Thursday, March 8, 2012

NAJIB UMUM SBPA UNTUK 1.4 JUTA PENJAWAT AWAM HARI INI?

Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak semalam dibanjiri oleh penjawat awam dari seluruh negara.

Mereka adalah antara kira-kira 1.4 juta penjawat awam yang menunggu dengan penuh debaran pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung semakan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) hari ini.


Semalam ketika mencari beberapa kakitangan Pejabat Menteri Besar Terengganu di Tingkat 15 dan 16, jawapan penuh senyuman diberikan ialah ‘Mereka ke Kuala Lumpur…SBPA…”

Apa tidaknya, Perdana Menteri dijadual berucap pada perhimpunan khas yang dihadiri ketua-ketua jabatan kerajaan dan badan berkanun serta pegawai kanan perkhidmatan awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari  ini.

Najib mengumumkan rancangan kerajaan untuk melaksanakan skim gaji yang lebih baik bagi penjawat awam ketika membentangkan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober tahun lepas.

Kerajaan memperuntukkan RM64.1 bilion untuk gaji dan pencen kakitangan kerajaan di bawah Belanjawan 2012 tetapi semakan boleh bermakna gaji yang lebih tinggi.

SBPA sepatutnya dilaksanakan 1 Januari lalu tetapi Perdana Menteri mengumumkan ia ditangguhkan selepas Cuepacs membantah terhadap kewujudan perbezaan gaji yang begitu ketara antara mereka yang menduduki gred JUSA dan Premier berjumlah kira-kira 2,600 pegawai dan mereka yang berada dalam Gred 54 dan ke bawah. 

Berikutan keadaan yang tidak seimbang, Najib melakukan tindakan yang amat wajar iaitu meminta supaya skim itu disemak semula.

Walaupun, pasukan petugas diberi tempoh sehingga 16 April untuk menyelesaikan tugasnya, tetapi ia berjaya mencapai kata sepakat dan pastinya ini mendatangkan kelegaan kepada kakitangan yang terjejas.

Kita mengharapkan SBPA bukanlah sesuatu yang hanya menjadi ‘durian runtuh’ tetapi permulaan kepada sistem yang akan mentransformasikan perkhidmatan awam negara menjadi sesuatu yang dinamik dengan budaya berpretasi tinggi yang cekap. 

Dan akhirnya ia menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program transformasi Perdana Menteri ke arah mewujudkan ekonomi berpendapatan tinggi pada akhir dekad ini.

No comments:

Post a Comment