Thursday, July 7, 2016

SERANGAN IS – TETAP ADA PERASAAN ‘CURIGA DAN BIMBANG’ DI SANUBARI RAKYAT...


"Pakar-pakar mengenai anti-keganasan memberi amaran, ekstremisme di Bangladesh yang dilihat meningkat dengan cepat, dijangka memberi limpahan kesan di Asia Tenggara..sementara kejadian di Puchong, adalah permulaan dan tanda amaran untuk serangan berikutnya di rantau ini."

Rakyat tidak kisah cara atau taktik polis mengesan dan menyiasat mengenai kewujudan dan aktiviti kumpulan pengganas tentera Islam (IS) di negara ini.

Tetapi rakyat mahu tahu apakah polis bersiap sedia menangani bahaya kemungkinan serangan daripada IS. Apalagi, dengan berlakunya serangan bersiri IS yang serius dan semakin hari semakin hampir dengan Malaysia.

Serangan bom di Bangladesh dan Jawa Tengah, Indonesia beberapa hari lalu memberi isyarat pelbagai kemungkinan.

Rakyat inginkan perlindungan yang selamat dan bebas daripada kebimbangan bahawa Malaysia akan turut menjadi sasaran keganasan IS.

Apabila memperkata sebegini, ia bukan untuk ‘menglamourkan’ pengganas atau menyanjung keupayaan mereka.

Rakyat Malaysia seluruhnya tetap mempercayai dan yakin keupayaan kecekapan pihak berkuasa kita khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun suatu kenyataan atau pendirian pasti perlu diumumkan.

Kebimbangan rakyat ialah apakah kejadian yang berlaku di ibu negara Bangladesh, Dhaka, Jumaat lalu  oleh kumpulan militan IS yang mengorbankan 22 orang termasuk 18 warga asing terbunuh,  akan turut terpercik ke negara ini?

Lebih membimbangkan ialah dua daripada mereka yang terlibat dalam serangan di kafe di Dhaka itu dikatakan pernah belajar di Malaysia. Nibras Islam dan Rohan Imtiaz pernah belajar di Universiti Monash di Malaysia. Kedua-dua mereka datang daripada keluarga kelas pertengahan.

Pakar-pakar keganasan memberi amaran, ekstremisme di Bangladesh yang dilihat meningkat dengan cepat, dijangka akan memberi limpahan kesan di seluruh rantau ini.


Bangladesh sedang menjadi sasaran IS dan Al-Qaeda kerana ia adalah sebuah negara strategik dengan 160 juta Islam Sunni, populasi penduduk muda yang besar, selain perbalahan politik di kalangan golongan elit.

Pada Mac lalu , kerajaan Singapura menahan  lapan lelaki Bangladesh yang dituduh merancang serangan keganasan apabila mereka kembali ke negara asal. Ini diikuti dengan penangkapan dan pengusiran 27 pekerja binaan warga Bangladesh yang dikatakan menyokong Al-Qaeda dan Negara Islam.

Dan kita jangan lupa, ada seramai 5.8 juta pekerja asing -  di mana 2.135 juta secara sah dan 3.7 juta tanpa izin. Kebanyakannya dari Indonesia, Bangladesh, Filipina, India dan beberapa negara lain.

Bayangkan jika kerajaan bersetuju membawa masuk 1.5 juta lagi pekerja Bangladesh secara sah. Bolehkah kita beri jaminan, tiada antara mereka yang terbabit dengan pengaruh IS?

Selepas kejadian di Bangladesh itu, masyarakat Malaysia dikejutkan apabila pada  Isnin, 4 Julai 2016 lalu, untuk kali pertamanya, polis mengesahkan kejadian pengeboman dekat sebuah premis hiburan di IOI Boulevard,  minggu lalu adalah akibat serangan IS.

Pada serangan itu, sekurang-kurangnya lapan cedera, seorang daripadanya parah, dalam insiden letupan dipercayai berpunca daripada bom tangan

Ia adalah serangan yang kali pertama oleh IS dilakukan di Malaysia dan  diakui oleh PDRM dan pastinya yang mendapat liputan dan ulasan oleh media asing, termasuk tv luar negara.


Mengejutkan juga kerana sebelum itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilihat tidak konsisten dalam memperkatakan mengenai kemungkinan serangan pengganas IS di Malaysia.

Sebelum 4 Julai (2016), Khalid hanya menyebut, walaupun polis tidak meningkatkan tahap ancaman negara, pihaknya akan sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga untuk sebarang serangan yang mungkin berlaku.

Mungkin pendirian itu dibuat berasaskan maklumat Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, yang  mengatakan Khatibah Nusantara (cawangan IS di Asia Tenggara) yang mengecualikan Malaysia daripada yang lain sebagai negara dilabel “Taghut” (pendosa/tidak patuh pervintah Allah) yang perlu diperangi, ia tetap membimbangkan Malaysia.

Sehingga 4 Julai itu, Khalid tetap enggan mengulas apabila disoal mengenai kenyataannya yang dikatakan ‘cucuk sarang IS”.

Tiga hari sebelum itu, iaitu pada 1 Julai lalu, Khalid mengatakan pihaknya mempunyai pandangan berbeza dalam menangani kumpulan pengganas IS.

Hakikatnya masyarakat Malaysia amat terkejut dengan kenyataan Khalid apabila sepuluh hari sebelum itu, iaitu pada 24 Jun (2016) lalu mencabar IS dengan mengatakan: “Kalau nak buat ugutan dari jauh beranilah. Balik la,” apabila merujuk kenyataan anggota IS dari Malaysia yang dimaksudkan oleh Khalid sekadar berani membuat ugutan dari jauh, tetapi tidak berani pulang ke tanah air.

Empat hari kemudian selepas kenyataan Khalid, sebutir bom tangan dilemparkan ke sebuah kelab malam di Puchong, serangan yang menurut polis berkaitan dengan IS.
  
Menurut laporan media, Khalid mencabar pejuang IS itu kembali ke Malaysia, sebagai mengulas satu rakaman video menunjukkan pejuang IS Malaysia di Syria yang mengancam akan melancarkan serangan ke atas rakyat negara ini, termasuk ‘memenggal leher’ anggota polis di Bukit Aman tidak lama lagi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antipengganas Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata lelaki itu telah dikenal pasti sebagai Mohd Rafi Udin dari Negeri Sembilan. Dalam video itu, Rafi menggesa penyokong IS untuk menggunakan apa cara sekalipun untuk membunuh orang-orang kafir.

"Bunuhlah mereka di mana sahaja kalian ketemu mereka... Kalian punyai kenderaan langgarlah mereka...Kalian punyai senjata atau pisau kecil, tikamlah dada-dada mereka," kata Mohd Rafi.

Ayob Khan turut menyebut bahawa IS mungkin melancarkan serangan dalam tempoh enam bulan ini, sementara Khalid tidak menafikan kemungkinan itu.

Mungkin kerana itu,   polis tidak meningkatkan tahap ancaman itu, yang telah diturunkan dari 'tinggi' selepas ketegangan serangan Jakarta, Januari lalu susut.

Susulan video Mohd Rafi dan jawapan Khalid yang  ‘berbelit-belit’ dalam tempoh beberapa hari minggu lalu termasuk beberapa kali menafikan wujudnya bahaya serangan IS di negara ini, orang ramai menjadi  keliru.

Kenyataan-kenyataan orang ramai, termasuk tokoh wartawan serta pemimpin masyarakat membuktikan mereka memerlukan jawapan yang lebih konkrit daripada Ketua Polis Negara itu.

Beberapa pemimpin politik dan NGO turut menyatakan kebimbangan mereka dengan cabaran Khalid kepada pejuang IS supaya pulang ke tanah air, kerana ia boleh mengundang ‘petaka’.

Contohnya dalam kejadian serangan letupan bom di sebuah kelab malam atau pusat hiburan di Puchong pada 28 Jun lalu,  mulanya Khalid tidak mahu mengakui ‘serangan’ ada kaitan dengan IS.

Namun pada 4 Julai lalu, Khalid akhirnya mengesahkan terdapat pembabitan elemen militan IS dalam serangan berkenaan dengan menganggap ia adalah serangan pertama IS di negara ini.

Kata Khalid, ia adalah serangan pertama IS di negara ini dan pihaknya telah menahan 15 orang, termasuk dua anggota polis berhubung dengan siasatan kes itu. “Hasil siasatan kita, kita mendapati memang benar, ada penglibatan elemen IS dalam kejadian yang berlaku pada Movida.


Polis menahan 15 orang yang disyaki walaupun,  bukan semua terlibat dalam kejadian Movida itu, tetapi terlibat dalam kegiatan IS.  Tujuh orang di Kedah, empat orang di Selangor, dua orang (di) Kuala Lumpur, Melaka satu orang dan Pulau Pinang satu orang.

Lapan orang cedera dan walaupun polis pada mulanya menolak terdapatnya unsur keganasan, namun , sebuah lama Facebook yang dikaitkan dengan mitan IS, Muhammad Wandy Mohamed Jedi mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Polis menyifatkan serangan dilakukan selepas menerima arahan daripada Muhammad Wandy iaitu seorang ahli IS warga Malaysia itu yang kini berada di Syria.

Semalam Ketua Polis Negara itu berkata beliau tidak menyesal mengeluarkan kata-kata ‘baliklah kalau berani’ kepada rakyat negara ini yang menganggotai militan Negara Islam sebelum insiden pengeboman di Puchong.

Kata-kata itu menurutnya, tidak bermaksud sebagai satu cabaran kepada kumpulan pengganas tersebut."Saya tidak mencabar mereka. Apa yang saya katakan adalah 'baliklah kalau berani, " katanya.

Namun, di sebalik itu, Khalid sekali lagi mengingatkan media supaya tidak memberi ruang dan mengagung-agungkan pengganas.

"Media yang ingin mencari kelainan berita dengan menyiarkan temubual media bersama anggota IS warga Malaysia di sana (Syria) sebenarnya boleh menjejaskan keselamatan negara. Saya tidak kisah jika mahu temu bual (dengan IS) tetapi tidak perlu menyiarkannya kepada awam. Mana-mana media tempatan yang memberikan ruang kepada IS untuk menyalurkan agenda mereka akan diambil tindakan tegas," tegasnya.

Sebelum itu beliau memberi amaran,  akhbar yang memberi ruang kepada pengganas jika ia mengancam keselamatan negara akan diambil tindakan.

 “Ini sebagai peringatan daripada saya dan ini bukan satu permainan. Jangan memberi ruang kepada orang-orang yang mengancam kita. (Kamu) pergi menemubual mereka, apa yang cuba kamu lakukan?" soalnya.

Akhbar The News Straits Times dan Oriental Daily News sebelum ini menerbitkan wawancara dengan pemimpin IS Malaysia, yang memberi amaran tentang serangan selanjutnya. Kedua-dua akhbar itu memetik Muhammad Wandy Mohamed Jedi, yang dikatakan bertanggungjawab mengarahkan serangan bom tangan pada 28 Jun lalu ke atas kelab malam Movida.

Polis mungkin mempunyai sebab tersendiri melarang akhbar berbuat demikian.

Pensyarah kajian jenayah di Universiti Help, R Paneir Selvam, berkata pihak berkuasa perlu mengelak mengeluarkan kenyataan cuai, dan memberi contoh kenyataan Khalid yang mencabar anggota IS warga Malaysia di luar negara supaya pulang sekiranya berani.

“Ancaman kumpulan pengganas, terutamanya IS, tidak boleh diambil ringan. Mereka sanggup berbuat apa sahaja demi mencapai matlamat mereka,” kata Paneir yang merupakan pengerusi Persatuan Penyelidik Dasar dan Undang-Undang.

Apapun, pengakuan Khalid mengenai serangan di Puchong itu mencerahkan kekeliruan sebelum ini, walaupun Khalid dianggap mahu berdolak-dalik pada 1 Julai lalu, apabila  menyebut bahawa “kita hormati pandangan dia tetapi kami ada pandangan kami,” katanya ringkas menerusi Whatsapp kepada FMT, merujuk kepada kenyataan pengkaji keganasan berkenaan.

Di sebalik ugutan oleh IS itu, pada 30 Jun lalu, Khalid Abu Bakar memberi jaminan pihak keselamatan mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi sebarang serangan atau ancaman militan Daesh dan pengganas di Malaysia.

Begitupun,  masyarakat juga perlu menyedari tentang ancaman yang boleh dibawa kumpulan militan serta bekerjasama dengan pihak keselamatan melaporkan sebarang bentuk kegiatan Daesh di kawasan masing-masing.

Kata Khalid,  insiden seperti serangan di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul,Turki yang meragut 41 nyawa dan mecederakan beratus-beratus yang lain, mungkin boleh berlaku di negara ini namun ia boleh dihindari sekiranya masyarakat mengambil langkah berhati-hati.

"Bagi pihak masyarakat, kita harap agar segera melaporkan sebarang perbuatan yang boleh disyaki kepada polis supaya tindakan dapat diambil bagi mengelak perkara buruk daripada berlaku," katanya mengulas serangan di Lapangan Terbang Ataturk itu.

Berikutan itu, kawalan keselamatan di pintu masuk utama Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ditingkatkan ke tahap amber sejak Mac.

Disamping itu, kerajaan meminta orang ramai memaklumkan kepada Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) jika mereka menemui bagasi atau barang-barang yang mencurigakan.

Semalam pula kerajaan mengatakan, semua penumpang yang menggunakan KL Sentral sebagai pintu masuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) akan diperiksa secara rapi sebagai langkah berjaga-jaga dalam menghadapi ancaman serangan pengganas.

Beg-beg yang dibawa oleh penumpang turut akan diperiksa dengan menggunakan sensor serta mesin pengimbas berikutan jumlah pengguna yang semakin bertambah setiap hari.

Selain KL Sentral, kawalan keselamatan semua pintu masuk utama seperti lapangan terbang, stesen keretapi dan pelabuhan turut diperketatkan selepas kumpulan Daesh mengancam menyerang Malaysia dan Indonesia.
  
Pengarah di Institut Analisis Dasar bagi Konflik yang berpangkalan di Jakarta, Sidney Jones menegaskan, ketika IS berada di bawah tekanan yang lebih di Timur Tengah, ia mahu melihat lebih banyak serangan dilancarkan di tempat lain.

Bercakap kepada The Jakarta Post, Jones menegaskan, IS juga telah menghantar mesej kepada polis Malaysia, memberi amaran bahawa 'serangan habis-habisan' akan dilakukan.


Selain Bangladesh, kejadian paling terbaru serangan pengebom berani mati  ialah di negara jiran Indonesia, apabila seorang remaja dikatakan  menunggang sebuah motosikal menyerang sebuahbalai polis di Surakarta di Jawa Tengah pada Selasa, mengakibatkan seorang pegawai cedera.

Indonesia, negara majoriti penduduk Islam paling ramai di dunia, telah mengalami beberapa serangan pelampau Islam sejak 15 tahun lalu, termasuk pengeboman di Bali 2002 yang mengorbankan 202 orang.

Beratus-ratus rakyat Indonesia dikatakan telah mengembara ke Asia Barat untuk menyertai jihad, sambil mencetuskan kebimbangan bahawa kumpulan pelampau sedang dihidupkan semula.

Pada Januari lalu, pengeboman berani mati dan serangan bersenjata di Jakarta menyebabkan empat orang awam dan empat penyerang mati, dalam serangan utama pertama di Indonesia sejak tujuh tahun lalu.

Kita berterima kasih kepada kerajaan dan polis kerana berusaha menangani isu ini sebaik-baiknya, namun kita juga perlu sentiasa berwaspada.

Selain mendapat ‘perlindungan’ polis dan pihak berkuasa, rakyat memerlukan makluman dan kenyataan berterusan mengenai kedudukan keselamatan negara kerana walaupun dikatakan berada ‘dalam keadaan selamat’, di sanubari rakyat tetap ada perasaan ‘curiga dan bimbang’.
  
Apalagi, ramai yang percaya dan yakin bahawa kejadian di Puchong tempoh hari hanya permulaan dan tanda amaran untuk serangan berikutnya di Asia Tenggara.