Tuesday, June 7, 2016

RUU – RAKYAT MEMERHATI PENDIRIAN, KEBERANIAN PERDANA MENTERI


“Banyak pihak, termasuk dalam UMNO sendiri  mengesyorkan agar pemimpin yang mengugut untuk meletak jawatan dipecat sahaja daripada Kabinet. Bagaimana dengan PBB  yang mempunyai 14 Ahli Parlimen kerana jika dicampur dengan ketua-ketua parti BN yang memberontak itu, ia mungkin menjadi 20 kesemuanya.”

Di mana muka Perdana Menteri, timbalannya serta menteri-menteri yang bercakap mengenai Rang Undang-Undang Persendirian Akta 355 Mahkamah Syariah (RUU) kini mahu disorokkan?

Bantahan demi bantahan disuarakan secara terbuka seolah-olah pemimpin parti komponen kini sudah tidak peduli lagi kesan atau akibatnya. Mereka sudah tidak takut dengan tindakan.

Kini bukan pemimpin MCA, Gerakan, MIC, SUPP, PBS dan parti kecil lain dari Sabah sahaja yang menolak RUU yang dianggap akan membawa kepada Hudud.

"Kami berbilang kaum dan umat Islam hanya 25 peratus. Kami bukan Kelantan." - Adenan Satem
Sudah empat pemimpin Sarawak – seorang Ketua Menteri yang dipuja-puji dan terbaru seorang Menteri kini menolak RUU itu jika dibentangkan.

Ia jelas turut mencabar UMNO. Ini kerana pemimpin UMNO yang membantu membolehkan Presiden PAS mengemukakan usul di Dewan Rakyat.

Apa pendirian UMNO dalam hubungannya dengan pemimpin parti komponen lain ketika ini?

Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara, usul dan rang undang-undang kerajaan ditolak mentah-mentah oleh menteri dan pemimpin berpengaruh dalam pakatan pemerintah, sama ada ketika Perikatan mahupun Barisan Nasional (BN).

Rakyat sedang memerhati pendirian pemimpin BN, khususnya Presiden UMNO dan timbalannya mengenai kesan RUU yang dibentangkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen.


Walaupun ia dikatakan bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 berkaitan dengan had jumlah hukuman, namun banyak yang menjangka kesan daripadanya akan menjangkau kesan lebih luas.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, saya ulangi, Menteri di Jabatan Perdan Menteri, Nancy Shukri bertegas tidak akanmengundi dan hadir ke Parlimen sekiranya usul atau rang undang-undang itu dibentangkan.

Ini menteri yang paling hampir dengan Pejabat Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri turut membuat kenyataan terbuka pada ketika kempen pilihan raya kecil di dua Parlimen sedang berlangsung.

Beliau mengulangi dan tetap dengan kenyataannya sebelum ini dan mematuhi  kenyataan yang dibuat Presiden Parti Bumiputera Bersatu (PBB),Tan Sri Adenan Satem.

PBB adalah parti tunjang kerajaan Barisan Nasional dan kedua terbesar di Parlimen apabila mempunyai seramai 14 Ahli Parlimen selepas UMNO yang mempunyai 86 wakil rakyat.

Pada Ahad (5 Mei) lepas , parti politik terbesar di Sarawak itu menegaskan  tidak akan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian oleh Presiden PAS mengenai pindaan Akta Mahkamah Syariah.

Ketua Menteri yang juga Presiden PBB berkata, ini kerana Sarawak adalah sebuah negeri berbilang kaum dengan populasi orang Islam terdiri daripada kira-kira satu perempat daripada keseluruhan penduduk.

"Kita tidak akan menyokong RUU hudud. Kami berbilang kaum dan umat Islam hanya 25 peratus. Kami bukan Kelantan.

"Pada dasarnya, kami menentang Rang Undang-undang hudud," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di ibu pejabat parti itu di Kuching.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar DouglasUggah berkata Sarawak tetap dengan pendiriannya untuk tidak melaksanakan hudud di negeri itu.

Bagi Nancy, rakyat Malaysia  hidup dalam sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama.

“Saya tetap dengan kenyataan presiden saya. Memandangkan di Sarawak rakyat bukan Islam lebih ramai berbanding yang menganut agama Islam. Bukan sahaja saya akan menolak, saya juga tidak akan berada di sana (Parlimen) untuk mengundi,” katanya kepada pemberita di SMK Sungai Besar, hari ini.

Baginya terserah kepada Presiden PAS walaupun menurut Nancy, RUU itu bukan hudud tetapi usaha memberi kuasa lebih luas kepada Mahkamah Syariah dalam menjatuhkan hukuman.

“Kita harus faham hudud ataupun bukan hudud, apa yang mereka lakukan adalah untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Apa yang kita ada ini sudah mencukupi, kita tidak perlu menambah lagi hukuman. Tetapi jika mereka tetap mahu lakukan, ia terserah kepada mereka,” katanya.

Kita menunggu apa langkah dan tindakan yang akan diambil oleh pemimpin atasan terhadap ketua-ketua parti yang ‘memberontak’ akibat isu RUU ini.

Banyak pihak, termasuk dalam UMNO sendiri  mengesyorkan agar pemimpin yang mengugut untuk meletak jawatan dipecat sahaja daripada Kabinet.

Malah jika perlu, parti komponen itu juga sewajarnya disisihkan daripada BN. Lagipun parti itu bukan menyumbang banyak kerusi pun kepada BN.

Namun bagaimana dengan PBB  yang mempunyai 14 Ahli Parlimen dan jika dicampur dengan ketua-ketua parti BN yang memberontak itu, ia mungkin menjadi 20 kesemuanya.

Apakah BN ‘ada telor’ untuk mengambil tindakan atau memecat mereka?

DEMI ‘SEHATI SEJIWA’, ELOK PAS TARIK DIRI DARIPADA PRK SUNGAI BESAR, KUALA KANGSAR...


“Masa belum terlambat untuk PAS tarik diri dan beri laluan kepada UMNO/BN dengan membuktinya sebagai 'rakan parti pemerintah  dan penasihat’ mereka. Atau jika bertanding juga, minta penyokong PAS undi wakil UMNO melalui BN di dua PRK itu.”

Untuk apa PAS bertanding di dua pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar?

Untuk bantu UMNO/Barisan Nasional (BN) menang? Atau tidak mahu memberi ruang kepada Parti Amanah Negara (AMANAH) memperkenal dan memperkembangkan pengaruhnya melalui PRK, gara-gara marah dan meluat kepada pemimpin parti baru itu.

Pemimpin PAS sehingga ke hari ini masih tidak dapat menerima hakikat bahawa sebilangan pemimpin terkenalnya sudah meninggalkannya. Mereka kini berjuang pada platform baru melalui Pakatan Harapan (PH) untuk ‘Selamatkan Malaysia’.

PAS yang terpinggir kononnya mahu membentuk blok ketiga kini tersepit antara beriringan dengan UMNO, bersendirian atau merujuk kepada PH.

Namun syarat besar yang menjadi penghalang untuk rujuk ialah, mereka perlu menarik balik ‘sumpah seranah’ mereka terhadap DAP dan menerima AMANAH sebagai rakan sekutunya.

‘Mampos’ PAS tidak akan melakukan perkara seumpama itu.


Ini  kerana jelas PAS kini pun sudah hilang arah dan blog ketiga yang mahu diciptakannya dengan parti IKATAN masih diawang-awangan.

PAS yang mendakwa DAP mempunyai agenda seperti menghalang perjuangan Islam yang dibawakan olehnya turut menyalahkan DAP yang kononnya menyokong tindakan AMANAH untuk memecahkan undi yang sepatutnya diterima calon pembangkang, iaitu PAS.

Sedangkan AMANAH ternyata sudah menzahirkan atau ‘established’ diri mereka sebagai sekutu PH dan bertanding di dua PRK itu atas nama PH untuk menggerakkan slogan dan perjuangannya ‘Membebaskan Rakyat’ untuk menyelamatkan Malaysia.

Kini persoalan  yang paling penting ialah siapa musuh PAS sebenarnya?

Apakah UMNO/BN atau PH yang diwakili PKR, DAP serta AMANAH?

Melihat kepada ucapan dan kata-kata pemimpin PAS, nyata sekali musuh mereka kini ialah DAP, AMANAH dan PKR. Walaupun PKR dikatakan masih rakan kerjasama politiknya, namun dengan PKR berada dalam PH, pasti tidak boleh menganggapnya sebagai bukan musuh pilihan raya.

Jadi PAS ini apa? Dengan UMNO/BN sebagai ‘penasihat’ dan dengan PKR masih mahu mengekalkan ‘tahaluf siyasi’nya.

Tempoh menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi dan PAS jangan hanya menyerang DAP dan AMANAH sebagai strategi politiknya.

PAS mahu jadi apa sebenarnya?

Azhar Abdul Shukur, calon AMANAH untuk PRK Sungai Besar
Sebagai parti pembangkang yang kuat dan parti pemerintah di negeri tertentu atau penasihat semata-mata? Atau hanya rakan kongsi pemerintah di negeri tertentu sahaja seperti yang berlaku di Selangor sekarang?

Berbeza dengan AMANAH di mana persetujuannya untuk bersama PH adalah bermatlamat memperkenalkan sebuah lagi gabungan parti pembangkang kepada rakyat.

Ia  melihat ada agenda yang lebih besar iaitu untuk menonjol dan memperkenalkan Pakatan Harapan sebagai pakatan baharu setelah Pakatan Rakyat dimusnahkan.

Pengarah komunikasinya Khalid Samad berkata, keputusan Amanah meletakkan calon di dua kawasan itu bukan bertujuan untuk bergaduh dengan PAS, sebaliknya dibuat dengan agenda yang lebih besar.

“Ini bukan soal Amanah nak gaduh dengan PAS. PAS letak calon, Amanah pun turun nak lawan PAS, tidak. Soal gaduh Amanah dengan PAS itu soal kecil, itu hanya dalam minda PAS yang kata kita letak calon ini kerana PAS letak calon, tak ada kaitan pun dengan PAS,” katanya kepada pemberita di Pejabat Amanah Sungai Besar semalam.

 “Orang kata sudah tak ada harapan nak lawan dan jatuhkan Barisan Nasional (BN), parti pembangkang dah berpecah dan sebagainya, jadi kita nak zahirkan wujudnya gabungan parti pembangkang yang boleh mencabar BN,” katanya.

Berikutan itu beliau membidas pemikiran PAS yang menganggap keputusan parti itu meletakkan calonnya pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar  sebagai tidak menghormati kerusi tradisi PAS.

Khalid berkata, kehadiran Amanah di Sungai Besar mempunyai kaitan dengan ‘tagline’ pilihan raya yang baharu diperkenalkan pada sidang media yang sama iaitu ‘Bebaskan Rakyat, Selamatkan Malaysia’.


Naib Ketua AMANAH kawasan Kuala Kangsar, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli  (gambar atas) dinobatkan sebagai calon PRK Kuala Kangsar yang menyaksikan pertembungan empat penjuru iaitu calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid; Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad; dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Di PRK Sungai Besar pula Pengerusi AMANAH Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur ditentang oleh calon BN, iaitu ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi dan calon PAS diwakili ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman.

Kedua-dua PRK diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun ini.

Khalid menegaskan, AMANAH mahu menyampaikan mesej kepada masyarakat dan pengundi bahawa parti ini wujud dan dapat melaksanakan fungsinya dengan baik.

“Ini soal kita nak rakyat tahu Pakatan Harapan, satu pakatan yang baharu, yang satu-satunya mempunyai kemampuan dan kapasiti untuk membebaskan dan selamatkan rakyat,” katanya.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli menegaskan, dengan memberikan kemenangan kepada PAS pada PRK kali  ini tidak akan membawa sebarang makna kepada rakyat kerana parti Islam itu tidak mampu menukar kerajaan secara bersendirian.

Sebaliknya, jika kemenangan diberikan kepada calon Pakatan Harapan, ia akan memberi isyarat yang kuat kepada kerajaan bahawa Pakatan Harapan boleh merealisasikan hasrat menukar kerajaan itu.

"Pilihan raya kali ini pada saya keputusannya mudah. Sama ada kekal kerajaan BN sedia ada atau untuk tukar dengan kerajan baru Pakatan Harapan. Saya tahu ada rakan Pas yang bertanding. Tetapi kemenangan PAS idak ada kesan kepada kehidupan rakyat atau kebarangkalian tukar kerajaan atau tidak," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar kelmarin.

Rafizi menjelaskan kempen kali ini bukan satu parti. “Kita buat keputsan kita masuk sebagai Pakatan Harapan. Dari segi keputusan, strategi kempen kitaputuskan bersama. Konsepnya PKR dan DAP masuk bukan sebagai jentera sokongan tetapi sebagai jentera utama sama seperti AMANAH," katanya.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata PRK di dua Parlimen itu sebenarnya satu pertarungan untuk melawan BN.

Menurutnya, walaupun berlaku pertembungan lebih dari dua penjuru di Sungai Besar dan Kuala Kangsar
hanya Pakatan Harapan sahaja yang mampu menumbangkan BN.

“Parti lain tidak mampu sama ada dari segi jumlah kerusi yang ditandingi, atau jumlah kerusi yang mampu dimenangi. Mereka tiada kemampuan untuk menolak BN dan tidak dapat membentuk kerajaan secara bersendirian tanpa undi berpasukan,” katanya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut menjelaskan bahaw DAP menyokong AMANAH pada PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar kerana ia adalah rakan sekutu dalam Pakatan Harapan.

“Kita sokong parti AMANAH sebagai rakan seperjuangan dalam Pakatan Harapan. Apa salahnya kalau kita (DAP) sokong calon parti AMANAH. Satu tuduhan melulu kalau nak sebut kita ada agenda tertentu,” katanya pada sidang akhbar semalam.


Lim mengulas kenyataan Presiden PAS yang mendakwa DAP menyokong calon AMANAH dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar kerana parti itu mempunyai agenda seperti menghalang perjuangan Islam yang dibawakan PAS.

Hadi berkata, tindakan AMANAH bertanding dalam kedua-dua PRK itu hanya untuk memecahkan undi yang sepatutnya diterima calon pembangkang.

Guan Eng berkata, DAP dan AMANAH mempunyai matlamat dan agenda sama, iaitu menentang BN.

Melihat kepada kenyataan pemimpin PAS, khususnya Hadi, ia menguatkan andaian bahawa PAS kini jelas tidak ketengah dan ketepi.

Adalah baik jika parti itu menarik diri daripada dua PRK ini jika sekadar mahu memenangkan UMNO/BN. Peranan seperti ini bukan sifatnya sebagai parti pembangkang.

Masa belum terlambat untuk PAS tarik diri dan beri laluan kepada UMNO dan BN dengan membuktinya sebagai 'rakan parti pemerintah dan penasihat’ mereka. Kalau bertanding juga, minta penyokong undi calon UMNO melalui BN di dua PRK itu.

Jika demikian, peranan PAS lebih jelas iaitu untuk memenangkan UMNO, lagipun UMNO menyokong dan memberikan laluan kepada mereka untuk membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda seksyen 355 Akta Mahkamah Syariah 1965.

Bukankah PAS sudah mencipta sejarah melalui usul berkenaan gara-gara sokongan UMNO?

Bagi PAS itulah satu perjuangannya yang sangat penting dan kejayaan membentangkan usul itu sudah dilihat sebagai kemenangan yang besar baginya.

Tidak ada kemenangan lain

Itu baru jelas PAS dan UMNO ‘sehati sejiwa’!!!!!!!!