Monday, November 17, 2008

TABIK KEPADA MB KEDAH

Tolonglah, sokonglah kalau niat dan benda yang hendak dibuat itu baik.

Apa yang diumum dan diperjuangkan oleh Menteri Besar Kedah, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak adalah sesuatu yang perlu disokong bukan dihentam.

Oktober lalu, kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah telah meningkatkan pemilikan rumah dari 30 peratus kepada 50 peratus, berkuatkuasa 1 September 2008 bagi projek perumahan baru di negeri itu.

Azizan dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan meminta syarikat-syarikat kaitan kerajaan supaya membina rumah yang mampu dibeli rakyat Kedah, sekiranya pemaju swasta tidak bersedia berbuat demikian.

Buruk sangatkah dasar yang mahu diperkenalkan Azizan iaitu kuota 50 peratus untuk Melayu dan Bumiputera memiliki rumah?

Beliau pula dengan jelas mengatakan ia lebih kepada rumah mampu milik.

Persoalan juga ialah dalam memperkatakan kuota ini, siapakah yang diutamakan, sama ada pemaju atau pembeli?

Juga, apakah rumah dan rumah kedai itu dibina pada harga yang mampu dibeli atau sengaja di bina rumah mahal dengan tujuan menjual kepada kaum tertentu sahaja atau juga pembeli dari luar negara?

Azizan memerlukan sokongan padu kerana dasar yang mahu beliau perkenalkan bagi menjamin Bumiputera yang membentuk 80 peratus daripada kira-kira dua juta penduduk Kedah tidak terpinggir daripada memiliki rumah mampu milik.

Malah katanya, kerajaan negeri juga akan mengeluarkan kertas putih mengenai dasar itu untuk memberi penjelasan kepada semua pihak.

Beliau terpaksa berdepan dengan serangan MCA, Gerakan dan juga Parti Keadilan Rakyat.
Azizan menolak andaian dasar kuota itu akan dibatalkan. Ini bermakna Azizan seorang pemimpin yang tegas memperjuangkan kepentingan Bumiputera (termasuk Melayulah tu!)

Kelmarin beliau memberi amaran kepada pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dari luar Kedah supaya jangan campur tangan dalam isu dasar baru kerajaan Pas Kedah berhubung pemilikan kuota rumah Bumiputera yang dinaikkan daripada 30 kepada 50 peratus.

Katanya, pemimpin PKR dan DAP dari luar Kedah tidak layak untuk campur tangan hal dalaman negeri itu selain tidak berhak mengajar beliau membuat keputusan terutama membabitkan perkara berkaitan dasar kerajaan Pas Kedah.

"Mereka (pemimpin PKR dan DAP) bukan bos saya, bos saya hanya Pas Pusat dan saya hanya akan mendengar arahan daripada pemimpin Pas.

"Kenapa Azmin (Azmin Ali, Naib Presiden PKR) menyibuk? Sedangkan saya tidak pernah mencampuri urusan dalaman negeri Selangor atau Pulau Pinang walaupun ada antara dasar yang mereka putuskan itu mengguris hati orang Islam dan Melayu," katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian semalam.

Azmin dilaporkan berkata bahawa pemimpin Pakatan Rakyat akan membincangkan isu berhubung dasar baru pemilikan kuota rumah Bumiputera di negeri ini yang dinaikkan daripada 30 kepada 50 peratus.

Pemimpin MCA Kedah berkata dengan kuota yang ditetapkan sebanyak 30 peratus pun rumah-rumah yang dibina tidak mampu dibeli oleh Melayu dan Bumiputera.
Inikan pula kalau 50 peratus, tegasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun dari MCA, Dr Leong Yong Kong mengingatkan Kerajaan Negeri Kedah bahawa langkah kerajaan negeri mahu memperkenalkan kuota 50 peratus dibimbangi akan menjejaskan industri perumahan dan yang berkaitan dengannya di negeri itu kerana ia akan menjejas teruk ekonomi di negeri itu.

Beliau dilaporkan berkata syarat baru itu akan menyebabkan pemaju swasta tidak berminat untuk melaksanakan projek perumahan baru.

Malah, kata Dr Leong, dengan kuota 30 peratus sekarang pun, pemaju perumahan menghadapi masalah untuk menjual unit yang dibina.
Beliau menyarankan agar kerajaan negeri menjalankan kajian untuk mengetahui mengapa orang Melayu tidak boleh membeli rumah atau rumah kedai yang dibina oleh pemaju perumahan swasta.

Ahli Jawatankuasa Pusat (CEC) DAP, Teng Chang Kim, dikatakan menyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tunggal DAP di Kedah, Lee Guan Aik yang mahu mahu meninggalkan PR dan menjadi pembangkang di Kedah jika Kerajaan Pas Kedah meneruskan dasar itu.
Teng dilaporkan berkata, ahli CEC DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, juga bersetuju jika Lee mahu bertindak demikian.

Azizan sebaliknya berkata tindakan ugut-mengugut itu tidak akan menguntungkan kerajaan PR.

"Kalau di Selangor dan Perak pula Pas ugut untuk keluar (PR), apa mereka akan kata. Saya tidak suka orang ugut saya. Janganlah ugut, biar Kedah selesaikan masalah kita sendiri," katanya.
Malah katanya, terpulang kepada DAP untuk keluar daripada PR di negeri ini jika tidak bersetuju dengan dasar baru pemilikan rumah iaitu kuota Bumiputera dinaikkan daripada 30 kepada 50 peratus di semua projek perumahan.

Hairan sungguh dengan orang Melayu khususnya, apabila dasar cuba mempertahankan mereka, ada sahaja yang tidak kena.

Sebenarnya, belum ada negeri, termasuk di bawah Barisan Nasional (BN) yang berani melakukan demikian.

Kelantan yang sudah diperintah oleh PAS dengan majoriti penduduk adalah Melayu dan Bumiputera lain yang berkali-kali mengatakan berhasrat membina rumah mampu beli pun takut untuk mengumumkan dasar sedemikian.

SELICIK NAZRI TERKENA JUGA!

Mengakui kesilapan adalah perbuatan mulia. Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tidak perlu merasa malu atau bersalah.

Selain sifat mula Nazri, sifat mulia yang ditunjukkan oleh mereka yang membuat keputusan memecat hakim-hakim berkenaan ialah tetap memberikan pencen dan tidak tutup terus ‘periok nasi’ mereka.

Hari ini bukan sekadar hakim-hakim itu menikmati pencen berpuluh tahun lamanya tetapi ada kalangan mereka yang menjadi jutawan.

Apapun, Dewan Rakyat akan menentukan dalam beberapa hari ini sama ada Nazri akan dirujukkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atau sebaliknya kerana didakwa memberi kenyataan tidak benar itu kepada Dewan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata 13 November lalu, beliau perlu menyemak semua butiran kerana perkara itu melibatkan banyak implikasi.

Katanya, dakwaan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) pada sidang Dewan Rakyat pada 13 November itu terhadap Nazri bukan perkara remeh dan ia turut melibatkan kewibawaan hakim yang terbabit, menteri berkenaan, tribunal yang mengadili mereka dan Majlis Raja-Raja.

Isnin minggu lalu, Karpal meminta supaya Mohamed Nazri dirujukkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mendakwa kenyataan menteri itu berkenaan dengan perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan lima lagi hakim kanan yang pernah terlibat dalam krisis kehakiman 20 tahun lalu, adalah satu pembohongan besar.

Menurut Karpal, merujuk kepada Malayan Law Journal (MLJ), bekas Ketua Hakim Negara itu dan dua hakim kanan iaitu Wan Suleiman dan George Edward telah dipecat dan bukan diberhentikan awal.

Bagi Nazri pula, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, setiap jawapan di Dewan Rakyat, selalunya selain pengetahuan peribadi beliau, sudah pasti berharap kepada pegawai menyediakan jawapannya.

Malang menimpa Nazri kerana orang yang menyediakan jawapan itu membekalkan maklumat yang salah.

Apakah mereka yang melakukan sedemikian wajar menerima nasib seperti hakim-hakim berkenaan? Cumanya kalau dipecat mereka tidak seharusnya diberikan pencen seperti yang dinikmati lima hakim berkenaan.

Nampaknya walaupun sudah mengakui kesilapan, pembangkang tetap mahu Nazri dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak harus mengambil masa dalam menentukan sama ada Nazri perlu dirujuk kepada jawatankuasa tersebut.
“Mengelirukan Dewan merupakan perkara yang serius,” katanya.

Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, berdasarkan Aturan Mesyuarat Parlimen mana-mana anggota yang mengelirukan Dewan Rakyat harus dianggap sebagai telah menghina Dewan Rakyat dan oleh itu wajar dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mendakwa kenyataan menteri itu adalah satu pembohongan besar.

Pada 6 November lalu, Nazri ketika mengumumkan pembayaran exgratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan lima hakim kanan yang terlibat dalam krisis kehakiman 20 tahun lepas, berkata bekas-bekas hakim itu bukannya dipecat tetapi telah ditamatkan perkhidmatan lebih awal seperti disarankan oleh satu panel.

Kita patut puji Nazri kerana sikap terbukanya dan saya tidak nampak ada pihak yang cuba mengaibkan Nazri, cuma mungkin mulanya ada pihak merasakan ia berkisar sekitar jumlah ex-gratia, tidak sampai kepada isu sama ada dipecat atau ‘khidmat dihentikan’.

Apapun, Nazri sudah tanggung beban yang ditinggalkan oleh seseorang yang selama ini cuba merahsiakan jumlah pembayaran itu kerana sesuatu sebab yang beliau sendiri maklum.

Dalam kes ini, Nazri teranianya walaupun beliau mengotakan janjinya untuk mendedahkan jumlah pembayaran itu.

Seharusnya ia tidak dijadikan isu sama ada Nazri berbohong atau sebaliknya.

Walaupun ada yang menghukum degan mengatakan Nazri ‘bodoh’ dan ‘berbohong’, isu utamanya ialah di kalangan hakim berkenaan ada yang sudah menjadi jutawan.

Ada blog yang bantai Nazri habis-habisan dengan mengatakan: “Maka sekarang, memang terbukti bahawa Nazri Aziz memang “berbohong” di parlimen perihal isu Ex-Gratia Hakim baru-baru ini. Biarpun beliau akui kesilapannya, tetapi rakyat harus sedar bahawa memang Nazri banyak berbohong selama ini. Beliau patut dikenakan tindakan kerana berbohong oleh parlimen!.

Cara beliau menjawa soalan yang dikemukan kepadanya dulu, dalam keadaan yang terlalu yakin dan sombong seolah-olah beliau tahu segalanya tentang hal ini. Jika begini sikapnya menteri UMNO, maka sahlah bahawa rakyat telah tersalah membuat pilihan mereka selama ini. Nazri harus letak jawatan! kerana beliau tidak layak menjadi menteri. Semoga rakyat sedar semua ini.”

TERIMA KASIH ZIN, TERIMA KASIH PLUS!

Antara perkara yang dijadikan ‘peluru’ untuk menghentam kerajaan ialah kenaikan tol dan keengganan syarikat konsesi lebih raya menurunkan kadar tol ketika rakyat menghadapi ancaman kenaikan harga barang kesan kenaikan harga bahan api.

Berikutan itu kerajaan perlu mencari jalan sesuai membolehkan syarikat-syarikat yang menjadi pemegang konsesi lebih raya utama supaya berbakti kepada rakyat dan memulangkan ‘sedikit keuntungan’, agar kerajaan tidak dituduh menjadi punca kepada kenaikan kos hidup rakyat yang sudah terhimpit itu.

Kerajaan perlu terus mengadakan rundingan dengan semua syarikat pemegang konsesi, termasuk Plus Expressways Berhad (PLUS) bagi menilai semula bayaran tol lebuh raya di seluruh negara kerana ia ‘perjuangan untuk rakyat’.

Usaha yang dilakukan oleh Menteri Kerjaraya, Datuk Ir. Mohd Zin Mohamed bagi merundingkan isu tol ini sangat sesuai dengan kehendak rakyat agar syarikat-syarikat berkenaan turut memikirkan masalah rakyat.

Keengganan pemegang konsesi seperti Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) menurunkan kadar tol, walaupun sudah mencacat keuntungan besar wajar dikesali.

Memang sepatutnya Ir. Mohd Zin kesal dengan keputusan LDP kerana kerajaan sehingga kini sudah membayar pampasan tunai RM630.5 juta kepada LDP bagi pengurangan dan penyusunan semula kadar tol antara 1999 hingga 2007.

Kutipan tol sejak tempoh konsesi bermula pada 31 Disember 1996 pula mencecah RM1.28 bilion.
Berikutan itu, menurut Ir. Mohd Zin, LDP adalah lebuh raya yang merekodkan keuntungan dan sewajarnya meringankan sedikit beban pengguna kerana tempoh konsesi mereka hanya berakhir pada 31 Disember 2029.

Beliau juga dipetik Berita Harian berkata, mutu perkhidmatan lebuh raya berkenaan sudah merosot hingga ke tahap 'F' di Plaza Tol Petaling dan Penchala serta tahap 'D' di Plaza Tol Puchong Barat dan Puchong Selatan, manakala lokasinya pula tidak menyediakan laluan alternatif yang munasabah.

Pada 1 Januari lalu, kadar tol di enam lebuh raya iaitu Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah, Lebuh raya Kulim-Butterworth, Laluan Kedua Malaysia-Singapura, Lebuh Raya Pintas Selat Klang Utara Baru serta Tambak Johor dan Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, dinaikkan antara 30 sen hingga RM10.70.

Bagi lebuh raya yang dikendalikan Plus Expressways Berhad (PLUS), Jambatan Pulau Pinang, Lebuh raya Bertingkat Ampang-Ulu Klang (Prolintas) serta Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint)-Kerinchi dan Damansara Link, kadar tol tidak dinaikkan.

Kali terakhir Plus menaikkan kadar tol di lebuh raya kendaliannya ialah pada 2005.
Sesuatu yang menggembirakan ialah apabila PLUS dijangka menurunkan kadar tol di lebuh raya kendaliannya.

Walaupun tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu, tetapi Ir. Mohd Zin menjelaskan persetujuan berkenaan dicapai selepas kerajaan mengadakan rundingan dengan semua syarikat pemegang konsesi, termasuk Plus bagi menilai semula bayaran tol lebuh raya di seluruh negara, sejak beberapa bulan lalu.

“Saya yakin pengumuman berkenaan akan memberi khabar gembira kepada sebahagian besar pengguna lebuh raya di negara ini," katanya kelmarin.

Rakyat perlu menunggu hingga esok (Selasa) apabila pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat oleh syarikat berkenaan.
Terima kasih daun keladi!