Monday, June 21, 2010

SPR - TIAN CHUA MASIH AHLI PARLIMEN BATU

“Tian Chua masih lagi Ahli Parlimen Batu yang sah. Kerusi Parlimen Batu tidak kosong sehingga kini,” demikian tegas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini.

Menurut Abdul Aziz, sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang notis daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang memaklumkan berlakunya kekosongan kerusi Parlimen Batu.

“Kita tidak terima sebarang notis sehingga kini. Jadi SPR tidak boleh buat apa-apa keputusan.
“Hanya dengan notis itu barulah pihak kami boleh tafsirkan sama ada berlakunya kekosongan kerusi Parlimen Batu atau sebaliknya,” katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ghazali Cha hari ini yang memutuskan tidak ada keperluan untuk menyemak semula penghakimannya untuk mengurangkan hukuman denda RM2,000 ke atas Tian Chua.

Ghazali memaklumkan kepada peguam yang mewakili Ahli Parlimen Batu itu, Ranjit Singh bahawa beliau mahu mengelakkan pilihan raya kecil diadakan.

Beliau bagaimanapun mengekalkan keputusan mendenda Tian Chua RM2,000 kerana menggigit seorang anggota polis tiga tahun lalu.

Jumaat lalu, Pengerusi DAP Karpal Singh berkata kerusi Parlimen Batu perlu diisytiharkan kosong mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut Perkara 53 perlembagaan itu, seorang Ahli Parlimen akan hilang kelayakan serta-merta jika dia tidak merayu keputusan mahkamah dalam tempoh 14 hari.

Perkara 53 Perlembagaan Persekutuan bahawa pejabat Speaker Dewan Rakyat yang mempunyai kuasa bagi menentukan status sesebuah kerusi parlimen berkenaan.

Perkara 53 (1) menyebut “jika berbangkit apa-apa persoalan sama ada seorang ahli Majlis Parlimen telah hilang kelayakan, soal itu hendaklah diputuskan oleh Majlis Parlimen dan keputusan itu adalah muktamad”.

Menurut Malaysiakini, mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, badan berkenaan mempunyai prosedur yang perlu dipatuhi dan mereka tidak boleh mengisytiharkan sebarang kekosongan kerusi Parlimen tanpa notis atau surat rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat mahupun pihak mahkamah.

Hakim Ghazali berkata beliau telah mendengar kes tersebut (functus officio), maka penghakiman mengenai denda tersebut adalah kekal. Ia tidak perlu disemak semula penghakimannya yang mengurangkan hukuman ke atas ahli parlimen Batu, Tian Chua kepada denda RM2,000.

Bagaimanapun, menurut peguam Tian Chua, hakim turut menegaskan sekali lagi bahawa niat beliau adalah jelas dan bahawa beliau tidak mahu pilihan raya kecil diadakan bagi kawasan parlimen berkenaan.
Peguam Ranjit Singh berkata, beliau menyedari mengenai keputusan Mahkamah Agung PP lwn Leong Ying Ming (1993) berhubung definasi 'tidak kurang daripada RM2,000'

Hakim Mahkamah Agung ketika itu memutuskan bahawa frasa 'tidak kurang daripada lima tahun' bermakna lima tahun satu hari.

Peguam dan pendakwaraya menemui Hakim Ghazali pagi ini berhubung denda yang dikenakan ke atas ahli parlimen Batu itu selepas didapati bersalah menggigit seorang anggota polis.

Tian Chua didapati bersalah menggigit tangan seorang anggota polis ketika ditangkap dalam satu protes tiga tahun lalu berhampiran bangunan Parlimen.

Beliau yang menang pilihan raya umum 2008, didakwa mengikut Sekseyen 32 Kanun Keseksaan, dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis yang sedang bertugas.

Oktober lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 ke atas Tian.

Selepas mengemukakan rayuan, Mahkamah Tinggi mengenalkan sabit kesalahannya tetapi mengurangkan hukumannya kepada denda RM2,000 atau dua bulan penjara.

Tian Chua berkata pagi ini, beliau masih lagi ahli parlimen Batu.
"Saya akan berkhidmat kepada pengundi saya dan akan pergi ke Parlimen selepas ini," kata selepas peguam dan pihak pendakwa bertemu hakim berkenaan di kamarnya.

Pertemuan itu adalah untuk mendapatkan penjelasan sama ada penghakimannya Khamis lalu telah membatalkan kelayakan Tian sebagai ahli parlimen, mengikut Artikel 48 Perlembagaan Persekutuan.

Tian diwakili oleh Ranjit, Amer Hamzar Arshad dan Razlan Hadri Zulkifli. Pihak pendakwa pula diketuai oleh Mohd Hanafiah Zakaria dan Lee Keng Fatt.

Masalahnya berkisar mengenai tafsiran Perkara 48 perlembagaan persekutuan berhubung pembatalan kelayakan seseorang ahli parlimen.

Artikel itu menyebut jika seseorang ahli parlimen disabit oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang daripada setahun atau didenda tidak kurang daripada RM2,000 maka beliau secara automatik terbatal kelayakannya dan pilihan raya kecil perlu diadakankan.

Hakim Ghazali telah mengurangkan hukuman Mahkamah Majistret sebelum ini ke atas Tian Chua - iaitu enam bulan penjara dan denda RM3,000 - kepada denda RM2,000.

Katanya, niatnya mengurangkan hukuman tersebut adalah untuk mengelak pilihan raya kecil diadakan.