Sunday, May 16, 2010

NIZ AZIZ BENARKAN DAP GUNA ISU ‘KALIMAH ALLAH’

Awal-awal saya sudah sebut bahawa isu kalimah Allah akan dipergunakan sepenuhnya oleh DAP kerana hanya isu ini sahaja yang mampu mereka perjuangkan.

DAP hanya boleh memainkan sentimen perkauman dan agama untuk menarik sokongan.
Ironinya, mereka disokong oleh PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Tetapi menyedihkan, pada ketika dua pemimpin PAS – Musyridul Am PAS dan Presidennya menyokong isu ini dimainkan, Timbalan Musyridul Am PAS menentangnya.

Pada entri saya 9 Mei lalu bertajuk “APAKAH ISU ‘KALIMAH ALLAH’ MENJADI PENENTU DI SIBU?” saya persoalkan kenapalah pemimpin DAP seperti Teresa Kok sanggup memainkan isu ‘penggunaan perkataan Allah’ dalam menyerang calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew untuk pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sibu?

Apa lagi pada ketika Sidang Injil Borneo (SIB) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) gagal dalam rundingan 30 April lalu untuk menyelesaikan tuntutan berhubung perintah larangan mengimport bahan terbitan Kristian yang mengandungi kalimah Allah, DAP terus memainkan isu ini seolah-olah mahu menghangatkan lagi suasana.

Tidakkan perbuatan ini boleh dianggap sebagai ‘menghina mahkamah’?

Yang pasti Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Aziah Ali pada 30 April lalu menetapkan 24 Jun depan untuk mendengar permohonan SIB bagi mendapatkan kebenaran mencabar perintah larangan KDN tersebut.

Amat malang apabila Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut mengulasnya dengan terbuka dan nanti jawapannya sekali lagi – beliau tidak tahu perkara ini sudah sampai peringkat mahkamah.

Tidak tahu lagi - seperti yang berlaku terhadap titah Sultan Selangor tempoh hari.

Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang jelas kini mewakili pandangan yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh pengikut agama-agama lain itu dengan ‘fatwa’ HARUS - khususnya agama warisan Nabi Ibrahim (Kristian dan Yahudi).

Ternyata PAS lebih meletakkan kepentingan politik yang sanggup bersekongkol dengan DAP yang terang-terangan menentang perjuangan mendaulatkan negara Islam.

Dalam PAS sendiri, ternyata Datuk Dr Haron Din, Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, Ahli Parlimen Baling, Datuk Taib Azamuddin dan Ketua Dewan Pemuda Pas, Ustaz Nasruddin Tantawi adalah beberapa pemimpin Pas yang memang menentang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Dr Haron menggesa semua pihak termasuk pembangkang menghentikan isu penggunaan kalimah Allah sebagai modal politik kerana isu kalimah Allah tidak sepatutnya ditimbulkan lagi terutamanya bagi tujuan meraih sokongan politik kerana ia merupakan isu sensitif.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin bukan ahli PAS dan bukan lagi anggota PKR, tetapi sebagai umat Islam beliau berhak menyuarakan kekecewaannya dengan sikap PAS yang sanggup bersekongkol dengan DAP untuk terus mempermainkan isu kalimah Allah.

Lebih jelas ialah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008 memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah khusus buat agama dan umat Islam sahaja.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria telah menyatakan bahawa sesiapa (orang Islam) merelakan Kristian menggunakan nama Allah dengan maksud yang membawa kepada syirik (konsep trinity Kristian) boleh menjadi kufur.

Namun bagi Nik Aziz, dia tetap berpegang kepada kenyataannya bahawa pemimpin parti politik bukan Islam, termasuk DAP boleh menggunakan kalimah Allah demi kepentingan politik mereka.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, walaupun kenyataannya itu bercanggah dengan kenyataan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din, yang tidak mahu DAP menggunakan kalimah Allah dalam kempen parti politiknya, namun beliau tetap berpendirian ia dibolehkan dalam Islam.

"Itu kata (jawapan) dia (Datuk Haron)...tapi saya kata boleh. Biarlah dia (Datuk Haron) bersedia menerima jawapan balas. Itu jawapan dia, jawapan saya kata boleh," katanya kepada pemberita semalam ketika ditanya mengenai kenyataan Haron supaya DAP menarik balik penggunaan kalimah Allah dalam kempen politiknya.

Pada 11 Mei lalu, polis mengeluarkan arahan bahawa semua parti politik diarahkan supaya menghentikan penggunaan isu “Allah” sepanjang kempen pilihan raya kecil parlimen Sibu hari ini.

Arahan itu dikeluarkan oleh pihak polis menerusi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC II Huzir Mohamed yang berkata ia isu yang sensitif.

"Perkara ini telah diselesaikan tetapi ada yang mengeksploitasikannya sekali lagi. Ia adalah isu sensitif dan semua yang terlibat mesti berhenti daripada membangkitkannya," katanya.

Beliau juga memberi amaran, mereka yang mengengkari arahan itu boleh ditahan atas tuduhan menghasut atau juga didakwa menurut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Berdasarkan amaran itu apakah mereka yang melanggarnya akan diambil tindakan atau hanya semata-mata peringatan?