Friday, September 3, 2010

TAIB MAHMUD ‘BOMOH POLITIK' SARAWAK TERBAIK

“Jangan terperangkap dengan strategi pembangkang kononnya Taib sudah tidak mampu dan terlalu lama memerintah Sarawak...Mana yang lebih penting, menjadi simpanan tetap kepada Barisan Nasional yang turut menjamin BN terus berkuasa di Pusat atau menukar Taib hanya semata-mata demi meletakkan orang muda?”

Kenapa memikirkan sesuatu yang di luar kenyataan sebenar bahawa Tan Sri Abdul Taib Mahmud patut melepaskan jawatannya?

Taib boleh menyuarakan perasaan dan hati kecilnya bahawa beliau sedia berundur sekiranya beliau sudah tidak lagi diperlukan oleh rakyat, parti dan Perdana Menteri.

Itu adalah luahan perasaan tetapi ia sangat jauh berbeza dengan kehendak pemimpin dan rakyat Sarawak.

Apakah kerana lama berada di tampuk kerusi Ketua Menteri menjadi sebab Taib perlu berhenti atau berundur?

Begitu sahaja?

Atau ada yang mendesak atau ada yang merasakan kepimpinan Taib sudah tidak berkesan?

Saya tidaklah begitu mahir mengenai politik Sarawak sekadar ‘tiba’ di Sarawak apabila ada pilihan raya negeri atau pilihan raya umum.

Kecuali pada pilihan raya negeri 1991, saya memang berkampung di sana lebih dua bulan.

Tetapi apa yang dilakukan oleh Taib untuk Sarawak menakjubkan. Malah, hingga sekarang pun Taib tidak pernah lekang dengan idea ‘politik pembangunannya’ yang kini diterjemahkan dalam bentuk baru bersifat transformasi.

Pembangunan pesat Sarawak dan kerjasama rapat Kuching-Kuala Lumpur atau Putrajaya tidak mampu untuk kita memperlecehkannya!

Daripada sebuah negeri yang mundur, Sarawak kini menjadi contoh negeri yang membangun dengan pesat malah dalam beberapa bidang seperti pelancongan dan industry ia jauh meninggalkan banyak negeri di Semenanjung!

Cerita mahukan Taib berhenti sudah lama. Tetapi hakikatnya sekadar menonjolkan orang itu dan orang ini sebagai pengganti tidak mampu untuk ‘menolak Taib’ walau seinci pun.

Saya bersetuju dengan pandangan rakan, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar iaitu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat (gambar kanan).

Kenapa mesti diperkatakan macam-macam mengenai Taib umpamanya beliau terlalu lama, sampai masanya Sarawak diterajui muka baru (hanya kerana Perdana Menteri bertukar?), terlalu tua dan berbagai lagi?

Yang nyata, seperti kata Wan Junaidi, Taib, yang bakal menggenapkan tahun ke-30 perkhidmatannya sebagai Ketua Menteri pada Mac tahun depan, perlu terus memimpin Sarawak untuk menyelesaikan pelbagai isu penting yang mendepani parti gabungan itu.

"Bukan waktu yang sesuai...ibarat anda sedang belayar di laut dalam dan dilanda badai dan taufan, sudah tentulah nakhoda anda tidak boleh meninggalkan kapal kerana adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mengemudi kapal berkenaan dengan selamat," katanya.

Taib bukan tidak pernah menyuarakan hasrat melepaskan jawatan. Beliau pernah secara terbuka mahu berundur pada 2006 – empat tahun lalu.

Namun, nama-nama yang ditonjol tidak mampu untuk menjadi Ketua Menteri.

Faktornya apa? Ia soal perpaduan dan permuafakatan parti-parti di Sarawak selain sebagai pengimbang antara kaum dan etnik di negeri itu.

Taib didokong, dihormati dan disegani. Faktor ini penting dan bukan sembarangan.

Katalah apa pun, hakikat ini mesti diterima termasuk oleh pemimpin utama di Semenanjung.

Jadi janganlah ada tuduhan atau cakap-cakap menyindir yang mengatakan beliau hanya berpura-pura membuat kenyataan untuk menguji penerimaan pemimpin Sarawak atau parti mereka terhadapnya.

Semua pihak jangan terperangkap dengan strategi pembangkang kononnya Taib sudah tidak mampu dan terlalu lama memerintah Sarawak.

Mana yang lebih penting, menjadi simpanan tetap kepada Barisan Nasional yang turut menjamin BN terus berkuasa di Pusat atau menukar Taib semata-mata demi meletakkan orang muda.

Bagi saya, ada waktunya kita perlu bercakap mengenai pengunduran Taib. Bukan masanya sekarang. Saya ulangi – Bukan Masanya Sekarang.

Tunggulah sehingga selepas pilihan raya negeri dan berikan Taib menerajui kepimpinan sekali lagi sebagai baktinya yang terakhir pada pilihan raya yang boleh diadakan pada bila-bila masa walaupun penggal semasa Dewan Undangan Negeri Sarawak akan berakhir pada Jun tahun depan.

Jangan termakan dengan umpan pembangkang yang menggunakan penganalisis, blog atau apa sahaja media baru yang menyerang Taib untuk kepentingan politik mereka.

Seperti kata Wan Junaidi memandangkan suasana politik di Sarawak sedang melalui fasa yang agak tidak menentu, termasuk masalah dalaman yang melanda beberapa parti komponen BN maka adalah tidak wajar bagi sesiapa jua menuntut agar Taib berundur.

Percayalah hanya Taib yang mampu memainkan peranan mengatasi masalah seperti kerana beliau sudah ‘masak’ dengan tendang terajang politik Sarawak.

Soal yang juga penting ialah bagaimana angota PBB membuat keputusan tentang apa yang perlu dilakukan oleh presiden mereka dalam suasana demikian.

Percayalah apa yang dicakapkan Wan Junaidi, yang juga anggota majlis tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti tulang belakang BN Sarawak pimpinan Taib, bahawa perbalahan dalam kalangan pelbagai puak, termasuk dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), yang berlarutan - sedangkan pilihan raya negeri semakin hampir – tidak akan mampu diselesaikan oleh ‘orang Kuala Lumpur’.

Soal penting sekarang ialah bagaimana pandangan seluruh anggota parti yang dianggap majoriti senyap dan terbukti dalam mesyuaratnya di Miri pada Isnin, anggota majlis tertinggi PBB yang diketuai Timbalan Presiden Tan Sri Alfred Jabu, mengambil pendirian menyokong penuh Taib untuk kekal sebagai Ketua Menteri.

Jika demikian ia jelas memberikan isyarat bahawa ahli parti sanggup berkorban dan menentang semua ancaman yang bertujuan menjadikan kedudukan kerajaan BN Sarawak tidak stabil.

Dengan sumpah taat setia dan sokongan terhadap Taib sedemikian rupa tidakkan ini menunjukkan bahawa Taib bukan sahaja diterima secara individu tetapi rancangan pembangunan dan transformasi negeri itu mendapat tempat di hati pemimpin.

Biarpun Taib kini berusia 74 tahun namun amat jelas tidak ada orang lain boleh menandinginya sebagai ‘bomoh politik Sarawak' terbaik dengan pengaruh, pengalaman dan kepimpinannya yang terserlah dan mantap diuji.

1 comment:

  1. Tanggalkan segala kaca berwarna yang dipasang dihadapan mata rakyat jelata. Biarlah mereka melihat warna yang sebenar. Jangan izinkan rakyat jelata terpengaruh oleh dakyah pembangkang yang kita sendiri kekadang ikut menjadi penyebarnya.

    ReplyDelete