Sunday, July 25, 2010

HARUSSANI MELAKUKAN PEMBOHONGAN MEMALUKAN - MAHFUZ

Bukan sekadar mengatakan Harussani melakukan pembohongan, Mahfuz berkata Harussani sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Mufti Perak kerana beliau pernah menyatakan, sebagai mufti beliau tidak berbohong..

Apa yang tidak kena dengan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar?

Kelmarin Parlimen Pokok Sena itu menuntut Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria memohon maaf secara terbuka kepada PAS dan seluruh orang Melayu Islam berikutan penjelasan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali yang menunjukkan mufti itu berbohong.

Sambil menyifatkan Harussani melakukan pembohongan yang memalukan, Mahfuz berkata, pengakuan Dr Hassan yang menjelaskan bahawa pertemuannya dengan Harussani tidak ada agenda khusus membincangkan penyatuan Umno dan PAS.

Ini sekaligus mendedahkan kedudukan dan peranan Harussani sebagai alat dan pencacai Umno, katanya dipetik oleh Harakahdaily Online. Hari ini kenyataan ini diulang lagi melalui mStar Online.

Bukan sekadar mengatakan Harussani melakukan pembohongan, Mahfuz berkata Harussani sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Mufti Perak kerana beliau pernah menyatakan, sebagai mufti beliau tidak berbohong.

Sedangkan kata Mahfuz, pendedahan Dr Hassan memperjelaskan pembohongan Harussani," katanya.

Dr Hassan semalam mengesahkan beliau ada menemui Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kira-kira dua bulan lalu.

Bagaimanapun, beliau menafikan ia bertujuan membincangkan penyatuan antara UMNO dan PAS sebaliknya persiapan bagi menghadiri Mesyuarat Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Pertemuan itu dilakukan atas kedudukan saya sebagai Exco yang bertanggungjawab Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu dan ia dilakukan secara terbuka bukannya sulit seperti yang didakwa. Ia dilakukan bagi meraih kebaikan bersama demi kemajuan dan kesejahteraan umat Islam di negara ini memandangkan Harussani memiliki ilmu dan pengalaman yang begitu luas dalam hal ehwal agama," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dr Hassan mengulas khabar angin yang mendakwa beliau antara pemimpin PAS yang didakwa mengadakan pertemuan dengan Harussani mengenai usaha perpaduan antara kedua-dua parti itu.

Menurut Dr Hassan, Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah menyekat Exconya daripada mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak tanpa mengira agama dan fahaman politik jika ia bertujuan meningkatkan keupayaan, kemampuan, prestasi dan nilai profesional.

Selain itu, beliau menegaskan tidak pernah diberi mandat oleh PAS untuk membincangkan isu perpaduan dengan UMNO.

Apa yang pasti, sehingga hari ini Harussani tidak pernah mendedahkan identity pemimpin PAS atau UMNO yang bertemu beliau.
Kedudukan itu menunjukkan bahawa bukan Hassan sahaja bertemu Harussani.

Kenyataan Hassan adalah untuk membela dirinya daripada dibelasah oleh pemimpin PAS yang lain.

Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Abdul Samad, kelmarin turut menegaskan sekiranya ada pihak atau pemimpin tertentu dalam PAS yang menemui Muft Perak bagi tujuan bekerjasama, mereka perlu dihukum.

Ini kerana tindakan pemimpin terbabit secara tidak langsung telah menlanggar keputusan Muktamar PAS sebelum ini yang menolak sebarang kerjasama dengan parti pemerintah itu.

Pertemuan tersebut juga menunjukkan pemimpin terbabit tidak faham dengan perjuangan sebenar PAS, kata Khalid.
Hassan perlu membuat kenyataan itu kerana beliau terus dirundung kontroversi kerana sekali lagi dikaitkan dikaitkan lagi dengan isu kerjasama Umno-PAS.

Selepas selamat daripada diheret ke muktamar khas seperti cadangan awal Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat tahun lalu, tersebar pula khabar angin Dr Hassan menemui Harussani yang menawarkan diri sebagai pengantara bagi membincangkan perkara itu.

Nama Dr Hassan dikaitkan oleh oleh blog Malaysia Waves dengan terang-terang mendakwa pemimpin yang dimaksudkan Harussani itu ialah Dr Hassan. "Seperti saya kata sebelum ini, ada video yang diambil perjumpaan Harussani dengan Dr Hassan (dan mungkin Khairuddin Othman sekali)," katanya penulisnya Abdul Rahman Talib.

Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai 'Tulang Besi' bagaimanapun berkata beliau bersangka baik dan "kemungkinan Dr Hassan cuma mahu berjumpa untuk mendapat maklumat sahaja".

Tetapi apakah ada orang lain selain Hassan yang bertemu Harussani?

Apakah Dr Hassan seorang sahaja dimaksudkan oleh Harussani?

Mahfuz dan Khalid jangan cepat melenting. Bukan sahaja tujuan Mufti Perak itu baik tetapi juga boleh mengurangkan sengketa antara orang Islam dan Melayu sendiri.

Apakah Mahfuz dan Khalid jenis yang tidak percaya dan gembira jika Melayu dan Islam bertaut?

Apakah kedua-duanya jenis pemimpin yang gemarkan perpecahan berterusan Melayu dan Islam di Malaysia?

Bukan Harussani sahaja yang ingin melihat perpaduan Islam-Melayu ini.

Sebelum ini, tokoh akademik Islam, Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid pernah menawarkan diri bagi menyediakan 'forum yang lebih selesa' kepada tiga ulama yang sedang menghadapi polemik berhubung perpaduan PAS-UMNO ini.

Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu pada 10 Mac 2010 lalu berkata ini member ruang kepada Mufti Perak, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Ahmad Awang untuk bersemuka dan berbincang.

"Ketiga-tiga pihak itu sedang 'membuka budu di padang', budu kalau sudah dibuka berbau busuk walaupun ia sedap dimakan. "Jadi, hentikan sahaja polemik itu, tiada lagi susulan dibuat sebaliknya mereka perlu berbincang kerana ketiga-tiganya adalah ulama. Oleh itu saya tawarkan diri untuk sediakan forum lebih selesa, tidak perlu lagi mencari publisiti di dada akhbar," katanya.

Nik Aziz sebelum ini menggelarkan Harussani sebagai ejen UMNO apabila mufti itu didakwanya masuk campur dalam usaha membentuk kerajaan campuran di Perak.

Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusoff Hussein menyifatkan kenyataan Harussani itu bukan atas dasar politik kepartian kerana perkara utama yang dilihat oleh beliau ialah perpaduan umat Islam.

"Saya setuju dengan Harussani kerana isu yang dibawa pada ketika itu tentang kedudukan orang Melayu dan Islam. Beliau mufti yang celik, bukan mufti baju pagoda, beliau lebih mementingkan soal Islam daripada politik di bawah.

Mohd. Yusoff yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, sekiranya PAS tidak bersetuju dengan cadangan bekerjasama dengan UMNO, mereka tidak sewajarnya bersikap sombong dan menghina orang lain.

Apa yang jelas Harussani tidak melakukan apa-apa kesalahan bila mengajak ke arah perpaduan bukan seperti Mahfuz dan Khalid yang bagaikan mahu menghukum hanya kerana Mufti Perak itu mengajak kea rah perpaduan.

Jelas kewibawaan Harussani bukan mufti bisu dan ‘buta’, selain mengajak PAS secara terbuka.

Yang penting, cuba Mahfuz dan Khalid buktikan di mana ayat al-Quran menyuruh orang Islam, tidak kiralah bangsa Melayu atau bangsa apa sekali pun.

Yang ada adalah perintah berpegang teguh dengan tali Allah (hablillah).

Dan dengan menuduh Harussani berbohong atau marahkan seseorang sama ada pemimpin PAS atau UMNO menemui Harussani adalah perbuatan yang menentang mereka yang cuba menyambung dan berpegang dengan hablillah


Parti Islam – Antara Realiti dan Fantasi

Daripada www.pisau.net

(Pengakuan seorang bekas penyokong kuat PAS yang kini sudah insaf dan bertaubat. Sumber: En Aman B Daud)

Saya pun pada asalnya adalah penyokong kuat PAS, Alhamdulilalah apabila saya membaca beberapa tulisan daripada bekas aktivis PAS seperti Ustaz Omar Khalid, Dato’ Nakhae, Ustaz Mustafa Taib, Haji Ghazali bekas Ketua Ulama PAS Terengganu, Profesor Hj Noor Idris, dan lain-lain lagi menyebabkan saya menginsafi keadaan. Di sini saya petik dari buku“Parti Islam antara Realiti dan Fantasi”:

Parti Islam antara Realiti dan Fantasi Pt1.

Kaya Sebelum Berjuang & Miskin Selepas Berjuang

Kita dapati sesetengah pemimpin Parti Allah yang lampau merupakan individu yang kaya sebelum menyertai Parti Allah, tetapi setelah berjuang bersama Parti Allah mereka menjadi miskin.

Ini menepati sejarah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat seperti saidina Abu-Bakar saidina Othman, saidina Ab.Rahman bin ‘Auf dan sebagainya. Pemimpin-pemimpin tersebut sebelum menyertai Parti Allah mereka terdiri daripada tokoh-tokoh korporat dan para saudagar.

Tetapi setelah berjuang dalam Parti Allah mereka telah mengorbankan harta ke jalan Allah sehingga mereka menjadi miskin.

Parti Allah dinaungi oleh masyarakat sejagat. Puncanya ialah kerana perjuangan mereka membawa mesej sejagat. Sebab itu ia mampu mengembangkan Islam ke serata dunia, kadang-kadang tidak perlu melalui peperangan dan penaklukan fizikal.

Caranya ialah dengan menyebar dan menyatukan hati-hati insan dengan fitrah (tabiat semulajadi) kasih sayang sejagat dan juga aktiviti-aktiviti bercorak kebendaan dan kebenaran yang diperlukan oleh masyarakat serta sesuai dengan semua fitrah manusia.

Kekuatan Parti Allah tidak terletak kepada kekuatan kebendaan semata-mata, tetapi kepada kekuatan takwa. Oleh itu penekanan asas dalam pendidikan pendukungnya ialah iman dan takwa, ukhwah dan kasih sayang, pengorbabanan, syura dan takut kepada neraka.

Parti PAS

Di Malaysia, jamaah PAS telah menamakan partinya sebagai Parti Islam. Namun dari segi nama memang parti Pas bernama Parti Islam, tetapi ciri-ciri yang sepatutnya terdapat pada sesebuah Parti Islam yang sebenar itu tidak ada pada parti PAS, sebab itu ia tidak layak dianggap dianggap sebagai Parti Islam yang hakiki.

Sesungguhnya dasar, teknik, kaedah, sifat, pendekatan, matlamat dan lain-lainnya, terlalu berbeza jikalau dibandingkan dengan Parti Allah yang sebenar pada zaman dulu dengan parti politik PAS sekarang.

Parti Islam bukan terletak kepada nama semata-mata, bahkan turut tertakluk kepada ciri-cirinya. Kalau namanya sahaja Islam sedangkan dasar, uslub, teknik dan pendekatan perjuangannya tidak Islamik, maka ia bukan Parti Islam.

Oleh itu kita jangan mudah keliru dengan label Islam yang dipakai, sebaliknya lihatlah pada dasar, amalan dan praktikal harian pemimpin serta anggota-anggota parti berkenaan.

Sejak akhir-akhir ini PAS berani mendakwa yang ia adalah Parti Islam tulen. Golongan yang berani mendakwa sedemikian ialah terdiri daripada para ulama’ dan pemimpin PAS kini. Pada peringkat awal penubuhan PAS dulu, mereka hanya mengatakan bahawa Parti PAS adalah parti orang-orang Islam sahaja (Persatuan Islam), padahal minda dan syakhsiah (jatidiri) peribadi pemimpin-pemimpin PAS serta ahli-ahlinya yang pertama dulu adalah lebih baik jikalau dibandingkan dengan akhlak dan budi bicara pemimpin dan penyokong PAS sekarang.

Memang semua orang berhak mendabik dada mengatakan partinya benar dan mengikut Rasulullah. Tetapi kebenaran adalah milik Allah, pengukur yang sebenar ialah Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Bertolak dari sini marilah sama-sama kita mengkaji tentang kenapakah parti PAS ditubuhkan? Selepas itu kita mengkaji pula cara-cara perjalanannya, adakah ia sesuai dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya?

Sesungguhnya penubuhan Parti PAS tidak lebih daripada sebuah organisasi serpihan UMNO. Ia sekadar merupakan sebuah organisasi segelintir bangsa Melayu yang kecewa dengan organisasi bangsa Melayu yang lain.

Apa yang jelas ialah, organisasi parti PAS telah menerima perjuangan berdasarkan sistem demokrasi. Tindak-tanduknya juga jauh menyimpang daripada menghayati dan mencontohi sirah Rasulullah atau mengikut ijma’ fi’li (perbuatan para sahabat Nabi s.a.w..).

Untuk itu marilah kita bersama-sama mengkaji satu persatu secara ilmiah demi menentukan adakah Parti PAS benar-benar berjuang mengikut landasan dan menepati ciri-ciri Jemaah Islam tulen.

Parti Islam antara Realiti dan Fantasi Pt 2

Mengenal Parti PAS

Perjuangan parti PAS bukanlah untuk membentuk peribadi dan rumah tangga Muslim. Bahkan sasaran pemimpin PAS yang utama adalah untuk mengislamkan pentadbiran negara, melaksanakan hukum hudud dan takzir, yakni hukuman yang ada hubungan dengan negara semata-mata, pada hal Islam bermula daripada peribadi Muslim dan rumah tangga Muslim barulah negara Islam.

Pernah gendang “hukum hudud” dicanang habis-habisan sehingga mereka terlupa kepada soal-soal ibadah pemimpin dan ahli-ahlinya, kerohanian, akhlak, khidmat masyarakat dan kasih sayang sesama mereka dan juga sesama golongan Islam yang lain.

Mereka lupa kepada akhlak pemimpinnya yang suka memaki dan menghina orang lain, menuduh golongan yang tidak menyokong jemaah politik mereka sebagai kafir. Taghut dan menentang Islam.

Mereka sengaja melupakan ayat-ayat Allah yang telah menggaris lebih awal lagi; bahawa orang Islam tidak boleh menghina kumpulan atau individu lain, kerana mungkin kumpulan mereka lebih baik.

Mereka juga lupa kepada arahan Allah agar jangan memaki hamun walaupun kepada berhala yang disembah oleh orang-orang yang bukan Islam demi menjaga akhlak dan tutur kata penganut Islam dan juga hikmat-hikmat lain.

Jikalau kepada berhala yang jelas batil itu pun Allah melarang menggunakan perkataan yang tidak sopan terhadapnya, maka adakah boleh kita memaki hamun kepada sesama manusia, lebih-lebih lagi kepada manusia yang sama-sama berkiblat ke Kaabah serupa apa yang dilakukan oleh para pemimpin PAS?

Fatwa daripada pemimpin PAS

Sekiranya berlaku sesuatu isu yang tidak secocok dengan perasaan pemimpin PAS atau boleh menggugat parti mereka, maka fatwa atau hukum-hakam pun dilahirkan walaupun tidak mempunyai hujah atau nas yang qatee(tepat).

Dalam kontek ini kita dapati timbulnya fatwa yang berbeza-beza antara seorang pemimpin dengan pemimpin PAS yang lain. Yang malang lagi, kadang-kala fatwa itu berbentuk aqidah seperti kafir-mengkafir dan murtad walaupun terhadap ahli kiblat yang sama. Mana-mana individu atau jemaah lain yang menolak parti PAS sudah pasti mereka dicap sebagai kafir.

Padahal Saidina Husin bin Ali bukan setakat menentang biasa terhadap kerajaan Yazid bin Muawiah, bahkan beliau mengumpul bala tentera bagi memerangi kerajaan Yazid yang pada akhirnya Saidina Husin gugur dan menerima kekalahan teruk di tangan Yazid. Kenapakah PAS tidak menghukum kafir kepada Saidina Husin, sedangkan kerajaan Yazid yang dilawan oleh Saidina Husin adalah kerajaan Islam tetapi agak menyeleweng?

Kutipan Derma

Sebagaimana yang termaklum dalam PAS kutipan derma adalah dikira amalah biasa, penyokong-penyokong PAS sangat gemar menghulurkannya. Sifat seperti ini hampir-hampir sama pada zaman Rasulullah s.a.w. tetapi apa yang mendukacitakan derma-derma tersebut betulkah dipergunakan mengikut apa yang sepatutnya?

Sebagai contoh, di sini saya nyatakan antara derma-derma yang dipungut dan boleh dicurigai pelaksanaannya.

Contoh (1)

Derma jihad dalam Ijtimak(perhimpunan) PAS di Kok Lanas yang berpuluh-puluh ribu ringgit itu, dimanakah wang derma jihad PAS yang dipungut begitu banyak? Adakah dibentang penyatanya? Jawabnya tidak!

Contoh (2)

Wang Derma Pilihanraya Kecil Grik, saya telah melihat dengan mata saya sendiri bahawa orang yang diamanahkan untuk menyerah wang tersebut telah mempergunakan wang derma tersebut bagi membayar hutang peribadinya sendiri. Saya telah menanya beliau pada waktu itu, kenapakah dipergunakan wang derma daripada orang ramai untuk membayar hutang peribadi? Lantas beliau menjawab: “Apa salahnya! Saya sekarang adalah PAS, PAS adalah saya, tidak salah dipergunakan untuk saya kerana saya adalah PAS”.

Contoh (3)

Setahu saya lebih kurang 10 hari sebelum tahanan ISA (Operasi Lalang) PAS dibebaskan daripada Kem Tahanan Kemunting, satu kutipan derma secara besar-besaran dianjurkan di Dewan Zulkifli bangunan PAS Kota Bharu Kelantan, apa yang saya tahu wang yang berpuluh-puluh ribu itu tidak diberi kepada yang berhak menerimanya termasuklah saya. Sehingga sekarang derma khas tersebut tidak dapat saya dan tahanan-tahanan ISA lain menerimanya.

Contoh (4)

Pada suatu ketika (lebih kurang 10 tahun dulu) dalam PAS telah ditubuhkan satu institusi kewangan yang dinamakan “Darul-Mal” berjuta-juta wang terkumpul, seluruh penyokong PAS dikerah agar menyumbangkan sebanyak mungkin di dalam tabungan tersebut, ada di antara ahli atau penyokong PAS yang telah menjual tanah, menjual barang-barang yang berharga dan mengambil segala wang yang ada di bank-bank lain untuk dimasukkan ke dalam akaun simpanan Darul-Mal. Apakah yang terjadi sekarang?

Sesungguhnya wang tersebut telah hilang dan mati tanpa berkubur. Suatu tindakan undang-undang kepada pelaku sehingga kini belum ada kedengaran.

Inilah cara pemimpin PAS memimpin parti, dan inilah puak yang akan memerintah Malaysia secara Islam sekiranya parti PAS menang. Sewaktu berceramah atau mengajar/kuliah pemimpin PAS mengajar bukan main lagi, mereka mengajak kita melakukan keadilan, dan mestilah mengikut cara Nabi s.a.w. yang akan memotong tangan anak baginda Fatimah sekiranya mencuri, tetapi belum pun memerintah negara hanya sekadar memerintah parti atau memerintah sebuah negeri Kelantan sahaja sudah tidak mahu menjalankan keadilan sekurang-kurangnya menyeret mereka yang bersalah ke muka pengadilan mahkamah bagi melambangkan keadilan buat sementara waktu sebelum berjumpa mahkamah Allah. Tindakan seperti ini tentu boleh menolong menyedarkan orang PAS lain daripada melakukannya.

Contoh (5)

Di Kampung Jabi, Besut Terengganu, pemimpin PAS membuat pakatan bagi pelaksanaan perkampungan Islam, seluruh penyokong PAS diajak agar memenuhi rancangan ini. Penyokong-penyokong PAS menerimanya dengan suatu hakikat pengajaran Islam yang baik dan mereka pun mengikislah harta masing-masing bagi menyokong rancangan tersebut. Pemimpin PAS telah menjual tanah yang dipecahkan lot secara persendirian kepada ahli-ahli atau penyokong PAS, apakah yang terjadi sekarang? Rancangan tersebut nampaknya terbengkalai.

Derma Daripada Pemimpin PAS

Sebagai perkara makruf, hanya penyokong-penyokong PAS sahaja yang berlumba-lumba menghulurkan derma, manakala kebanyakan pemimpin PAS kedekut untuk menderma, derma tetap seperti sumbangan bulanan kerana menjadi ahli dewan atau sewaktu mereka menerima persaraan pun masih ada yang celaru. Perbuatan yang seperti ini adalah bercanggah dengan pemimpin parti Allah pada zaman Rasulullah s.a.w. dulu.
Ukhuwah sesama ahli

Antara perkara yang tidak digemari oleh pemimpin PAS ialah: menghadiri kuliah-kuliah agama, melawat para pesakit, menolong orang-orang susah dan sebagainya.

Mereka menghadirkan diri di majlis-majlis tersebut apabila ada sesuatu yang terpaksa, atau kerana menjaga kepentingan politik pilihan raya, atau menjaga hati pemimpin yang lebih atas. Kebanynyakan yang hadir di majlis kuliah agama ialah hanya para penyokong PAS yang berpegang teguh dengan fatwa pemimpin PAS sahaja.

Parti Islam antara Realiti dan Fantasi Pt 3

Parti PAS bukan Model Gerakan Islam

Parti PAS bukanlah menjadi model yang baik, malah jikalau diperhatikan kepada pejabatnya di seluruh kawasan akan di dapati berada dalam keadaan yang uzur dan tidak terurus. Alat-alat komunikasi yang canggih seperti komputer, fax dan sebagainya yang sepatutnya ada di seluruh kawasan khususnya di negeri Kelantan yang dikuasainya belum pun sempurna.

Kesimpulannya ialah: Parti PAS miskin tetapi pemimpinnya kaya-raya hasil daripada perjuangan di dalam parti, sila lihat kepada rumah setengah-setengah pemimpin PAS pula ada yang betingkat-tingkat. Oleh yang demikian keadaan ini menjelaskan kepada kita, bahawa PAS bukanlah PARTI ALLAH bahkan parti PAS adalah PARTI ISLAM CELUP.

Kes Mat Sabu

Apa yang diperkatakan bahawa pemimpin PAS seolah-olah pelakon filem yang sedang beraksi mencari pengaruh kini menjadi kenyataan. Sebagai contoh di dalam kes khalwat Mat Sabu-Norma misalnya.

Walau dalam apa jua bentuk sekalipun apabila lelaki dan perempuan yang tidak muhrim berdua-duaan di dalam sebuah bilik tanpa muhrimnya atau tidak kerana darurat, Islam tetap menghukumkan salah.

Mahkamah Syariah Kelantan telah menghukum tidak bersalah adalah disebabkan fakta-fakta perundangan yang tidak cukup untuk dihukum bersalah, kerana perbnicaraan tersebut melalui proses undang-undang dunia, sedangkan hukuman itu tidak boleh terlepas daripada dosa perbuatan Mat Sabu terhadap Allah SWT.

Yang anihnya dalam kes tersebut YAB Dato’ Nik Ab Aziz telah hilang pedoman dan melakukan kesilapan besar terhadap Islam yang dipelajari dan diajarinya. Atas dasar hukum Islam manakah yang menyebabkan beliau memberi kenyataan kepada pemberita dihari penangkapan bahawa: “Mat Sabu diperangkap” sedangkan pada masa itu beliau belum membuat siasatan rapi lagi, sepatutnya seorang Tok Guru tidak boleh meletakkan politik lebih atas daripada hukum Islam.

Adakah Islam mengharuskan wanita yang tidak muhrim berdua-duaan di dalam satu bilik? Mereka berdua-duaan di dalam bilik Hotel Perdana Kota Bharu, Kelantan sehingga sempat pegawai pencegah maksiat dan pemberita datang.

Sepatutnya dalam kes ini, Dato’ Nik Ab.Aziz merujuk kepada peristiwa yang berlaku kepada siti Aisyah isteri Rasulullah, bagaimana cara Rasulullah s.a.w. menyelesaikan kes tersebut sewaktu Saidatina Aisyah r.a. difitnah berkahlwat dengan Safuan bin Muatal dulu.

Sebelum Nabi memanggil isterinya maka baginda tidak melabel terlalu awal dengan mengatakan bahawa isteri baginda telah diperangkap atau isterinya seorang yang baik, pada hal jikalau Rasulullah hendak membela isterinya pun memang layak kerana isteri Nabi memang orang baik-baik, dan telah diakui Allah SWT masuk syurga pula.

Strategi PAS

Antara strategi PAS ialah, mana-mana tempat atau kampung yang perlu di ketengahkan isu mengkafir maka hendaklah dilakukan serta mengganggap orang-orang UMNO adalah kafir, sebab itu kita dapati ada di suatu tempat yang kuat PAS maka lahirlah isu mengkafirkan ini. Sebaliknya jikalau berada di dalam kawaan yang kuat UMNO maka orang-orang PAS terpaksa mengalah kepada orang UMNO dan mengganggap orang UMNO sama Islam dengan orang PAS. Itulah cara pemimpin PAS membawa penyokong-penyokongnya terhadap hukum-hukum dan fatwa, mereka menggunakan berbagai-bagai taktik demi mencapai kemenengan.

Keegoan Pemimpin PAS

Sepatutnya kerajaan Pas Kelantan telah lama menubuhkan tribunal atau badan Hisbah bagi menyiasat harta-harta yang diperoleh oleh pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Kelantan sebagai menunaikan janji-janji pilihanraya. Mengikut Utusan Malaysia 19.01.1998 Pas membatalkan cadangan untuk mewujudkan sebuah badan yang dinamakan “Hisbah”.

Menteri Besar Kelantan pernah Mengumumkan bahawa tribunal itu tidak perlu ditubuhkan, sudah memadai dengan usrah-usrah dan kuliah-kuliah yang dijalankan oleh parti PAS. Jawapan yang seperti itu adalah melambangkan sifat ‘ujub (rasa hairan dan megah kepada diri sendiri) yang sepatutnya tidak berada pada diri manusia yang sangat-sangat lemah ini, lebih-lebih lagi pada diri mereka yang mengaku dirinya tok guru, kerana dalam realiti ternyata bahawa jenerasi Islam yang berada di sekeliling pinggang Nabi Muhammad s.a.w. dulu, yang telah ditarbiahkan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri pun terbukti ada yang menjadi munafik, syirik dan murtad.

Tidakkah sewaktu Tuan Guru mengajar sejarah Saidina Umar ra kepada kami di Masjid Pualu Melaka dulu, Tuan Guru ada mengatakan: bahawa Khalifah Umar al-Khattab pernah memanggil pegawainya untuk dibuat pemeriksaan dan penyiasatan disebabkan pegawainya sering menukar pakaian harian dengan pakaian yang baru.

Umar ingin mengurangkan gaji pegawainya jikalau terbukti pegawainya berlebihan wang gaji. Apa yang berlaku dalam kerajaan PAS di Kelantan bukan hanya menukar baju baru setiap hari malah ada yang sering menukar kereta, menukar rumah dan lain-lain lagi.

Berapa kalikah wakil-wakil rakyat atau pembesar-pembesar negeri Kelantan telah dipanggil oleh Tuan Guru untuk mengisytiharkan harta masing-masing, dan tidakkah Tuan Guru nampak kemewahan mereka sekarang ini?

Wakil Rakyat PAS diwajibkan merendah diri

Selepas beberapa minggu Pas menubuhkan kerajaan di Kelantan, iaitu dalam tahun 1990 dulu, YAB Menteri Besar Pas mengarahkan kepada semua wakil rakyatnya supaya jangan membeli kereta besar, hanya kereta proton saga sahaja yang paling besar.

Ada di antara wakil rakyatnya bersungut, bagaimana Tok Guru jikalau kereta itu mati di dalam perjalanan? Jawab YAB: Itulah yang kita kehendaki, kita mahu rakyat melihat sendiri betapa miskinnya wakil rakyat Pas. Selepas satu bulan sahaja, kebanyakan wakil rakyat Pas membeli kereta besar-besar. Demikian juga dalam taklimat kemenangan Pas yang pertama di kediaman resmi YAB JKR 10. YAB. MB berjanji tidak akan lulus balak secara mudah atau cara biasa, tetapi selepas beberapa bulan di dapati sebahagian besar pemimpin Pas telah menjadi kayaraya hasil daripada pembalakan.

Wanita Menjadi Pemimpin

Dulu Tok Guru pernah menyatakan: bahawa wanita tidak boleh mengepalai lelaki sehingga Qari’ah al-Quran dari Kelantan telah tidak dibenarkan menyertai pertandingan, tetapi malangnya PAS telah melantik ramai wanita bagi menjadi ahli Dewan Negeri Dewan Rakyat dan Dewan Negara, tidakkah perbuatan yang sedemikian bercanggah dengan fatwa daripada Tuan Guru sendiri atau boleh dianggap sebagai memutar belit hukum Islam.

Masuk Parti Allah

Walaupun memang sulit untuk kita mencari atau memasuki Parti Allah pada zaman kini, namun kita tidak boleh minta izin excuse daripada Allah untuk berjuang dengan harapan mencari keredaan Allah melalui parti politik sekular seperti PAS dengan alasan tiada pilihan lain.

Kalau kita lakukan juga, yakni menggunakan parti politik sekular untuk melawan parti politik sekular lain dengan alasan kononnya mahu menghalalkan cara dengan harapan untuk menegakkan Islam, nescaya kita tidak dapat menewaskan musuh sebagaimana janji-janji Alah, juga tidak akan mendapat keredaan Allah. Ingatlah hanya Parti Allah sahaja yang mampu dan diberi pertolongan oleh Allah untuk berdepan menghadapi segala masaalah.

Kegiatan yang berbahaya

Kegiatan yang diasaskan atas nama Islam tulen, walaupun tidak boleh diterima oleh akal manusia, atau akal manusia menghukum berbahaya, maka Islam menganggap tidak berbahaya dan mesti diteruskan. Apa yang berlaku dalam organisasi PAS ialah pemusatan fikrah pemimpin PAS bukan ke arah Islam tulen bahkan menuju ke arah memaju dan mencari kepentingan politik PAS, serentak mencari sesuatu demi kepuasan pemimpinnya bukannya kerana memenuhi tuntutan Allah. Sebagai contoh, di bawah ini saya senaraikan beberapa kegiatan yang dianggap berbahaya:

Suatu ketika dulu ada seorang hamba Allah yang bergelar “Tok Wali Hasan” beliau tidak mempunyai ilmu Islam yang banyak (kini sudah meninggal dunia). Beliau secara terus terang telah menuduh orang-orang UMNO kafir, segala sembelihan orang UMNO tidak boleh dimakan.

Selepas fatwa tersebut dikeluarkan kita dapati banyak suami isteri yang telah becerai, masjid berasingan, kubur berasingan, bernikah 2 kali, anak dan ibu bapa sudah tidak berpemergian, pulau-memulau, sembelihan kurban berasingan dan lain-lain lagi.

Fatwa tersebut telah direstui oleh pemimpin PAS, sebagai bukti kita dapati bahawa selepas itu Tok Wali Hasan telah dipilih menjadi calon PAS melawan Tengku Razaleigh di Parlimen Ulu Kelantan (ketika itu mewakili UMNO). Sehingga sekarang pemimpin PAS belum membatalkan fatwa tersebut.

Saya telah mendengar sendiri daripada mulut Ustaz Nik Ab Aziz semasa beliau mengajar di Masjid Kampung Pulau Melaka dengan mengatakan: “Jikalau melawan UMNO tiba-tiba meninggal dunia, maka kita dikira mati syahid”.

Kaset ucapannya itu tidak diizinkan kepada saya untuk mengedar kepada orang ramai, kerana kononnya sensitif dan fatwa itu hanya untuk orang dalaman semata-mata.

Sewaktu saya terlibat secara langsung dalam kegiatan apa yang disebut “Jundullah” yang berakhir dengan penahanan saya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Penglibatan saya memang mendapat restu daripada pimpinan PAS. Sebagai bukti kebanyakan usrah, tamrin, kiamullail ke arah ekstrim, kursus-kursus dan sebagainya telah dihadiri oleh kebanyakan pemimpin besar PAS.

Dan apabila sesetengah pihak daripada kalangan PAS mempertikaikan kegiatan tersebut maka berkatalah kepimpinan PAS. “Apa salahnya mereka itu orang-orang yang berani”. Kalau yang penakut diam-diam sajalah.

Saya telah beberapa kali menghadiri majlis ijtimak PAS. Segala keputusan dan resolusi hasil daripada ijtimak tersebut telah memberi keyakinan kepada ahli-ahli ijtimak PAS bahawa UMNO adalah kafir, sesiapa yang menentang UMNO ia tetap mendapat balasan syurga, nyawa dan harta UMNO adalah halal di sisi Islam.

Sebab itu saya dan juga pemimpin-pemimpin PAS yang lain diarah menikah pasangan yang telah dinikahi oleh Imam UMNO, dan sekiranya wali si perempuan itu terdiri daripada penyokong UMNO maka kami terpaksa mencari pemimpin PAS yang lebih tinggi untuk menjadi “Wali Hakim”.

Setiap pemimpin besar PAS mempunyai pengawal peribadinya sendiri. Pengawal peribadi ini diasuh dan diberi kursus untuk mempertahankan pemimpin PAS walau pun terpaksa mati. Seandainya mati kerana mempertahankan pemimpin PAS maka pengawal itu dianggap mati syahid, mereka diberi hujah ayat-ayat al-Quran dan hadith Nabi bagi memberi keyakinan kepada pengawal bahawa arahan tersebut adalah arahan Islam (dibawah tulisan ini nanti ada saya senaraikan ayat-ayat yang menjadi rujukan mereka).

PAS telah membentuk pengawal keselamatannya sendiri, mereka diberi latihan yang sesuai. Sebelum sesuatu majlis yang mungkin dihadiri oleh orang ramai maka pemimpin PAS akan memberi arahan agar pengawal-pengawal keselamatan PAS bersedia menghadapi segala kemungkinan hatta terpaksa bertumpah darah sekalipun.

Sebelum pengawal keselamatan PAS memulakan tugas, mereka telah didedahkan dengan ayat-ayat al-Quran dan Hadith Nabi s.a.w. yang memberi perangsang kepada pengawal untuk berlawan, mereka membaca ayat-ayat mengenai orang-orang mukmin pada zaman Nabi yang melawan para kafir dahulu, guna memberi semangat jihad kepada pengawal PAS agar jangan takut menghadapi UMNO bahkan melawan polis dan tentera sekalipun.

Sebab itu kita dapati di segenap pelusuk kawasan ceramah PAS dipenuhi oleh pengawal keselamatan PAS. Antara pasukan pengawal PAS ini ada yang telah terbunuh di medan “Memali” dan masih ramai lagi yang masih hidup sedang bersiap sedia untuk mati syahid bagi melawan UMNO.

PAS mempunyai pasukan penggempur semangat dan pengganggu ceramah UMNO. Tugas penggempur ialah menghadiri mana-mana majlis ceramah PAS yang dianggap strategi walau pun terpaksa meninggal kerja harian, ada pun tugas pengganggu pula ialah melakukan apa sahaja asalkan ceramah atau kerja-kerja UMNO tidak sampai kepada matlamat.

Sebagai contoh kita dapati malam forum “Hukum Hudud”anjuran PAS di Balai Islam Kelantan yang dihadiri oleh Prof Dr. Mahmood Zuhdi, beliau telah diganggu-gugat sehingga tidak dapat meneruskan ucapannya. Hal ini terjadi disebabkan ada kata-kata Prof Dr. Mahmood Zuhdi tidak sesuai dengan pemikiran orang-orang PAS, sedangkan kita dapati ucapan beliau benar-benar menepati kehendak Islam.

Pemimpin PAS memberi kesedaran kepada penyokong-penyokongnya agar mendahului kegiatan parti PAS daripada kegiatan harian sendiri, termasuk untuk anak isteri masing-masing. Sebab itu kita dapati bahawa penyokong PAS boleh hadir ke majlis ceramah ditempat-tempat yang jauh walaupun terpaksa membayar tambang dan menyewa kenderaan.

Kadang-kadang kita dapati di antara para penyokong PAS yang hadir itu ialah mereka yang kurang berada sehingga hendak memberi belanja anak sekolah masing-masing pun tak cukup, tetapi mereka rela berkorban kepada parti PAS daripada keluarga sendiri.

Bagi diri saya sendiri pula pernah empat kali saya telah meninggalkan isteri saya yang sedang sakit untuk bersalin, saya sanggup hadir berceramah atau bermuktamar Pas semasa gawat tersebut. Yang lebih menyayatkan lagi pernah saya meninggal anak saya yang sedang nazat kerana berceramah Pas, yang berkesudahan anak saya itu telah meninggal dunia pada malam itu juga.

Orang PAS menganggap orang-orang UMNO adalah lebih kotor daripada orang bukan Islam yang asli, sebab itu pemimpinnya mengarah agar jangan bermuamalat seperti berjual-beli dengan orang-orang UMNO, bahkan orang-orang PAS lebih suka membeli-belah di kedai orang bukan Islam jikalau tidak ada kedai orang-orang kita (PAS).

Segala arahan PAS disertai dengan hujah syara’ yang didapati melalui al-Quran tentang orang-orang kafir pada zaman Nabi s.a.w. dulu.

Semua ayat al-Quran dan al-Hadis yang memberi gambaran sifat-sifat kafir, syirik, murtad, zalim dan fasiq semuanya menjadi sasaran untuk puak-puak UMNO. Manakala ayat-ayat yang memberi gambaran orang baik-baik seperti para Anbia’, para Aulia’, para Solihin, para Mujtahidin, Siddiqin, dan Muhsinin adalah kepunyaan orang-orang PAS.

Saya pernah menerima arahan daripada kepimpinan PAS Terengganu supaya memberitahu penyokong-penyokong PAS jangan memberi zakat fitrah kepada ‘amil yang dilantik oleh kerajaan Barisan Nasional, penyokong-penyokong PAS wajib memberi zakat fitrah kepada ‘amil yang dilantik oleh parti PAS di daerah masing-masing.

Zakat yang dikeluarkan kepada ‘amil kerajaan Barisan Nasional adalah tidak sah. Arahan ini telah saya laksanakan sepenuhnya di dalam daerah Besut Terengganu. Nama saya dan juga pemimpin PAS yang lain ada tercatat dalam laporan kertas putih kerajaan Malaysia pada ketika itu.

Apa yang mendukacitakan setelah kutipan zakat fitrah yang berpuluh-puluh ribu itu dipungut daripada penyokong PAS maka wang itu dipergunakan untuk kepentingan pemimpin PAS bahkan ada pemimpin PAS yang memiliki kereta mewah pada ketika itu (1970), pada hal mereka tidak mempunyai pendapatan tetap dan kurang berada pula. Perkara yang seperti ini pernah ditimbulkan dalam Mesyuarat Agung Parti PAS Besut oleh ahli-ahli yang hadir, tetapi telah ditutup rapat oleh pemimpin PAS Besut. Kenyataan ini boleh dirujuk pada bila-bila masa jua, kerana kebanyakan ahlinya ada yang masih hidup lagi.

Demikianlah antara lain kegiatan parti PAS yang dianggap berbahaya, yang perlu dibendung segera agar ia tidak menular kepada anggota masyarakat seluruhnya. Musibah yang seperti ini jikalau tidak ditangani dengan bijaksana ia akan menjadi lebih buruk dan lebih besar lagi, di kala itu alangkah sukar untuk membendungnya. Apa yang membimbangkan mungkin pada suatu masa nanti nyawa manusia yang tak berdosa akan terkorban hasil daripada fatwa karut pemimpin PAS.

Parti Islam antara Realiti dan Fantasi Pt 4

PAS semakin menyimpang

Sesiapa yang terus mengikuti perkembangan politik PAS pasti akur bahawa makin hari semakin ketara pendekatan PAS menyimpang dari landasan Islam dan mungkir janji.

Kalau sebelum berkuasa memerintah negeri, al-Quran dan al-Hadith disalahgunakan maksud dan pemakaiannya; cerita yang baik-baik semuanya untuk PAS dan cerita yang buruk daripada al-Quran serta al-Hadith ditjukan kepada UMNO.

PAS menuduh UMNO tidak mahukan Islam atau menentang Islam; sebab itulah maksiat menjadi-jadi dan segala rancangan Islam PAS kononnya ditolak atau ditentang oleh UMNO.

Apabila PAS memerintah Kelantan baharulah segalanya menjadi kenyataan. Perlembagaan negeri yang selama ini dituduh tidak Islamik, sebaliknya terus disokong dan dibuat ikrar dalam dewan negeri Kelantan untuk mempertahnkannya selama-lamanya serta dipakai oleh PAS tanpa membuatnya apa-apa perubahan. Kenaikan gaji ahli-ahli yang berhormat juga turut dicadang dan dinaikkan. Kereta-kereta yang lebih mewah dibelikan.

Maksiat di bawah pemerintahan PAS masih seperti biasa. Panggung wayang gambar sebagai pusat hiburan dan punca maksiat masih berterusan. Arak masih diberi lesen oleh kerajaan negeri untuk dijual. Perkara kecil-kecilan berupa kewajipan peribadi diperbesrkan bagi menutup kelemahan pemerintahan yang tidak mampu dibuat perubahan.

Banyak salahguna kuasa berlaku sejak pemerintahan PAS di Kelantan, terutama untuk memecat orang walaupun kawan apabila tidak sefahaman. Dari mula PAS berkuasa di Kelantan (1990) pemecatan penghulu, pekerja majlis daerah, mubaligh dan imam telah dilakukan. Setelah bercerai dengan Parti Semangat 46, PAS memecat pula anggota Parti Semangat 46 dalam pelbagai institusi yang dipegang. Dengan itu ternyata bahawa PAS bukanlah parti hendak melaksanakan syariat Islam, tetapi menggunakan kuasa untuk melepaskan dendam.

Janji PAS untuk melaksanakan Islam apabila memerintah sudah jelas bohong. Lebih buruk lagi janji PAS hendak memperjuangkan keadilan dapat dinafikan; bermula dengan pecah amanah pemimpin iaitu derma dikutip tiada penyata jelas dinyatakan serta perkampungan-perkampungan yang dibina pengikut menjadi mangsa.

Sekarang usaha PAS bukan lagi hendak melaksanakan syariat Islam, malah menumpukan seluruh masa untuk kepentingan parti yang sekali gus boleh membeni kekuatan dan kekayaan peribadi pemimpin PAS. Pembangunan Islam dan rakyat turut terabai kerana kepincangan kesetabilan politik.

Dari segi perpaduan ummah berasaskan UKHUWAH ISLAMIAH sudah jelas PAS melakukan yang bertentangan dengan Islam. Keadaan pengikut saling benci-membenci apabila berhadapan dengan berlainan parti menjadi realiti. Pulau memulau di kampung tidak dapat dibendungkan lagi. Sebagai contoh sembahyang Jumaat berasingan di 39 buah kampung di Terengganu sebagai bukti yang realiti dan lain-lain lagi.

Kalaulah di kalangan sesama Islam; PAS, Parti Semangat 46, Berjasa, Hamim, dengan Sultan dan Setiausaha Kerjaan negeri Kelantan pun sudah tidak mampu disatukan, maka bagaimanakah PAS boleh memimpin parti yang pelbagai bangsa di peringkat negara?

Ketidak sempurnaan pimpinan dan wadah perjuangan parti PAS jelas ternyata kini, apabila satu demi satu krisis dan kepincangan berlaku dalam pentadbiran negeri Kelantan yang kini berada di bawah pemerintahan parti PAS. Padahal PAS belum sampai ke tahap memerintah negara Malaysia.

Daripada senario ini ternyata bahawa perjuangan PAS untuk melaksanakan syariat Islam sudah jauh menyimpang dan apatah lagi dalam meyakinkan kemampuan untuk menyatukan ummah bagi mempertahankan kuasa politik ketara gagal.