Tuesday, June 14, 2011

MARI ‘BERPERANG’ MELALUI UNIT TEMPUR SIBER SISTEMATIK

Mana lebih berkesan, skrin besar, skin elektronik seperti di Menara Dato Onn atau siber sistematik?

Mana yang UMNO lebih berminat belanja - Bayar kepada syarikat penggendali skrin besar dan skrin elektronik atau wujudkan kumpulan unit tempur siber yang sistematik?

Mana lebih berkesan, pasang skrin elektronik di Menara Dato Onn hingga pagi pada ketika jalan di Kuala Lumpur lengang dan mata pemandu yang sudah mengantuk atau ruang siber yang boleh dilayari pada bila-bila masa dan di mana juga?


Saya setuju 100 peratus dengan saranan supaya UMNO mewujudkan unit tempur siber yang lebih bersistematik dan mantap.

UMNO perlu berbelanja untuk tujuan menangani isu-isu yang dibangkitkan pembangkang dalam alam siber.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpendapat unit tempur siber parti ketika ini dilihat tidak memberikan perincian serta penghayatan pada sesuatu isu sehingga gagal menyampaikan maklumat kepada kumpulan sasar.

Malah, katanya, unit berkenaan juga selalu kalah dalam menjawab isu-isu yang dibangkitkan pembangkang dalam media baru itu.

Berpendapat berbanding pembangkang, mereka dikumpulkan dan mengupas isu mengikut tafsiran masing-masing yang kebanyakannya menjurus ke arah membelasah kerajaan.

Soal belasah atau menerang, menjelas dan kempen itu sama penting. Tidak mengapa pembangkang belasah – itu kerja mereka.

Namun unit media siber UMNO atau kerajaan pada ketika-ketika tertentu perlu juga menjelaskan dasar dan langkah kerajaan.

Contohnya dalam isu kenaikan harga barang yang dilabelkan sebagai BN – Barang Naik, bukan Barisan Nasional!

Juga isu subsidi minyak, subsidi untuk nelayan, gaji minimum, isu kenaikan pangkat guru, peluang kerja dan latihan untuk belia serta banyak lagi yang rata-rata ada kena mengena dengan pengundi.

Kumpulan ini adalah pengundi paling ramai dan ‘sangat sensitif’ berbanding korporat, orang kaya dan peniaga yang sesetengahnya tidak pun keluar mengundi, malah mungkin masih ramai yang tidak berdaftar.

Menang benar kata-kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, maklumat yang tepat dan jelas, penting bagi menarik masyarakat khususnya golongan muda dan pengundi atas pagar daripada terjebak dalam dakyah pembangkang.

Ramai anggota UMNO tidak mampu memainkan peranan memberikan penerangan mengenai dasar kerajaan dan berharap ia dilakukan oleh pemimpin mereka.

Tugas ini banyak diambil alih oleh blogger, penggendali laman web serta ‘sukarelawan siber’ yang tidak pun bergaji atau diupah untuk menjelas dan mempertahankan UMNO.

Yang dibayar gaji atau elaun oleh Ibu Pejabat UMNO atau Pejabat UMNO Negeri ramai juga yang kurang mahir dan sering hilang arah dan fokus dalam tugas mereka walaupun sudah berjinak dengan penerangan melalui siber.

Sedangkan seperti kata Ahmad Zahid, kita ada kumpulan lebih besar tetapi mungkin satu unit tempur siber yang bersistematik perlu diwujudkan agar kita bercakap satu suara, satu nada dan terancang dalam ‘berperang’.

Terima kasih Datuk Seri kerana menyuarakan perkara ini dan berharap Ibu Pejabat Barisan Nasional, Ibu Pejabat UMNO serta Pejabat UMNO Negeri mengambil berat peperangan melalui siber ini agar parti lebih bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Jom wujudkan kumpulan ‘perang siber sistematik’ dan sediakan kursus terancang untuk mereka. Sediakan juga bajet, jangan semata-mata bajet untuk skrin elektronik yang khabarnya mencecah RM10 juta di Menara Dato Onn.

Jika masih seronok dengan cara lama, cara skrin besar dan skrin elektronik, mungkin Celaka 13 akan mengajar UMNO!