Sunday, October 11, 2009

ADAKAH PERATURAN BARU ELAK PROVOKASI?

(Sembang Ahad)

Tidak bolehkah kalau tidak ada provokasi dalam pilihan raya?

Tiada maknanya pada hari penamaan calon, ketika kempen dan pada hari pembuangan undi, penyokong parti dibenarkan berada berhampiran pusat-pusat berkenaan tetapi sebaliknya berlaku pergaduhan.

Menyedih dan memalukan kerana ia berlaku sesama Melayu dan sesama saudara seIslam. Tidak tahulah kalau PAS menganggap penyokong UMNO bukan-Islam.

Kita masih ingat pada dan 1980an ada yang mati dihentak dengan batu jokong dan tidak kurang pula yang berdarah dan bengkak-bengkak kerana sepak terang dan sebagainya.

Jadi adalah baik kalau kerajaan memikirkan mengadakan peraturan baru menyekat perhimpunan sedemikian untuk mengelakkan provoksi berlaku.

Pilihan raya bukan untuk menyebabkan orang luka dan berdarah. Pilihan raya adalah untuk memilih wakil rakyat bagi kawasan berkenaan.

Biarlah ia berlaku dengan aman dan tenteram. Namun ternyata pilihan raya kecil Bagan Pinang penuh dengan provokasi – sejak hari penamaan calon lagi.

Provokasi ini kebanyakannya dilakukan oleh penyokong PAS. Buktinya? Menurut laporan media;

1. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub serta penulis portal Malaysian Insider dan Harakah Daily diminta beri keterangan tentang dakwaan mengelirukan kononnya penyokong parti itu cedera diserang ahli UMNO.

2. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, gambar mangsa yang ditunjukkan Salahuddin dan disiarkan dalam portal berbeza dengan orang yang membuat laporan polis.

3. Tiada siapa yang tampil membuat laporan polis mengatakan cedera teruk ditetak ‘pedang samurai’.

4. Salahuddin semalam gagal tunjukkan bukti salinan laporan polis atau nama lelaki yang ‘cedera’ ditetak.

5. Ia hanya satu salinan laporan polis seorang penyokong PAS yang mendakwa keretanya dihalang oleh petugas BN.

6. Laman web Harakah sendiri telah menarik balik berita itu.

Jika diteliti kembali, ada tiga perkara mengenai Pengarah Operasi Pilihan Raya PAS Bagan Pinang, Salahudin Ayub.

Pertama dialah yang mendakwa kononnya Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Azeez Rahim bohong;

Kedua, dia mendakwa seorang petugas PAS telah dipukul dan berdarah; dan

Ketiga, dia mengaku menyebarkan gambar petugas PAS sebagai untuk menyatakan ia ‘benar-benar berlaku dan bukan direka-reka’.


Salahuddin juga menegaskan pihaknya bertanggungjawab penuh dengan kenyataan mereka dalam sidang media yang mendakwa seorang petugas PAS telah dipukul dan berdarah.

"Saya bertanggungjawab penuh dengan penyebaran gambar itu dan memang ia benar-benar berlaku bukan direka-reka," kata Salahudin kepada Harakahdaily semalam.

Sehubungan itu, katanya, beliau bersama peguamnya, Mohamed Hanipa Maidin telah memberikan keterangan di bawah seksyen 112 (keterangan saksi) di Balai Polis IPD Port Dickson jam 6.45 petang semalam.

Polis meminta Naib Presiden Pas itu, serta penulis portal berita Malaysian Insider dan Harakah Daily tampil memberi keterangan berhubung dakwaan yang mengelirukan kononnya penyokong parti itu dikasari dan diserang oleh ahli UMNO hingga cedera.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, dalam blog berkenaan Salahuddin telah memegang sekeping gambar berkaitan kejadian itu dengan gambaran kecederaan yang teruk ke atas mangsa.

Tetapi kata beliau, gambar mangsa cedera yang ditunjukkan oleh Salahuddin dan disiarkan dalam kedua-dua portal berita itu berbeza dengan orang yang dilaporkan kepada polis.

''Pihak polis telah pun membuat siasatan awal dan setakat ini tiada siapa yang datang mengatakan beliau telah dipukul begitu teruk keadaannya.

''Polis ada menerima laporan dan membuka siasatan dan pihak polis sendiri telah menghantar mangsa ke hospital dan beliau telah menerima rawatan sebagai pesakit luar.

"Tak ada kesan darah pun. Hanya lebam-lebam saja. Orang itu juga orang lain, bukan yang dalam gambar itu.

"Nama yang disebut sama tetapi gambar memang berbeza. Kalau betul orang itu ada, datanglah buat laporan," katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal (Martek) PDRM semalam.

Osman berkata, kenyataan yang dibuat itu mengelirukan orang ramai dan mereka terdorong untuk mempercayainya.

Katanya, polis telah berhubung dengan Salahuddin tetapi sehingga hari ini pemimpin Pas itu gagal berbuat demikian.

Polis akan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 111 Kanun Perkara Jenayah.
Beliau juga mengesahkan gambar yang disiar oleh Harakah Daily itu tidak sama dengan individu yang terlibat, hanya nama sahaja yang sama.

Osman turut menyelar tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengelirukan orang ramai dan mencetuskan keadaan huru-hara.

''Polis akan mengesan individu yang memulakan SMS ini dan akan mengambil tindakan. Perbuatan ini tidak bertanggungjawab dan mengelirukan orang ramai," katanya.

Pada sidang akhbar sama, polis memberi amaran supaya mana-mana parti tidak membina struktur seperti khemah yang digunakan untuk meraih undi.

''Kita akan ambil tindakan jika ada pihak yang cuba menakutkan pengundi pada 11 Oktober ini dan menghalang mana-mana pengundi yang layak.

''Pihak polis akan memeriksa kenderaan yang memasuki laluan di Bagan Pinang ini dan menahan mana-mana pihak yang membawa senjata berbahaya," kata Osman.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Zaki Masroh berkata, pihaknya menerima 66 laporan sepanjang pilihan raya kecil ini berlangsung.

''Daripada jumlah itu, 22 sedang disiasat dan tiada tangkapan dibuat. Baki 44 laporan itu, polis sedang meneliti dan ada yang tidak diambil tindakan contohnya bendera hilang tetapi kemudian ditemui semula," katanya.

Beliau memberitahu, tiada kes yang dilaporkan itu disiasat di bawah Akta Hasutan tetapi di bawah Akta Pilihan Raya 1954 dan Akta Mesin Cetak.

''Daripada 22 laporan itu, 10 kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya di Seremban untuk mendapatkan nasihat," jelasnya.

ISA SAMAD MEMANG LAYAK

Mengenai Tan Sri Mohd Isa Samad ini, saya tidak perlu memperkatakan banyak untuk beliau.
Namun, saya ingin mengajak pembaca kepada satu kenyataan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO DI Paris pada 4 Oktober lalu iaitu Mohd Isa telah menjalani hukuman berat di atas kesalahannya dalam parti.

Dan dia dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang kerana beliau mampu memenangi kerusi itu serta popular di kalangan masyarakat kawasan itu.

Itulah tiga faktor besar. Saya ulangi – beliau sudah menjalani hukuman, popular di kalangan penduduk serta mampu menang.

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata pertimbangan pilihan raya kecil, parti akan memilih calon yang mampu berkhidmat di satu-satu kawasan dengan berkesan, popular, diterima masyarakat serta kepimpinannya dikehendaki.

Jadi bohonglah mereka yang menuduh kononnya pemimpin tertinggi menolak Mohd Isa, malah Pengerusi BN dan Presiden Umno mengatakan Mohd Isa telah dikenakan tindakan di atas kesalahannya termasuk kehilangan jawatan Menteri dan Naib Presiden namun masih setia kepada parti serta bekerja keras untuk parti walaupun tidak berjawatan.

Jelas Mohd Isa hanya melakukan kesalahan teknikal parti dan bukan kesalahan daripada segi undang-undang negara.

Sebaliknya ada orang sudah mencemarkan maruah negara serta bersalah di mahkamah tetapi tetap menjadi pujaan pembangkang.

Jelas, Mohd Isa wajar diterima rakyat dan dia mampu memberikan sepenuh khidmat! Tiada orang lain selain Mohd Isa untuk Bagan Pinang.

Tan Sri Isa Samad Untuk Bagan Pinang!

Oleh dukeofmontecristo (mykmu.net)

Beliau di dapati bersalah. Beliau akur. Beliau digantung keahlian 3 tahun. Beliau akur. Beliau dicemuh, dihina dan diumpat, pun beliau akur. Beliau "berehat" dan menerima hukuman dunia dan masyarakat dengan sikap zuhud dan insaf.

Beliau tidak pun cuba untuk menonjolkan diri sepanjang tempoh "rehat"nya. Namun begitu, beliau tetap aktif sebagai insan yang berpegang kuat pada semangat dan jiwa UMNO yang tebal di dalam dirinya.
Beliau tidak cepat "melatah" atau "merajuk" melompat ke arah parti lain, jauh sekali menubuhkan parti lain ataupun "memijak" bendera UMNO. Beliau tetap kukuh berjiwa UMNO, demi Islam, bangsa dan tanahair.

Siapa yang tidak melakukan kesalahan atau kesilapan. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Namun, Allah juga punya sifat Maha Pengampun kesilapan dan kesalahan hambaNya. Di dalam Islam juga punya perkataan "taubat", tanda penyesalan dan berazam tidak mengulanginya kesilapan yang lampau. Tan Sri Isa Samad. Insan inilah yang dimaksudkan.

Teguh sungguh jiwanya kepada perjuangan "alif, ba, ta" UMNO. Dikala dia di dalam tempoh "cuti"nya, dirinya tetap sebok berjuang dan berkhidmat kepada masyarakat setempat. Di atas keikhlasan dan jasa juangnya kepada masyarakatlah, maka beliau disukai dan dipuji oleh masyarakat sekitarnya.

Penduduk tempatan di Teluk Kemang pastinya terkilan jika "wakil rakyat tidak rasmi"nya ini tidak terpilih untuk menjadi calon "wakil rakyat rasmi" di Bagan Pinang. Sehubungan itulah maka mereka sebulat suara mencalonkan Tan Sri Isa Samad sebagi calon pilihan mereka.


Itulah kehendak rakyat setempat di Teluk Kemang, khususnya Bagan Pinang. Dikhabarkan bahawa, beliau bukan sahaja menjadi pilihan ahli-ahli UMNO di Bahagian Teluk Kemang, malah Tan Sri Isa juga menjadi pilihan rakyat "atas pagar", bahkan pengundi pembangkang juga secara diam-diam "meminati" Tan Sri Isa. Itulah pilihan rakyat setempat.


Tidak dinafikan bahawa ada juga pandangan dan suara dari luar Bagan Pinang yang tidak "favor" kepada pencalonan Tan Sri Isa Samad. Malah ada juga pemimpin UMNO, bekas pemimpin UMNO dan blogger-blogger pro-UMNO yang tidak bersetuju dengan pencalonan Tan Sri Isa.
Saya berterima kasih banyak kepada pandangan mereka mengenai isu ini.

Memang benarlah pandangan mereka itu. Namun mereka tidak boleh menghukum seseorang itu hanya keran melihat sesuatu kesalahan yang pernah dilakukan oleh individu tersebut.
Individu itu telah menerima hukuman setimpal dan beliau juga sudah insaf.

Tiadakah tempat untuk seseorang seperti itu untuk menjadi pemimpin? Bukankah Saiyidina Umar Al-Khattab juga asalnya kafir dan pernah menanam anak perempuannya hidup-hidup ke perut bumi sehingga mati.

Jika benar tiada tempat untuk insan yang pernah berdosa besar seperti itu untuk berperanan sebagai pemimpin, mengapa beliau diangkat sebagai salah seorang Khulafa' Ar-Rashidin yang dijamin syurga.
Apakah Tan Sri Isa tidak boleh diterima sebagai pemimpin walaupun beliau sudah bertaubat dan insaf? Saya menerima khabar bahawa sebelum disahkan pencalonan calon untuk Bagan Pinang oleh UMNO, Tan Sri Isa Samad begitu aktif turun ke lapangan akar umbi di seluruh Bagan Pinang.

Beliau meminta dan merayu supaya semua ahli UMNO dan rakyat setempat tanpa mengira parti agar memilih calon pilihan UMNO/BN sebagai wakil rakyat mereka. Beliau ketika itu langsung tidak menyentuh mengenai pencalonan dirinya.
Beliau sendiri secara peribadinya tidak sedikit pun melobi untuk menjadi calon.

Malah menggesa agar semua penyokong BN agar menerima calon pilihan Presiden UMNO dan MT kerana pastinya pucuk pimpinan akan memilih calon yang "mengutamakan rakyat" dan "mementingkan prestasi KPI perkhidmatannya kepada rakyat". Beliau begitu ikhlas dan tulus berjuang demi Parti "sebenar" yang menjadi "Pembela Rakyat" ini.


Saya faham. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan dan tulisan saya kali ini. Saya hormati pandangan yang bertentangan, namun saya yakin dengan pilihan saya kali ini. Saya yakin dengan pandangan saya sebagai insan yang tidak terlepas dari salah dan silap.

Saya yakin dengan pilihan saya kerana saya tahu bahawa manusia juga mampu berubah kepada sesuatu yang lebih baik dari sebelumnya.

Dan saya yakin dengan pilihan saya kerana pilihan ini adalah pilihan rakyat pengundi-pengundi di Bagan Pinang dan bukan pengundi dari "luar kawasan" yang hanya "suka komen itu tak betul, ini tak betul". Apa-apa pun, fikir-fikirkanlah...