Friday, September 7, 2018

ISLAM PERLU DIJADIKAN ‘ROH PERJUANGAN’ BERSATU...

"BERSATU perlu jelas mengenai hala tuju dasar dan pendirian Islam. Jangan kerana ‘duduk semeja dengan DAP’, BERSATU jadi dayus dan tidak menjadi juara kepada agama Islam."

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan merayakan ulang tahun keduanya malam esok (8 September 2018).

Selepas dua tahun, BERSATU diharapkan bergerak ke arah menggantikan UMNO lindungi Melayu.

Inilah yang dikehendaki oleh Pengerusi BERSATU Tun Dr. Mahathir Mohamad, Namun  cukupkah BERSATU sekadar Islmelindungi Melayu?

Dr Mahathir berpendapat  orang Melayu berasa tidak begitu selamat selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) menerajui negara disebabkan sekian lama mereka percaya bahawa perlindungan hanya mampu diberikan oleh UMNO.

UMNO hari ini dilihat oleh Dr Mahathir sebagai  sudah jauh menyimpang daripada perjuangan dan tujuan asal penubuhannya. "UMNO dulu adalah parti yang dihormati, dimuliakan tapi apabila menjadi pemerintah sekian lama, mereka lupa bahawa mereka ditubuhkan untuk perjuangan bangsa, agama dan negara.”

Dr Mahathir berkata UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak menjadi parti yang hanya fikir duit ringgit bagi diri mereka sahaja dan yang ambil duit terbanyak, yang mencuri duit ialah Presiden mereka.

Dengan Najib tidak lagi memimpin UMNO dan BERSATU kini menjadi antara parti dalam HARAPAN, wajar sekali soal Melayu dan Islam ini difikirkan secara mendalam.

Namun berapa kerat pemimpin BERSATU yang berfikir dan mengulas pendapat Dr Mahathir yang dibuat dalam Program Rumah Terbuka Aidilfitri PPBM di Laketown Resort, Bukit Merah di Taiping, 6 Julai lalu?


Juga berapa ramai cendikiawan Islam Melayu yang berjaya ditarik menyertai BERSATU. Apakah ada pemimpin berlatarbelakangkan Islam ( asam ada lulusan, ilmuan, pakar atau apa sahaja berkaitan Islam_ dalam BERSATU?

Melihat kepada keutuhan UMNO, khususnya pada 1980-an dan 1990-an, faktor meletakkan kepentingan Islam kepada UMNO dan melindungi umat Islam di Malaysia juga menjadi faktor penting terhadap kemajuan dan survival UMNO.

UMNO dihormati kerana ada ‘pemimpin Islam’ untuk jawatan Naib Presiden, ada Biro Agamanya dan tegas membuat kenyataan mengenai Islam.

UMNO ada Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Tan Sri Mohd Yusof Nor, Tan Sri Abdul Hamid Othman, Datuk Dusuki Ahmad, Datuk Nakhaie Ahmad dan ramai lagi )sekadar menyebut beberapa nama).

Malah, pemimpin UMNO ‘tidak kalah dan bacul’ serta tunduk kepada pemimpin PAS yang mendakwa mereka ‘parti Islam’.

Cumanya mulai tahun 2000, pemimpin Islam dalam UMNO mula dipertikaikan kredibiliti mereka apabila ada isu salahguna kuasa dan sebagainya. Malah mufti-mufti juga bercakap hanya menyokong kerajaan pada masa itu.

Kerana itu BERSATU perlu jelas mengenai hala tuju dasar dan pendirian Islam. Jangan kerana ‘;duduk semeja dan bersekongkol dengan DAP’ BERSATU jadi dayus dan tidak menjadi juara kepada agama Islam.

BERSATU perlu memiliki pemimpin yang dilihat berjiwa dan mengamalkan pegangan Islam yang tegas dan tidak berkompromi.


Kenapa saya katakan demikian?

Jika tiada kedudukan ini, jangan harap mahu menjadi pengganti UMNO di Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Perlis.

Perlu diingat, lima negeri ini kini menjadi pusat kuasa PAS selepas PRU-14.

Itulah sebenarnya ‘lubuk orang Melayu’ dan memangpun BERSATU ditubuhkan untuk mendapatkan sokongan orang Melayu luar bandar.

Pemimpin BERSATU – sama ada Pengerusi, Presiden, Timbalan Presiden dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi – perlu sedar mengenai perkara ini, bukan sekadar menjadi ‘burung kakak tua’ kepada Pengerusi atau Presiden sahaja.

Tetapi apakah dalam BERSATU kini ada pemimpin yang boleh dikategorikan sebagai ‘pemimpi Islam’?

Atau BERSATU mahu harapkan AMANAH perjuangkan Islam untuk mereka?

Jauh panggang daripada api kerana AMANAH juga bercita-cita tinggi dan kegagalan menangani masalah pemimpin Islam ini akan menyebabkan BERSATU akan ketinggalan dan nampak bahawa AMANAH lebih terserlah memperjuangan Islam.
BERSATU mahu kekal sebagai parti nasionalis? Jawalah wahai pemimpin BERSATU.

Kerana itu sambil  BERSATU perlu menggantikan UMNO sebagai pelindung kepada orang Melayu, ia jangan melihat kepantingan kepada bangsa atau kaum semata-mata tetapi juga agama Islam yang menjadi teras kepada kekuatan orang Melayu, khususnya di luar bandar.

Kegagalan memperjuang dan menjaga kepentingan Melayu dan Islam akan menjadikan BERSATU sebuah parti yang tidak mempunyai ‘roh perjuangan’.

Tanpa roh perjuangan, apa jenis parti BERSATU ini sebenarnya?