Monday, June 12, 2017

ISU CUKAI PELANCONGAN - ‘RAJA KONTROVERSI’ BEBAS KONGKONGAN NAJIB?


Ada sesetengah pihak kata, lantaklah kalau Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan ‘orang politik Sarawak’ mahu tunjuk ‘siapa besar’.

Nak tunjuk samseng atau siapa betul, itu hak mereka. Namun isunya, bukan soal pertelagahan pendapat dan label-melabel itu sahaja.

Yang penting untuk rakyat tahu ialah ialah kenapa penginapan di bilik hotel itu dikutip dan berapa pula kerajaan beria-ia mahu mendapat untung daripadanya?

Persoalannya juga kenapa begitu sekali terjadi ‘pertelingkahan’ dalam isu ini?

Juga dalam hubungan antara kerajaan pusat dan negeri, Putrajaya boleh melaksanakan apa sahaja dan begitu juga dalam konteks Barisan Nasional (BN), menteri-menteri UMNO boleh cakap dan laksanakan apa sahaja?

Juga apakah kerajaan Pusat termasuk Mohd Nazri atau digelar ‘Raja Kontroversi’ tidak dapatkan pandangan kerajaan negeri sebelum dilaksanakan?

Atau memang hak kerajaan pusat dan kerajaan negeri ‘perlu ikut sahaja’.

Juga apakah Mohd Nazri melihat kepada keupayaan beliau dan kementeriannya menjana pendapatan yang besar untuk Putrajaya pimpinan Datuk Seri Najib Razak?

Cukai ini dikuatkuasakan kesan Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan yang diluluskan di parlimen pada sidang yang lalu. Ini bermakna sudah dibahaskan di Parlimen, namun pelaksanaannya mungkkin tidak dijangka begitu cepat.

ADUN  Batu Lintang dari PKR, See Chee How berpendapat  kerajaan pusat tidak ada hak dalam hal berkenaan industri pelancongan di Sarawak, dan ini dilihat dengan penubuhan kementerian pelancongan peringkat negeri pada 1985.

“Hanya pada 1994, kerajaan persekutuan memperkenalkan pindaan kabur dan meragukan menerusi rang undang-undang Pindaan Perlembagaan untuk menyenaraikan pelancongan dalam senarai persekutuan,” kata See.

Bagaimanapun, tidak ada rundingan atau persetujuan daripada kerajaan Sarawak dalam mengambil alih pelancongan yang merupakan perkara belum diperhalusi sebelum ia dijadikan bidang kuasa persekutuan pada 1994.

Kelmarin, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dengan keahlian lebih 900 pengusaha hotel di seluruh Malaysia berkata  pihaknya masih lagi tidak jelas bagaimana mahu melaksanakan cukai itu, yang dijangka pada kadar antara RM2.50 dan RM20 dikenakan bagi penginapan semalaman.


Presiden MAH Cheah Swee Hee menegaskan,  pihaknya masih tidak tahu mekanisme untuk mengutip cukai pelancongan, dan jumlah caj bil cukai dikenakan kepada pelancong untuk menginap.

“Saya rasa 1 Julai itu tak ada siapa boleh buat,” kata Cheah. Menurutnya, tempoh masa itu tidak memadai bagi pengusaha hotel membuat persiapan.

Pertelagahan antara Mohd Nazri dengan orang politik Sarawak mempekukukkan pendapat bahawa cukai ini sewajarnya dikaji perlaksanaannya secacara mendalam terlebih dahulu, walaupun sudah diuluskan oleh Parlimen..

Jika ada negeri yang kurang bersetuju – tidak seperti beberapa negeri yang ikut sahaja, malah Terengganu mengalu-alukan cukai berkenaan sementara Melaka mengatakan ia tidaak ada masalah - rundingan perlu dibuat terlebih dahulu.

Sarawak melihat akan kesan jika dikenakan cukai berkenaan dan sebagai negeri yang bergantung kuat kepada hasil pelancongan, sudah pasti ia bimbang dengan pelaksanaannya.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebelum ini membuat gesaan agar kerajaan persekutuan menangguhkan pelaksanaan cukai pelancongan yang bakal berkuatkuasa 1 Ogos depan.

Karim turut mengaitkan mengenai Perjanjian Malaysia dalam meminta cukai itu ditangguhkan di Sabah dan Sarawak.

Hanya dengan menyuarakan pendapat, Mohd Nazri terus berang dan mengatakan Menteri Sarawak  berkenaan sebagai  “setahun jagung dan masih budak lagi” dan pastinya dianggap suatu penghinaan terhadap Abdul Karim yang telah diberi kepercayaan oleh pucuk kepimpinan negeri.

Pemimpin politik Sarawak berpendapat sebagai sebuah keluarga besar dalam BN apa juga isu terutama menyentuh sensitiviti rakyat di mana-mana peringkat, seharusnya ditangani secara musyawarah dalam semangat BN dan bukannya menerusi kenyataan umum atau menerusi hebahan media kerana ia boleh mencetuskan kemarahan nitizen.


Pengerusi Pemuda BN Sarawak Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kenyataan Nazri kasar dan tidak melambangkan semangat kekeluargaan dalam BN.

"Pemuda BN Sarawak mengecam kenyataan Nazri terhadap Abdul Karim yang kasar dan tidak melambangkan semangat kekeluargaaan dalam Islam,” kata Fadillah yang jga Menteri Kerjaraya.

Beliau mengatakan, perkara seperti ini boleh dibincang malah perlu hormati perbezaan pendapat dan seterusnya mengambil kesempatan itu untuk bermuafakat bagi mendapatkan penyelesaian terbaik kepada semua perkara.

Katanya, tindakan melabelkan sebagai 'samseng' juga tidak wajar sama sekali kerana ia bukan sahaja penghinaan kepada individu terbabit malah boleh menjejaskan imej parti, apa lagi samseng bukanlah budaya dalam BN, apatah lagi dalam PBB.

Bekas Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, yang kini Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hubungan Korporat), Abdullah Saidol (kanan), memuji tindakan Abdul Karim kerana ia berkait tentang hak negeri.

“Raja kontroversi” itu dilihat terlalu angkuh dan sombong, hingga sanggup melabel menteri negeri yang setaraf dan sejawatan dengannya sebagai “setahun jagung”, ” tidak cerdik” dan “samseng” — sesuatu yang tidak dapat diterima rakyat Sarawak,” katanya mengulas kenyataan Mohd Nazri.

Dengan sedikit emosi, Abdullah menulis di Facebooknya: “Engkau ingat kita di Sarawak ini boleh dikotak-katik macam tu saja? Kenapa tiba-tiba cakap pasal “samseng” pula? Samseng sangat ke awak tu? Jangan fikir tahap samseng awak saja?”

Menurut beliau perangai ‘feudalism’ atau ‘kebangsawanan’ Mohd Nazri seperti inilah yang membuat rakyat meluat dan menyampah dengan budaya politik dalam negara kita sekarang ini.

Persoalannya, apakah Mohd Nazri kini merasakan begitu berpengaruh dan tidak akan ditegur oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jika pun mengeluarkan kata-kata kesat kepada rakan politik mereka?

Apakah Nazri tidak peduli lagi soal sensitiviti yang sering ditimbulkan oleh orang politik Sarawak dan beberapaa ‘autonomi’ yang sudah diberikan Najib kepada Sarawak?

Dengan mengatakan,  "Tak payahlah bangkitkan agreement tu. Kami tahulah," Nazri menunjukkan bahawa beliau memang mahir mengenai kedudukan Sarawak dalam Malaysia malah menegaskan bahawa cukai baru itu sebahagian daripada cukai persekutuan.

Nazri mempertahankan bahawa kerajaan membuat keputusan untuk menjadikannya sebagai cukai kerajaan persekutuan bagi mengelakkan kekeliruan. "Bila jadi cukai federal tak berbangkit soal kita rampas hak Sarawak," tegasnya.

Dalam konteks ini, apakah bagi Mohd Nazri, beliau hanya melihat sumbangan beliau dan kementerian beliau kepada kepentingan negara ketika ini tanpa mempedulikan ‘perasaan negeri-negeri’?

Apa kepentingan negara ini? Yang nyata memerlukan pendapatan yang besar untuk menampung kehilangan dana negara kerana membanyar berbagai hutang, termasuk hutang negara, hutang diakibatkan penyelewengan melalui 1Malaysia Development Berhaad (1MDB) dan banyak lagi.

Yang jelas, pelaksanaan cukai pelancongan membolehkan kerajaan mengutip sehingga RM654 juta jika kadar penginapan adalah pada 60 peratus.

Laporan Tahunan Program Transformasi Negara, berkata resit pelancongan tahun 2015 merosot sebanyak empat peratus kepada RM69.1 bilion berbanding RM72 bilion bagi tahun 2014.

Apakah pengenalan cukai pelancongan ini suatu langkah terdesak kerajaan untuk mencari dana tambahan?

Ketika berbahas di Dewan Rakyat pada April lalu untuk meluluskan rang undang-undang Cukai Pelancongan 2017, Mohd Nazri berkata cukai boleh memberikan kerajaan sebanyak RM654.62 juta, berdasarkan kadar penginapan melibatkan 11 juta bilik di negara ini mencapai 60%.

Pada 6 Jun lalu, Mohd Nazri mengumumkan cukai pelancongan berkuatkuasa 1 Ogos yang akan menyaksikan pelanggan, termasuk rakyat tempatan perlu membayar sehingga RM20 bagi penginapan sebuah bilik hotel semalaman.
 
Kadar cukai berkenaan ialah RM20 untuk hotel bertaraf lima bintang; RM10 untuk hotel bertaraf empat bintang; RM5 untuk hotel bertaraf satu hingga tiga bintang dan RM2.50 untuk hotel bertaraf satu hingga tiga orkid serta yang tidak ditarafkan.

Gara-gara pertelingkahan ini Sarawak membuat keputusan segera untuk daripada  Lembaga Pelancongan M'sia berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas kerajaan negeri berpendapat penyertaan dalam lembaga itu mempunyai pertindihan tugas serta peranan dengan Lembaga Penggalakan Pelancongan Sarawak.

Cukai itu tidak termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta caj perkhidmatan. Bagaimanapun, bilik berdaftar dengan kerajaan di bawah program homestay dikecualikan daripada cukai berkenaan.

Turut dikecualikan ialah premis yang menyediakan penginapan kurang daripada 10 bilik, serta yang disenggara institusi agama, kerajaan dan badan-badan berkanun untuk tujuan bukan komersil.