Pelantikan semula Zeti sebagai langkah memastikan kesinambungan dalam kepemimpinan BNM kerana melalui kepemimpinannya, bank pusat itu menjadi institusi yang kukuh dan disegani di dalam dan luar negara. - Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak
Tahniah kepada Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz kerana khidmatnya dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dilanjutkan lima tahun lagi.
Zeti, 64, ialah Gabenor Bank Negara ketujuh dan dilantik ke jawatan itu pada 1 Mei 2000.
Sejauh ini, Zeti sebagai gabenor bank itu mendapat penghormatan tinggi kalangan masyarakat perbankan yang berjaya mempertingkatkan imej Malaysia di dalam sistem kewangan di dunia.
Dan dengan keadaan negara berdepan suasana sangat mencabar, kesinambungan kepimpinan Zwti itu amat penting dalam mengendalikan institusi sangat penting seperti BNM.
Sudah pasti pelantikannya amat disokong oleh masyarakat perbankan.
Mungkin ada yang berharapan tinggi untuk menjawat itu, sama ada di Bank Negara sendiri atau dari luar merasa ‘terkilan’ dan kecewa kerana mereka tidak berupaya mendapatkan jawatan demikian. Mereka ini terpaksa tunggu lima tahun lagi untuk ke jawatan itu!
Dan jika kerajaan merasakan Zeti sebagai yang terbaik, adalah wajar untuk semua pihak akur dan mengharapkan Gabenor BNM itu mampu meneruskan tugasnya selain mencipta kejayaan baru untuk bank pusat itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pelantikan semula Zeti sebagai langkah memastikan kesinambungan dalam kepemimpinan BNM kerana melalui kepemimpinannya, bank pusat itu menjadi institusi yang kukuh dan disegani di dalam dan luar negara.
Kerana itu amat wajar Zeti diberi peluang meneruskan kepemimpinan dalam BNM, kata Najib.
Perdana Menteri menyebut, dalam krisis global baru-baru ini, Malaysia tidak alami kesan yang kuat disebabkan mempunyai sistem perbankan yang kukuh dan mudah pulih.
Ini membuktikan kepemimpinan BNM mengendalikan institusi kewangan dengan berjaya dan berkesan.
katanya.
Pengerusi Persatuan Bank-bank di Malaysia yang juga Presiden dan Ketua Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, menyifatkan perlantikan Zeti sebagai perkembangan yang baik dan amat disokong oleh masyarakat perbankan.
Rekod perkhidmatannya menunjukkan Zeti begitu mampu:
1. Berjaya peranan penting dalam pelaksanaan serta pembentukan dasar monetari, selain memastikan kestabilan sistem kewangan Malaysia;
2. Mampu mengendalikan transformasi sistem kewangan negara menjadi antara sistem kewangan paling kukuh dan maju di kalangan ekonomi sedang berkembang, termasuk menerajui bidang pembangunan kewangan Islam di peringkat domestik dan antarabangsa serta meningkatkan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke dalam ekonomi Malaysia;
3. Aktif membentuk masa depan kerjasama kewangan di rantau Asia dan menjadi suara penting kepada ekonomi sedang berkembang di pentas kewangan antarabangsa;
4. Berusaha mempromosikan integrasi serantau dengan mempengerusikan Pasukan Petugas Mesyuarat Eksekutif Bank Pusat Asia Pasifik Timur (EMEAP) mengenai kerjasama serantau di kalangan bank pusat Asia untuk menggariskan hala tuju kerjasama kewangan masa depan serantau. Kedudukannya sebagai ahli Lembaga Gabenor Bank Pusat Asia Tenggara (SEACEN) dan Pengerusi Lembaga Pengarah SEACEN, selain ahli Penempatan Antarabangsa Bank (BIS) bagi Kumpulan Tadbir Urus Bank Pusat sejak 2001 dan ahli pengasas Majlis Perundingan Asia BIS, menyerlahkan kemampuannya; dan
5. Terbabit secara aktif dalam pembangunan bidang kewangan Islam sama ada di pentas domestik dan antarabangsa. Zeti mempengerusikan Jawatankuasa Pelaksana bagi penubuhan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) dan bertindak sebagai Pengerusi Majlisnya bagi penggal 2007.
Kecemerlangannya Zeti dibuktikan apabila beberapa kali menggondol anugerah daripada penerbitan terkemuka antarabangsa, antaranya Gabenor Bank Pusat Tahunan Asia 2010 daripada majalah Emerging Markets, anugerah Ahli Bank Pusat Tahunan 2005 daripada Euromoney, Ahli Bank Pusat Tahunan 2004 daripada majalah Banker dan Gabenor Bank Pusat Terbaik Asia 2003 daripada majalah Emerging Markets.
Amat jelas, p elantikan semula Zeti untuk tempoh lima tahun lagi berkuat kuasa 1 Mei depan apabila penggal perkhidmatan sekarang berakhir 30 April, menggambarkan betapa kerajaan peka dengan kehendak semasa dan masa depan negara.
Pelantikan semula Zeri turut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.