Friday, June 12, 2009

MRR2- SPRM TAHAN PEMIMPIM UMNO TERENGGANU

(terkini) Terkejut juga saya dengan berita yang disiarkan oleh sebuah laman pro-pembangkang hari ini yang mengatakan dua ahli politik dikalangan pemimpin UMNO dilaporkan berasal dari Pantai Timur ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Ia dipercayai kerana meminta wang suapan sebanyak RM3 juta.
Adalah dipercayai ia berkait rapat dengan kes yang pernah dipaparkan oleh akhbar perdana dan laman itu 7 Ogos tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia hari ini pula, kedua-dua lelaki terbabit difhamkan ditahan ketika datang ke pejabat SPRM Shah Alam untuk memberi keterangan kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Bagaimanapun, kedua-duanya telah dibebaskan dengan jaminan SPRM berjumlah RM20,000 setiap seorang.
Tiada maklumat tepat mengenai tangkapan itu sama ada ditangkap atau disoalkan.
Utusan Malaysia melaporkan, SPRM semalam mengesahkan siasatan berhubung isu rasuah pembinaan projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) membabitkan dua lelaki bergelar Datuk telah siap dan diserahkan kepada Bahagian Pendakwaan.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Syukri Abdull memberitahu, pihaknya berpuas hati dengan keseluruhan hasil siasatan itu dan telah merakamkan keterangan kedua-dua lelaki yang berusia lingkungan 50-an itu

Menurutnya, SPRM turut mengambil dokumen berkaitan projek pembinaan lebuh raya berkenaan membabitkan kedua-dua mereka.

"Kami telah menyerahkan kertas siasatan kepada pihak pendakwaan SPRM untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Turut difahamkan, siasatan mengenai penyelewengan projek tersebut telah dijalankan selepas media pada Ogos 2004 membuat pendedahan mengenai keretakan MRR2 yang tidak selamat digunakan.

Sementara itu, Ketua Unit Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang meneliti kertas siasatan terbabit sebelum sebarang keputusan diambil.

Dalam pada itu, salah seorang daripada Datuk yang dikaitkan dengan kes tersebut, enggan mengulas ketika dihubungi malam semalam.

Sebelum ini laman berkenaan pernah memaparkan artikel berikut:

BPR buka semula fail MRR2 - Selamatkan Pak Rosli, bagaimana Roslan?

Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan membuka semula siasatan berhubung rasuah dan penyelewengan dalam projek Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang dimulakan pada 2004.
BPR akan melihat semula kertas siasatan yang sudah dibuka sebelum ini dan akan mengambil tindakan susulan berhubung kejadian keretakan terbaru pada tiang jejambat MRR2.

Antara tindakan yang akan diambil BPR adalah memanggil kontraktor yang terbabit dalam pembinaan Pakej II MRR2 berharga RM238 juta itu. Jejambat enam lorong berhampiran Stesen Komuter Kepong sejauh 1.7 kilometer yang mula dibuka pada 1999.

Ahad lalu (3 Ogos) MRR2 ditutup kepada semua kenderaan apabila satu daripada tiang yang pernah dibaiki sebelum ini dikesan retak semula. Penutupan itu adalah kali ketiga dalam tempoh empat tahun, kali pertama pada Ogos 2004 dan kali kedua pada Februari 2006.

Tiang yang mengalami keretakan itu adalah termasuk dalam laluan yang dibina oleh Konsortium Bumi Hiway, SUKMIM Sdn Bhd dan Konsortium Kontraktor Melayu Sdn Bhd melalui kontrek Pakej II MRR2 berharga RM238 juta.

Berikutan keretakan kali pertama pada 2004, Unit Kejuruteraan BPR menjalankan siasatan untuk mengesan kemungkinan wujud penyelewengan dalam pembinaan projek berkenaan.

Manakala siasatan pakar perunding British, Halcrow Consultants Ltd (Halcrow), yang dilantik kerajaan bagi mengkaji punca kerosakan tiang tersebut mendapati ia berlaku akibat kecuaian pemasangan cerucuk dan tetulang besi yang tidak mengikut spesifikasi dan reka bentuk.

Sehubungan dengan itu Buletin Online telah menerima satu salinan surat seorang individu yang bernama Kamaruzzaman Ishak, bertarikh 15 Jun lalu yang ditujukan kepada Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.

Dalam surat tersebut Kamaruzzaman yang beralamat di Sura Gate, Dungun, telah membuat permohonan kepada Ahmad Said Hamdan supaya membuat pendedahan umum, status siasatan BPR terhadap tuduhan-tuduhan rasuah yang didakwa dilakukan oleh Dato’ Rosli Mat Hassan (Pak Rosli).

Pak Rosli adalah Ketua UMNO Bahagian Dungun yang juga bekas Ahli Parlimen Dungun dan kini baru dilantik oleh Pengerusi UMNO Terengganu, Dato’ Ahmad Said (Mad Said) sebagai Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu.

Surat tersebut juga menyenaraikan beberapa kes dimana Pak Rosli dikatakan telah disiasat oleh pihak BPR.

Kes-kes tersebut sebagaimana dalam surat itu adalah Projek Pembinaan Lebuhraya MRR 2 di Kuala Lumpur, Projek Pembinaan Sekolah Menengah Serating di Marang (RM 15 juta) (yang terbengkalai) dan Projek Tangki Air Simpanan (Terbengkalai) di Cherul, Kemaman (RM 10 juta).

Sebelum ini, pada 22 November 2007, Pengarah BPR negeri Terengganu, Sharuddin Sapian pernah mengesahkan bahawa seorang ahli politik terkenal Terengganu adalah antara 70 orang yang telah disiasat oleh BPR sejak awal 2007.

Namun Shaharudin enggan mengulas lanjut dan hanya mengatakan, identiti serta maklumat berhubung ahli politik itu hanya boleh didedah apabila kertas siasatan mengenainya siap.

Tidak berapa lama kemudian kedengaran khabar angin yang tersebar mengatakan Pak Rosli telah disiasat BPR berhubung dengan penyelewengan dalam projek MRR2.

Berita tersebut tidak diambil peduli dan berlalu begitu sahaja kerana tidak ada siapa yang menduga Pak Rosli terlibat dengan pembinaan MRR2.

Malah ada yang terkejut apabila ditanya berkenaan Pak Rosli disiasat BPR kerana Pak Rosli tidak dikenali sebagai seorang kontraktor.

Sekiranya dikaitkan perkara tersebut dengan Bendahari UMNO yang baru, Dato’ Roslan Awang Chik, barulah munasabah, kerana beliau ada cukup dikenali sebagai Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM).

Sebelum ini Pak Rosli hanya terkenal sebagai jaguh dangdut kerana isu berkaitan beliau suka berdangdut pernah menjadi popular suatu masa dulu.

Apabila isu MRR2 kembali ‘menggegar’ awal minggu ini, ingatan kepada dakwaan Pak Rosli disiasat BPR tersebut kembali semula.

Setelah Buletin Online mendapat salinan surat Kamaruzzaman, carian dibuat bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Sebuah keratan akhbar tahun 2000 dari rekod JKR dan Berita Harian 26 Oktober 1998 yang telah merakamkan beberapa kenyataan Pak Rosli, menjadi kunci yang mengaitkan Pak Rosli dengan siasatan BPR.

Pak Rosli ketika itu adalah Setiausaha Agung PKMM.

Jadi apa kaitannya ?

Konsortium Kontraktor Melayu Sdn Bhd dan SUKMIM adalah dua daripada tiga kontraktor yang dilantik kerajaan bagi melaksanakan Pakej II MRR2.

Konsortium Kontraktor Melayu Sdn Bhd (KKM) adalah syarikat yang ditubuhkan dibawah PKMM, manakala SUKMIM Sdn Bhd (SUKMIM) pula sebuah syarikat gabungan diantara PKMM dan Persatuan Kontraktor India Malaysia (PKIM).

Maknanya sewaktu pembinaan Pakej II MRR2 sedang dilaksanakan oleh kedua-dua KKM dan SUKMIM, Pak Rosli adalah Setiausaha Agung PKMM yang berkuasa keatas kedua-dua syarikat tersebut.

Bukan sedikit dakwaan penyelewengan yang dikatakan telah dilakukan oleh Pak Rosli, nilainya sebanyak RM 500,000.

Sebagaimana hasil siasatan unit kejuruteraan BPR pada tahun 2004 yang tidak menolak kemungkinan berlaku penyelewengan dalam pembinaan projek berkenaan, khususnya menyebabkan keretakan pada tiang MRR2.

Begitu juga hasil siasatan pakar perunding British, Halcrow Consultants Ltd (Halcrow), mendapati ia berlaku akibat kecuaian pemasangan cerucuk dan tetulang besi yang tidak mengikut spesifikasi dan reka bentuk.

Bolehkah Pak Rosli terlepas dari pendakwaan?

Bagaimana pula kedudukan Bendahari UMNO Terengganu, Dato’ Roslan Awang Chik, yang baru dilantik oleh Mad Said?

Roslan adalah Pengerusi PKMM pada waktu pembinaan Pakej II MRR2 dulu, dan masih menjadi Pengerusi PKMM sehingga hari ini !

MANEK URAI – CALON TERBAIK ADA...

Agak menarik perbualan telefon dengan seseorang malam semalam mengenai calon di Manek Urai.

Menurut ‘orang ini’ Barisan Nasional (BN) boleh menang jika letak calon anak tempatan walaupun tinggal di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, ini bukan strategi PAS untuk mengalahkan UMNO tetapi pandangan ikhlas beliau.
Lagipun, katanya orang yang dimaksudkannya bukan calang-calang.
Ini kerana dia bukan sahaja dikenali malah bapa dan ibunya pernah jadi wakil rakyat di kawasan Kuala Krai.
“Bawa balik orang ini, BN akan menang. Saya yakin,” katanya berseungguh-sungguh.
Ironinya, dia ini penyokong kuat PAS. Berkarat Hijau, kata orang Kelantan.
Saya yakin kepada orang yang saya berbual melalui telefon kerana pandangan dan pengalamannya banyak dipakai oleh pemimpin PAS.
Apa salahnya kalau mengambil pandangan beliau jika ikhlas.
“Beri namanya kepada Datuk Seri Mohd Najib...saya yakin BN akan menang,” katanya.

Saya tidak pasti kerana rakan saya itu mahu membantu BN di Manek Urai.
Kebetulan, seorang penjenguk posting saya bertajuk ‘Manek Urai – Mencari Calon Cakna Rakyat’ pada 9 Jun, Nik Amir membuat ulasan berikut:
“Bagitahu Dato' Pa, jangan pilih pimpinan tempatan untuk jadi calon Manik Urai. Dendam mendendam amat tinggi dikalangan ahli UMNO tempatan. Buat polisi cari anak tempatan yang berkerja di KL untuk balik bertanding. Macam Dato' Pa buat pada tahun 2004 dahulu.
Orang ini tidak ada musuh. masing-maing kabilah akan membantu habis-habisan untuk menunjukkan komitmen kepada orang baru....adalah peluang sikit..menang belum tentu.”
Sedikit sebanyak pendapat Nik Amir dan rakan yang saya berbual melalui telefon itu ada persamaan.

Rasanya pendapat Nik Amir sedikit bertentangan dengan cadangan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin semalam yang mahukan anak tempatan.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 6 Julai depan sebagai hari penamaan calon dan jika ada pertandingan, 14 Julai sebagai hari pembuangan undi berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob (Pas), akibat sakit jantung pada 22 Mei lalu.

Saya bersetuju 100 peratus jika anak tempatan diutamakan sebagai calon Barisan Nasional yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.
Tidak syak lagi, dia akan kenal penduduk tempatan dan penduduk tempatan juga mengenalinya.
Difahamkan dalam sejarah pilihan raya di Manek Urai, anak tempatan belum pernah diletakkan sebagai calon.

Banyak pihak berpendapat, faktor utama untuk menang dalam pilihan raya kecil di sini dikatakan bukan bergantung kepada pengaruh parti tetapi lebih terarah kepada ‘kekuatan’ calon.

Kerana itu pandangan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin mengenai calon yang semestinya anak tempatan saya sokong seratus peratus.

Namun, sekiranya anak tempatan yang ditonjolkan akan menyebabkan ‘perpecahan dan pertelingkahan’, buat apa diletakkan calon sedemikian.

Kata Awang Adek di Pasir Puteh semalam, anak tempatan yang dapat diterima meluas oleh pengundi wajar diberi keutamaan dalam pemilihan calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Beliau percaya, ia langkah yang sebaik-baiknya bagi memastikan pengundi dapat diyakinkan dalam proses melakukan perubahan di kawasan itu.

Bagi Awang Adek, ia penting bukan hanya diterima semua lapisan rakyat tetapi berkeupayaan melaksanakan misi Perdana Menteri iaitu konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan , Pencapaian Diutamakan.

Katanya, BN akan menggunakan pendekatan terbaik dalam memenangi hati rakyat untuk kembali mencetuskan satu gelombang baru dalam politik di negeri ini.

“Jentera pilihan raya dan pimpinan UMNO negeri mahukan kemenangan untuk mengembalikan kekuatan dan menebus maruah UMNO,” katanya.

Amat jelas, kalau mahu kemenangan, jangan ‘main-main’ dengan calon. Pilihlah yang boleh bawa kemenangan.

Kemenangan BN akan memberikan suntikan semangat kepada kepimpinan Datuk Mustapa Mohamed yang baru mengambil alih daripada Tan Sri Annuar Musa.

Ketika ini antara nama yang disebut-sebut mampu membawa cabaran BN ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat yang juga Pegawai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang akan memudahkan penduduk mendapatkan bantuan pertanian.

Selain Tuan Aziz, nama lain yang turut menjadi sebutan ialah Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Abdul Jalal dan Ketua Wanita UMNO bahagian, Rohani Abdul Majib.

MAJLIS PELANCARAN JENTERA PILIHANRAYA BN

Naib Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Barisan Nasional N. 41 Manik Urai Kelantan pada 13 Jun 2009 jam 9.00 malam.
Ia akan dilangsungkan bertempat di Sekolah Kebangsaan Peria Manik Urai Kuala Krai Kelantan.

Turut sama dalam majlis ini ialah Pengarah Pilihanraya YB Datuk Mustapa Mohamad merangkap Pengerusi Barisan Nasional Kelantan.

Dijangkakan semua pemimpin UMNO Bahagian Negeri Kelantan terutama UMNO Bahagian Kuala Krai yang diketuai oleh Ketua UMNO Bahagian Datuk Ramzi Ab Rahman akan hadir.

Ramzi selaku Pengarah Pilihanraya Parlimen Kuala Krai dan AJK serta pemimpin tempatan dan rakyat Manik Urai akan memenuhi padang sekolah berkenaan pada malam tersebut.
Pilihan Raya Kecil Manek Urai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Ismail Yaacob, 60, pada 22 Mei lalu di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan akibat sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.
Pada pilihan raya umum 8 Mac 2008, Ismail memperoleh 5,746 undi menewaskan Mohamed Zulkifli daripada BN yang mendapat 4,394 undi.