Saya mengatakan ia besar maknanya untuk rakyat dan negeri Terengganu. Sebahagian besar wang wang royalti minyak itu akan digunakan untuk tujuan pengurusan dan pembangunan negeri selain disimpan dalam simpanan tetap. Apa yang menarik ialah komen-komen terhadap posting berkenaan.
Menurut Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, bayaran itu adalah tambahan selepas pembayaran royalti lima peratus daripada pengeluaran 400,000 tong minyak sehari atau lebih RM50 bilion setahun dari telaga minyak yang terdapat di perairan negeri ini. Walaupun harga minyak mentah telah menurun namun kerajaan negeri bakal menerima royalti minyak daripada kerajaan Persekutuan.
Gara-gara royalti ini, ada yang masih mengutuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai isu royalti dengan mengatakan beliau sebagai ‘Firaun’ dan ada pula yang membela.
add pada 12 Disember 2008 mengatakan “Firaun firaun juga yang kau dok senang lenang sekarang ni dengan jasa Mahathir la . Kalau berani tunjukan diri anda wahai dayus,,”
Dan Jeghai, pula pada 13 Disember berkata: “Aik...marah jugak juak pencacai ni ha ha...Aku tak terhutang budi pun dengan si DrM tu.Dia lagi dahsyat memerintah dari PakLah. Kau nak cari aku...ha ha...tunggu kat kaki Bukit Antarabangsa. Jangan marah kang kena jual cam perwakilan parti sarkas tu.”
Apa yang saya mahu timbulkan ialah pantang bagi saya orang memperkecilkan sumbangan bekas pemimpin negara kita, tidak kiralah sama ada pembangkang atau juga kerajaan, apa lagi yang berjawatan Perdana Menteri.
Hanya kerana membangkang kita janganlah pula membenci atau mengutuk seseorang sehingga ke tahap perkataan “Aku tak terhutang budi pun dengan si...”. Mungkin perkataan ini sesuai untuk kawan-kawan tetapi tidak dengan guru, pemimpin atau juga ibu bapa kita.
Tidak tahulah saya apa yang dimaksudkan oleh seseorang apabila dia berkata demikian, apalagi ‘menghina’ Dr Mahathir sampai ke peringkat demikian.
Saya memperturunkan banyak perkara mengenai jasa Dr Mahathir sepanjang 20 tahun menjadi Perdana Menteri (1982-200) melalui buku saya ‘Dr Mahathir: Amanah dan Visi’.
Tidak apa, lupakan soal jasa-jasa besarnya dalam konteks pembangunan tetapi lihat dua perkara lain yang saya ingin pembaca renungkan bersama.
Satu ialah keamanan dan kestabilan politik dan satu lagi dasar-dasar Islam sepanjang pemerintahannya.
Jika direnung kembali, keamanan yang dicapai di bawah pemerintahan 22 tahun Dr Mahathir, kita boleh menarik nafas lega.
Walaupun ada usaha luar untuk menggugat Malaysia, khususnya cuba mewujudkan pertelingkahan antara kaum, kepimpinan Dr Mahathir berjaya melenyapkannya.
Kerana keamanan, ekonomi negara pernah mencapai pertumbuhan 10 peratus selama 10 tahun berturut-turut dan pada ketika itu Malaysia adalah antara negara yang ditakrifkan sebagai mencapai pertumbuhan paling cepat di dunia.
Perpaduan dan keharmonian rakyat juga membolehkan kita menjadi contoh pada peringkat antarabangsa dan kita bersuara lantang kerana negara kita tiada krisis besar.
Kita ke depan untuk gerakan memerdekakan beberapa negara termasuk Afrika Selatan, Namibia, Bosnia-Herzegovina serta negara-negara di Eropah Timur dan bekas negara Soviet Union.
Kita ke depan dalam gerakan Pergerakan Berkecuali, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Komanwel serta Asean kerana kita menjadi contoh negara pelbagai kaum tetapi tetap aman dan harmoni.
Dalam konteks Islam pula, Dr Mahathir adalah pengerak kepada kewangan Islam, perbankan Islam, institusi zakat dan Universiti Islam Antarabangsa.
Memang tidak dinafikan, ia lahir daripada pemikiran secara berkumpulan tetapi jika tiada kesungguhan dan political will, segala usaha tidak akan sampai ke mana-mana.
Kenapa kita dipilih menganggota D-10, iaitu sepuluh negara ekonomi Islam maju dan juga Pengerusi OIC sehingga membolehkan sidang kemuncak OIC diadakan di Putrajaya?
Jawapannya, ia bukan kerana ada Islam Hadhari ketika itu tetapi kerana dasar Penerapan Islam, dasar-dasar dan pelaksanaan pendidikan dan ekonomi kita dihormati antarabangsa.
Melaksanakan dasar Islam tidak semestinya oleh mereka yang hari-hari bercakap Islam tetapi tidak melaksana dan menterjemahkannya dalam konteks kehidupan seharian.
Kenapa orang bukan Islam dan bukan Melayu menerima Bank Islam? Kenapa mereka melanggan insurans Islam dan kenapa pula negara bukan Islam melihat institusi kewangan Islam sebagai antara sistem yang terbaik dan terjamin?
Bagi generasi muda yang masih bersekolah pada 1980an dan 1990an, mereka tidak merasai betapa sukarnya untuk meyakinkan orang Islam mengenai dasar Penerapan Islam di Malaysia.
Namun, ternyata apa yang ada umpamanya dasar-dasar berkaitan Islam seperti mahkamah, peguam dan undang-undang, selain bidang kewangan dan ekonomi, ia lahir dan diperkukuhkan sepanjang 22 tahun Dr Mahathir berkuasa.
Keamanan dan keharmonian yang dicampur dengan dasar Islam yang saksama, selain kerajaan yang meletakkan Islam di tempat sewajarnya menjadikan dunia mengiktiraf Malaysia sebagai negara contoh biarpun ada bukan Islam yang agar besar mendiami negara ini.
Jawapan saya ialah pengalaman meliputi persidangan antarabangsa – sama ada membabitkan Islam, ekonomi, diplomasi serta juga pembangunan pada ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri – menjadikan saya terhutang budi dan amat menghormati Dr Mahathir.
Saya belum menceritakan bagaimana Dr Mahathir menjadi juru jual negara Malaysia dan jurucakap bagi peniaga dan tokoh korporat kita di luar negara untuk menjamin kita ada kereta dan lori buatan tempatan dan sebagainya.
Mungkin yang memperlekeh dan memperkecilkan Dr Mahathir adalah generasi baru yang tiba-tiba merasai kesenangan dengan dapat belajar di universiti tempatan atau juga luar negara melalui pinjaman atau juga biasiswa hasil dasar kerajaan yang mementingkan pendidikan untuk pembangunan.
Kalaupun tidak mahu bersyukur dan berterima kasih kepada Dr Mahathir, janganlah mengatakan ‘aku tidak berhutang dengan si...’ kerana hutang bukan dalam bentuk pitih, duit atau wang semata-mata.
Hutang juga dalam bentuk jasa-jasa menjadikan Malaysia sebagai negara aman, harmoni, mewah dan stabil seperti yang dikecapi hari ini.
Belajarlah bahawa demokrasi dan kesamarataan yang dilaung-laungkan oleh sesetengah pihak bertujuan menjadikan Malaysia huru-hara kerana dengannya ‘orang lain boleh memegang kuasa’ dan pada ketika itu, Melayu yang kini bangsa ketinggalan dalam segala bidang akan haprak jadinya.
Pada ketika itu, mencari seorang Mahathir baru bukan mudah dan kalau terjumpa pun, suasana dan scenario politik sudah berbeza.
Jadilah Melayu yang tidak mudah lupa!