Friday, October 17, 2008

KERAJAAN JAMIN LINDUNGI PENDEPOSIT SEPENUHNYA






Sebagai rakyat Malaysia, kita wajar berterima kasih kepada kerajaan kerana menjamin sepenuhnya wang tunai dalam ringgit dan mata wang asing yang didepositkan di dalam kesemua institusi kewangan tempatan berkuatkuasa serta-merta,
Ia adalah dalam langkah untuk mengekalkan kestabilan sistem kewangan negara.

Pada ketika rakyat di banyak negara, termasuk negara maju khususnya di Eropah kini bimbang simpanan mereka akan lesap dan tidak terjamin lagi kerana keruntuhan bank-bank utama, kita di Malaysia dijamin oleh kerajaan yang bertanggungjawab.

Tidakkah ini menggambarkan biar apa juga tekanan dan kritikan terhadap kerajaan namun, kerajaan yang ada pada hari ini tidak lupa tanggungjawabnya membela rakyat.

Hakikatnya biarpun mendapat tekanan inflasi dan kenaikan harga minyak, rakyat Malaysia berada dalam suasana yang boleh disifatkan ‘sempurna’.

Dengan jaminan ini, rakyat Malaysia yang memang terkenal dengan sikap mereka yang gemar menyimpan akan berasa lega.

Jaminan kerajaan ini sebenarnya suatu hadiah yang tidak ternilai harganya kerana menghapuskan kegusaran dan kebimbangan rakyat, takut-takut mereka akan menerima nasib yang sama seperti di beberapa negara maju yang tidak lagi mampu menjamin pendeposit, biarpun daripada kalangan rakyat mereka sendiri!

Kerajaan semalam menjamin sepenuhnya wang tunai dalam ringgit dan mata wang asing yang didepositkan di dalam kesemua institusi kewangan tempatan berkuatkuasa serta-merta dalam langkah untuk mengekalkan kestabilan sistem kewangan negara.

Jaminan itu diberikan kepada kesemua bank komersial, bank pelaburan dan institusi kewangan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) sehingga Disember 2010, demikian menurut kenyataan bersama Kementerian Kewangan dan BNM semalam.

Menurut kenyataan itu, jaminan berkenaan juga diperluaskan kepada institusi bank tempatan dan institusi bank asing yang diperbadankan di dalam negara.

Tambah kenyataan tersebut, syarikat insurans dan takaful yang dikawal selia oleh BNM juga boleh mendapat akses kepada kemudahan mudah tunai Bank Pusat.

Pengumuman yang turut dilakukan oleh negara jiran Singapura dan juga konsisten dengan inisiatif serantau, merupakan usaha pencegahan awal serta berjaga-jaga memandangkan institusi kewangan Malaysia dimodali secukupnya dengan mempunyai mudah tunai yang besar dan keyakinan pendeposit kekal tinggi, jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, bersandarkan kepada kekukuhan dan juga modal institusi perbankan Malaysia yang kukuh, jaminan berkenaan mungkin tidak perlu dilaksanakan.
''Malaysia mempunyai rangka kerja kawal selia dan pengawasan yang kukuh sambil diperkuatkan lagi oleh disiplin kewangan PIDM.

''Sistemnya yang berbeza telah menyediakan insentif yang kukuh kepada bank-bank untuk menerapkan amalan pengurusan risiko yang baik dan ketat termasuk mengekalkan penampan modal yang kukuh. PIDM juga mempunyai kuasa untuk melindungi pendeposit,'' menurut kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, PIDM hanya melindungi deposit mengikut had perlindungan sehingga RM60,000 bagi seorang pendeposit di setiap institusi kewangan yang menjadi anggotanya.

Ini bermakna PIDM akan hanya melindungi jumlah yang dideposit oleh pelanggan terhad kepada RM60,000 meskipun ia memiliki deposit lebih tinggi daripada nilai berkenaan.
Deposit yang layak mendapat perlindungan termasuk deposit tabungan, semasa, tetap, pelaburan tertentu, cek diperakui dan draf bank.

Kenyataan bersama itu turut menjelaskan, BNM sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan kemunculan risiko dan cabaran yang memberi impak kepada sistem kewangan tempatan.

''Sekiranya wujud keadaan yang membawa kepada ketidakstabilan daripada perkembangan luaran, BNM sebagai langkah tambahan memastikan kecukupan mudah tunai, juga akan menjamin kewajipan yang ada dalam operasi antara bank institusi perbankan dan memudahkan akses yang lebih cekap kepada modal ke paras sasaran lebih tinggi daripada piawaian minimum,'' menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu, BNM juga akan terus memastikan rangka kerja kawalan sentiasa peka terhadap keadaan pasaran dan mengekalkan insentif bersesuaian bagi sebarang pengurusan risiko dalam usaha menstabilkan sistem kewangan dan pasaran kewangan.

AMARAN DARIPADA RAJA-RAJA MELAYU

Raja-raja Melayu memberi amaran, gejala mempersoalkan kedudukan dan hak istimewa Melayu, termasuk kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia akan menyebabkan negara huruhara.

Raja-raja Melayu berpendapat gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum.

Perbuatan mempersoalkan perkara itu dilakukan tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini.

Malah, dalam satu kenyataan khas di Kuala Terengganu semalam, Raja-raja Melayu berpendapat, kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

Justeru, Majlis Raja-raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain.

“Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Social Contract,” demikian menurut kenyataan khas itu.

Perbuatan mempersoalkan kedudukan dan hak istimewa orang Melayu boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

Menurut Raja-raja Melayu, tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat.

Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak paus hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.

Sebenarnya Raja-raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

Menurut kenyataan Raja-raja Melayu, antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakarang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

Untuk lebih jelas ikuti kenyataan Khas Mesyuarat Majlis Raja-raja Ke-215

Kenyataan Khas Mesyuarat Majlis Raja-raja Ke-215

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 yang berlangsung di Istana Maziah di sini hari ini mengeluarkan satu kenyataan akhbar khas berhubung beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin berangakat menghadiri mesyuarat itu dengan diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Mesyuarat dua hari itu yang berakhir hari ini dipengerusikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Berikut adalah salinan penuh kenyataan akhbar khas berkenaan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah hari ini. "Kenyataan Akhbar Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan.

"Raja-raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berunding mengeluarkan kenyataan akhbar khas bersama pada hari ini. "Raja-raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

"Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat.
Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak paus hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.

"Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakarang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.


"Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.
"Justeru, adalah perlu Majlis Raja-raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain.

Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Social Contract.


Social Contract ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-raja Melayu wajar mempertingkatkan supaya isu berkaitan Social Contract tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

"Sesungguhnya, angkatan pemimpin di era pra kemerdekaan, berfikiran dalam berpandangan jauh. Raja-raja Melayu telah dibawa bersama semasa rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi Raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka. Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak Kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga. Institusi Raja Berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.


"Majlis Raja-raja juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.


"Kaum bukan Melayu tidak perlu merasa khuatir dan bimbang tentang hak-hak sah mereka kerana hak-hak tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.


"Adalah diharapkan dengan penegasan tersebut, segala kekeliruan berhubung dengan perkara ini di kalangan rakyat jelata dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara." Kesemua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Pahang, Johor, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan. Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud. Negeri Sembilan diwakili Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar dan Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Turut hadir menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri kecuali Sarawak yang diwakili Menteri II Perancangan dan Pengurusan Sumber Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan. Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah berkata, perkara-perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, kedudukan ekonomi negara, Biasiswa Yang diPertuan Agong termasuk cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya telah dibincangkan dalam mesyuarat itu.

TABUNG AZAN UNTUK PERKARA BAIK!

Membaca kenyataan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee yang menjelaskan bahawa antara tujuan utama penubuhan 'Tabung Azan' adalah untuk membiayai dan melatih muazzin (bilal) muda untuk melaungkan azan di surau dan masjid, menjadikan saya terpanggil untuk menyokong usaha ini.

Walaupun sebelum ini saya sungguh tersentuh apabila Utusan Malaysia dibantai teruk oleh Teresa Kok dan DAP, saya tertanya-tanya apa sebenarnya tujuan Syed Ali menyokong Utusan Malaysia.

Dengan tertubuhnya tabung berkenaan, jelas Syed Ali bukan sahaja menjalankan dayausaha untuk menyokong Utusan Malaysia tetapi juga melakukan perkara baik.

Saya rasakan usaha ini wajar disokong bukan kerana Utusan Malaysia banyak berjasa kepada orang Melayu dan Islam semasa tetapi jasanya begitu penting dan bermakna buat orang Melayu.
Saya tertanya-tanya kenapa Musyridul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengatakannya sebagai gimik politik.

Nik Aziz mendakwa tindakan Umno melancarkan Tabung Azan bersama Utusan Malaysia kononnya bagi memperjuangkan kebebasan melaungkan azan di masjid dan surau di negara ini disifatkan sebagai gimik politik.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, usaha mereka mewujudkan Tabung Azan bagi membantu akhbar Utusan Malaysia sesuatu yang tidak rasional.

Cuba mencari maklumat, saya menyelidik bukan sahaja melalui utusan-online (http://utusan.com.my) tetapi beberapa blog selain http://rockybru.blogspot.com sudah pun melaporkan mengenai usaha membantu Utusan Melayu (Malaysia) Bhd.

Blog seperti http://lawi-ayam.blogspot.com menjalankan kempen “Jom Sokong Utusan Malaysia” sejak 10 Oktober 2008 dengan tema “Mari Ganyang Teresa” selain menyiarkan rencana “Nik Aziz bela Teresa Kok’ sementara http://gegernya.blogspot.com menyokong Utusan Malaysia dan usaha Syed Ali.

Malaysiakini semalam melaporkan bahawa Syed Ali ada menegaskan: “Kita nak beritahu mereka (DAP) bahawa kita mampu membentuk dan melatih muazzin muda kerana kita rasa tercabar orang yang mempertikaikan laungan azan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan seorang wakil rakyat DAP yang menyifatkan tindakan Umno bahagian Cheras melancarkan 'Tabung Azan' sebagai satu gimik dan mendakwa Umno masih tidak putus asa untuk memainkan sentiman perkauman dan agama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San juga berkata tindakan menubuhkan tabung tersebut juga merupakan bukti terdapat segelintir anasir negatif dalam Umno yang masih ingin mewujudkan sesuatu yang telah terbukti tidak pernah berlaku.

Sebaliknya, kata Syed Ali, pihaknya rasa terpanggil dan rasa bertanggungjawab untuk membantu surau dan masjid menyediakan pembesar suara bagi melaungkan azan kerana ianya adalah sebahagian daripada syiar agama Islam.

"Kita nak cari duit. Kenapa nak laungkan azan tak boleh. Ini Malaysia, sebuah negara Islam. Dan kita nak naikkan semangat orang Islam," kata Syed Ali.

Tambah Syed Ali lagi, beliau mensasarkan untuk mengutip derma RM30 juta sebagai usaha untuk memberitahu DAP pihaknya mampu berbuat demikian.
Wang yang terkumpul adalah untuk membeli peralatan surau dan pembesar suara serta diberikan di surau-surau.

Ditanya mengenai laporan sebelum ini menyebut penubuhan tabung itu juga bertujuan untuk membantu Utusan Malaysia yang disaman oleh Teresa, beliau berkata sebarang sokongan terhadap tersebut adalah dalam bentuk sokongan moral.

Katanya ini kerana Utusan merupakan kumpulan media yang besar dan mampu menyediakan sumber kewangan sendiri untuk membela diri.

Kelmarin, 14 Oktober, mengisytiharkan tindakan yang diambil syarikat itu terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berbunyi: “Utusan Melayu (Malaysia) Berhad telah menyerahkan sesalinan Surat Sebelum Tindakan pada 14 Oktober 2008 kepada Yang Berhormat Teresa Kok kerana membuat penyataan fitnah terhadap Utusan Malaysia yang dikatakan telah ‘memutar-belitkan’ penyataan-penyataan beliau berkenaan makanan yang disajikan kepadanya semasa berada dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Penyataan-penyataan beliau telah diterbitkan oleh media-media nasional dan menerusi blog beliau sendiri. Penyataan-penyataan fitnah terhadap Utusan Malaysia adalah pada 22 September 2008 dan berpunca daripada kenyataan beliau semasa sidang akhbarnya pada 19 September 2008 berkenaan makanan yang disajikan kepada beliau semasa berada dalam tahanan ISA. Teresa juga menyatakan bahawa Utusan Malaysia telah memutar-belitkan kenyataan asal beliau dalam laporan mereka. Utusan Melayu (Malaysia) Berhad melalui Surat Sebelum Tindakan memohon relif antara lain penarikan balik dan kenyataan kemaafan yang penuh dan lengkap daripada Yang Berhormat Teresa Kok kepada Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berkenaan penyataan-penyataan fitnah. Utusan Melayu (Malaysia) Berhad telah menyerahkan Surat Sebelum Tindakan tersebut melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co yang beralamat di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.”

AHMAD SAID GEMBIRA, IDRIS LEGA

Tiada berlaku unsur-unsur rasuah dalam penganjuran Piala Monsoon.

Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Ahmad Said Hamdan menegaskan semalam, siasatan badan itu mendapati tiada berlaku unsur-unsur rasuah dalam penganjuran kejohanan perlumbaan kapal layar Piala Monsun di Pulau Duyong, Terengganu.

""Bagi BPR memang sudah jelas tidak ada apa-apa...kita sudah buat yang terbaik. Kita perlu perjelaskan perkara ini dengan baik kerana ia boleh menjejaskan imej bukan saja Terengganu tetapi juga Malaysia,"

Pengarahnya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata pada majlis sambutan hari raya BPR di Pusat Konvensyen Putrajaya, selepas beberapa kali semakan terhadap kertas siasatan kes, didapati tidak wujud kesalahan atau jenayah rasuah.

Sebelum ini kecoh satu Malaysia mengenai kononnya berlaku rasuah dalam penganjuran kejohanan kapal layar bertaraf dunia Piala Monsun di Terengganu.

Hakikatnya, kejohanan bertaraf dunia ini jika dicemari rasuah, ia bukan sahaja menjejaskan Terengganu, tetapi juga Malaysia.

Kejohanan Piala Monsun akan datang diadakan pada 4 hingga 7 Disember depan.
Hasil siasatan itu sudah pasti melegakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang mahu siasatan dijalankan bagi membersihkan kerajaannya dan bekas Menteri Besar, Datuk Idris Jusoh yang dilemparkan pelbagai tuduhan.

Tuduh menuduh dan pelbagai laporan dibuat khususn ya oleh Pemuda PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk laporan kepada BPR mengenai penganjuran sukan berprestij itu pada 29 Julai lalu.

Isu penganjuran kejohanan kapal layar itu dibangkitkan beberapa pihak sebelum ini, termasuk Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, pada 27 Julai lalu ketika BPR menyiasat isu penyelenggaraan kereta Proton Perdana V6 Eksekutif milik kerajaan negeri itu yang mencecah RM1.07 juta sejak 2004.

Ahmad berkata BPR juga perlu menyiasat penganjuran Piala Monsun sejak 2005 di lokasi yang dibina dengan kos RM250 juta dan pelaksanaan projek Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man bernilai RM249.3 juta.

Piala Monsun mula diadakan pada 2006 semasa kerajaan negeri ditadbir menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh, anjuran syarikat T-Best Sdn Bhd.

Sebanyak 42.9 peratus saham T-Best dimiliki oleh TDM Bhd, sebuah syarikat milik kerajaan negeri Terengganu, manakala 57.1 peratus lagi milik syarikat swasta, Prestasi Wangi Sdn. Bhd.

T-Best mempunyai hak penganjuran Piala Monsun selama lapan tahun bermula 2006.