Friday, May 13, 2016

KEPELBAGAIAN SUMBER PERTUMBUHAN RANGSANG TRAJEKTORI EKONOMI M'SIA


"Di sebalik kebimbangan terhadap liabiliti luar jangka disebabkan laporan bersifat negatif berkaitan dana pelaburan strategik negara 1MDB, yang akan menjejaskan keyakinan dalam jangka pendek dan sederhana, unjuran keseluruhan Malaysia mampu meningkat..."



Oleh Christine Lim

Di sebalik suasana ekonomi global yang mencabar, kepelbagian sumber pertumbuhan yang dinikmati Malaysia mampu merangsang trajektori pertumbuhan negara pada masa depan.

Negara ini terus mencatat kesinambungan tarikan pelaburan asing dalam sektor pembuatan khususnya dalam industri elektrik dan elektronik serta industri berteknologi tinggi lain.

Sektor pembinaan serta projek infrastruktur mega lain, sudah tentu akan memacu pertumbuhan dalam keadaan penggunaan domestik yang sederhana.

Suku pertama tahun ini menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 4.2 peratus, dengan sektor pembinaan, perkhidmatan dan pembuatan mendorong pencapaian tersebut.

Walaupun keadaan ketidaktentuan masih menyelubungi kadar pertumbuhan rakan dagangan utama Malaysia, terutama China yang terus mengalami proses transformasi ekonomi, kebangkitan semula ekonomi berpotensi dari pasaran utama seperti Amerika Syarikat (AS), akan terus melonjak perdagangan dan pelaburan.

AS mempamerkan beberapa petanda peningkatan ekonomi yang jelas, dengan unjuran perolehan korporat dan pasaran pekerjaan lebih menyakinkan.

Institusi kewangan Malaysia yang kukuh dan kecairan domestik yang lebih daripada mencukupi terus memberi sokongan padu untuk kegiatan ekonomi, manakala imbangan akaun pembayaran juga berada dalam prestasi lebihan.

Dalam memberi penekanan terhadap aspek ini, kecairan telah mencatat peningkatan sejak pengurangan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) berkuat kuasa 1 Feb, 2016 yang membawa kepada pelepasan meluas mudah tunai dalam sistem perbankan.

Syarikat diunjur mampu melunaskan hutang memandangkan kira-kira 76 peratus pinjaman perniagaan Malaysia dibiayai secara domestik.

Malaysia sudah tentu akan memantau perkembangan harga minyak mentah, yang kini stabil pada sekitar US$45 setong.


Di sebalik kebimbangan terhadap liabiliti luar jangka disebabkan laporan bersifat negatif berkaitan dana pelaburan strategik negara 1MDB, yang akan menjejaskan keyakinan dalam jangka pendek dan sederhana, unjuran keseluruhan Malaysia mampu meningkat seiring pengukuhan harga minyak mentah, di samping usaha kerajaan untuk menggalakkan pelaburan.

Ekonomi Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mencapai pertumbuhan 4 hingga 4.5 peratus pada 2016 berbanding lima peratus pada tahun lepas.

Pertumbuhan itu mampu meningkat pada separuh pertama 2016 selepas jangkaan pertumbuhan lemah pada separuh pertama.

Kapasiti pembuatan yang lebih tinggi, peningkatan pengeluaran komoditi serta pendapatan tinggi sudah pasti akan mempercepatkan pertumbuhan pada separuh kedua 2016 dan seterusnya melangkah ke 2017.

Kesimpulannya, asas-asas daya tahan yang kukuh dan petunjuk pertumbuhan berpotensi mampu mengekang ekonomi daripada terjerumus ke dalam krisis kewangan.
Ia akan menyokong sasaran defisit fiskal pada 3.1 peratus tahun ini.