Showing posts with label Taib Mahmud. Show all posts
Showing posts with label Taib Mahmud. Show all posts

Tuesday, February 11, 2014

TAIB MAHMUD BUKAN MAHU ‘MENONGKAT LANGIT, SEDIAKAN PENGGANTI YANG SETANDING…


Tidak benar tuduhan dan cercaan pihak tertentu bahawa Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mahu ‘menongkat langit’.

Kata-kata bahawa beliau akan terus kekal di jawatan itu kononnya untuk mengaut kekayaan tidak ada kena mengena dengan kesediaannya menjawat jawatan itu selama 33 tahun hingga ke hari ini.

Sebaliknya Taib mendedahkan di Kuching semalam bahawa beliau hampir bersara sedekad yang lalu.

"Saya mahu memberitahu anda sesuatu, yang menjadi rahsia di kalangan sejumlah kecil di PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu)," kata Taib.

Beliau memberitahu kepada ratusan hadirin pada perhimpunan Tahun Baharu Cina oleh Dewan Perniagaan dan Industri Cina di Kuching semalam bahawa Sembilan atau 10 tahun lalu, Kerajaan Sarawak mengusahakan dasar yang dikenali sebagai Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak(Score). Selepas fakta dasar itu dikumpulkan, saya fikir ia adalah masa untuk saya bersara namun teman-teman beliau di PBB berkata tidak.

“Kita hanya boleh buktikannya bila ia (Score) berjaya. Kamu perlu membentangkannya dahulu dan buktikan ia dapat dilaksanakan, katanya bahawa sejak itu batu penjuru telah berubah menjadi empangan Bakun.

"Sekarang Score begitu jauh melangkaui jangkaan kita... Malam ini, saya berharap untuk memberitahu anda mengenainya, bahawa sembilan atau 10 tahun lalu saya kurang yakin mengenai pengganti saya.

"Hari ini, saya begitu pasti mereka boleh melakukan tugas itu. Sudah cukup kerja sepasukan. Orang yang sama telah melalui banyak pengalaman… saya beritahu anda, tiba masanya untuk saya bersara,” katanya.


Taib adalah pelajar cemerlang apabila pada tahun 1958, kejayaan dalam peperiksaan Senior Cambridge membolehkan Taib layak mendapat biasiswa Shell untuk melanjutkan pelajarannya ke Universiti Adelaide di Australia Selatan.

Beliau berjaya mendapat ijazah pertama dalam bidang undang-undang pada tahun 1960. Apabila kembali ke Sarawak, beliau bekerja dalam Crown Council dari 1962 sehingga 1963. Beliau mengambil bahagian dalam Majlis perundangan negeri Sarawak pada 22 Julai 1963. Ini bermakna beliau turut terlibat dengan pembentukan Malaysia pada September 1963.

Beliau dilantik menjadi Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Negeri dari tahun 1963 hingga 1966 dan Menteri Pembangunan dan Perhutanan pada 1967. Beliau mewakili Parti Bumiputera Sarawak (BUMIPUTERA), salah satu parti komponen Perikatan Sarawak dalam pilihanraya Malaysia 1969.

Semasa pilihan raya Parlimen Sarawak pada 1970, Taib telah dipilih sebagai ahli parlimen Malaysia bagi kerusi Kota Samarahan. Taib pernah dilantik sebagai Timbalaan Menteri Persekutuan bagi Perdagangan dan Industri dari 1968 hingga 1970. Beliau kemudiannya dilantik ke pelbagai portfolio termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1970-1972) dan Menteri Sumber Semula Jadi (1972-1974).

Pada tahun 1973, Taib menjadi timbalan presiden untuk PBB yang baru ditubuhkan sebelum dilantik sebagai Parti Presiden. Disebutkan juga bahawa Abdul Rahman Ya'kub adalah mentor politik untuk Taib Mahmud selama 20 tahun.

Selepas memenangi pilihanraya kecil Sebandi (sekarang Asajaya) pada tahun 1981, beliau telah dilantik sebagai Menteri Tanah dan Lombong Sarawak sebelum mengambil tempat bapa saudaranya, sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Beliau mempertahankan kerusi Sebandi sehingga 1987 sebelum dipilih sebagai ADUN di kawasan Asajaya. Dalam pilihan raya Sarawak 2001, beliau bertanding di kawasan Balingian sehinggalah pilihan raya negeri yang lalu. Taib kini amat yakin penggantinya dapat menjadikan Sarawak sebagai satu kejayaan.

Malah semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut ditanya pandangannya jika pengunduran Taib akan memberi kesan kepada PBB, Dr Mahathir berkata sedikit sebanyak ia akan memberi kesan. Namun menurutnya beliau yakin dengan perpaduan mantap yang dimiliki, parti itu akan terus cemerlang.

"Saya fikir PBB masih kuat. Kita seharusnya ambil kira soal parti juga, tidak kira siapa pemimpinnya. Parti ini (PBB) banyak berjasa kepada Sarawak, banyak pembangunan yang dilakukan oleh pemerintahan parti ini di bawah Abdul Taib Mahmud, saya yakin penggantinya juga akan dapat berbuat demikian nanti," katannya.

Dr Mahathir turut memuji khidmat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib yang dianggap amat baik sehingga membolehkan negeri itu kekal memiliki pemerintah yang disokong kuat oleh rakyat. Ini terbukti apabila parti pimpinan Taib berjaya memenangi banyak pilihan raya sebelum ini, katanya.

Dr Mahathir Mohamad dengan Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada 18 Oktober 1996.
Di bawah teraju Taib, PBB yang menjadi tunjang Barisan Nasional (BN) Sarawak dilihat memiliki perpaduan yang cukup mantap, kemas, kuat dan banyak menyumbang jasa kepada Sarawak menerusi projek pembangunan yang dibawanya.

"Saya harap siapa jua yang ganti (Taib) nanti akan dapat sokongan yang sama dan tidak ada permusuhan antara bakal pengganti," katanya di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam.

Namun menurut bekas perdana menteri, apabila usia semakin lanjut, seseorang pemimpin itu juga perlu sanggup berundur untuk memberi peluang kepada orang lain.

Taib, 78, yang merupakan Presiden PBB dan pengerusi BN Sarawak, mengumumkan hasrat untuk berundur sebagai Ketua Menteri ketika mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PBB tiga hari lepas. Namun, semasa mesyuarat parti komponen BN negeri semalam, beliau tidak menyatakan tarikh untuk berbuat demikian.

Semalam, Taib menjelaskan beliau akan menghadap Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng Sabtu ini untuk menyampaikan hasratnya meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Beliau perlu mengikut protokol untuk meneruskan perancangannya melepaskan jawatan itu yang telah dipegangnya selama 33 tahun sejak 26 Mac 1981.

Ketika ditanya semalam sama ada beliau akan meletak jawatan pada akhir bulan ini, Taib secara berseloroh menjawab: "Yeah...saya fikir begitu...supaya saya dapat gaji penuh (saya) bagi Februari."

Laporan Utusan Malaysia menyebut, Barisan Nasional (BN) Sarawak menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, berikutan keputusan Taib melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri pada akhir bulan ini.

Ini kerana Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu perlu melepaskan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian sebagai syarat sebelum dilantik menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin  yang akan berakhir tempoh perkhidmatan pada 28 Februari ini.

Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Dr. Stephen Rundi Utom berkata, dalam mesyuarat bersama pemimpin parti-parti komponen, Ahli Parlimen dan ADUN BN Sarawak semalam, Taib sekali lagi memaklumkan hasrat akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri pada akhir bulan ini.

"Persoalan sama ada akan berlaku PRK DUN Balingian selepas peletakan jawatan beliau pada hujung bulan ini bagaimanapun terserah kepada SPR kerana kami perlu memenuhi syarat suruhanjaya itu," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai mesyuarat khas Ketua Menteri Bersama Pemimpin Parti Komponen, Ahli Parlimen dan ADUN BN Sarawak di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako di Kuching, semalam.

Menurutnya, dalam mesyuarat tersebut, Taib turut memberi nasihat agar parti komponen BN di negeri ini bersatu padu, bersiap sedia dan bekerja keras untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak Kesebelas (PRN-11) pada 2016 nanti.

Beliau berkata, nasihat diberikan itu akan dijadikan platform untuk BN terus bergerak maju. Yang pasti semua parti komponen juga sebulat suara memberi mandat kepada Taib untuk memilih calon pengganti dan berjanji memberi sokongan kepada pemimpin yang dipilih itu.

"Kami percaya dan yakin siapa sahaja dipilih beliau akan berupaya bekerja dengan baik. Kami juga diberi keyakinan oleh Ketua Menteri bahawa pintu sentiasa terbuka untuk berjumpa beliau bagi mendapatkan nasihat mentadbir, melindungi negeri dan menjaga hak serta perlembagaan negeri," katanya.

Dalam pada itu, Stephen berkata, parti komponen bersetuju untuk mengekalkan hubungan baik antara kaum dan memelihara hak kaum bumiputera di Sarawak termasuk tidak membenarkan UMNO masuk ke negeri ini.

"Kita ada perjanjian sebelum menyertai Malaysia dan kita kekalkan perjanjian itu. UMNO tidak perlu masuk (Sarawak). Apa yang penting ialah semua kaum bumiputera hidup harmoni di Sarawak. Keadaan di sini berbeza dengan Semenanjung Malaysia. Jadi, kita kena pelihara itu (keharmonian) agar perpaduan dapat dikekalkan di negeri ini yang mempunyai lebih 43 etnik," katanya.

Beliau berkata, tiada siapa dapat memahami keadaan di negeri ini kecuali rakyat Sarawak sendiri sebab itu adalah tidak sesuai bagi orang bukan Sarawak dipilih memimpin negeri ini.

Yang pasti, semua parti komponen BN Sarawak tetap memiliki 100 peratus kesetiaan kepada Malaysia. Mereka sanggup berkorban apa sahaja untuk negara ini tetapi pada masa sama memastikan Sarawak selamat dan hak rakyatnya terpelihara seperti yang dilakukan Taib Selama ini.

Saturday, April 16, 2011

PEMBANGKANG SUDAH MENANG PADA PILIHANRAYA SARAWAK?

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud diiringi calon Barisan Nasional (BN) DUN Satok, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang, Kuching, sebentar tadi. - foto BH Online

Kenapa ada pihak timbulkan khabar angin kononnya pembangkang sudah menang di Sarawak?

Siapa melakukannya?

Tidakkah mereka ini pengecut, takut dan sengaja mahu mengucarkacirkan keamanan dan kestabilan di negeri itu?

Mereka melakukan ini supaya rakyat bangkit jika Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa dengan majoriti lebih besar?

Khabarnya, ketua pembangkang yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah meninggalkan Sarawak untuk ke London atau Amerika Syarikat.

Kenapa dia bergegas ke luar negara?

Mana janjinya mahu menjawab tuduhan Raja Petra Kamaruddin mengenai dirinya?

Benar juga kata-kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kalau memang pembangkang sudah menang, kenapa pemimpin penting seperti Anwar mahu tinggalkan Sarawak?

"Kalau dia menang mesti dia tunggu sampai habis, kenapa awal-awal dia tinggalkan Sarawak?

Anwar sudah serahkan tugas kepada ketua-ketua mengundi kononnya takut jadi apa-apa," kata Muhyiddin hari ini. Amat jelas khabar angin seumpama itu hanya disampaikan oleh orang yang terdesak.

"Kita ada tempoh dua jam lagi (sehingga pengundian ditutup)...saya minta rakyat jangan terpengaruh dengan penyebaran berita palsu," katanya.

"Ini merupakan satu pembohongan...pengundian belum selesai...undi pun belum dikira," kata Muhyiddin pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Kuching sebentar tadi.

Kerana itu, rakyat jangan terperdaya dengan dakwaan pembangkang kononnya mereka telah berjaya memenangi pilihan raya negeri Sarawak pada Sabtu.

akwaan yang tersebar di Internet itu adalah tidak benar kerana proses pengundian belum selesai dan masih berjalan sehingga 5 petang ini.

"Ada berita-berita khabar angin oleh pembangkang (kononnya) mereka sudah menang, BN di Sarawak sudah tumbang, pakatan pembangkang (telah) ambil alih (kerajaan negeri).

Langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan keputusan pengundian untuk sesetengah kawasan yang diedarkan melalui internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS) sejak tengah hari tadi, memang wajar dan sangat diperlukan.

Apa kedudukan atau keputusan mengenai sesuatu pilihan raya, apa lagi di Sarawak ini, hanya keputusan yang dikeluarkan oleh SPR sahaja sah iaitu berdasarkan kepada maklumat yang telah diberi oleh setiap 71 pegawai pengurus pilihan raya yang telah dilantik.

Seperti kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, beliau turut dimaklumkan banyak sebaran dalam SMS, internet mengatakan parti tertentu telah menang pilihan raya di kawasan masing-masing.

“Ini maklumat tidak boleh dipercayai, hanya sumber daripada SPR sahaja yang sah," katanya kepada pemberita di Kuching.

Abdul Aziz berkata hampir dua pertiga atau 1,038 pusat pengundi telah pun ditutup setakat jam 1 tengah hari tadi dan kebanyakannya adalah di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Menurutnya walaupun kawasan terbabit telah ditutup awal iaitu seawal jam 9 pagi namun proses pengiraan undi hanya boleh dilakukan bermula jam 12.30 tengah hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata SPR yakin jumlah yang keluar mengundi selepas waktu tengah hari ini bagi semua 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka melepasi 50peratus.

"Sehingga jam 1 petang tadi, saya telah dapat maklumat daripada 11 DUN menunjukkan 43 peratus pengundi telah tunai tanggungjawab mereka, ini menunjukkan 10 peratus sejam mewakili juga bahagian lain," katanya.

Beliau berkata mereka yang belum berpeluang untuk pergi ke pusat pengundian dinasihatkan datang awal ke tempat yang telah ditetapkan dan tidak menunggu saat-saat akhir untuk mengundi undi.

Ketua Menteri, Tan Abdul Taib Mahmud berikrar untuk membuktikan ramalan pembangkang adalah salah apabila mendakwa mereka akan memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya Sarawak ke-10 yang berlangsung hari ini.

"Saya akan buktikan bahawa ramalan berkenaan salah," katanya ketika diminta mengulas mengenai ramalan bahawa pembangkang mampu memperoleh sekurang-kurangnya 30 kerusi pada pilihan raya berkenaan.

Beliau ditemui selepas membuang undi di pusat mengundi Dewan Datuk Merpati Jepang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok. Bagaimana Abdul Taib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak enggan mengulas lanjut berhubung keyakinannya itu sebaliknya meminta semua pihak menunggu keputusan rasmi.

Ditanya perkembangan suasana proses pengundian hari ini, Abdul Taib berkata semuanya berjalan lancar sama seperti kebiasaan hari lain.

"Sama seperti hari-hari lain, sehingga kini prosesnya berjalan lancar. Kami di Sarawak berjaya mengekalkan sistem politik dan proses mengundi dalam keadaan yang aman walaupun berlaku sedikit perubahan.

"Namun saya berbangga apabila rakyat tidak terpengaruh dengan pelbagai taktik tidak sihat yang berlaku," katanya. Malah Abdul Taib turut menasihati rakyat supaya keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi.

"Keluarlah mengundi, kepada siapa mereka memberi undi, itu terpulang kepada mereka," katanya.

Abdul Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yakin BN mampu mengekalkan kemenangan di Sarawak dengan keputusan yang baik.

Pilihan raya kali ini mencatat rekod tersendiri apabila sejumlah 213 calon bertanding bagi merebut 71 kerusi DUN yang dipertandingkan. BN bertanding di 71 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (49), DAP (15), Parti Kebangsaan Sarawak (26), PAS (5), Parti Cinta Malaysia (6) dan Bebas (41).
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya membantu menolak kerusi roda warga emas Sheikh Rahimullah Sheikh Aminullah 72, di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Saint Columba di Miri, Sarawak pada hari mengundi hari ini (16 April 2011).

Friday, September 3, 2010

TAIB MAHMUD ‘BOMOH POLITIK' SARAWAK TERBAIK

“Jangan terperangkap dengan strategi pembangkang kononnya Taib sudah tidak mampu dan terlalu lama memerintah Sarawak...Mana yang lebih penting, menjadi simpanan tetap kepada Barisan Nasional yang turut menjamin BN terus berkuasa di Pusat atau menukar Taib hanya semata-mata demi meletakkan orang muda?”

Kenapa memikirkan sesuatu yang di luar kenyataan sebenar bahawa Tan Sri Abdul Taib Mahmud patut melepaskan jawatannya?

Taib boleh menyuarakan perasaan dan hati kecilnya bahawa beliau sedia berundur sekiranya beliau sudah tidak lagi diperlukan oleh rakyat, parti dan Perdana Menteri.

Itu adalah luahan perasaan tetapi ia sangat jauh berbeza dengan kehendak pemimpin dan rakyat Sarawak.

Apakah kerana lama berada di tampuk kerusi Ketua Menteri menjadi sebab Taib perlu berhenti atau berundur?

Begitu sahaja?

Atau ada yang mendesak atau ada yang merasakan kepimpinan Taib sudah tidak berkesan?

Saya tidaklah begitu mahir mengenai politik Sarawak sekadar ‘tiba’ di Sarawak apabila ada pilihan raya negeri atau pilihan raya umum.

Kecuali pada pilihan raya negeri 1991, saya memang berkampung di sana lebih dua bulan.

Tetapi apa yang dilakukan oleh Taib untuk Sarawak menakjubkan. Malah, hingga sekarang pun Taib tidak pernah lekang dengan idea ‘politik pembangunannya’ yang kini diterjemahkan dalam bentuk baru bersifat transformasi.

Pembangunan pesat Sarawak dan kerjasama rapat Kuching-Kuala Lumpur atau Putrajaya tidak mampu untuk kita memperlecehkannya!

Daripada sebuah negeri yang mundur, Sarawak kini menjadi contoh negeri yang membangun dengan pesat malah dalam beberapa bidang seperti pelancongan dan industry ia jauh meninggalkan banyak negeri di Semenanjung!

Cerita mahukan Taib berhenti sudah lama. Tetapi hakikatnya sekadar menonjolkan orang itu dan orang ini sebagai pengganti tidak mampu untuk ‘menolak Taib’ walau seinci pun.

Saya bersetuju dengan pandangan rakan, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar iaitu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat (gambar kanan).

Kenapa mesti diperkatakan macam-macam mengenai Taib umpamanya beliau terlalu lama, sampai masanya Sarawak diterajui muka baru (hanya kerana Perdana Menteri bertukar?), terlalu tua dan berbagai lagi?

Yang nyata, seperti kata Wan Junaidi, Taib, yang bakal menggenapkan tahun ke-30 perkhidmatannya sebagai Ketua Menteri pada Mac tahun depan, perlu terus memimpin Sarawak untuk menyelesaikan pelbagai isu penting yang mendepani parti gabungan itu.

"Bukan waktu yang sesuai...ibarat anda sedang belayar di laut dalam dan dilanda badai dan taufan, sudah tentulah nakhoda anda tidak boleh meninggalkan kapal kerana adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mengemudi kapal berkenaan dengan selamat," katanya.

Taib bukan tidak pernah menyuarakan hasrat melepaskan jawatan. Beliau pernah secara terbuka mahu berundur pada 2006 – empat tahun lalu.

Namun, nama-nama yang ditonjol tidak mampu untuk menjadi Ketua Menteri.

Faktornya apa? Ia soal perpaduan dan permuafakatan parti-parti di Sarawak selain sebagai pengimbang antara kaum dan etnik di negeri itu.

Taib didokong, dihormati dan disegani. Faktor ini penting dan bukan sembarangan.

Katalah apa pun, hakikat ini mesti diterima termasuk oleh pemimpin utama di Semenanjung.

Jadi janganlah ada tuduhan atau cakap-cakap menyindir yang mengatakan beliau hanya berpura-pura membuat kenyataan untuk menguji penerimaan pemimpin Sarawak atau parti mereka terhadapnya.

Semua pihak jangan terperangkap dengan strategi pembangkang kononnya Taib sudah tidak mampu dan terlalu lama memerintah Sarawak.

Mana yang lebih penting, menjadi simpanan tetap kepada Barisan Nasional yang turut menjamin BN terus berkuasa di Pusat atau menukar Taib semata-mata demi meletakkan orang muda.

Bagi saya, ada waktunya kita perlu bercakap mengenai pengunduran Taib. Bukan masanya sekarang. Saya ulangi – Bukan Masanya Sekarang.

Tunggulah sehingga selepas pilihan raya negeri dan berikan Taib menerajui kepimpinan sekali lagi sebagai baktinya yang terakhir pada pilihan raya yang boleh diadakan pada bila-bila masa walaupun penggal semasa Dewan Undangan Negeri Sarawak akan berakhir pada Jun tahun depan.

Jangan termakan dengan umpan pembangkang yang menggunakan penganalisis, blog atau apa sahaja media baru yang menyerang Taib untuk kepentingan politik mereka.

Seperti kata Wan Junaidi memandangkan suasana politik di Sarawak sedang melalui fasa yang agak tidak menentu, termasuk masalah dalaman yang melanda beberapa parti komponen BN maka adalah tidak wajar bagi sesiapa jua menuntut agar Taib berundur.

Percayalah hanya Taib yang mampu memainkan peranan mengatasi masalah seperti kerana beliau sudah ‘masak’ dengan tendang terajang politik Sarawak.

Soal yang juga penting ialah bagaimana angota PBB membuat keputusan tentang apa yang perlu dilakukan oleh presiden mereka dalam suasana demikian.

Percayalah apa yang dicakapkan Wan Junaidi, yang juga anggota majlis tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti tulang belakang BN Sarawak pimpinan Taib, bahawa perbalahan dalam kalangan pelbagai puak, termasuk dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), yang berlarutan - sedangkan pilihan raya negeri semakin hampir – tidak akan mampu diselesaikan oleh ‘orang Kuala Lumpur’.

Soal penting sekarang ialah bagaimana pandangan seluruh anggota parti yang dianggap majoriti senyap dan terbukti dalam mesyuaratnya di Miri pada Isnin, anggota majlis tertinggi PBB yang diketuai Timbalan Presiden Tan Sri Alfred Jabu, mengambil pendirian menyokong penuh Taib untuk kekal sebagai Ketua Menteri.

Jika demikian ia jelas memberikan isyarat bahawa ahli parti sanggup berkorban dan menentang semua ancaman yang bertujuan menjadikan kedudukan kerajaan BN Sarawak tidak stabil.

Dengan sumpah taat setia dan sokongan terhadap Taib sedemikian rupa tidakkan ini menunjukkan bahawa Taib bukan sahaja diterima secara individu tetapi rancangan pembangunan dan transformasi negeri itu mendapat tempat di hati pemimpin.

Biarpun Taib kini berusia 74 tahun namun amat jelas tidak ada orang lain boleh menandinginya sebagai ‘bomoh politik Sarawak' terbaik dengan pengaruh, pengalaman dan kepimpinannya yang terserlah dan mantap diuji.