Nampak gayanya, Cuepacs terpaksa mengemukakan beberapa perkara baru melalui Skim Saraan Malaysia (SSM) yang dikembalikan dengan penambahbaikan.
Najib mengakui sepanjang tempoh tiga bulan SBPA diperkenalkan, kerajaan menerima hampir 1,000 aduan dan memorandum, termasuk cadangan daripada 23 persatuan berkaitan.
Malah dikatakan Barisan Nasional (BN) turut terancam dengan skim SBPA yang hanya menguntungkan segelintir penjawat awam, sedangkan jumlah 1.4 juta penjawat awam dikatakan majority adalah penyokong BN.
"Saya harap semua pihak reda dan tak ada lagi yang tak puas hati di semua peringkat. Saya doakan ini jadi penyelesaian terbaik," katanya.
Najib pada perhimpunan dengan ribuan penjawat awam di Putrajaya pagi ini juga mengumumkan pembentukan Suruhanjaya yang dianggotai pihak berkepentingan, seperti kementerian kewangan dan Cuepacs bagi mengkaji tuntutan-tuntutan lain penjawat awam.
Ternyata kerajaan responsif kepada rintihan penjawat awam yang tidak berpuas hati dengan SBPA. Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata, beliau akan membangkitkan beberapa perkara yang belum diputuskan dalam suruhanjaya yang dibentuk itu.
"Kita rasa lega sikitlah dengan adanya suruhanjaya. Kalau tak, kita kena buat jawatankuasa itu, jawatankuasa ini…kenaikan gaji yang diberikan tidak diikuti dengan kenaikan harga barangan yang boleh membebankan pengguna,” katanya.
SSM yang mengadakan pelarasan membuat keputusan berikut:
1. Kenaikan 13 peratus bagi kumpulan pengurusan, profesional dan pelaksana dari gred 1 hingga gred 54.
2. Kenaikan 9 peratus untuk gred utama kumpulan JUSA C, B dan A.
3. Kenaikan 8 peratus untuk turus 3 dan 2.
4. Kenaikan 7 peratus untuk turus 1 dan Ketua Setiausaha.
Pengumuman ini meredakan ‘kemarahan’ pihak tertentu dalam perkhidmatan awam apabila Ketua Setiausaha Negara hanya akan menerima kenaikan gaji sebanyak tujuh peratus, berbanding sistem SBPA yang menyaksikan pendapatan ketua penjawat awam itu mencecah RM60,000 sebulan.
Kadar bayaran terhadap KSU itu telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pekerja gred bawahan yang hanya diberi kenaikan serendah RM1.70, dan menerima bantahan daripada kebanyakan 1.4 juta kakitangan awam.
Ada pihak mendakwa dengan penambahbaikan SSM ini, ia merupakan tawaran terbaik kepada penjawat awam untuk kembali menyokong BN.
Apa yang diharapkan dengan penambahbaikan SSM ini selain penubuhan Suruhanjaya akan dapat membuat cadangan dan menyelesaikan pertikaian antara pekerja dengan kerajaan secara lebih harmoni.