Thursday, February 2, 2017

DI MANA PPBM MAHU TEMPATKAN DIRINYA DI DUN PADA PRU14?


Dengan kedudukan di mana PAS menolak kerjasama dengan AMANAH dan DAP, apa kesannya kelak dari segi reaksi dan tindakan dua parti itu jika terjadinya kerjasama itu dalam menghadapi PRU14 akan datang?

Segala-galanya masih kabur dan di awang-awangan.

Tarikh yang ditunggu semalam (1 Februari 2017) untuk dapatkan keputusan pasti rundingan PAS-PPBM pada hakikatnya belum ada apa-apa.

Walaupun sebelum ini, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad berkata mesyuarat semalam  menjadi penentu kepada kerjasama antara PAS dan partinya, ternyata sejauh ini kedua-duanya hanya  bersetuju membentuk jawatankuasa teknikal bersama.

Ia mungkin kesan serangan PAS yang bertubi-tubi terhadap Dr Mahathir.

Kenyataan bahawa "rangka kerjasama persefahaman politik" akan diserahkan kepada pimpinan tertinggi kedua-dua parti untuk diperhalusi, ia membawa makna jelas – menunggu persetujuan peringkat tertinggi parti untuk menentukan hala tuju sebenar.

Hakikat dan  nyata, pertemuan delegasi PAS yang diwakili Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan delegasi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diketuai Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih jauh dan samar-samar dalam mewujudkan kerjasama antara dua parti itu dalam pilihan raya.

Mesyuarat semalam boleh diumpamakan hanya sebagai permulaan, bukan  “penentu” kerjasama pilihan raya antara PPBM dan PAS, apa lagi untuk menjamin satu lawan satu (pembangkang dan Barisan Nasional (BN) sahaja.

Perwakilan PAS dan PPBM hanya membawa pulang “rangka kerja persefahaman politik” yang dicapai dalam pertemuan semalam. Kepimpinan tertinggi kedua-dua parti akan memutuskan apa langkah berikutnya.

Hakikatnya, jika dilihat secara mendalam usaha PAS dan PPBM ini, ia membawa kepada pertanyaan berikut:

Pertama, apakah kerjasama itu meliputi keseluruhan pilihan raya, termasuk di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di semua negeri yang kedua-duanya bertanding?

Kedua, apakah ia akan berlaku di beberapa negeri sahaja contohnya di Terengganu sebaliknya tidak di Kelantan, Johor dan Kedah;


Ketiga, jika diwujudkan kerjasama, apa kesan kepada ‘hubungan semakin baik UMNO dan PAS’sejauh ini terhadap kerjasama PPBM dengan AMANAH, DAP dan PKR?

Keempat, bagaimana kedudukan PPBM dalam Pakatan Harapan (PH) di mana amat jelas kini PAS dan AMANAH dan DAP tidak lagi boleh ‘duduk semeja’?

Kelima, apa tujuan PPBM menjalinkan kerjasama dengan PAS – menjadi pemerintah bersama atau hanya menjadi ‘ekor kepada PAS yang akan berlagak sebagau ‘tuan’?

Pertanyaan ini ada kaitan dengan lima  negeri – Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Selangor - di mana PPBM dan PAS menunjukkan kegairahan untuk meletakkan calon mererka.

Di Johor rasanya PPBM boleh bersendirian kerana sejauh ini pengaruh PAS tidaklah begitu besar walaupun ia memiliki tiga kerusi DUN (seorang melompat ke AMANAH) berbanding dengan UMNO yang memiliki 31 kerusi (selepas seorang ADUN melompat ke PPBM).

DAP mempunyai 13 kerusi berbanding MCA dua dan MIC sebanyak tiga kerusi dan Gerakan (1).

Di Kelantan pula, apakah PAS memilih untuk bekerjasama dengan PPBM bagi menjamin ia terus menjadi kerajaan negeri jika diasak bertubi-tubi oleh UMNO dan AMANAH?

Tidak berkemungkinankah PAS akan main silap mata dengan UMNO dan yang kelak akan rugi ialah PPBM yang hanya menumpukan kerusinya di kawasan DUN atau Parlimen yang dimenangi UMNO sahaja.

Ini bermakna hanya 12 DUN dan empat Parlimen sahaja mempunyai ruang untuk PPBM bertanding dan itupun bergantung kepada persetujuan dengan PAS dan AMANAH.

Di Terengganu, PAS sedang bersiap sedia dengan bala tenteranya konon akan menawan kerajaan negeri kali ini dengan paling tidak di 20 kerusi DUN dan menambah kerusi Parlimen.

PPBM mungkin berpeluang bertanding di mana-mana antara 17 kerusi yang kini dipegang oleh UMNO. Sementara turut juga berpeluang untuk meletakkan calon sekurang-kurangnnya di tiga daripada empat  kawasan Parlimen UMNO yang mungkin boleh ditandingi ialah di Besut, Kemaman, Hulu Terengganu dan Setiu.

Itupun dengan restu PAS jika bekerjasama. Dengan nafsu yang begitu menggelegak di kalangan pemimpin PAS yang ada sudah menunjukkan ‘watak Menteri Besar’, apakah PPBM akan diberikan kerusi yang banyak?

Apa pula kedudukan AMANAH yang kini memiliki kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan PKR yang sudah bertapak sejak dua pilihan raya umum di Terengganu?

Begitu juga di Selangor di mana ketika ini PAS mempunyai 13 kerusi di DUN selepas dua ADUN melompat ke AMANAH (PPBM tidak mempunyai sebarang kerusi di DUN).

Sementara DAP ada 15 kerusi dan PKR kini mempunyai 13 daripada 14 kerusi selepas bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi ADUN Bebas.

Pelik sedikit di Selangor kerana walaupun PAS dan DAP serta AMANAH ‘sedang berperang’, kerajaan PH masih utuh di negeri itu sekurang-kurangnya sehingga PRU14 akan datang.

Di sebalik itu, pemimpin PAS nampaknya kurang senang dengan PPBM yang turut mengintai beberapa kerusi UMNO di Selangor.

Di Kedah ada 15 kawasan Parlimen dan 36 DUN. Pada PRU14, PAS menang sembilan (9) sahaja  kerusi DUN berbanding 16 pada 2008.

Dengan jentera pilihan raya dikemudikan oleh Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah dan dianggap antara faktor yang memenangkan BN di Kedah pada pilihan raya umum lalu, peranan beliau jangan dilihat sebelah mata.

Ketika ini PPPB mempunyai peluang untuk bertanding di 18 kerusi UMNO (pada PRU13, UMNO memang 19 kerusi daripada 28 kerusi yang dipertandingkan). UMNO menjadi 18 selepas ADUN Ayer Hitam itu menjadi ADUN PPBM.

PAS juga berkurangan satu kerusi kepada AMANAH di DUN Pengkalan Kundor, Dato Ir. Phahrolrazi Zawawi (kanan) melompat ke AMANAH.

Parti lain di DUN Kedah ialah MCA (2), PKR (4) dan DAP dengan dua kerusi.
Inilah situasi yang berlaku ketika ini.

Persoalannya apakah PPBM rela menjadikan dirinya sebagai ‘ekor’ kepada PAS semata-mata jika bekerjasama,  atau menjadi ‘rakan politik’ yang bermakna diberikan kedudukan yang lebih baik dalam rangka kerjasama.

Di Johor, Kedah dan mungkin Terengganu, PPBM jika dengan strategi dan umpan yang mengena,  boleh membuat kejutan dengan menjadi peneraju dan PAS menjadi rakan politik yang bermakna.

Namun, ia perlulah bergantung kepada percaturan dan perundingan dengan PAS, lebih-lebih lagi di Terengganu.

Seperkara lagi, apa kesan hubungan politik PAS-PPBM di Johor kerana kerusi yang dimiliki DAP agak besar (13 kerusi DUN) dan untungkah jika bekerjasama dengan PAS di Johor berbanding dengan DAP?

PPBM perlu beringat dengan melihat sikap PAS di Kelantan dan Terengganu sebelum ini, di mana PKR yang mempunyai hanya satu kerusi di DUN di dua negeri itu, mereka bagaikan ‘anjing buruk kepala’ sahaja di mata pemimpin PAS.

Apakah PPBM sanggup menerima atau berharapan seperti siatuasi PKR di Kelantan dan Terengganu, jika mereka bekerjasama di negeri yang PAS dilihat mempunyai kekuatan?

Atau PAS sudah berubah daripada sikap lamanya yang sering memandang rendah kepada rakan sekerjasama mereka?

Mungkinkah PAS akan melayan PPBM tidak seperti yang diberikan kepada PKR dan DAP apabila sudah mencapai cita-cita mereka?

Apa yang diharapkan rangka kerjasama hasil mesyuarat semalam diperhalusi dengan baik oleh pimpinan tertinggi kedua-dua parti untuk ditandatangani Presiden masing-masing pada waktu terdekat.

Yang juga penting kepada PPBM ialah kerjasama dengan Pakatan Harapan di mana ketika  Konvensyen Pakatan Harapan November lalu, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menyatakan hasrat parti untuk menyertai gabungan itu.

Dengan kedudukan di mana PAS menolak kerjasama dengan AMANAH dan DAP, apa kesannya kelak dari segi reaksi dan tindakan dua parti itu jika benar wujud atau terjadinya kerjasama PAS-PPBM dalam menghadapi PRU14 akan datang?


Apakah PPBM akan berada dalam kedudukan ‘tidak selesa’ dengan AMANAH dan DAP, disamping PKR akan sangat berwaspada dengan sikap PPBM untuk beberapa ketika ini?