Saturday, May 28, 2016

PRESIDEN MCA AKAN LETAK JAWATAN – BN SEDANG BERGOLAK GARA-GARA RUU

"Saya cuba untuk menghentikannya. Saya cuba mendapatkan semua parti komponen untuk menghentikannya...jika kita tidak boleh melakukannya, kita perlu berkorban. Saya akan letak jawatan.”

Tidak Serius Ker Ni?

Mahu nafi, nafilah. Tetapi Barisan Nasional (BN) kini memang sedang bergolak.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau akan meletakkan jawatan jika Rang Undang-Undang Persendiraan PAS (RUU) diluluskan.

Sikap MCA ini amat jelas. Mereka tidak berganjak selain konsisten dengan keputusan semalam.

Apakah ini memberi isyarat bahawa RUU berdepan masalah untuk diluluskan dan kegembiraan PAS sehari dua ini akan menjadi duka menjelang beberapa buan akan datang?

Ternyata sokongan Putrajaya kepada Presiden PAS dalam pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian mengenai hudud di Parlimen telah menghangatkan suhu politik negara.

Walaupun hanya empat daripada parti BN yang hadir menentang RUU semalam ekoran ketergesaan dalam memanggil sidang akhbar tersebut, namun, usaha-usaha untuk mengembleng tenaga di kalangan parti-parti lain dalam BN bagi menentang hudud telah berjalan.

"Ini bukan hanya MCA, kami berpakat dengan komponen parti lain untuk menyatakan pendirian (menentang hudud)," katanya.

Bagaimana Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh kata memuji MCA yang dikatakan lebih baik daripada DAP?


Malam semalam dalam sidang media selepas mengumumkan calon pilihan raya kecil Sungai Besar di Markaz PAS Simpang 5, Sungai Besar, Selangor, Hadi menyatakan rasa kecewanya terhadap DAP apabila parti itu bertindak mengkritik rang undang-undang persendirian yang dibentangkannya di Dewan Rakyat, kelmarin (26 Mei 2016).

Sebaliknya, Abdul Hadi yang juga anggota parlimen Marang itu mendakwa MCA dan MIC  - dua parti komponen BN yang didominasi bukan Islam - lebih faham akan undang-undang tersebut.

"Sepatutnya orang bukan Islam tidak campur tangan dalam urusan (rang undang-undang) ini. Saya lihat MIC dan MCA lebih faham dan DAP pula tidak faham, ia sangat mendukacitakan. AMANAH (Parti Amanah Negara) yang ditubuh dengan begitu rupa tidak tahu sempadan orang Islam."Ini bukan permainan politik, ini tanggungjawab agama," kata Hadi.

Kenyataan Liow hari ini nyata sekali menggambarkan bahawa apa yang cuba diperjelaskan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Najib Razak sudah ‘tidak boleh mempengaruhi’ atau ‘dimakan’ oleh MCA.

Semalam Najib pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).meminta supaya parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak salah faham mengenai RUU  berkaitan hudud yang akan dibentangkan di Parlimen, Oktober nanti.


Perdana Menteri berkata, peruntukan yang akan dibentangkan Presiden PAS itu bukan pindaan undang-undang hudud.

"Kita sudah beritahu rakan-rakan dalam Barisan Nasional, ada salah faham besar bila Datuk Seri Hadi Awang bawakan RUU Persendirian itu mereka pandang bahawa dia bawa undang-undang hudud. Label dan kaitan itu terlalu rapat dengan soal hudud, bila dia (Abdul Hadi) bangkit tu kira automatik hudud. Saya nak terangkan bahawa pindaan tersebut tidak merupakan undang-undang hudud," katanya.

Bagaimana dengan tindakan selanjutnya oleh MIC, Gerakan dan SUPP selepas ini?  Kita tunggu pandangan mereka.

Liow menegaskan hari ini, beliau akan letak jawatan daripada Kabinet jika RRU (PAS) diluluskan di Parlimen. (Beliau menyebut RUU PAS)

Malah beliau bertegas: "Saya cuba untuk menghentikannya. Saya cuba mendapatkan semua parti komponen untuk menghentikannya. Saya menggesa kedua-dua belah pihak agar bersama menyekat Rang Undang-Undang ini."

Malah menurutnya, sekiranya gagal menyekat RUU diluluskan, beliau akan berkorban.

“Saya akan letak jawatan. Kamu tahu, tidak ada gunanya saya berada di sini. Saya perlu memastikan perkara ini.  Saya terlintas untuk memberitahu perkara ini pada sidang media semalam (Jumaat), " jelas Liow kepada The Star.

Menteri Pengangkutan itu berharap ia mendapat sokongan daripada kedua-dua parti untuk tidak mengundi RUU seperti yang diusulkan oleh Hadi.

Semalam, Timbalan Pengerusi MCA Kedah, Datuk Dr Leong Yong Kong meletak jawatan daripada parti itu sebagai bantahan susulan usul persendirian Rang Undang-Undang (RUU) mengenai hudud dibentangkan di Parlimen.

"Saya mengumumkan bahawa saya keluar daripada MCA sehingga isu ini berubah haluan," kata Dr Leong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun pada sidang akhbar di Sungai Petani semalam.

Beliau menyerahkan kepada Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah untuk membuat keputusan mengenai kedudukan sebagai exco.

Mengenai kedudukan MCA dalam Barisan jika RUU dibahas dan diluluskan, Liow yakin pihak parti akan kekal dengan apa yang ditetapkan.

"Saya belum berbincang lagi mengenainya (MCA dalam Barisan). Kita perlu berbincang berdasarkan semangat Barisan dan menggunakannya untuk menyekat RUU ini.

Bagi Liow, apa pun beliau berharap MCA perlu terus (dalam Barisan). Tetapi beliau bersedia untuk meninggalkan Kabinet.


“Saya tidak bimbang dengan apa yang saya katakan ini," kata Liow. 

BN JAHAT, UMNO RASUAH, BERI LALUAN PAS GANTI UMNO...


UMNO berusaha memperlihatkan ia baik dan boleh bekerjasama dengan sesiapa, apalagi PAS yang asasnya Melayu dan Islam.

Sama ada demi kepentingan survival politik atau kepentingan pemimpin tertinggi individu tertentu, UMNO berusaha bebaik-baik dengan PAS dalam segenap cara.

Kepimpinan PAS digalakkan menyertai program UMNO dan Barisan Nasional (BN), malah kini duduk semeja seolah-olah ada persefahaman baik di kalangan pemimpin tertinggi.

Puji memuji antara pemimpin dibuat di khalayak untuk membuktikan Melayu-Islam UMNO dan Islam-Melayu PAS kini benar-benar ‘rapat’.

Malah Presiden PAS kini menganggap ia parti yang menyumbang sebagai penasihat BN/UMNO dalam konteks pentadbiran. PAS kini bebas menegur BN/UMNO dari pelbagai segi dasar dan pelaksaan atas kapasiti sebagai ‘tuan dan rakan penasihat’.

Di Terengganu, PAS menjadi ‘rakan pentadbiran’ kerajaan negeri dan dialu-alukan nasihat mereka oleh Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Di Kelantan, pemimpin UMNO menitiskan air mata menyokong Hudud pada persidangan Dewan Undangan Negeri.

Terbaru, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berterima kasih kepada kerajaan (BN) kerana membenarkan beliau membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Namun di sebalik semua itu, PAS bukan sahaja menolak pakatan pembangkang tetapi sebenarnya menentang UMNO habis-habisan.

Bagi PAS, “Orang Melayu memang sedar BN ini jahat. UMNO rasuah. Jahanamkan negara.”

Pemimpin UMNO juga dikata sebagai “...yang melakukan kesalahan, rasuah, seleweng, salahguna kuasa dan boros.”

PAS melihat bahawa: “Bagi sebahagian orang Melayu, nilai dan harga keselamatan agama dan bangsa lebih besar dan penting dari RM42 Billion wang 1MDB atau derma RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Datuk Seri Mohd Najib Razak."

Apakah pemimpin UMNO, khususnya Presiden UMNO serta Timbalannya atau sesiapa juga sedar atau buat-buat tidak penting mengenai perkara ini?

Atau deperado sangatkah sokongan daripada PAS sehingga kadang kala menyebabkan rakan komponen BN lain terguris hati?

Apakah penyokong PAS akan mengundi UMNO berbanding bukan-Melayu pada pilihan raya sama ada pilihan raya kecil atau pilihan raya umum?

Baca di sini, apa kata PAS:


HJ AHMAD AMZAD HASHIM
Pengarah Jabatan Penerangan Pas Pusat
Ditulis pada: Thu, May 26th, 2016

Tiada orang Islam yg benar benar beriman dan tahu realiti yang berlaku akan mempertahankan mereka yang melakukan kesalahan, rasuah, seleweng, salahguna kuasa dan boros.

Kerana sikap begitu akan menyebabkan orang bukan Islam memandang serong kepada agama Islam.

Seolah olah dikeranakan sikap orang Islam yang masih mahu mempertahankan BN yang korupsi, maka Islam dianggap mengajar tidak apa apa kalau rasuah. Zalim, boros dan menyeleweng itu bukan kesalahan.

Dilema sebenar adanya pada orang orang Melayu yang membentuk populasi terbesar umat Islam yang menjadi majoriti penduduk negara ini. Kemiskinan, ketinggalan serba serbi ekonomi, ekuiti, nisbah golongan profesional, saintis. Satu satu perkara yang orang melayu masih boleh merasa lega adalah kerana tunjang yang menjadi teras kuasa dalam negara masih lagi dikawal orang Islam.

Kita masih ada Kepercayaan kepada Tuhan dan Raja Berpelembagaan sebagai 2 Rukun tertinggi dalam RUKUN NEGARA. Kita ada Yang Di Pertuan Agong dan Sultan sultan sebagai ketua negara dan ketua negeri negeri. Kita masih ada struktur politik yang mengawal halatuju negara dipimpin oleh mereka yang masih dilihat melayu dan Islam.

Ini dilihat jaminan penting kepada orang orang Islam. Yang terlalu berharga untuk dicuba cuba bereksperimen dengan menggantikan dengan struktur baru yang berbeza dengan membawa idealisma keterbukaan, liberal, pluralisme dan sekularisme.

Orang melayu memang sedar BN ini jahat. UMNO rasuah. Jahanamkan negara.

Mereka mahu tolak UMNO. Tapi berikanlah mereka pilihan yang tidak merisikokan agama dan bangsa.
PAS selaku parti yang telah lama dalam sepak terajang politik melayu arif sangat sentimen dikalangan orang melayu ini.

Kerana itu Presiden PAS tegaskan berkali kali, mesti faham negara ini masyarakatnya bersifat majmuk, berbilang kaum. Tak cukup semata mata faham istilah majmuk. Kena faham majmuknya sifat bagaimana?

Kerana itu PAS menolak berada dlm pakatan yang memberi mesej dan persepsi berada dibawah kawalan DAP. DAP pula parti yang telah tertanam persepsi dikalangan orang melayu sebagai rasis, chauvinist, dan melampau batas dalam memasuki sempadan urusan orang Islam dan melayu.

Gelombang pengundi melayu tidak akan terbentuk melainkan ada semacam jaminan bahawa kepimpinan politik baru yang mahu menggantikan BN UMNO, boleh diharap, berprinsip dalam soal agama dan bangsa.

Ini rintangan yang perlu kita kenalpasti dan terjemahkan dalam kerangka tindakan.

Pakatan Harapan dengan strukturnya sekarang hanya menempah kegagalan.

Melainkan dengan PAS sama sama diberi sokongan bulat sebagai lawan setara yang perlu dibantu serba serbi untuk tewaskan UMNO.

Menggagalkan usaha PAS menentang UMNO adalah sebenarnya sabotaj yang besar dalam menjayakan agenda menumbangkan BN yang sudah terlalu rosak.

Bagi sebahagian orang melayu, nilai dan harga keselamatan agama dan bangsa lebih besar dan penting dari RM42 Billion wang 1MDB atau derma RM2.6 Billion yang masuk ke akaun peribadi DS Najib.

Nak tewaskan UMNO kita kena bersatu pada strategi yang betul. Pedulikan mereka yang mahu membantu UMNO dengan memecahkan undi.