog ini semalam.

Penulisan itu mendedahkan pelbagai kemungkinan punca runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak di Kuala Terengganu yang runtuh mengakibatkan kerugian kira-kira RM25 juta.

Apapun ia hanya pendapat peribadi. Banyak cara boleh siasat. Bercakap mengenai penyiasatan ini, ada dua perkara penting boleh dirujuk. Pertama ialah soal badan penyiasatan itu sendiri dan kedua, berapa lama siasatan boleh dijalankan.

Tempoh siasatan akan menentukan bila stadium akan mula diperbaiki.
Mengenai badan penyiasat yang akan ditubuhkan oleh Kerajaan Pusat ini ia agak pelik sedikit. Ia bagaikan ayah akan siasat anak atau abang siasat adik.

Gara-gara jawatankuasa penyiasat ini, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dihentam dan dituduh tidak tegas dan cakap kosong apabila mengatakan Kerajaan Negeri tidak akan menubuhkan badan siasatannya sendiri.

Ini kerana sebelum itu, Ahmad Said beria-ia mengatakan akan mewujudkan jawatankuasa penyiasatan peringkat negeri. Malah katanya, ia bukan terdiri daripada pakar tempatan, sebaliknya dari luar. Bagaimanapun, selepas ‘dinasihat’ Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Mansor, Ahmad Said dikatakan ‘tunduk’ kepada nasihat itu.

Kononnya Shaziman membuat cadangan itu berikutan nasihat daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan satu badan sahaja. Persoalannya, bagaimana Kementerian Kerja Raya mahu menyiasat dan menilai kerja-kerja Jabatan Kerja Raya?

TIdakkah pelik jika bapa menyiasat anaknya sendiri? Tentu akan ada pelbagai ‘perasaan’ yang sedikit sebanyak menghala kepada favouritism.
Tidak tahulah. Yang melantik jawatankuasa itu lebih arif. Dilaporkan, badan penyiasat dilantik untuk menilai dan mencari punca mengapa bumbung sepanjang kira-kira 400 meter di bahagian timur stadium itu boleh runtuh. Pada 10 Jun lalu, Ahmad Said dilaporkan berkata hanya sebuah badan penyiasat khas ditubuhkan bagi menyiasat punca kejadian runtuhan separuh daripada bumbung Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, anggota penyiasat itu dianggotai oleh pelbagai pihak termasuk pensyarah universiti.

''Apa-apa keputusan lanjut akan diketahui selepas ini dan kerajaan negeri diminta agar menubuhkan sebuah sahaja badan siasatan mengenainya untuk mengelakkan kekeliruan," Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin adalah projek kerajaan Terengganu dan dibawah pengawasan Jabatan Kerja Raya.

Kerana itu mesyuarat Exco hari ini patut menilai semula jawatan kuasa penyiasat bebas yang patut ditubuhkan oleh Kerajaan Terengganu. Ini kerana jika ada dua badan, perbandingan boleh dibuat dan apa-apa cadangan boleh digabungkan.

Mengharapkan ‘bapa siasat anak’ atau ‘abang siasat adik’ tidak akan mendatangkan kepuasan kepada banyak pihak.