Saturday, May 3, 2014

ISU GANTI MB - APABILA BERLAKUNYA TINDAKAN 'LEBIH SUDU DARIPADA KUAH'

"Menjadi seperti ‘orang lemas’ dalam politik dan pentadbiran akan hanya menonjolkan peribadi seseorang itu sendiri. Akan ada pertanyaan, kenapa orang Ahmad Said takut sangat ‘MB mereka diganti? Apakah mereka ada berbuat salah? "

Menurut laporan Terengganu Today, “di sana sini di seluruh Terengganu, banner-banner dan pemidang-pemidang yang menyatakan sokongan kepada Mat Said (Datuk Seri Ahmad Said) dapat dilihat dengan jelas dan mudah!”

Katanya lagi, “walaupun ada yang cuba memutarbelitkan kenyataan tentang calon-calon PRU13, ternyata sekarang, pembohongan tersebut tidak berkesan, memandangkan mereka sendiri terutama calon-calon yang tidak ada dalam senarai Mat Said tetapi tetap juga diangkat sebagai calon PRU13, terlibat dalam gerakan menumbangkan Mat Said.

Golongan ini sedang bergerak ke sana ke mari, mengaku mereka adalah dari kem Mat Said tetapi kemudian meracun akar umbi supaya menolak Mat Said.”

 Lebih ketara pada laporan itu berbunyi: “Ironinya, mereka terlupa tentang perkenan DYMM Sultan Terengganu kepada Mat Said sebagai peneraju utama negeri Terengganu berbanding calon-calon yang mereka cuba tonjolkan.”

Bagi saya – Hambali Abdul Latif - (tidak berselindung di sebalik nama samaran), - berpada-padalah menyatakan sokongan. Ia akan membahayakan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar!

Memang kita wajar menyokong dan memberikan sokongan kepada ketua kita apabila dalam keadaan ‘tersepit’.

Namun sokongan yang diberikan jangan berlebihan:


Tidak perlu ada sepanduk – sepanduk boleh jika kita berperang dengan ‘musuh’ seperti PAS atau pembangkang lain tidak apa. Apa maknanya apabila sepanduk sokongan dipasang?

Untuk membawa mesej kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib supaya jangan tukar Menteri Besar? Sedangkan:

1. Jawatan Menteri Besar bukan hak hakiki seseorang seperti juga Perdana Menteri.

2. Jangan libatkan nama DYMM Sultan Terengganu dalam isu penggantian atau pertukaran ini. Ini kerana Tuanku Sultan Terengganu banyak dikaitkan dengan soal pelantikan. Jangan libatkan sampai untuk ‘mempertahankan’ Ahmad Said, dikait-kaitkan nama Tuanku. Ini tidak baik dan perkenan itu adalah dalam kes 2008 dan pelantikan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

3. Ingat dan bermuhasabahlah!


Sebagai orang Islam kita perlu mempercayai dan yakin bahawa apabila Allah berkehendak serta menghendakinya, dan apabila Dia telah menetapkan sesuatu maka Allah berfirman kepadanya: "Jadilah", maka jadilah dia.

Begitulah beberapa ungkapan ayat-ayat kun [jadi] maka faya kun [jadilah] dalam al-Quran.

Peringatan al-Quran  adalah sesuatu yang penting supaya jangan melawan takdir, jangan gedebe, jangan angkuh, jangan rasa besar, rasa berkuasa dan segala-galanya. Ini kerana Allah boleh melakukankan bila-bila dan di mana saja, selain tiada tempat berlindung dan tiada tempat bersembunyi dari-Nya.

a. [Al Baqarah:117] Allah Pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak sesuatu, maka Dia hanya mengatakan kepadanya: "Jadilah!" Lalu jadilah ia."

b.  [An Nahl:40] Sesungguhnya perkataan Kami terhadap sesuatu apabila Kami menghendakinya, Kami hanya mengatakan kepadanya: "kun (jadilah)", maka jadilah ia".

c. [Yaasiin:82] Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: "Jadilah!" maka terjadilah ia".

d.  [Al An'aam:73] Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan benar. Dan benarlah perkataan-Nya di waktu Dia mengatakan: "Jadilah, lalu terjadilah", dan di tangan-Nyalah segala kekuasaan di waktu sangkakala ditiup. Dia mengetahui yang ghaib dan yang nampak. Dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui

e. [Al Mu'min:68] Dia-lah yang menghidupkan dan mematikan, maka apabila Dia menetapkan sesuatu urusan, Dia hanya bekata kepadanya: "Jadilah", maka jadilah ia".


4.  Perbuatan ‘baling batu sembunyi tangan’ oleh ‘orang kuat Mad Said’ tidak baik dalam konteks UMNO dan pentadbiran Terengganu. Kalaupun mahu membela Ahmad Said, belalah dengan ‘point counter point’ mengenai dasar dan program yang dilaksanakan oleh beliau terhadap kritik-kritik terhadap Menteri Besar itu. Banyak contohnya, bukan sekadar dasar perumahan sahaja. Mengambil satu dasar tidak mencukupi. Bagaimana dengan dasar pendidikan, termasuk Anjung Ilmu, program e-Book, pertanian dan yang lain? Kenapa penyokong Ahmad Said sendiri boleh lupa?

5. Jangan kita menyerang individu atau tokoh tertentu dengan menimbulkan isu peribadi. Contohnya dalam konteks seseorang yang dijadikan ‘bahan serangan’ media kerajaan negeri dan yang dikawal oleh Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT). Tidak baik mendedahkan keburukan peribadi seseorang, apalagi orang itu, (seperti dilaporkan sudah pun berkahwin dengan wanita yang didedahkan itu).

Saya bimbang dalam kita mendedahkan peribadi orang lain, peribadi kita pun tidak kurang ‘hebatnya’. Apakah ‘orang yang menyokong kuat Ahmad Said’ atau media sosial berpihak kepada Ahmad Said serta agensi-agensi yang mempertahankan Ahmad Said’ itu bersih, beriman dan ‘bebas skandal’? Skandal tidak semestinya dengan wanita sahaja. Skandal macam-macam. Jangan buka ruang untuk dibuka pekong oleh orang lain, kelak pentadbiran dan UMNO Terengganu yang akan mendapat malu dan rugi.

6. Datuk Seri Mohd Najib Razak sudah mengatakan tiada pertukaran Menteri Besar. Cukuplah dengan kenyataan itu. Kalau berlaku juga selepas ini, ia berlaku bukan kerana kemahuan Perdana Menteri semata-mata tetapi pastinya mesti mendapat restu istana. Apakah kelak, jika atau sekiranya benar berlaku, pagar istana akan digoncang sekali lagi? Apakah kali ini oleh kumpulan yang sama pada 2008 atau kumpulan baru?

7. Menjadi seperti ‘orang lemas’ dalam politik dan pentadbiran akan hanya menonjolkan peribadi seseorang itu sendiri. Akan ada pertanyaan, kenapa orang Ahmad Said takut sangat ‘MB mereka diganti? Apakah mereka ada membuat salah? Apakah mereka salahguna kuasa sebelum ini? Apakah mereka melakukan rasuah? Apakah mereka mengamalkan kronisme? Atau apakah bimbang akan kehilangan ‘kedudukan dan kekayaan’? Jika seseorang tidak melakukan kesalahan, bersih, berintegriti, mereka tidak perlu.


Ambillah contoh bagaimana Ahmad Said sudah beberapa kali bersumpah dengan nama Allah yang beliau ‘bebas rasuah’ termasuk dalam isu balak serta isu-isu lain. Contohi dan ambilnya sebagai teladan. Apa yang hendak ditakutkan?

Lebih terkilan lagi apabila kritik-kritik turut dilemparkan kepada orang di luar Terengganu yang kononnya berperanan untuk menjatuhkan Menteri Besar. Siapa mereka? Orang di Ibu Pejabat UMNO Malaysiakah? Atau orang di Pejabat Perdana Menteri kah? Menyedihkan ada yang bercakap kononnya individu tertentu yang ‘rapat’ dengan Perdana Menteri memulakan ini semua.

Cuba amati balik. Yang mulakan cerita ini Awang Selamat melalui Mingguan Malaysia. Kalau nak marah, marahlah Awang Selamat, jangan orang lain jadi mangsa.

Awal-awal saya sebutkan, Awang Selamat buat spekulasi. Mungkin benar, mungkin tidak. Tidak pasal-pasal beberapa orang penting UMNO Terengganu jadi mangsa.

Damage has been done kepada Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman serta beberapa yang lain. Sepatutnya tuduhan orang itu atau orang ini nak jadi Menteri Besar tidak timbul. Walau segila atau semeroyan manapun seseorang mahu menjadi Menteri Besar kalau pucuk pimpinan dan istana tidak bersetuju, tidak akan berlaku. Paling utama yang di Atas sana itu Maha Berkuasa dan Mana Mengetahui!

Persoalan ialah kenapa nama Ahmad Said sahaja yang jadi tumpuan? Tidakkah kerana adanya tindak balas dan sikap  tindakan tidak bijak orang sekeliling Menteri Besar Terengganu.


Sepanduk dan banner sebenarnya mengeruhkan keadaan dan bersifat mencabar

Ahmad Said sendiri mengatakan malas nak ulas tetapi kenapa ada individu serta laman sosial rasmi kerajaan negeri Terengganu selain orang tertentu yang bersikap ‘lebih sudu daripada kuah’?