Friday, February 11, 2011

“KIPAS LE HAMBALI… KIPAS SI AWANG SELAMAT… BIAR TERSENGIH MAT SAID TU…”

Keratan rencana teganuku mengenai laporan Menteri Besar Terengganu akan bertindak keras terhadap pencuri bijih.

Saya terkejut juga apabila nama saya disebut dengan jelas dalam sebuah blog pemimpin tinggi Terengganu, Rabu lalu (9 Feb 2011) yang membicarakan mengenai langkah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mahu membanteras kegiatan curi bijih di Dungun.

Pada akhir entri bertajuk "Bila MB Mat Said Ganti Ar Tompel' pemimpin berkenaan menyebut: "Kipas le Hambali… Kipas si Awang Selamat.. biar tersengih Mat Said tu…

Pemimpin PAS Terengganu yang juga pemimpin PAS di Dungun itu bagaikah resah dan mempersoalkan tindakan kerajaan negeri mengenai isu berkenaan.

Apakah hanya kerana PAS pembangkang, usaha kerajaan negeri pimpinan Ahmad bersusaha mencegah perbuatan mencuri harta rakyat pun mahu dipersoalkan?

Malah, beliau menganggapnya sebagai berita lawak!

Apakah ia suatu berita lawak apabila kerajaan negeri menyatakan mahu mendakwa pencuri bijih di Bukit Besi dan ia direstui juga oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Rabu lalu?

Pemimpin PAS Terengganu ini mempersoalkan tindakan Menteri Besar berdasarkan laporan teganuku apabila beliau memetik: “Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berang dan berjanji untuk mengheret mereka yang mencuri bijih besi sekitar kawasan lombong di Bukit Besi. Menghairankan, walaupun ada kejadian tetapi seolah-olah tiada laporan mengenai kejadian itu. Apakah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) tidak pernah membuat laporan atau pihak polis tidak dapat bertindak kerana sebab-sebab tertentu?Difahamkan beliau bukan sahaja berang dengan kejadian tetapi pegawai dan mereka yang diberikan amanah menjaga kawasan itu kerana kegiatan perlombongan besar-besaran akan dilakukan tidak lama lagi.

Ini bukan kali pertama kejadian malah sebelum ini pun Menteri Besar sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu. Sebelum ini ada pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Daerah Dungun yang dipanggil ke Wisma Darul Iman untuk memberikan maklumat mengenai kejadian. Berikutan itu, beliau mengarahkan PTG supaya membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut secepat mungkin supaya mereka yang terlibat didakwa dengan segera.

Selain itu beliau berikrar membawa ke muka pengadilan mereka yang terlibat dengan kegiatan mencuri bijih di Lombong Bukit Besi Dungun.“Saya juga akan panggil Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasat kejadian ini (kecurian biji besi) katanya. "Selama ini bila berlaku penyelewengan orang ramai menyalahkan orang politik, tetapi dalam kes ini ia melibatkan pegawai (kakitangan kerajaan) yang yang tidak bertanggungjawab," ujar beliau.

Beliau berkata kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang terlibat dalam jenayah tersebut kerana ia melibatkan harta awam. Ahmad Said menegaskan integriti perlu wujud bukan sahaja di kalangan orang politik tetapi juga meliputi pegawai takbir dan penjawat awam.

Ketika melawat kawasan lombong berkenaan semalam, tiada kelihatan ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam bersama Menteri Besar dan begitu juga pada penyampaian e-Book kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besi.”

Saiful Bahri dok kipas Tok Guru Nik Aziz ke?

Menurut Saiful Bahri, “ini satu lagi berita lawak. Betapa hebat si ketam nak ajar anak berjalan betul. Siasatan belum bermula, awal-awal lagi pegawai sudah dipersalahkan. Isu rasuah dan salah-guna kuasa Datuk Ahmad Said masih belum dibicarakan. Rakyat masih ingat sebelum beliau mengangkat sumpah jawatan MB, bagaimana BPR ketika itu sibuk dengan fail salah-laku Mat Said.”

Tambah pemimpin PAS itu: “Hari ini beliaulah yang paling berintegriti kononnya… pirahhh!!! Nak jaga harta awam konon!!! Kalau melibatkan orang lain tak cukup tanah cari. Ke lubang cacing korek. Tapi kalau pimpinan UMNO… Tunggulah Rimau Mat Said bertanduk dulu…

Saiful Bahari, selain mempersoalkan kredibiliti Ahmad Said turut mengemukakan tiga perkara iaitu:

1. Siapa pemilik 3 syarikat yang dapat mengusahakan bijih-besi di Bukit Besi tu? Menurutnya, YB Bukit Besi sendiri pun tak tahu dan rakyat Dungun dan khususnya rakyat Bukit Besi juga ingin tahu.

2. Munasabah dah YB Din Adam boikot program MB. Calon memang konpem tak dapat dah. Team Deris katakan. Mat Said pergi berleter kat orang kampong Bukit Besi tu nak bagitau YB diorang tak buat kerja le tu… Adun pemalas. Lari dok Gong Badak bersemayam disinggah-sana mewah. Nak kipas le calon baru tu. Ketua Pemuda Bahagian kot. Ejas-ejas le kot tu…

3. Begitulah lakonan lawak pimpinan UMNO. Sama macam AR Tompel. Nak ambil tindakan undang-undanglah… nak report SPRM lah… nak bagitau betapa jujur & amanah le tu kononnya. Sedangkan rakyat semua sudah tahu. UMNO ni merupakan Parti MLM. Siapa diatas dialah dapat boucher serta bonus dan dividen besar. Rakyat yang dok galas dacing dan telan UMNO kat kampong tu.. dapat le asaaappp…

Nampak sangat sikap Saiful Bahri ini seperti ada dendam dan kebencian amat sangat kepada kerajaan pimpinan Ahmad Said apabila mempersoalkan tindakan untuk membawa mereka ke muka pengadilan.

Beliau seolah-olah tidak setuju dan tidak percaya Ahmad Said bersungguh-sungguh, sedangkan satu mesyuarat tertinggi diadakan pada pagi Selasa lalu apabila pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan polis turut dipanggil.

Ahmad Said sudah tidak boleh sabar sebab sudah banyak kali memberitahu pegawai di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Dungun bahawa isu kecurian bijih ini perlu diatasi segera kerana ia harta rakyat. Apakah menjaga harta rakyat bukan kewajipan dan dituntut oleh Islam?

Dengan membangkitkan isu Ahmad Said disiasat SPRM ketika mahu diangkat menjadi Menteri Besar, ini jawapannya:

1. Kalau ada kes, pastinya Ahmad Said dihadapkan ke mahkamah dan didakwa dan tidak jadilah beliau sebagai Menteri Besar;

2. Kalau ada kes kuat, pastinya pemimpin Putrajaya, termasuk Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO mengheretnya ke mahkamah; dan

3. Apakah istana yang melantik beliau itu ‘buta dan tuli’ itu sengaja memejamkan mata mahukan Ahmad Said membuta tuli? Apakah Saiful Bahri mencabar keputusan Sultan Mizan Zainal Abidin melantik Ahmad Said dengan mengatakan Tuanku tidak mengendahkan moral dan ‘keburukan’ Ahmad Said apabila merestui dan bersetuju melantiknya sebagai Menteri Besar?

Tanggapan Saiful Bahri terhadap Ahmad Said rasanya dibuat berdasarkan pertimbangan tidak adil apabila mengaitkan kenyataan Ahmad Said yang membawa pencuri pasir dan mereka yang bersekongkol dengannya ke muka pengadilan. Apakah tindakan Ahmad Said ini salah?

Atau apakah Saiful Bahri tahu siapa mereka dan cuba membela mereka?

Mengenai sama ada Datuk Din Adam tahu mengenai tiga syarikat yang melombong sekarang ini, saya tidak pasti. Itu antara Din dan Menteri Besar.

Tetapi apa yang berlaku pada hari Ahmad Said melawat lombong bijih itu dan penyampaian e-Book, Din memang tidak ada. Pada majlis yang sama tahun lalu, Din juga tidak ada.

Dan ironinya, ketika Ahmad Said melawat lombong pada Januari dan Ogos 2010, Din Adam selaku wakil rakyat Bukit Besi juga tidak ada.

Walaupun tidak ada, apakah Saiful Bahri mahu teganuku melaporkan Din hadir?

Perkara ini ditimbulkan kerana ketika penyampaian di beberapa kawasan lain yang ADUNnya sebelum ini dikatakan ‘tidak sebulu’ dengan Ahmad Said hadir. Ia termasuk di Ajil, Alor Limbat dan Paka.

Kenapa pula di Bukit Besi ADUNnya tidak ada. ‘Ustaz’ Saiful Bahri boleh tolong jawab bagi pihak Din?

MUST TERUMBANG AMBING, GERAN RM100 JUTA HANGUS?

Saya tertarik dengan laporan Malaysiakini bertajuk ‘Universiti swasta 'hilang' RM100j geran kerajaan’ dengan merujuk kepada Malaysian University of Science and Technologi (MUST).

Ia sepatutnya menjadi sebuah universiti terkemuka apabila bekerjasama dengan Massachusetts Institute of Technologi (MIT).

Mudahnya mereka mendapat geran dan mudah pula buat tidak tahu. Tidak ada laporan pun kerajaan bertindak walaupun dikatakan geran itu 'hilang'.

Saya mengetahui nama MUST apabila menyertai pasukan pekerja yang merancang dan melancarkan stesen televisyen ntv7 pada 1998 yang kini sudah dijual kepada Media Prima.

Ketika itu universiti berkenaan pada peringkat penubuhannya dan ia menjadi kenyataan pada 2001.

Universiti itu terletak di lot pejabat di Kelana Square, kerana rancangan awal untuk sebuah kampus melalui MUST Ehsan Development, ditangguhkan.

MUST Ehsan Development – ialah anak syarikat tersenarai Kumpulan Encorp yang dibiayai oleh Effendi yang sepatutnya membangunkan kawasan di sekitar tapak untuk kampus universiti tersebut di Shah Alam. Ini kerana pendapatan daripadanya perlu digunakan untuk membiayai pembinaan kampus dan aktiviti lain universiti tersebut.

MUST Ehsan Development mempunyai portfolio projek bernilai RM800 juta, termasuk projek pembangunan campuran yang digelar 'the Strand' di Kota Damansara. Namun, ia tidak ada apa-apa kaitan dengan Yayasan atau MUST.

Orang yang menggerakkan MUST ialah bekas menteri kabinet, Datuk Seri Effendi Norwawi, yang juga bekas pemilik ntv7, bekas taukeh tempat saya bekerja selama sembilan bulan tetapi saya tidak disambung kontrak di ntv7.

Walapun dalam pasukan menggerakkan ntv7 hingga ke peringkat pelancarannya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (ketika itu Datuk Seri) saya ‘tidak layak bekerja di stesen itu’ selepas berjaya dilancarkan pada 7 Julai 1998. Itu pandangan Effendi dan CEO ketika itu Shazaly Ramli.

Saya yang menulis draf ucapan alu-aluan dan menjalankan rakaman Tun Dr Mahathir, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Patinggi Haji Abdul Taib Mahmud (Ketua Menteri Sarawak), Datuk Yong Teck Lee (Ketua Menteri Sabah ketika itu) serta juga Menteri Penerangan ketika itu, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat.

Malah, bukan saya sahaja tidak layak. Pak Mat Merican (Datuk Ahmad Merican) yang diangkat sendiri oleh Effendi menjadi penasihat sejak awal juga tidak layak seperti nasib pengurus tinggi lain (termasuk Malini Ismail), kerana hanya ada beberapa orang sahaja yang layak ketika itu dan pastinya yang paling layak - Shazaly.

Mengejutkan juga apabila mendengar MUST mendapat geran RM100 juta. Bagaimana kerajaan boleh percaya ia boleh berkembang dan mampu menjadi universiti terkemuka?

Menurut Malaysiakini, MUST menerima geran secara ansuran antara Januari 2001 dan 2006, menerusi MUST Ehsan Foundasan. Effendi telah menjadi pemegang amanah yayasan tersebut sejak tahun 2001.

Tetapi selepas 10 tahun berlalu, universiti tersebut masih jauh untuk mencapai sasaran tahun 2007 - untuk mendaftar 500 pelajar – tetapi hanya mampu memperolehi 207 pelajar.

Apakah semuanya ini?

Siapakah yang bertanggungjawab terhadap kegagalan ini? Apakah Effendi yang wajar dipersalahkan kerana dia adalah pemegang amanah yayasan?

Jika menurut Malaysiakini, MUST sebagai sebuah universiti swasta 'utama', ia kini tidak dapat memenuhi sasaran pendaftaran pelajar dan lebih memburukkan, hampir tidak cukup wang untuk bertahan setahun lagi.

Apakah jenis pengurusan yang dilaksanakan oleh MUST, khususnya pemegang amanahnya?

Kenapa kerajaan boleh berdiam diri sedangkan RM100 juta itu besar dan sudah satu dekad MUST tiada haluan?

Ketua pegawai eksekutifnya, Leong Choon Heng, mengakui bahawa universiti itu kini tinggal "kurang dari RM10 juta" dan terpaksa mengambil langkah pemotongan kos yang agresif untuk terus bertahan.

Lebih malang, sebahagian besar daripada pelajar tersebut merupakan mereka yang didaftarkan untuk meningkatkan jumlah pendaftaran selepas universiti itu hanya mendaftar 10 pelajar pada 2007.

Ke arah manakah MUST dan wajarkah geran RM100 juta itu dilupakan begitu sahaja?