Showing posts with label Bank Negara. Show all posts
Showing posts with label Bank Negara. Show all posts

Thursday, February 16, 2017

BERJAYAKAH BN/UMNO GUNA ‘RCI KERUGIAN URUS NIAGA FOREX’ SEKAT DR M???


Kabinet bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas untuk menjalankan siasatan awal berkenaan kerugian urus niaga mata wang asing Oleh Bank Negara pada sekitar 1990-an.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Kabinet petang semalam.

Sebuah blog proBarisan Nasional dan Perdana Menteri, melalui satu analisis bertajuk “KERUGIAN FOREX USD10 BILION DI ZAMAN MAHATHIR, WANG RUGI ATAU DICURI?”pada 31 Januari 2017 lalu, menyebut pelbagai andaian boleh dibuat terhadap kerugian besar yang dialami Bank Negara Malaysia pada tahun 1993 dalam manipulasi mata wang.

“Kehilangan secara misteri AS$10 billion (RM44 billion nilai sekarang) pada 1993 itu telah dianggap sebagai kehilangan terbesar dalam mana mana bank di dunia pada waktu itu,” kata blog berkenaan.

Dilaporkan juga, penglibatan Bank Negara di dalam perjudian pasaran pertukaran wang asing ini telah dikesan oleh bank pusat Amerika dan Gabenornya ketika itu, Alan Greenspan telah menegur dan menggesa Bank Negara agar menghentikan segera perbuatan itu.

Perdebatan mengenai isu ini antara penyokong kerajaan dan penyokong  bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dapat dibaca melalui artikel yang ditulis oleh Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tun Faizal Ismail Aziz.

Tun Faizal mengkritik Datuk A Kadir Jasin yang menulis bertajuk "Berjaga-jaga ungkit perkara lama" dengan mengatakan Kadir membayangkan sikap defensif dan ketakutannya apabila skandal BMF dan forex melibatkan "boss"nya diungkit dan didedahkan semula.


Menurut A Kadir, tujuan tersirat operasi itu adalah mempertahankan nilai ringgit dan, kalau nasib baik, buat keuntungan luar biasa tetapi ia berakhir dengan kerugian. Gabenor Bank Negara waktu itu, Allahyarham Tan Sri Jaffar Hussein, mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatan.

Pegawai yang bertanggungjawab terus dalam operasi tersebut, Tan Sri Nor Mohamed Yackop, diarahkan berhenti.
  
Yang diharapkan oleh rakyat, penubuhan pasukan petugas yang diumumkan semalam itu bukan sebagai tindak balas atau kerana dendam akibat Perdana Menteri yang disebut MO1 serta dikaitkan dengan isu-isu seperti "derma" dari ahli keluarga diraja Arab Saudi.

Ia juga jangan dikaitkan dengan kemasukan wang RM42 juta ke akaun Datuk Seri Najib Razak melalui AmBank yang dijawab  oleh Najib beliau ‘tidak tahu mengenai kemasukan wang itu ke akaunnya’.

Dengan kata lain, siasatan melalui penubuhan jawatankuasa ini jangan kerana mahu menimbulkan keraguan mengenai tuduhan bahawa Najib melakukan salah laku atau mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan semalam berkata pasukan petugas khas itu akan dianggotai pelbagai agensi kerajaan termasuk individu-individu yang dihormati dan berpengalaman dalam bidang-bidang tertentu.

"Pasukan petugas khas ini akan mengemukakan syor dan cadangan untuk dipertimbangkan oleh Kabinet dalam tempoh terdekat dan tindakan selanjutnya termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) jika perlu berdasarkan hasil siasatan itu nanti," kata kenyataan itu.

Ini bermakna, untuk peringkat pertama, kerajaan akan menubuhkan pasukan petugas yang akan menjalankan kajian dan menyediakan kertas cadangan ke arah menubuhkan RCI.

Persoalannya siapakah individu yang akan dilantik nanti?

Sudah passtinya, mereka yang dilantik adalah yang ‘mesra dengan pemerintah’ atau lebih tepat UMNO?BN kerana tujuan penubuhan RCI ini adalah serangan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Isu kerugian kontroversi, yang berlaku hampir tiga dekad lalu ‘dihidupkan’ semula selepas Dr Mahathir berusaha untuk menyatukan pembangkang dalam cubaannya untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau menuduh Najib terpalit dengan rasuah berikutan laporan deposit bernilai berbilion ringgit berada akaun bank peribadi perdana menteri.

Dr Mahathir dikatakan  perdana menteri apabila aktiviti Bank Negara dalam pasaran tukaran mata wang asing tidak menjadi.

Pad 7 Februari lalu, bekas Perdana Menteri 22 tahun itu menyambut baik cadangan untuk menubuhkan RCI berhubung isu dagangan tukaran wang asing (forex).

“Mereka dialu-alukan untuk berbuat demikian (menubuhkan RCI) tetapi kami mahu perkara sama terhadap wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga apa yang berlaku terhadap 1MDB,” katanya Dr Mahathir.

Persoalannya, apakah sempat jawataankuasa ini menyediakan kertas cadangan bagi menubuhkan RCI sebelum pilihan raya akan datang dijangka September nanti?.


Memandangkan kes forex ini dilihat sebagai sesuatu yang bersifat politik dalam kedudukan Najib yang dikatakan ‘sedang lemas’ sewajarnya ia disiapkan dalam masa terdekat.

Kerajaan menyebut mereka yang menyertai jawatankuasa ini adalah individu yang dihormati dan berpengalaman dalam bidang-bidang tertentu agar kertas cadangan menubuhkan RCI itu tidak ada kecacatan.

Rakyat menunggu dengan penuh minat dengan berbagai sebab.

Ada yang merasakan ia wajar ditubuhkan untuk membuktikan wujud perkara yang tidak kena dengan urus niaga matawang ketika ‘orang tua itu’ menjadi Perdana Menteri.

Penemuan-penemuan melalui kertas cadangan itu belum diketahui sama ada akan diumumkan kepada orang awam atau sebaliknya.

Atau ia untuk tujuan penubuhan RCI semata-mata?

Jangan pula timbul kontroversi seperti Laporan Ketua Audit Negara mengenai  1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dielakkan orang ramai mengetahui mengenai cadangan-cadanganmya bagi penubuhan RCI.

Kerajaan tidak perlu bimbang untuk mengumumkannya kerana melaluinya rakyat akan tahu apa sebenarnya berlaku, biarpun sekadar laporan daan cadangan ke arah penubuhan RCI.

Kita amat yakin bahawa pasukan petugas khas ini akan mengemukakan syor dan cadangan yang telus dan lengkap.

Bagaimanapun, ia akan dikemuka dan dipertimbangkan oleh Kabinet terlebih dahulu yang kemudian akan mencadangkan  tindakan selanjutnya termasuk penubuhan RCI itu.

Dihaarapkaan jika benar ada perkara yang wajar dan benar-benar memerlukan tindakan lanjut berkenaan kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara, kerajaan perlu bertegas.


Jangan buat kenyataan gunakan perkataan ‘sekiranya’ atau ‘jika terbukti’ lagi hasil kajian dan laporan itu kerana dengan mengumumkan ‘kerja besar’ ini semalam, kerajaan sudah pasti mempunyai hujah dan maklumat lengkap untuk mendedahkan kerugian berkenaan.

Lagipun kerajaan sudah beria-ia menubuhkan pasukan petugas khas ini sebagai  langkah permulaan bagi mendapatkan semula fakta-fakta yang berkaitan -  termasuk menganalisis semua Hansard rasmi mesyuarat-mesyuarat Parlimen pada masa itu, minit-minit Mesyuarat Kabinet yang terdahulu, laporan Ketua Audit Negara, Bank Negara Malaysia dan laporan-laporan lain daripada agensi -agensi yang berkaitan perkara berkenaan.

Rakyat perlu ketahui apa sebenar yang telah berlaku, jumlah kerugian sebenar dan sama ada terdapat salah laku tatacara pentadbiran kewangan serta adanya tindakan pihak tertentu untuk menutup apa yang sebenar berlaku dari pengetahuan rakyat Malaysia selama ini.

Perkataan ‘adanya tindakan pihak tertentu untuk menutup apa yang sebenarnya berlaku’ adalah suatu tuduhan berat.

Ia jugaa menggambar ada tindakan melindungi orang atau pihaak tertentu.

Perlu diingat bahawa kerajaan menanggung risiko besar sekiranya gagal membuktikan memang benar ada tindakan untuk menutup kerugian ini daripada pengetahuan rakyat.

Kerajaan boleh mengatakan tindakan kerajaan itu membuktikan komitmen dan ketelusan kerajaan bagi memastikan urusan Bank Negara pada ketika itu dijalankan mengikut urus tadbir yang ditetapkan.

Cumanya, mudahkah kerja untuk membuktikan wujudnya perbuatan melindungi yang dimaksudkan itu?

Pejabat Perdana Menteri juga boleh mendabik dada mengatakan kerajaan akan sentiasa terbuka dan telus dalam siasatan itu memandangkan ia melibatkan Bank Negara Malaysia dan dikatakan skandal kewangan terbesar.

Kerja ini bukan kecil dan memerlukan kajian mendalam yang akan memakan masa sekiranya laporan itu mahu benar-benar intensif dan telus.

Jika ia tidak dapat disiapkan sebelum pilihan raya akan datang, ia tidak bermakna untuk kerajaan Barisan Nasional (BN) bersusah payah.


Penemuan yang mendalam dan terbukti benar memang boleh dijadikan bahan kempen, setidak-tidaknya sehingga tertubuhnya RCI.

Kemudian kerajaan boleh menggunakan RCI menyiasat kes ini sebagai kempen biarpun hasil siasatan RCI tidak dapat disiap dan diumumkan sebelum pilihan raya akan datang.

Setidak-tidaknya laporan jawatankuasa yang intensif itu akan digunakan sepenuhnya untuk ‘menyerang Dr Mahathir’.

Bagaimanapun kerajaan juga perlu bersedia untuk menerima kesan balas jika gagal mengemukakan siasatan dengan sebaik mungkin.

Apalagi jika ia boleh dicabar di mahkamah.

Jangan lupa bahawa jika kerajaan ‘mempunyai orang untuk mendedahkan kerugian’, di pihak defendan, mereka juga mungkin turut disertai tokoh ternama dan berpengalaman.

Kegagalan sedemikian akan memberikan kesan buruk kepada kerajaan dan boleh digunakan pembangkang sebagai baahaan ‘menyerang balas’, khususnya oleh parti yang dipimpin oleh Dr Mahathir – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).


Sudaah pasti ini berlaku, tujuan utama bukan sahaja gagal tetapi pihak Najib dan BN pula yang kena bertahan.

Wednesday, October 14, 2015

1MDB- ‘PERANG MAKLUMAT’ PEGUAM NEGARA, BANK NEGARA SEMAKIN PANAZZ?


"Jika BNM tidak meminta maklumat tertentu atau khusus, bagaimana 1MDB dipersalahkan kerana ia sudah mengisi borang seperti yang diperlukan dan memberi maklum balas kepada pertanyaan yang dibuat...pegawai 1MDB mematuhi arahan yang diberikan dan oleh itu, kelulusan bank pusat diberikan...."
Tan Sri Mohamed Apandi Ali

Amat jelas kini, tumpuan adalah kepada BNM Malaysia (BNM) atau lebih tepat Gabenornya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz

Ini berikutan kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini bahawa '1MDB tak bolehdipersalah jika BNM tak jalankan tugas'.

Apakah ‘perang maklumat’ antara 1MDB Dan Jabatan Peguam Negara akan mendedahkan banyak perkara yang tersimpan selama ini dan semakin ‘mencerahkan’ kemelut 1MDB yang setakat ini belum dapat dipastikan bila akan selesai.

Dengan kenyataan bahawa BNM ‘tak jalankan tugas’ pastinya akan memanaskan lagi suasana atau pergolakan berkaitan 1MDB. Jawapan BNM Jumaat lalu sudah menyebabkan ada pihak ‘panas bontot.. (Baca di sini).

Mohamed Apandi mengatakan BNM ‘tak jalankan tugas’ merujuk kepada tiga kebenaran yang diperoleh oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) daripada BNM untuk membuat kiriman wang pada 29 September, 2009, 6 September 2010 dan 20 Mei 2011.

Khamis lalu, Mohamed Apandi mengumumkan keputusan Jabatan Peguam Negara untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap 1MDB berkaitan tindakannya membuat pendedahan tidak tepat bagi mendapatkan kebenaran pelaburan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat walaupun bank pusat membuat rayuan untuk semakan semula, kerana tidak wujud sebarang bukti tambahan.

Susulan itu, BNM telah membatalkan tiga kebenaran kepada 1MDB di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) terhadap pelaburan di luar negeri bernilai US$1.83 bilion (RM7.52 bilion).

Dalam satu kenyataan, BNM berkata ia juga telah mengeluarkan arahan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 kepada 1MDB untuk membawa balik jumlah tersebut ke Malaysia dan mengemukakan satu perancangan kepada bank pusat itu berhubung perkara tersebut.

Selepas siasatan, bank tersebut merumuskan bahawa kebenaran yang diberikan di bawah ECA bagi pelaburan 1MDB di luar negeri adalah berdasarkan penilaian terhadap permohonan 1MDB itu.

Bagaimanapun, didapati bahawa maklumat yang diberikan adalah sama ada tidak tepat atau tidak lengkap.

Ia berkata keputusan itu "berkait dengan saranan bank itu supaya pendakwaan jenayah dibuat terhadap 1MDB atas pelanggaran di bawah ECA."

Berikutan itu, kenyataan Mohamed Apandi itu  menerima kritikan, dengan pengkritik utama 1MDB, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menuduh peguam negara kini berkelakuan seperti seorang hakim.

Semalam, Mohamed Apandi menjelaskan, BNM tidak mengambil lebih tiga (3) hari untuk memberikan keizinan tersebut dalam ketiga-tiga keadaan, katanya, membaca satu kenyataan media.

Katanya, borang berkaitan bagi tujuan kiriman wang dalam kes ini tidak memerlukan pemohon menyatakan nombor akaun bank dan benefisiari.

Setakat pengetahuan 1MDB, ia hanya perlu mengisi borang berkaitan dan bertindak balas kepada pertanyaan yang dibuat bank pusat itu.

"Jika BNM tidak meminta maklumat tertentu atau khusus, bagaimana 1MDB dipersalahkan kerana ia sudah mengisi borang seperti yang diperlukan dan memberi maklum balas kepada pertanyaan yang dibuat," kata Mohamed Apandi.

Beliau berkata, pegawai 1MDB ketika dalam proses mendapatkan kebenaran itu, mematuhi arahan yang diberikan, dan oleh itu, kelulusan bank pusat diberikan.

Mohamed Apandi berkata, melainkan sekiranya boleh ditunjukkan yang pegawai itu sengaja atau secara melulu memberikan maklumat palsu dalam butiran tersebut, mereka tidak melakukan sebarang kesalahan di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang.

"Memandangkan tidak ada keperluan, tindakan pegawai 1MDB tidak memasukkan maklumat itu bukan satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Pertukaran. Ia juga menyatakan, borang ECM berkaitan, iaitu 09A dan 06B, tidak memerlukan pemohon memberikan nama-nama pemilik benefisiari, atau nombor akaun bank penerima, atau cara bagaimana dana itu akan disalurkan."

Beliau berkata apabila 1MDB meminta Deutsche Bank membuat kiriman wang ke satu akaun lain, bank itu meminta penjelasan daripada BNM.

Bank pusat itu kemudiannya memberitahu Deutsche Bank yang kiriman wang itu adalah keputusan perniagaan dan ia tidak menyimpang dari tujuan asalnya, kata Mohamed Apandi.

Bank pusat itu tidak membuat sebarang pertanyaan lanjut pada masa tersebut, katanya.

Dengan kedudukan ini, 1MDB tidak boleh dipersalahkan terhadap sebarang dakwaan salah laku yang disiasat oleh BNM jika bank pusat itu gagal mendapatkan penjelasan yang diperlukan.

"Jika BNM Malaysia tidak memohon maklumat tertentu atau khusus, bagaimana 1MDB harus dipersalahkan apabila mereka telah mengisi borang dan menjawab soalan yang diperlukan?" soal Apandi.

Sebab-sebab inilah yang membuatkan Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk menutup siasatan BNM ke atas 1MDB mengikut Bahagian 1 (4) (b) Jadual Kelima Akta Kawalan Pertukaran Wang.

Menurut Mohamed Apandi, Jabatan Peguam Negara tidak melihat sebarang keperluan untuk menyemak semula keputusannya itu. Tambahnya, tidak ada kewajipan juga untuk 1MDB memberi maklumat kecuali diminta oleh BNM sebelum itu, selain tidak ada bukti baru.

Menarik dalam kenyataan Peguam Negara semalam ialah keputusannya untuk membersihkan 1MDB yang membuat pengisytiharan tidak tepat berkaitan dengan pelaburan di luar negara, menyatakan BNM tidak mendapatkan maklumat yang cukup dari firma tersebut untuk menunjukkan ia melanggar undang-undang.

Begitu juga, BNM tidak mengarahkan Deutsche Bank Malaysia Bhd menasihati 1MDB untuk kembali kepada bank pusat itu bagi mengkaji semula kebenaran yang diberikan untuk pengiriman wang itu.

 "1MDB, dengan cara yang sah, memberikan maklumat yang diperlukan bagi maksud pengiriman wang," katanya.

"Dalam hubungan ini dan hakikat yang tidak ada bukti baru disediakan, kami tidak melihat keperluan untuk mengkaji semula (keputusan kami)," kata Apandi, yang enggan menjawab sebarang soalan daripada media.

"Pegawai di 1MDB pada masa material, iaitu semasa proses mendapatkan kebenaran telah mematuhi arahan yang diberikan, maka kebenaran diberikan," kata Mohamed Apandi.

Mohamed Apandi menegaskan bahawa 1MDB tidak melakukan sebarang kesalahan di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953.

Katanya, 1MDB memperoleh tiga kebenaran daripada Bank Negara untuk membuat kiriman wang, pada 29 September 2009 , 6 September 2010 dan 20 Mei 2011.


Kita tunggu reaksi BNM khususnya Dr Zeti dalam isu ini dan mungkin akan terpercik isu lain yang membabitkan BNM dan 1MDB selepas ini.

Yang pasti, Dr Zeti dan BNM semakin tidak disenangi oleh 1MDB. Contoh jelas ialah apabila 1MDB menyuarakan rasa kesalnya ke atas kenyataan  Dr Zeti yang seolah-olah menyebut syarikat pembangunan strategik itu sebagai penyebab ringgit lemah.

Penyusutan nilai ringgit dan mata wang lain disebabkan oleh kejatuhan mendadak minyak mentah, unjuran kadar peningkatan kadar faedah AS serta kelembapan ekonomi dunia dalam pasaran pesat membangun, katanya.

"Berdasarkan fakta sejarah, belum ada satu syarikat pun yang dikaitkan sebegitu rupa kepada nilai ringgit. Kami yakin fakta yang dikongsi oleh 1MDB dan penjelasan segera yang dikeluarkan setakat ini, akan memberikan penjelasan dan jaminan kepada semua pihak berkepentingan," kata MDB1 dalam satu kenyataan.

Tambahan pula, Dr Zeti menyedari bahawa 1MDB sentiasa memenuhi, tanpa ingkar, obligasi pembayaran asas dan kadar faedah, kepada peminjam domestik dan asing.

Dan pastinya, 1MDB akan terus mengulangi  kunci kata yang tersohor baginya: “Bukan syarikat sarat hutang kerana nilai aset syarikat kami adalah melebihi hutang.”


Friday, April 22, 2011

KERAJAAN IKTIRAF KECEMERLANGAN ZETI AKHTAR AZIZ...

Pelantikan semula Zeti sebagai langkah memastikan kesinambungan dalam kepemimpinan BNM kerana melalui kepemimpinannya, bank pusat itu menjadi institusi yang kukuh dan disegani di dalam dan luar negara. - Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak


Tahniah kepada Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz kerana khidmatnya dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dilanjutkan lima tahun lagi.

Zeti, 64, ialah Gabenor Bank Negara ketujuh dan dilantik ke jawatan itu pada 1 Mei 2000.

Sejauh ini, Zeti sebagai gabenor bank itu mendapat penghormatan tinggi kalangan masyarakat perbankan yang berjaya mempertingkatkan imej Malaysia di dalam sistem kewangan di dunia.

Dan dengan keadaan negara berdepan suasana sangat mencabar, kesinambungan kepimpinan Zwti itu amat penting dalam mengendalikan institusi sangat penting seperti BNM.

Sudah pasti pelantikannya amat disokong oleh masyarakat perbankan.

Mungkin ada yang berharapan tinggi untuk menjawat itu, sama ada di Bank Negara sendiri atau dari luar merasa ‘terkilan’ dan kecewa kerana mereka tidak berupaya mendapatkan jawatan demikian. Mereka ini terpaksa tunggu lima tahun lagi untuk ke jawatan itu!

Dan jika kerajaan merasakan Zeti sebagai yang terbaik, adalah wajar untuk semua pihak akur dan mengharapkan Gabenor BNM itu mampu meneruskan tugasnya selain mencipta kejayaan baru untuk bank pusat itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pelantikan semula Zeti sebagai langkah memastikan kesinambungan dalam kepemimpinan BNM kerana melalui kepemimpinannya, bank pusat itu menjadi institusi yang kukuh dan disegani di dalam dan luar negara.

Kerana itu amat wajar Zeti diberi peluang meneruskan kepemimpinan dalam BNM, kata Najib.

Perdana Menteri menyebut, dalam krisis global baru-baru ini, Malaysia tidak alami kesan yang kuat disebabkan mempunyai sistem perbankan yang kukuh dan mudah pulih.

Ini membuktikan kepemimpinan BNM mengendalikan institusi kewangan dengan berjaya dan berkesan.
katanya.

Pengerusi Persatuan Bank-bank di Malaysia yang juga Presiden dan Ketua Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, menyifatkan perlantikan Zeti sebagai perkembangan yang baik dan amat disokong oleh masyarakat perbankan.

Rekod perkhidmatannya menunjukkan Zeti begitu mampu:

1. Berjaya peranan penting dalam pelaksanaan serta pembentukan dasar monetari, selain memastikan kestabilan sistem kewangan Malaysia;

2. Mampu mengendalikan transformasi sistem kewangan negara menjadi antara sistem kewangan paling kukuh dan maju di kalangan ekonomi sedang berkembang, termasuk menerajui bidang pembangunan kewangan Islam di peringkat domestik dan antarabangsa serta meningkatkan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke dalam ekonomi Malaysia;

3. Aktif membentuk masa depan kerjasama kewangan di rantau Asia dan menjadi suara penting kepada ekonomi sedang berkembang di pentas kewangan antarabangsa;

4. Berusaha mempromosikan integrasi serantau dengan mempengerusikan Pasukan Petugas Mesyuarat Eksekutif Bank Pusat Asia Pasifik Timur (EMEAP) mengenai kerjasama serantau di kalangan bank pusat Asia untuk menggariskan hala tuju kerjasama kewangan masa depan serantau. Kedudukannya sebagai ahli Lembaga Gabenor Bank Pusat Asia Tenggara (SEACEN) dan Pengerusi Lembaga Pengarah SEACEN, selain ahli Penempatan Antarabangsa Bank (BIS) bagi Kumpulan Tadbir Urus Bank Pusat sejak 2001 dan ahli pengasas Majlis Perundingan Asia BIS, menyerlahkan kemampuannya; dan

5. Terbabit secara aktif dalam pembangunan bidang kewangan Islam sama ada di pentas domestik dan antarabangsa. Zeti mempengerusikan Jawatankuasa Pelaksana bagi penubuhan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) dan bertindak sebagai Pengerusi Majlisnya bagi penggal 2007.

Kecemerlangannya Zeti dibuktikan apabila beberapa kali menggondol anugerah daripada penerbitan terkemuka antarabangsa, antaranya Gabenor Bank Pusat Tahunan Asia 2010 daripada majalah Emerging Markets, anugerah Ahli Bank Pusat Tahunan 2005 daripada Euromoney, Ahli Bank Pusat Tahunan 2004 daripada majalah Banker dan Gabenor Bank Pusat Terbaik Asia 2003 daripada majalah Emerging Markets.

Amat jelas, p elantikan semula Zeti untuk tempoh lima tahun lagi berkuat kuasa 1 Mei depan apabila penggal perkhidmatan sekarang berakhir 30 April, menggambarkan betapa kerajaan peka dengan kehendak semasa dan masa depan negara.

Pelantikan semula Zeri turut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.