Showing posts with label Sarawak. Show all posts
Showing posts with label Sarawak. Show all posts

Monday, June 12, 2017

ISU CUKAI PELANCONGAN - ‘RAJA KONTROVERSI’ BEBAS KONGKONGAN NAJIB?


Ada sesetengah pihak kata, lantaklah kalau Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan ‘orang politik Sarawak’ mahu tunjuk ‘siapa besar’.

Nak tunjuk samseng atau siapa betul, itu hak mereka. Namun isunya, bukan soal pertelagahan pendapat dan label-melabel itu sahaja.

Yang penting untuk rakyat tahu ialah ialah kenapa penginapan di bilik hotel itu dikutip dan berapa pula kerajaan beria-ia mahu mendapat untung daripadanya?

Persoalannya juga kenapa begitu sekali terjadi ‘pertelingkahan’ dalam isu ini?

Juga dalam hubungan antara kerajaan pusat dan negeri, Putrajaya boleh melaksanakan apa sahaja dan begitu juga dalam konteks Barisan Nasional (BN), menteri-menteri UMNO boleh cakap dan laksanakan apa sahaja?

Juga apakah kerajaan Pusat termasuk Mohd Nazri atau digelar ‘Raja Kontroversi’ tidak dapatkan pandangan kerajaan negeri sebelum dilaksanakan?

Atau memang hak kerajaan pusat dan kerajaan negeri ‘perlu ikut sahaja’.

Juga apakah Mohd Nazri melihat kepada keupayaan beliau dan kementeriannya menjana pendapatan yang besar untuk Putrajaya pimpinan Datuk Seri Najib Razak?

Cukai ini dikuatkuasakan kesan Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan yang diluluskan di parlimen pada sidang yang lalu. Ini bermakna sudah dibahaskan di Parlimen, namun pelaksanaannya mungkkin tidak dijangka begitu cepat.

ADUN  Batu Lintang dari PKR, See Chee How berpendapat  kerajaan pusat tidak ada hak dalam hal berkenaan industri pelancongan di Sarawak, dan ini dilihat dengan penubuhan kementerian pelancongan peringkat negeri pada 1985.

“Hanya pada 1994, kerajaan persekutuan memperkenalkan pindaan kabur dan meragukan menerusi rang undang-undang Pindaan Perlembagaan untuk menyenaraikan pelancongan dalam senarai persekutuan,” kata See.

Bagaimanapun, tidak ada rundingan atau persetujuan daripada kerajaan Sarawak dalam mengambil alih pelancongan yang merupakan perkara belum diperhalusi sebelum ia dijadikan bidang kuasa persekutuan pada 1994.

Kelmarin, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dengan keahlian lebih 900 pengusaha hotel di seluruh Malaysia berkata  pihaknya masih lagi tidak jelas bagaimana mahu melaksanakan cukai itu, yang dijangka pada kadar antara RM2.50 dan RM20 dikenakan bagi penginapan semalaman.


Presiden MAH Cheah Swee Hee menegaskan,  pihaknya masih tidak tahu mekanisme untuk mengutip cukai pelancongan, dan jumlah caj bil cukai dikenakan kepada pelancong untuk menginap.

“Saya rasa 1 Julai itu tak ada siapa boleh buat,” kata Cheah. Menurutnya, tempoh masa itu tidak memadai bagi pengusaha hotel membuat persiapan.

Pertelagahan antara Mohd Nazri dengan orang politik Sarawak mempekukukkan pendapat bahawa cukai ini sewajarnya dikaji perlaksanaannya secacara mendalam terlebih dahulu, walaupun sudah diuluskan oleh Parlimen..

Jika ada negeri yang kurang bersetuju – tidak seperti beberapa negeri yang ikut sahaja, malah Terengganu mengalu-alukan cukai berkenaan sementara Melaka mengatakan ia tidaak ada masalah - rundingan perlu dibuat terlebih dahulu.

Sarawak melihat akan kesan jika dikenakan cukai berkenaan dan sebagai negeri yang bergantung kuat kepada hasil pelancongan, sudah pasti ia bimbang dengan pelaksanaannya.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebelum ini membuat gesaan agar kerajaan persekutuan menangguhkan pelaksanaan cukai pelancongan yang bakal berkuatkuasa 1 Ogos depan.

Karim turut mengaitkan mengenai Perjanjian Malaysia dalam meminta cukai itu ditangguhkan di Sabah dan Sarawak.

Hanya dengan menyuarakan pendapat, Mohd Nazri terus berang dan mengatakan Menteri Sarawak  berkenaan sebagai  “setahun jagung dan masih budak lagi” dan pastinya dianggap suatu penghinaan terhadap Abdul Karim yang telah diberi kepercayaan oleh pucuk kepimpinan negeri.

Pemimpin politik Sarawak berpendapat sebagai sebuah keluarga besar dalam BN apa juga isu terutama menyentuh sensitiviti rakyat di mana-mana peringkat, seharusnya ditangani secara musyawarah dalam semangat BN dan bukannya menerusi kenyataan umum atau menerusi hebahan media kerana ia boleh mencetuskan kemarahan nitizen.


Pengerusi Pemuda BN Sarawak Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kenyataan Nazri kasar dan tidak melambangkan semangat kekeluargaan dalam BN.

"Pemuda BN Sarawak mengecam kenyataan Nazri terhadap Abdul Karim yang kasar dan tidak melambangkan semangat kekeluargaaan dalam Islam,” kata Fadillah yang jga Menteri Kerjaraya.

Beliau mengatakan, perkara seperti ini boleh dibincang malah perlu hormati perbezaan pendapat dan seterusnya mengambil kesempatan itu untuk bermuafakat bagi mendapatkan penyelesaian terbaik kepada semua perkara.

Katanya, tindakan melabelkan sebagai 'samseng' juga tidak wajar sama sekali kerana ia bukan sahaja penghinaan kepada individu terbabit malah boleh menjejaskan imej parti, apa lagi samseng bukanlah budaya dalam BN, apatah lagi dalam PBB.

Bekas Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, yang kini Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hubungan Korporat), Abdullah Saidol (kanan), memuji tindakan Abdul Karim kerana ia berkait tentang hak negeri.

“Raja kontroversi” itu dilihat terlalu angkuh dan sombong, hingga sanggup melabel menteri negeri yang setaraf dan sejawatan dengannya sebagai “setahun jagung”, ” tidak cerdik” dan “samseng” — sesuatu yang tidak dapat diterima rakyat Sarawak,” katanya mengulas kenyataan Mohd Nazri.

Dengan sedikit emosi, Abdullah menulis di Facebooknya: “Engkau ingat kita di Sarawak ini boleh dikotak-katik macam tu saja? Kenapa tiba-tiba cakap pasal “samseng” pula? Samseng sangat ke awak tu? Jangan fikir tahap samseng awak saja?”

Menurut beliau perangai ‘feudalism’ atau ‘kebangsawanan’ Mohd Nazri seperti inilah yang membuat rakyat meluat dan menyampah dengan budaya politik dalam negara kita sekarang ini.

Persoalannya, apakah Mohd Nazri kini merasakan begitu berpengaruh dan tidak akan ditegur oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jika pun mengeluarkan kata-kata kesat kepada rakan politik mereka?

Apakah Nazri tidak peduli lagi soal sensitiviti yang sering ditimbulkan oleh orang politik Sarawak dan beberapaa ‘autonomi’ yang sudah diberikan Najib kepada Sarawak?

Dengan mengatakan,  "Tak payahlah bangkitkan agreement tu. Kami tahulah," Nazri menunjukkan bahawa beliau memang mahir mengenai kedudukan Sarawak dalam Malaysia malah menegaskan bahawa cukai baru itu sebahagian daripada cukai persekutuan.

Nazri mempertahankan bahawa kerajaan membuat keputusan untuk menjadikannya sebagai cukai kerajaan persekutuan bagi mengelakkan kekeliruan. "Bila jadi cukai federal tak berbangkit soal kita rampas hak Sarawak," tegasnya.

Dalam konteks ini, apakah bagi Mohd Nazri, beliau hanya melihat sumbangan beliau dan kementerian beliau kepada kepentingan negara ketika ini tanpa mempedulikan ‘perasaan negeri-negeri’?

Apa kepentingan negara ini? Yang nyata memerlukan pendapatan yang besar untuk menampung kehilangan dana negara kerana membanyar berbagai hutang, termasuk hutang negara, hutang diakibatkan penyelewengan melalui 1Malaysia Development Berhaad (1MDB) dan banyak lagi.

Yang jelas, pelaksanaan cukai pelancongan membolehkan kerajaan mengutip sehingga RM654 juta jika kadar penginapan adalah pada 60 peratus.

Laporan Tahunan Program Transformasi Negara, berkata resit pelancongan tahun 2015 merosot sebanyak empat peratus kepada RM69.1 bilion berbanding RM72 bilion bagi tahun 2014.

Apakah pengenalan cukai pelancongan ini suatu langkah terdesak kerajaan untuk mencari dana tambahan?

Ketika berbahas di Dewan Rakyat pada April lalu untuk meluluskan rang undang-undang Cukai Pelancongan 2017, Mohd Nazri berkata cukai boleh memberikan kerajaan sebanyak RM654.62 juta, berdasarkan kadar penginapan melibatkan 11 juta bilik di negara ini mencapai 60%.

Pada 6 Jun lalu, Mohd Nazri mengumumkan cukai pelancongan berkuatkuasa 1 Ogos yang akan menyaksikan pelanggan, termasuk rakyat tempatan perlu membayar sehingga RM20 bagi penginapan sebuah bilik hotel semalaman.
 
Kadar cukai berkenaan ialah RM20 untuk hotel bertaraf lima bintang; RM10 untuk hotel bertaraf empat bintang; RM5 untuk hotel bertaraf satu hingga tiga bintang dan RM2.50 untuk hotel bertaraf satu hingga tiga orkid serta yang tidak ditarafkan.

Gara-gara pertelingkahan ini Sarawak membuat keputusan segera untuk daripada  Lembaga Pelancongan M'sia berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas kerajaan negeri berpendapat penyertaan dalam lembaga itu mempunyai pertindihan tugas serta peranan dengan Lembaga Penggalakan Pelancongan Sarawak.

Cukai itu tidak termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta caj perkhidmatan. Bagaimanapun, bilik berdaftar dengan kerajaan di bawah program homestay dikecualikan daripada cukai berkenaan.

Turut dikecualikan ialah premis yang menyediakan penginapan kurang daripada 10 bilik, serta yang disenggara institusi agama, kerajaan dan badan-badan berkanun untuk tujuan bukan komersil.

Tuesday, February 11, 2014

TAIB MAHMUD BUKAN MAHU ‘MENONGKAT LANGIT, SEDIAKAN PENGGANTI YANG SETANDING…


Tidak benar tuduhan dan cercaan pihak tertentu bahawa Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mahu ‘menongkat langit’.

Kata-kata bahawa beliau akan terus kekal di jawatan itu kononnya untuk mengaut kekayaan tidak ada kena mengena dengan kesediaannya menjawat jawatan itu selama 33 tahun hingga ke hari ini.

Sebaliknya Taib mendedahkan di Kuching semalam bahawa beliau hampir bersara sedekad yang lalu.

"Saya mahu memberitahu anda sesuatu, yang menjadi rahsia di kalangan sejumlah kecil di PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu)," kata Taib.

Beliau memberitahu kepada ratusan hadirin pada perhimpunan Tahun Baharu Cina oleh Dewan Perniagaan dan Industri Cina di Kuching semalam bahawa Sembilan atau 10 tahun lalu, Kerajaan Sarawak mengusahakan dasar yang dikenali sebagai Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak(Score). Selepas fakta dasar itu dikumpulkan, saya fikir ia adalah masa untuk saya bersara namun teman-teman beliau di PBB berkata tidak.

“Kita hanya boleh buktikannya bila ia (Score) berjaya. Kamu perlu membentangkannya dahulu dan buktikan ia dapat dilaksanakan, katanya bahawa sejak itu batu penjuru telah berubah menjadi empangan Bakun.

"Sekarang Score begitu jauh melangkaui jangkaan kita... Malam ini, saya berharap untuk memberitahu anda mengenainya, bahawa sembilan atau 10 tahun lalu saya kurang yakin mengenai pengganti saya.

"Hari ini, saya begitu pasti mereka boleh melakukan tugas itu. Sudah cukup kerja sepasukan. Orang yang sama telah melalui banyak pengalaman… saya beritahu anda, tiba masanya untuk saya bersara,” katanya.


Taib adalah pelajar cemerlang apabila pada tahun 1958, kejayaan dalam peperiksaan Senior Cambridge membolehkan Taib layak mendapat biasiswa Shell untuk melanjutkan pelajarannya ke Universiti Adelaide di Australia Selatan.

Beliau berjaya mendapat ijazah pertama dalam bidang undang-undang pada tahun 1960. Apabila kembali ke Sarawak, beliau bekerja dalam Crown Council dari 1962 sehingga 1963. Beliau mengambil bahagian dalam Majlis perundangan negeri Sarawak pada 22 Julai 1963. Ini bermakna beliau turut terlibat dengan pembentukan Malaysia pada September 1963.

Beliau dilantik menjadi Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Negeri dari tahun 1963 hingga 1966 dan Menteri Pembangunan dan Perhutanan pada 1967. Beliau mewakili Parti Bumiputera Sarawak (BUMIPUTERA), salah satu parti komponen Perikatan Sarawak dalam pilihanraya Malaysia 1969.

Semasa pilihan raya Parlimen Sarawak pada 1970, Taib telah dipilih sebagai ahli parlimen Malaysia bagi kerusi Kota Samarahan. Taib pernah dilantik sebagai Timbalaan Menteri Persekutuan bagi Perdagangan dan Industri dari 1968 hingga 1970. Beliau kemudiannya dilantik ke pelbagai portfolio termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1970-1972) dan Menteri Sumber Semula Jadi (1972-1974).

Pada tahun 1973, Taib menjadi timbalan presiden untuk PBB yang baru ditubuhkan sebelum dilantik sebagai Parti Presiden. Disebutkan juga bahawa Abdul Rahman Ya'kub adalah mentor politik untuk Taib Mahmud selama 20 tahun.

Selepas memenangi pilihanraya kecil Sebandi (sekarang Asajaya) pada tahun 1981, beliau telah dilantik sebagai Menteri Tanah dan Lombong Sarawak sebelum mengambil tempat bapa saudaranya, sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Beliau mempertahankan kerusi Sebandi sehingga 1987 sebelum dipilih sebagai ADUN di kawasan Asajaya. Dalam pilihan raya Sarawak 2001, beliau bertanding di kawasan Balingian sehinggalah pilihan raya negeri yang lalu. Taib kini amat yakin penggantinya dapat menjadikan Sarawak sebagai satu kejayaan.

Malah semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut ditanya pandangannya jika pengunduran Taib akan memberi kesan kepada PBB, Dr Mahathir berkata sedikit sebanyak ia akan memberi kesan. Namun menurutnya beliau yakin dengan perpaduan mantap yang dimiliki, parti itu akan terus cemerlang.

"Saya fikir PBB masih kuat. Kita seharusnya ambil kira soal parti juga, tidak kira siapa pemimpinnya. Parti ini (PBB) banyak berjasa kepada Sarawak, banyak pembangunan yang dilakukan oleh pemerintahan parti ini di bawah Abdul Taib Mahmud, saya yakin penggantinya juga akan dapat berbuat demikian nanti," katannya.

Dr Mahathir turut memuji khidmat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib yang dianggap amat baik sehingga membolehkan negeri itu kekal memiliki pemerintah yang disokong kuat oleh rakyat. Ini terbukti apabila parti pimpinan Taib berjaya memenangi banyak pilihan raya sebelum ini, katanya.

Dr Mahathir Mohamad dengan Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada 18 Oktober 1996.
Di bawah teraju Taib, PBB yang menjadi tunjang Barisan Nasional (BN) Sarawak dilihat memiliki perpaduan yang cukup mantap, kemas, kuat dan banyak menyumbang jasa kepada Sarawak menerusi projek pembangunan yang dibawanya.

"Saya harap siapa jua yang ganti (Taib) nanti akan dapat sokongan yang sama dan tidak ada permusuhan antara bakal pengganti," katanya di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam.

Namun menurut bekas perdana menteri, apabila usia semakin lanjut, seseorang pemimpin itu juga perlu sanggup berundur untuk memberi peluang kepada orang lain.

Taib, 78, yang merupakan Presiden PBB dan pengerusi BN Sarawak, mengumumkan hasrat untuk berundur sebagai Ketua Menteri ketika mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PBB tiga hari lepas. Namun, semasa mesyuarat parti komponen BN negeri semalam, beliau tidak menyatakan tarikh untuk berbuat demikian.

Semalam, Taib menjelaskan beliau akan menghadap Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng Sabtu ini untuk menyampaikan hasratnya meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Beliau perlu mengikut protokol untuk meneruskan perancangannya melepaskan jawatan itu yang telah dipegangnya selama 33 tahun sejak 26 Mac 1981.

Ketika ditanya semalam sama ada beliau akan meletak jawatan pada akhir bulan ini, Taib secara berseloroh menjawab: "Yeah...saya fikir begitu...supaya saya dapat gaji penuh (saya) bagi Februari."

Laporan Utusan Malaysia menyebut, Barisan Nasional (BN) Sarawak menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, berikutan keputusan Taib melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri pada akhir bulan ini.

Ini kerana Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu perlu melepaskan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian sebagai syarat sebelum dilantik menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin  yang akan berakhir tempoh perkhidmatan pada 28 Februari ini.

Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Dr. Stephen Rundi Utom berkata, dalam mesyuarat bersama pemimpin parti-parti komponen, Ahli Parlimen dan ADUN BN Sarawak semalam, Taib sekali lagi memaklumkan hasrat akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri pada akhir bulan ini.

"Persoalan sama ada akan berlaku PRK DUN Balingian selepas peletakan jawatan beliau pada hujung bulan ini bagaimanapun terserah kepada SPR kerana kami perlu memenuhi syarat suruhanjaya itu," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai mesyuarat khas Ketua Menteri Bersama Pemimpin Parti Komponen, Ahli Parlimen dan ADUN BN Sarawak di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako di Kuching, semalam.

Menurutnya, dalam mesyuarat tersebut, Taib turut memberi nasihat agar parti komponen BN di negeri ini bersatu padu, bersiap sedia dan bekerja keras untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak Kesebelas (PRN-11) pada 2016 nanti.

Beliau berkata, nasihat diberikan itu akan dijadikan platform untuk BN terus bergerak maju. Yang pasti semua parti komponen juga sebulat suara memberi mandat kepada Taib untuk memilih calon pengganti dan berjanji memberi sokongan kepada pemimpin yang dipilih itu.

"Kami percaya dan yakin siapa sahaja dipilih beliau akan berupaya bekerja dengan baik. Kami juga diberi keyakinan oleh Ketua Menteri bahawa pintu sentiasa terbuka untuk berjumpa beliau bagi mendapatkan nasihat mentadbir, melindungi negeri dan menjaga hak serta perlembagaan negeri," katanya.

Dalam pada itu, Stephen berkata, parti komponen bersetuju untuk mengekalkan hubungan baik antara kaum dan memelihara hak kaum bumiputera di Sarawak termasuk tidak membenarkan UMNO masuk ke negeri ini.

"Kita ada perjanjian sebelum menyertai Malaysia dan kita kekalkan perjanjian itu. UMNO tidak perlu masuk (Sarawak). Apa yang penting ialah semua kaum bumiputera hidup harmoni di Sarawak. Keadaan di sini berbeza dengan Semenanjung Malaysia. Jadi, kita kena pelihara itu (keharmonian) agar perpaduan dapat dikekalkan di negeri ini yang mempunyai lebih 43 etnik," katanya.

Beliau berkata, tiada siapa dapat memahami keadaan di negeri ini kecuali rakyat Sarawak sendiri sebab itu adalah tidak sesuai bagi orang bukan Sarawak dipilih memimpin negeri ini.

Yang pasti, semua parti komponen BN Sarawak tetap memiliki 100 peratus kesetiaan kepada Malaysia. Mereka sanggup berkorban apa sahaja untuk negara ini tetapi pada masa sama memastikan Sarawak selamat dan hak rakyatnya terpelihara seperti yang dilakukan Taib Selama ini.

Tuesday, April 26, 2011

PAS JANGAN PANDAI MELIHAT KE LUAR JENDELA SAHAJA....

Kadang-kadang kesian juga dengan PAS.

Namun pemimpinnya tidak serik-serik. Pepatah Melayu mengibaratkan pemimpin seperti dalam PAS sebagai ‘bodoh sombong’.

Semalam, PAS Sarawak mempersoal dan meragui motif di sebalik hasrat DAP untuk bergabung dengan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

Pas melihatnya sebagai membelakangkan semangat pembangkang dalam pakatan pembangkng.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Adam Ahid cuba mengajar DAP dengan mengatakan parti itu seharusnya menumpukan kepada usaha meraih sokongan di kawasan bandar terutama pengundi Cina yang menjadi tumpuan parti itu.

PAS menganggap gabungan DAP-SNAP sebagai 'tidak kena'.

Apa yang tidak kenanya? Parti berasaskan perkauman seperti DAP dan SNAP sesuailah bergabung.

Cuma parti seperti PAS yang ‘buruk kepala’ dan ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’ sahaja yang cuba menenggek dan mengharapkan belasan orang lain.

Sedangkan PAS mempunyai UMNO atau berdiri sendiri untuk meraih sokongan. PAS jangan bersandarkan kepada rekod pilihan raya umum lalu sebagai asas meraih sokongan pada pilihan raya umum akan datang.

Tidak perlu PAS Sarawak mempersoalkan "Mengapa perlunya DAP untuk bergabung dengan SNAP yang kita tahu menumpukan perhatian kepada masyarakat Dayak. DAP patut tahu apa tumpuan mereka, kekuatan mereka di bandar yang mempunyai ramai pengundi Cina.”

Seharusnya pemimpin PAS bijak dan licik seperti Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam soal bergabung ini.

Kit Siang melihat usaha DAP untuk bergabung dengan SNAP adalah usaha bagi menggalakkan pertumbuhan, sokongan dan kekuatan bukan sahaja di Sarawak tetapi juga di seluruh negara.

Lim berkata bahawa kemenangan DAP di 12 kerusi pada pilihan raya Sarawak 16 April lalu bukan atas sokongan kaum Cina sahaja tetapi daripada semua kaum.

Lihatlah bagaimana Kit Siang cuba mengembangkan sayapnya ke Sarawak. Itu baru mengawal Pulau Pinang. Sedangkan PAS yang membentuk kerajaan Kelantan dan Kedah, kalah habis di Sarawak (5-0). Kenapa?

Apakah PAS bersendirian di Sarawak? Apakah perjuangan Islam PAS perjuangan sebenar?
Kenapa orang Islam dan Bumiputera Sarawak tolak PAS?

Adam seperti pemimpin PAS lain hanya melihat pada luaran dan tidak mengkaji apa sebenarnya yang perlu PAS lakukan sekarang.

Adam tidak perlu mengajar DAP atau Parti Keadilan Rakyat yang menurutnya, jika SNAP mahu menyertai Pakatan Rakyat dan bergabung dengan mana-mana parti sekutu di dalamnya, PKR adalah pilihan yang baik.

"Kalau SNAP nak sertai Pakatan Rakyat dengan bergabung, baik mereka bergabung dengan PKR dan bukannya DAP," katanya.
Menurutnya ia selaras dengan asas parti berkenaan yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.

Walaupun sebelum ini Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian turut menggesa DAP memberi penjelasan terpeinci berhubung cadangan penggabungan berkenaan, namun jika pemimpin PAS tidak juga buka mata dan sedar di mana kedudukan mereka dalam pakatan pembangkang, parti itu akan hanyut dalam pilihan raya umum nanti.

Imej PAS yang banyak kali kalah dalam pilihan raya kecil akhir-akhir ini menggambarkan hanya sebilangan kecil orang Melayu-Islam menyokongnya.

Adalah baik PAS mempersiapkan diri secara bersendiri menghadapi pilihan raya umum akan datang kerana jika ia gagal menempatkan dirinya, PAS akan mengalami kekalahan besar pada pilihan raya umum nanti.

Saturday, April 16, 2011

BN KEKAL MAJORITI 2/3 TAPI HILANG 8 KERUSI


Tahniah kepada Barisan Nasional (BN) walaupun mulanya dikatakan sukar membentuk kerajaan tetapi ternyata rakyat Sarawak, kecuali di Kuching, menerima baik parti berkenaan.

Keputusan keseluruhannya, BN memenangi 55 kerusi, DAP (12), PKR (3) dan Bebas (1).

Keputusan itu menunjukkan BN kehilangan lapan kerusi, berbanding 63 kerusi yang dimenanginya pada 2006.

DAP dan PKR juga menyapu bersih semua lima kerusi di Kuching.

Kejayaan ini juga menepis ramalan pembangkang bahawa ia mampu membantuk kerajaan apabila sejak tengah hari tadi beberapa blog yang 'bersimpati' dengannya menyebut Sarawak bakal jatuh kepada pembangkang.

..


Tetapi, pada jam 9.45 malam ini , BN memperoleh majoriti dua pertiga iaitu 48 kerusi dalam pilihan raya negeri Sarawak.

Bagaimanapun, BN mendapat kejutan bagi kerusi Piasau di Miri apabila Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr George Chan, tewas dalam pertandingan satu lawan satu kepada lawannya pendatang baru daripada DAP, Ling Sie Kiong. Dr Chan memperoleh 4,408 undi manakala saingan beliau memperoleh 5,998 undi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada BN Sarawak atas kemenangan yang sangat bermakna walaupun mendapat tentangan hebat pada pilihan raya ini, yang pada pukul 9 malam memperoleh majoriti mudah 36 kerusi.

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menyifatkan kejayaan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan dan seterusnya mengekalkan penguasaan majoriti dua pertiga pada pilihan raya Sarawak ke-10 sebagai bukti kepercayaan rakyat terhadap parti itu.

Perdana Menteri berkata, kejayaan yang diperolehi BN pada pilhan raya Sarawak jelas membuktikan bahawa rakyat sentiasa memberi sokongan berterusan kepada parti itu.

"Kejayaan ini jelas membuktikan bahawa rakyat masih menaruh kepercayaan kepada BN.

"Apa yang dizahirkan pada keputusan ini ialah rakyat tetap mengekalkan sokongan berterusan kepada kita," katanya pada sidang video yang disiarkan secara langsung oleh RTM di Kuching, mala mini .

Sidang video berkenaan dibuat antara Najib yang berada di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang berada di kediamannya di Demak Jaya.

Turut sama bersama Abdul Taib ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu Najib yang juga Pengerusi BN berkata, satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan dibentuk bagi meneliti setiap janji yang dibuat BN sepanjang kempen pilihan raya negeri.

"Kita akan meneliti setiap janji yang diutarakan kerana ia selaras dengan semangat rakyat mesti didahulukan," katanya sambil mengucapkan tahniah kepada jentera pilihan raya BN yang diketuai Abdul Taib.

Abdul Taib yang merupakan Pengerusi BN Sarawak, mempertahankan kerusi Balingian dengan majoriti 5,154 undi dalam pertandingan tiga penjuru setelah menewaskan calon Bebas yang juga dua pupu beliau, Datuk Salleh Jafaruddin yang memperoleh 1,056 undi manakala pencabar wanita daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suriati Abdullah pula sekadar meraih 871 undi.

Abdul Taib berkata, kejayaan ini membuktikan kesungguhan hubungan baik antara kerajaan Pusat dan negeri untuk membangun Sarawak. "Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah bersusah payah membantu kempen pilihan raya Sarawak.

"Sokongan Perdana Menteri benar-benar menggambarkan kerajaan BN mendahulukan rakyat.

Saya juga bersyukur kerana BN berjaya pada pilihan raya ini walaupun menghadapi cabaran yang agak berlainan," katanya.

Abdul Taib mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sarawak bagi penggal ketujuh di Astana, kediaman rasmi Yang Di Pertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Dua lagi pemimpin parti komponen BN, Datuk Seri Dr James Masing daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Datuk Seri William Mawan daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), turut mencatatkan kemenangan di kubu kuat masing-masing iaitu di kerusi Baleh dan Pakan.

Dr Masing mengalahkan calon PKR, Bendindang ak Manjah dalam pertandingan satu lawan satu setelah memperoleh 5,242 undi dengan majoriti 3,898 undi.

Di Pakan, Mawan meraih 3,938 undi untuk mengalahkan Jamal Abdullah @ Tedong ak Gunda daripada Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dengan kelebihan 1,197 undi.

Di pihak pembangkang, DAP memenangi 10 kerusi iaitu Pending, Bukit Assek, Pujut, Padungan, Kota Sentosa, Batu Kawah, Repok, Meradong, Pelawan dan Piasau. PKR setakat ini memperoleh tiga kerusi iaitu Ba'Kelalan, Batu Lintang dan Krian. Calon Bebas, George ak Lagong memenangi kerusi Pelagus.

PEMBANGKANG SUDAH MENANG PADA PILIHANRAYA SARAWAK?

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud diiringi calon Barisan Nasional (BN) DUN Satok, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang, Kuching, sebentar tadi. - foto BH Online

Kenapa ada pihak timbulkan khabar angin kononnya pembangkang sudah menang di Sarawak?

Siapa melakukannya?

Tidakkah mereka ini pengecut, takut dan sengaja mahu mengucarkacirkan keamanan dan kestabilan di negeri itu?

Mereka melakukan ini supaya rakyat bangkit jika Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa dengan majoriti lebih besar?

Khabarnya, ketua pembangkang yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah meninggalkan Sarawak untuk ke London atau Amerika Syarikat.

Kenapa dia bergegas ke luar negara?

Mana janjinya mahu menjawab tuduhan Raja Petra Kamaruddin mengenai dirinya?

Benar juga kata-kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kalau memang pembangkang sudah menang, kenapa pemimpin penting seperti Anwar mahu tinggalkan Sarawak?

"Kalau dia menang mesti dia tunggu sampai habis, kenapa awal-awal dia tinggalkan Sarawak?

Anwar sudah serahkan tugas kepada ketua-ketua mengundi kononnya takut jadi apa-apa," kata Muhyiddin hari ini. Amat jelas khabar angin seumpama itu hanya disampaikan oleh orang yang terdesak.

"Kita ada tempoh dua jam lagi (sehingga pengundian ditutup)...saya minta rakyat jangan terpengaruh dengan penyebaran berita palsu," katanya.

"Ini merupakan satu pembohongan...pengundian belum selesai...undi pun belum dikira," kata Muhyiddin pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Kuching sebentar tadi.

Kerana itu, rakyat jangan terperdaya dengan dakwaan pembangkang kononnya mereka telah berjaya memenangi pilihan raya negeri Sarawak pada Sabtu.

akwaan yang tersebar di Internet itu adalah tidak benar kerana proses pengundian belum selesai dan masih berjalan sehingga 5 petang ini.

"Ada berita-berita khabar angin oleh pembangkang (kononnya) mereka sudah menang, BN di Sarawak sudah tumbang, pakatan pembangkang (telah) ambil alih (kerajaan negeri).

Langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan keputusan pengundian untuk sesetengah kawasan yang diedarkan melalui internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS) sejak tengah hari tadi, memang wajar dan sangat diperlukan.

Apa kedudukan atau keputusan mengenai sesuatu pilihan raya, apa lagi di Sarawak ini, hanya keputusan yang dikeluarkan oleh SPR sahaja sah iaitu berdasarkan kepada maklumat yang telah diberi oleh setiap 71 pegawai pengurus pilihan raya yang telah dilantik.

Seperti kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, beliau turut dimaklumkan banyak sebaran dalam SMS, internet mengatakan parti tertentu telah menang pilihan raya di kawasan masing-masing.

“Ini maklumat tidak boleh dipercayai, hanya sumber daripada SPR sahaja yang sah," katanya kepada pemberita di Kuching.

Abdul Aziz berkata hampir dua pertiga atau 1,038 pusat pengundi telah pun ditutup setakat jam 1 tengah hari tadi dan kebanyakannya adalah di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Menurutnya walaupun kawasan terbabit telah ditutup awal iaitu seawal jam 9 pagi namun proses pengiraan undi hanya boleh dilakukan bermula jam 12.30 tengah hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata SPR yakin jumlah yang keluar mengundi selepas waktu tengah hari ini bagi semua 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka melepasi 50peratus.

"Sehingga jam 1 petang tadi, saya telah dapat maklumat daripada 11 DUN menunjukkan 43 peratus pengundi telah tunai tanggungjawab mereka, ini menunjukkan 10 peratus sejam mewakili juga bahagian lain," katanya.

Beliau berkata mereka yang belum berpeluang untuk pergi ke pusat pengundian dinasihatkan datang awal ke tempat yang telah ditetapkan dan tidak menunggu saat-saat akhir untuk mengundi undi.

Ketua Menteri, Tan Abdul Taib Mahmud berikrar untuk membuktikan ramalan pembangkang adalah salah apabila mendakwa mereka akan memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya Sarawak ke-10 yang berlangsung hari ini.

"Saya akan buktikan bahawa ramalan berkenaan salah," katanya ketika diminta mengulas mengenai ramalan bahawa pembangkang mampu memperoleh sekurang-kurangnya 30 kerusi pada pilihan raya berkenaan.

Beliau ditemui selepas membuang undi di pusat mengundi Dewan Datuk Merpati Jepang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok. Bagaimana Abdul Taib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak enggan mengulas lanjut berhubung keyakinannya itu sebaliknya meminta semua pihak menunggu keputusan rasmi.

Ditanya perkembangan suasana proses pengundian hari ini, Abdul Taib berkata semuanya berjalan lancar sama seperti kebiasaan hari lain.

"Sama seperti hari-hari lain, sehingga kini prosesnya berjalan lancar. Kami di Sarawak berjaya mengekalkan sistem politik dan proses mengundi dalam keadaan yang aman walaupun berlaku sedikit perubahan.

"Namun saya berbangga apabila rakyat tidak terpengaruh dengan pelbagai taktik tidak sihat yang berlaku," katanya. Malah Abdul Taib turut menasihati rakyat supaya keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi.

"Keluarlah mengundi, kepada siapa mereka memberi undi, itu terpulang kepada mereka," katanya.

Abdul Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yakin BN mampu mengekalkan kemenangan di Sarawak dengan keputusan yang baik.

Pilihan raya kali ini mencatat rekod tersendiri apabila sejumlah 213 calon bertanding bagi merebut 71 kerusi DUN yang dipertandingkan. BN bertanding di 71 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (49), DAP (15), Parti Kebangsaan Sarawak (26), PAS (5), Parti Cinta Malaysia (6) dan Bebas (41).
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya membantu menolak kerusi roda warga emas Sheikh Rahimullah Sheikh Aminullah 72, di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Saint Columba di Miri, Sarawak pada hari mengundi hari ini (16 April 2011).

Thursday, April 14, 2011

PAS TABUR FITNAH, SEBAR MAKLUMAT PALSU DI SARAWAK

Jururawat dan petugas Klinik Bergerak 1Malaysia melambaikan tangan sejurus klinik di atas bot untuk keperluan penduduk di tebing Sungai Baram itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Marudi, Sarawak.


Kelmarin, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata Barisan Nasional (BN) akan mendapat kemenangan lebih dua pertiga pada pilihan raya negeri Sabtu ini kerana kawasan-kawasan Bumiputera tetap bersama kerajaan.

Sebagai Pengerusi BN Sarawak beliau tahu berlakunya perubahan dalam sokongan daripada pengundi Cina di beberapa kawasan yang dikatakan "hitam". Ini kerana kalangan pengundi Cina, yang berusia 35 tahun ke atas berpendapat masyarakat itu perlu ada wakil dalam kerajaan.

Parti Cinta Malaysia (PCM), yang julung kali bertanding dalam pilihan raya negeri dengan meletakkan 10 calon, sudah mengingatkan rakyat Sarawak akan bahaya yang menanti mereka sekiranya mereka mengundi pakatan pembangkang DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS.

Naib Presiden PCM yang berpangkalan di Pulau Pinang, Huan Cheng Guan berkata jika pakatan pembangkang mengambil alih Sarawak, mereka akan bawa masuk orang mereka dari Semenanjung ke Sarawak untuk 'cari makan'".


Contoh jelas ialah DAP telah berbuat demikian di Pulau Pinang apabila mereka mengambil alih pentadbiran negeri itu pada pilihan raya umum 2008 dan telah memberi layanan buruk kepada penduduk negeri itu.


Najib bertembung dengan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang pada satu lawatan kempen di Sarawak semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak pula semalam turut yakin BN boleh mencapai kemenangan dua pertiga kerusi pada pilihan raya Sabtu ini walaupun menghadapi tentangan sengit pembangkang.

Media alternatif sebelum ini mengambarkan BN khuatir tidak boleh memperoleh kemenangan majoriti dua pertiga kerusi.

“Pendirian saya dengan Ketua Menteri Sarawak (Tan Sri Abdul Taib Mahmud) adalah sama," kata Najib.

Dengan kata lain, walaupun pilihan raya ini saingannya lebih sengit daripada pilihan raya yang lalu tetapi berdasarkan pada pengamatan dan tinjauan beliau, dua pertiga itu memang mampu diperolehi oleh BN.

Beliau menasihatkan kepada pengundi-pengundi di Sarawak ialah untuk kekalkan BN sebagai parti pilihan mereka sebab track record dan kemampuan BN serta hala tujunya yang tidak ada siapa pun boleh pertikaikan.

Selain itu amat penting kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri sebab negeri Sarawak ini besar dan memerlukan sumber yang banyak dan hanya melalui kerjasama yang erat bahawa rasanya masa depan Sarawak akan lebih terjamin lagi.

Kerana itu pengundi jangan terpesong atau termakan dengan pelbagai hasutan yang dilakukan oleh pembangkang. Rakyat Sarawak perlu tetapkan pendirian mereka bahawa pilihan untuk masa depan mereka dan kemakmuran rakyat dan negeri Sarawak adalah dengan BN.

Pada saat-saat akhir pertarungan memenangi Pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ini, PAS memainkan kerja kotornya dengan mendakwa berikut:

1. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak begitu bimbang sehingga beliau terpaksa turun sendiri berkempen di Sarawak. Najib dikatakan tergugat kerana BN diaktakan hanya boleh menang 43 kerusi yang mana mereka rasa betul-betul selamat. 17 kerusi pula milik pembangkang manakala 11 lagi jadi pertarungan sebenar;

2. Najib seperti hilang kepercayaan kepada timbalannya sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengemudi jentera pilihan raya BN kerana itu Najib ‘turun ke Sarawak’;

3. Faktor kebencian rakyat terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. PAS mendakwa hampir seluruhnya kekayaan negeri ini dibolot secara rakus bukan sahaja oleh dirinya (Taib), tetapi juga oleh suku sakatnya, abang, adik, ipar dan menantu;

4. Amat wajar Najib kalau berani menyatakan siapa pengganti Taib Mahmud dalam masa terdekat ini. Ataukah ini mainan Najib, atau mainan Muhyiddin dengan Taib Mahmud untuk mensabotaj Najib; dan

5. BN kini sedang memperkemas bala tentera, bukan jentera tetapi wang ringgit mereka.

Strategi PAS kononnya untuk melaga-laga, membuat tuduhan tanpa fakta serta ‘perang psikologi kotor’ oleh parti “Islam” ini sangat tidak beretika dan cuba memecahbelahkan Barisan Nasional (BN) khususnya antara pemimpin Semenanjung dan Sarawak.

Pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini, semua kerusi ditandingi pembangkang. Ini termasuklah PKR 47 kerusi, DAP 15 dan PAS 5, manakala SNAP bertanding di 27 kerusi.

PAS yang bertanding hanya lima kerusi pada pilihanraya negeri seolah-oleh ‘pihak yang paling bijak’ meramal dan menjadi ketua di pihak pembangkang dengan mengatakan sekurang-kurangnya 17 kerusi didakwa sudah dalam genggaman Pakatan Pembangkang.

Sementara 11 kerusi lagi boleh jatuh bila-bila masa kepada Pakatan.

Ini bermakna pembangkang mungkin akan dapat 28 kerusi.

Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media PAS di Pejabat Badan Perhubungan PAS, di Matang Jaya semalam mengatakan daripada 71 kerusi yang dipertandingkan, BN setakat ini didakwa hanya selesa di 43 kerusi.

Dr Dzulkefli yang juga bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP) berkata, kebangkitan rakyat pada pilihan raya Sarawak kali ini dapat dilihat dengan jelas apabila penyertaan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya ini disambut bagai menatang minyak yang penuh.

Malaysiakini setakat ini meramalkan kerusi selamat untuk BN hanya 28 sahaja manakala 19 sudah dimenangi pembangkang manakala 24 kerusi lagi sedang menjadi rebutan.

Walau apa juga ramalannya, Najib hari ini tetap yakin bahawa negeri Sarawak Bumi Kenyalang akan kekal di tangan BN pada pilihan raya negeri 16 April ini.

Rakyat Sarawak akan memihak kepada BN kerana di bawah kerajaan BN, Sarawak akan terus berubah dan menjadi lebih makmur lagi.

“Kita mahu Barisan Nasional terus memerintah supaya pembaharuan dan transformasi kita dapat diteruskan.”

Katanya sejak Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dilancarkan, negeri Sarawak telah mendapat peruntukan RM5.7 bilion untuk pembinaan prasana luar bandar dalam tempoh tiga tahun ini.

"Ini merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah yang diberikan kerajaan persekutuan kepada negeri Sarawak. Pelaksanaan projek juga telah berjalan begitu lancar sekali. Transformasi yang kita lakukan adalah untuk mengubah taraf hidup.

"Untuk menanggung beban dan tanggungjawab mengubah landskap di Sarawak memerlukan kerjasama di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri,” katanya semasa merasmikan serentak hotel Seri Malaysia Lawas dan majlis pecah tanah hospital baru Lawas hari ini.

Soal penting kini rakyat Sarawak perlu memikirkan bahawa BN perlu kuasa dan persefahaman erat Putrajaya-Kuching agar transformasi jangan tergencat, jangan tersekat tetapi diteruskan lebih rancak lagi pada masa hadapan.

Kerana itu Najib menonjolkan dirinya sebagai yang mengamalkan gagasan 1Malaysia dan turun padang untuk melihat keadaan tempat dan masalah rakyat serta untuk merasakan denyut nadi rakyat.

"Di tempat-tempat yang sukar, jika saya perlu turun, saya akan turun. Kalau saya turun pun bukan kerana politik semata-mata tetapi membolehkan saya dapat melihat keadaan tempat dan masalah rakyat dan untuk merasakan denyut nadi rakyat,” katanya.

Apakah pemimpin pembangkang melakukan seperti Najib di luar musim pilihan raya?

Rakyat Sarawak, tepuklah dada tanya selera!

Friday, September 3, 2010

TAIB MAHMUD ‘BOMOH POLITIK' SARAWAK TERBAIK

“Jangan terperangkap dengan strategi pembangkang kononnya Taib sudah tidak mampu dan terlalu lama memerintah Sarawak...Mana yang lebih penting, menjadi simpanan tetap kepada Barisan Nasional yang turut menjamin BN terus berkuasa di Pusat atau menukar Taib hanya semata-mata demi meletakkan orang muda?”

Kenapa memikirkan sesuatu yang di luar kenyataan sebenar bahawa Tan Sri Abdul Taib Mahmud patut melepaskan jawatannya?

Taib boleh menyuarakan perasaan dan hati kecilnya bahawa beliau sedia berundur sekiranya beliau sudah tidak lagi diperlukan oleh rakyat, parti dan Perdana Menteri.

Itu adalah luahan perasaan tetapi ia sangat jauh berbeza dengan kehendak pemimpin dan rakyat Sarawak.

Apakah kerana lama berada di tampuk kerusi Ketua Menteri menjadi sebab Taib perlu berhenti atau berundur?

Begitu sahaja?

Atau ada yang mendesak atau ada yang merasakan kepimpinan Taib sudah tidak berkesan?

Saya tidaklah begitu mahir mengenai politik Sarawak sekadar ‘tiba’ di Sarawak apabila ada pilihan raya negeri atau pilihan raya umum.

Kecuali pada pilihan raya negeri 1991, saya memang berkampung di sana lebih dua bulan.

Tetapi apa yang dilakukan oleh Taib untuk Sarawak menakjubkan. Malah, hingga sekarang pun Taib tidak pernah lekang dengan idea ‘politik pembangunannya’ yang kini diterjemahkan dalam bentuk baru bersifat transformasi.

Pembangunan pesat Sarawak dan kerjasama rapat Kuching-Kuala Lumpur atau Putrajaya tidak mampu untuk kita memperlecehkannya!

Daripada sebuah negeri yang mundur, Sarawak kini menjadi contoh negeri yang membangun dengan pesat malah dalam beberapa bidang seperti pelancongan dan industry ia jauh meninggalkan banyak negeri di Semenanjung!

Cerita mahukan Taib berhenti sudah lama. Tetapi hakikatnya sekadar menonjolkan orang itu dan orang ini sebagai pengganti tidak mampu untuk ‘menolak Taib’ walau seinci pun.

Saya bersetuju dengan pandangan rakan, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar iaitu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat (gambar kanan).

Kenapa mesti diperkatakan macam-macam mengenai Taib umpamanya beliau terlalu lama, sampai masanya Sarawak diterajui muka baru (hanya kerana Perdana Menteri bertukar?), terlalu tua dan berbagai lagi?

Yang nyata, seperti kata Wan Junaidi, Taib, yang bakal menggenapkan tahun ke-30 perkhidmatannya sebagai Ketua Menteri pada Mac tahun depan, perlu terus memimpin Sarawak untuk menyelesaikan pelbagai isu penting yang mendepani parti gabungan itu.

"Bukan waktu yang sesuai...ibarat anda sedang belayar di laut dalam dan dilanda badai dan taufan, sudah tentulah nakhoda anda tidak boleh meninggalkan kapal kerana adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mengemudi kapal berkenaan dengan selamat," katanya.

Taib bukan tidak pernah menyuarakan hasrat melepaskan jawatan. Beliau pernah secara terbuka mahu berundur pada 2006 – empat tahun lalu.

Namun, nama-nama yang ditonjol tidak mampu untuk menjadi Ketua Menteri.

Faktornya apa? Ia soal perpaduan dan permuafakatan parti-parti di Sarawak selain sebagai pengimbang antara kaum dan etnik di negeri itu.

Taib didokong, dihormati dan disegani. Faktor ini penting dan bukan sembarangan.

Katalah apa pun, hakikat ini mesti diterima termasuk oleh pemimpin utama di Semenanjung.

Jadi janganlah ada tuduhan atau cakap-cakap menyindir yang mengatakan beliau hanya berpura-pura membuat kenyataan untuk menguji penerimaan pemimpin Sarawak atau parti mereka terhadapnya.

Semua pihak jangan terperangkap dengan strategi pembangkang kononnya Taib sudah tidak mampu dan terlalu lama memerintah Sarawak.

Mana yang lebih penting, menjadi simpanan tetap kepada Barisan Nasional yang turut menjamin BN terus berkuasa di Pusat atau menukar Taib semata-mata demi meletakkan orang muda.

Bagi saya, ada waktunya kita perlu bercakap mengenai pengunduran Taib. Bukan masanya sekarang. Saya ulangi – Bukan Masanya Sekarang.

Tunggulah sehingga selepas pilihan raya negeri dan berikan Taib menerajui kepimpinan sekali lagi sebagai baktinya yang terakhir pada pilihan raya yang boleh diadakan pada bila-bila masa walaupun penggal semasa Dewan Undangan Negeri Sarawak akan berakhir pada Jun tahun depan.

Jangan termakan dengan umpan pembangkang yang menggunakan penganalisis, blog atau apa sahaja media baru yang menyerang Taib untuk kepentingan politik mereka.

Seperti kata Wan Junaidi memandangkan suasana politik di Sarawak sedang melalui fasa yang agak tidak menentu, termasuk masalah dalaman yang melanda beberapa parti komponen BN maka adalah tidak wajar bagi sesiapa jua menuntut agar Taib berundur.

Percayalah hanya Taib yang mampu memainkan peranan mengatasi masalah seperti kerana beliau sudah ‘masak’ dengan tendang terajang politik Sarawak.

Soal yang juga penting ialah bagaimana angota PBB membuat keputusan tentang apa yang perlu dilakukan oleh presiden mereka dalam suasana demikian.

Percayalah apa yang dicakapkan Wan Junaidi, yang juga anggota majlis tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti tulang belakang BN Sarawak pimpinan Taib, bahawa perbalahan dalam kalangan pelbagai puak, termasuk dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), yang berlarutan - sedangkan pilihan raya negeri semakin hampir – tidak akan mampu diselesaikan oleh ‘orang Kuala Lumpur’.

Soal penting sekarang ialah bagaimana pandangan seluruh anggota parti yang dianggap majoriti senyap dan terbukti dalam mesyuaratnya di Miri pada Isnin, anggota majlis tertinggi PBB yang diketuai Timbalan Presiden Tan Sri Alfred Jabu, mengambil pendirian menyokong penuh Taib untuk kekal sebagai Ketua Menteri.

Jika demikian ia jelas memberikan isyarat bahawa ahli parti sanggup berkorban dan menentang semua ancaman yang bertujuan menjadikan kedudukan kerajaan BN Sarawak tidak stabil.

Dengan sumpah taat setia dan sokongan terhadap Taib sedemikian rupa tidakkan ini menunjukkan bahawa Taib bukan sahaja diterima secara individu tetapi rancangan pembangunan dan transformasi negeri itu mendapat tempat di hati pemimpin.

Biarpun Taib kini berusia 74 tahun namun amat jelas tidak ada orang lain boleh menandinginya sebagai ‘bomoh politik Sarawak' terbaik dengan pengaruh, pengalaman dan kepimpinannya yang terserlah dan mantap diuji.