Tuesday, June 7, 2016

RUU – RAKYAT MEMERHATI PENDIRIAN, KEBERANIAN PERDANA MENTERI


“Banyak pihak, termasuk dalam UMNO sendiri  mengesyorkan agar pemimpin yang mengugut untuk meletak jawatan dipecat sahaja daripada Kabinet. Bagaimana dengan PBB  yang mempunyai 14 Ahli Parlimen kerana jika dicampur dengan ketua-ketua parti BN yang memberontak itu, ia mungkin menjadi 20 kesemuanya.”

Di mana muka Perdana Menteri, timbalannya serta menteri-menteri yang bercakap mengenai Rang Undang-Undang Persendirian Akta 355 Mahkamah Syariah (RUU) kini mahu disorokkan?

Bantahan demi bantahan disuarakan secara terbuka seolah-olah pemimpin parti komponen kini sudah tidak peduli lagi kesan atau akibatnya. Mereka sudah tidak takut dengan tindakan.

Kini bukan pemimpin MCA, Gerakan, MIC, SUPP, PBS dan parti kecil lain dari Sabah sahaja yang menolak RUU yang dianggap akan membawa kepada Hudud.

"Kami berbilang kaum dan umat Islam hanya 25 peratus. Kami bukan Kelantan." - Adenan Satem
Sudah empat pemimpin Sarawak – seorang Ketua Menteri yang dipuja-puji dan terbaru seorang Menteri kini menolak RUU itu jika dibentangkan.

Ia jelas turut mencabar UMNO. Ini kerana pemimpin UMNO yang membantu membolehkan Presiden PAS mengemukakan usul di Dewan Rakyat.

Apa pendirian UMNO dalam hubungannya dengan pemimpin parti komponen lain ketika ini?

Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara, usul dan rang undang-undang kerajaan ditolak mentah-mentah oleh menteri dan pemimpin berpengaruh dalam pakatan pemerintah, sama ada ketika Perikatan mahupun Barisan Nasional (BN).

Rakyat sedang memerhati pendirian pemimpin BN, khususnya Presiden UMNO dan timbalannya mengenai kesan RUU yang dibentangkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen.


Walaupun ia dikatakan bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 berkaitan dengan had jumlah hukuman, namun banyak yang menjangka kesan daripadanya akan menjangkau kesan lebih luas.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, saya ulangi, Menteri di Jabatan Perdan Menteri, Nancy Shukri bertegas tidak akanmengundi dan hadir ke Parlimen sekiranya usul atau rang undang-undang itu dibentangkan.

Ini menteri yang paling hampir dengan Pejabat Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri turut membuat kenyataan terbuka pada ketika kempen pilihan raya kecil di dua Parlimen sedang berlangsung.

Beliau mengulangi dan tetap dengan kenyataannya sebelum ini dan mematuhi  kenyataan yang dibuat Presiden Parti Bumiputera Bersatu (PBB),Tan Sri Adenan Satem.

PBB adalah parti tunjang kerajaan Barisan Nasional dan kedua terbesar di Parlimen apabila mempunyai seramai 14 Ahli Parlimen selepas UMNO yang mempunyai 86 wakil rakyat.

Pada Ahad (5 Mei) lepas , parti politik terbesar di Sarawak itu menegaskan  tidak akan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian oleh Presiden PAS mengenai pindaan Akta Mahkamah Syariah.

Ketua Menteri yang juga Presiden PBB berkata, ini kerana Sarawak adalah sebuah negeri berbilang kaum dengan populasi orang Islam terdiri daripada kira-kira satu perempat daripada keseluruhan penduduk.

"Kita tidak akan menyokong RUU hudud. Kami berbilang kaum dan umat Islam hanya 25 peratus. Kami bukan Kelantan.

"Pada dasarnya, kami menentang Rang Undang-undang hudud," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di ibu pejabat parti itu di Kuching.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar DouglasUggah berkata Sarawak tetap dengan pendiriannya untuk tidak melaksanakan hudud di negeri itu.

Bagi Nancy, rakyat Malaysia  hidup dalam sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama.

“Saya tetap dengan kenyataan presiden saya. Memandangkan di Sarawak rakyat bukan Islam lebih ramai berbanding yang menganut agama Islam. Bukan sahaja saya akan menolak, saya juga tidak akan berada di sana (Parlimen) untuk mengundi,” katanya kepada pemberita di SMK Sungai Besar, hari ini.

Baginya terserah kepada Presiden PAS walaupun menurut Nancy, RUU itu bukan hudud tetapi usaha memberi kuasa lebih luas kepada Mahkamah Syariah dalam menjatuhkan hukuman.

“Kita harus faham hudud ataupun bukan hudud, apa yang mereka lakukan adalah untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Apa yang kita ada ini sudah mencukupi, kita tidak perlu menambah lagi hukuman. Tetapi jika mereka tetap mahu lakukan, ia terserah kepada mereka,” katanya.

Kita menunggu apa langkah dan tindakan yang akan diambil oleh pemimpin atasan terhadap ketua-ketua parti yang ‘memberontak’ akibat isu RUU ini.

Banyak pihak, termasuk dalam UMNO sendiri  mengesyorkan agar pemimpin yang mengugut untuk meletak jawatan dipecat sahaja daripada Kabinet.

Malah jika perlu, parti komponen itu juga sewajarnya disisihkan daripada BN. Lagipun parti itu bukan menyumbang banyak kerusi pun kepada BN.

Namun bagaimana dengan PBB  yang mempunyai 14 Ahli Parlimen dan jika dicampur dengan ketua-ketua parti BN yang memberontak itu, ia mungkin menjadi 20 kesemuanya.

Apakah BN ‘ada telor’ untuk mengambil tindakan atau memecat mereka?

No comments:

Post a Comment